Ahad, 12 Disember 2021

Objek 'misteri' terdampar di pantai disangka piring terbang makhluk asing gemparkan orang ramai


TUMPAT - Penemuan objek besar terdampar di Pantai Geting pada pagi Isnin 6 Disember lalu telah gemparkan orang ramai. Ia turut menimbulkan pelbagai spekulasi termasuk ada yang menganggapnya sebagai piring terbang serta mengaitkannya dengan makhluk asing.


Bagaimanapun sangkaan orang ramai itu melesat apabila Jabatan Laut Malaysia (JLM) menjelaskan, bahawa objek besar yang ditemui terdampar di Pantai tersebut adalah alat bantuan pelayaran yang dikenali sebagai pelampung pandu atau boya.


"Alat itu berfungsi sebagai penunjuk arah selamat di alur pelayaran yang menjadi panduan navigasi kapal, bot dan lain-lain pengguna pengangkutan air.


"Boya milik JLM terbabit ditempatkan di muara Sungai Kelantan di Kuala Besar, Kota Bharu dan hanyut akibat ombak kuat dan air pasang besar baru-baru ini," kata JLM dalam satu kenyataan Khamis lalu.



Kata JLM, satu laporan polis juga telah dibuat di Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat ekoran kejadian itu dan kerja-kerja memindahkan boya berkenaan ke Jeti Pejabat Laut Kuala Besar telah selesai dibuat pada petang Rabu.


"Boya itu kini ditempatkan sementara di jeti Pejabat Laut Kuala Besar," katanya merujuk berita tular Isnin lalu mengenai penemuan objek asing itu yang kemudian menimbulkan pelbagai spekulasi, termasuk ada menganggapnya piring terbang makhluk asing.


Berikutan itu, ramai datang ke lokasi terbabit dan merakamkan gambar kenangan, malah tidak kurang juga memanjat boya berkenaan yang jelas boleh mengundang bahaya.


Sehubungan itu, Pejabat Laut Kuala Besar, Kota Bharu membuat siasatan dan pemantauan bagi mengelakkan orang ramai menghampiri kawasan sekitar. JLM juga kesal dengan tindakan orang ramai yang mendekati boya terbabit termasuk memanjat alat bantuan pelayaran setinggi 5.3 meter itu.


"Boya itu diperbuat daripada bahan jenis keluli dan dikhuatiri boleh mengakibatkan kecederaan sekiranya kemalangan seperti terjatuh atau tergelincir disebabkan licin semasa menceroboh. Tambahan pula, alat ini aset kerajaan dan menjadi satu kesalahan jika ada individu menceroboh atau mendekatinya," katanya.


Pelampung pandu atau boya terdampar di Pantai Geting yang tular pada Isnin lalu. - Foto NSTP.


EmoticonEmoticon