Rabu, 29 Disember 2021

Polis terima banyak laporan penampakan makhluk asing, turut dilaporkan 'alien' masuk bilik tidur


Jabatan Polis Ireland Utara melaporkan bahawa terdapat lapan laporan berkenaan penampakan objek terbang tidak dikenali (UFO) sepanjang tahun 2021, jumlah itu meningkat berbanding enam laporan sedemikian pada 2020 dan empat pada 2019, lapor laman berita The Guardian pada 26 Disember 2021.


Pada 17 Januari lalu, penduduk tempatan mendakwa melihat kapal angkasa dengan cahaya berkelip di kawasan Downpatrick. Pada Mei pula, polis tempatan telah dipanggil untuk menyiasat satu penampakan cahaya putih di kawasan Maghaberry serta objek berbentuk cakera dari di Slemish County Antrim.


Seterusnya, polis turut melihat 'imej pelik' menerusi televisyen litar tertutup (CCTV) dari sebuah rumah di kawasan Newtownabbey. Jabatan itu turut melaporkan penampakan objek berbentuk kubah dengan lapan lampu terang di Saintfield.


Pada bulan September pula, satu laporan telah diterima di kawasan Lisburn mengenai 'entiti asing di dalam bilik tidur', tetapi tiada laporan lanjut didedahkan dalam berita antarabangsa. Manakala pada bulan Oktober seorang warga tempatan yang ditahan melaporkan telah diculik oleh makhluk asing.


Bulan November pula, penduduk tempatan dilaporkan melihat 'cahaya terang luar biasa di langit' yang direkodkan sebagai 'penampakan aneh'. Bagaimanapun, jurucakap Perkhidmatan Polis Ireland Utara (PSNI) menjelaskan bahawa tiada siasatan dijalankan berhubung dengan mana-mana penampakan yang dilaporkan tahun ini.


Nick Pope yang pernah menyiasat laporan penampakan UFO untuk Kementerian Pertahanan (MoD) berkata: "Pandemik Covid-19 dan sekatan dilakukan mungkin memainkan peranan dalam perkara ini. Orang ramai mempunyai lebih banyak masa dan mereka mungkin tidak perasan akan penampakan sebelum ini.


"Satu lagi kemungkinan adalah orang ramai lebih cenderung melaporkan kes itu disebabkan situasi semasa di Amerika Syarikat di mana kongres dan Pentagon memandang serius terhadap isu itu dan melancarkan inisiatif UFO," jelasnya.


Sebuah UFO olok-olok dengan patung makhluk asing dan tulisan 'Senyum, anda sedang diculik' dilihat di bandar Alto Paraiso, Negeri Goias, 230 kilometer di utara Brasilia pada 20 Disember 2012. - Foto AFP.


EmoticonEmoticon