Ahad, 12 Disember 2021

Adik-beradik kembar kongsi tunang sama mahu hamil serentak


Sepasang adik-beradik kembar di Australia telah mendedahkan bahawa mereka mahu hamil serentak dan mendapatkan anak berbapakan tunang yang sama, lapor akhbar Metro UK pada 8 Disember 2021.


Anna dan Lucy DeCinque, 35, sebelum ini menjadi perhatian dan mendapat julukan sebagai 'kembar paling seiras di dunia' kerana mempunyai wajah amat seiras serta menjalani gaya hidup serupa termasuk berkongsi tunang yang sama.


Kisah hidup kedua-dua wanita itu kini dikongsi menerusi siri realiti televisyen saluran TLC di Amerika Syarikat yang bertajuk 'Extreme Sisters' menerusi episod yang ditayangkan pada minggu ini.


Program itu mendokumentasikan kehidupan dan hubungan mereka. Anna dan Lucy mengaku mereka sedang cuba untuk hamil serentak dengan melakukan rutin bagi mencetuskan kehamilan pada waktu yang sama.



Mereka mengambil suhu pada waktu sama setiap pagi bagi melihat sama ada mereka berada dalam fasa ovulasi. Kedua-duanya turut gembira apabila mengetahui bahawa mereka subur pada waktu yang sama setiap bulan.


"Kami belajar dari internet bahawa apabila suhu anda meningkat, ia bermaksud anda sedang mengalami ovulasi. Suhu kami meningkat 3 darjah Celcius. Kami mengalami ovulasi pada waktu yang sama," kata Lucy dalam satu klip video di YouTube.


Anna dan Lucy sebelum ini pernah mendedahkan bahawa mereka menjalani rutin diet dan senaman yang sama termasuk mengira jumlah makanan bagi memastikan mereka makan dalam kuantiti yang sama.


Kedua-dua wanita itu turut membelanjakan kira-kira £177,000 (RM984,205) bagi menjalani rawatan kosmetik termasuk memasang payudara palsu.


Anna dan Lucy DeCinque bersama tunang mereka, Ben Byrne.


EmoticonEmoticon