Ahad, 26 Disember 2021

Letup kereta Tesla berharga RM398,563 gara-gara kecewa kos tukar bateri mahal


Seorang lelaki di Finland meletupkan kereta jenama Tesla Model S miliknya yang berharga kira-kira AS$95,000 (RM398,563) setelah kenderaan tersebut rosak, manakala kos baik pulihnya amat tinggi, lapor akhbar New York Post pada 24 Disember 2021.


Tuomas Katainen membeli kereta itu pada 2013 dan mengatakan 'ia adalah kereta yang sangat baik' sebelum rosak setelah jarak pemanduannya mencecah 1496.7 kilometer.


Setelah sebulan berada di bengkel, mekanik memberitahu bahawa dia perlu menggantikan 'keseluruhan sel bateri' pada harga 20,000 euro atau kira-kira RM95,004.83.


"Jadi saya beritahu mereka saya akan mengambilnya tanpa dibaiki. Namun, saya akan meletupkannya," kata Tuomas kepada pesohor YouTube daripada saluran Pommijätkät.


Tuomas bertindak mendapatkan bantuan pasukan lagak ngeri yang menjalankan rancangan realiti di saluran itu untuk meletupkan keretanya. Kru lagak ngeri itu meletupkan kereta itu di sebuah bekas tapak kuari di kawasan bersalji Jaala.


Mereka meletakkan kira-kira 33 kilogram bahan letupan pada badan kereta tersebut. Patung manusia yang dipakaikan topi keledar dan topeng mirip wajah pengasas Tesla, Elon Musk dijatuhkan dari sebuah helikopter sebelum diletakkan di tempat duduk pemandu.


Rakaman menunjukkan Tuomas bersama kru tersebut bersorak setelah kereta diletupkan. Lelaki itu menganggap bahawa letupan tersebut lebih bermakna daripada menyimpan kereta Tesla yang tidak berfungsi.


Tuomas Katainen memutuskan untuk meletupkan kereta Tesla miliknya kerana memerlukan kos baik pulih yang tinggi.

Tuomas Katainen bersama kru bersorak setelah kereta Tesla Model S 2013 miliknya diletupkan.

Pakar mengikat 30kg bahan letupan hanya pada satu sisi kereta supaya arah serpihan dapat ditentukan.


EmoticonEmoticon