Rabu, 12 April 2023

Gerhana matahari separa muncul semula pada 20 April ini

Gerhana matahari separa muncul semula pada 20 April ini


Selepas kali terakhir berlaku tiga tahun lalu, gerhana matahari separa akan muncul semula pada 20 April ini, dan kejadian itu terjadi sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun ini.


Seluruh negara akan mengalami gerhana matahari separa berikutan fenomena gerhana matahari hibrid yang berlaku berdekatan benua Australia.


Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Facebook berkata, pemerhati di Semenanjung akan menyaksikan fenomena tersebut bermula jam 11 pagi.


"Pemerhati di Semenanjung boleh menyaksikan fenomena gerhana matahari separa bermula 11 pagi hingga sekitar 1 petang.


"Bagi pemerhati di Sarawak pula, sehingga sekitar pukul 1 petang manakala di Sabah sehingga sekitar pukul 2 petang," menurut kenyataan tersebut.


Kali terakhir kejadian itu dapat disaksikan di Malaysia ialah pada 21 Jun 2020 lalu ketika umat Islam di negara ini masih lagi meraikan lebaran pada 29 Syawal 1441 Hijrah.


Menurut pakar falak tanah air, Hanafiah Abdul Razak, berkata gerhana matahari separa atau penuh merupakan fenomena berulang-ulang yang dapat dikira menerusi kaedah ulangan kiraan hilal atau anak bulan takwim Hijrah.


Selepas kali terakhir berlaku di Malaysia tiga tahun lalu, gerhana matahari separa akan muncul semula pada 20 April 2023 ini. - Foto Ihsan falak online.

Selasa, 11 April 2023

Penyamun tukar kod QR bank masjid ke akaun peribadi

Penyamun tukar kod QR bank masjid ke akaun peribadi


Satu klip video yang tular di media sosial Twitter ketika ini menyaksikan seorang pemuda secara sengaja telah menukar kod QR bank amal sebuah masjid kepada kod QR bank peribadinya.


Klip video yang dikongsi itu menunjukkan seorang pemuda yang memakai baju kemeja biru gelap berlegar di kawasan masjid lalu menampal satu kertas kod QR pada tabung masjid yang disediakan.


Difahamkan kejadian ini berlaku di sebuah masjid yang terletak di Jakarta Pusat, Indonesia. Pihak berkuasa Indonesia juga sudah berjaya menahan suspek yang juga seorang pegawai bank.


"Kod QR kotak amal masjid pun jadi sasaran, diganti dengan kod QR peribadi. Semakin canggih cara pencuri beraksi. Syukur kejadian terakam dengan kamera," tulis seorang netizen.


Didakwa pencuri tersebut juga telah melakukan perkara sama di beberapa buah masjid sebelum ini. Insiden ini dapat dikesan selepas salah satu masjid terbabit mempunyai CCTV lalu berjaya merakam perbuatan lelaki ini.


Orang ramai yang menyaksikan klip video tersebut turut terkejut dengan cara yang dilakukan oleh pencuri itu dan menyifatkan cara yang dilakukannya amat bahaya dan tidak disedari orang ramai.


"Kalau kita nak derma kita terus 'scan' sahaja, memang la akan keluar butiran akaun penerima tetapi kita tidak tahu itu penerima sebenar atau tidak, risau benda ini akan berlaku di Malaysia nanti," kata seorang lagi netizen.


"Memang ramai tak terfikir lagi cara mencuri ini, kalau di masjid memang ramai orang akan menderma dengan cara 'scan' kod QR, makin canggih pencuri zaman sekarang," tulis netizen lain.


Tangkap layar seorang pemuda yang menukar kod QR bank amal sebuah masjid kepada akaun peribadinya. - Foto Twitter.

Isnin, 10 April 2023

Gadis berumur 14 tahun upah pembunuh upahan bunuh ibu

Gadis berumur 14 tahun upah pembunuh upahan bunuh ibu


Seorang ejen hartanah, Anastasia Milosskaya, 38, diserang dan dicekik hingga mati apabila dia pulang ke rumah pada 24 Mac lalu, manakala polis Russia menahan anak perempuan mangsa yang berumur 14 tahun kerana mengupah pembunuh upahan untuk membunuh ibunya, lapor akhbar The Sun pada 2 April 2023 lalu.


Anak perempuannya yang merupakan pelajar sebuah sekolah, dituduh bersekongkol dengan teman lelakinya untuk mengupah pembunuh upahan bagi menyerang dan mencekik ibunya sehingga mati.


Kira-kira 48 jam selepas serangan berlaku, mayat Milosskaya ditemui disembunyikan di dalam tong sampah di Balashikha yang terletak dalam wilayah Moscow.


Sebelum dibunuh, wanita itu telah meminta teman lelaki anak perempuannya supaya keluar dari apartmen mereka kerana bimbang dia memberi pengaruh negatif kepada anak perempuannya.


Pihak berkuasa Russia percaya anak perempuan mangsa mengupah dua remaja lain untuk membunuh ibunya dengan upah 350,000 rubel (RM19,391).


Kesemua tertuduh dan remaja itu berusia antara 14 dan 17 tahun. Mereka berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun.


Kedua-dua pembunuh upahan itu telah ditempatkan di sebuah pusat tahanan juvenil selama sebulan sementara siasatan dijalankan.


Polis berkata, gadis itu dan teman lelakinya berniat untuk hidup dengan menggunakan wang simpanan ibunya berjumlah lebih 2.9 juta rubel (RM164,714).


Seorang rakan gadis itu berkata: "Dia bercakap tentang membenci ibunya berkali-kali, walaupun ibunya adalah orang yang baik yang menyayanginya."


Nenek kepada gadis itu berkata cucunya telah berada di bawah pengaruh budak lelaki itu yang berasal dari "keluarga susah".


Sumber lain berkata, mangsa mengambil berat terhadap anak perempuannya dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki kehidupannya. - Sumber The Sun.


Kesemua tertuduh adalah remaja berusia antara 14 dan 17 tahun. - Foto East2West.

Anastasia Milosskaya bersama anak perempuannya. - Foto East2West.
Pencuri diberkas polis ketika tonton wayang bersama kekasih

Pencuri diberkas polis ketika tonton wayang bersama kekasih


Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan situasi seorang lelaki yang disyaki pencuri motosikal diberkas polis ketika sedang menonton wayang bersama teman wanitanya, lapor laman berita Suara.com pada 8 April 2023.


Video itu dimuat naik dalam akaun Instagram @terangmedia. Kejadian itu dikatakan berlaku di wilayah Lampung.


Dalam klip video tersebut, beberapa polis berpakaian seperti orang awam memasuki sebuah pawagam dan menahan seorang lelaki yang duduk di kerusi penonton.


Ketika ditahan, kelihatan pemuda yang berbaju belang itu bersama seorang wanita yang disyaki teman wanitanya.


Pemuda itu kelihatan pasrah ketika ditahan. Polis kemudian memeriksa badannya sebelum dibawa keluar dari lokasi kejadian.


Akaun yang memuat naik video tersebut turut tertanya-tanya bagaimana perasaan seorang wanita apabila kekasihnya dicekup polis.


"Saya tidak tahu bagaimana perasaan gadis itu," tulis pemilik akaun itu disertai emoji sedih.


Video itu mendapat perhatian netizen di ruangan komen.


"Lebih menarik kalau polis duduk di sebelah dia, lepas habis tonton wayang terus tangkap," komen seorang netizen.


"Kasian, padahal filmnya lagi seru-serunya," kata seorang lagi netizen sambil memberikan emoji ketawa dalam komennya. - Sumber Suara.com.


Lelaki itu kelihatan pasrah ketika dia ditahan polis. - Foto Instagram.

Ahad, 9 April 2023

Detik ngeri kereta 'ditelan' lubang benam dipenuhi air mendidih

Detik ngeri kereta 'ditelan' lubang benam dipenuhi air mendidih


Orang ramai menyaksikan dengan seram sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dengan dua kanak-kanak turut berada di dalamnya 'ditelan' sebuah lubang benam yang dipenuhi air panas mendidih, lapor portal berita Daily Mirror pada 6 April 2023.


Empat orang dilaporkan cedera, termasuk seorang daripada dua kanak-kanak yang menaiki SUV itu. Lubang tersebut terbentuk di Jalan Drovyanaya, bandar raya St Petersburg, Russia, pada 5 April.


Menurut laporan tempatan, lubang benam itu muncul selepas paip air panas pecah dan menyebabkan tanah serta asfalt di bawah kenderaan tersebut runtuh.


Dalam kejadian itu, pemandu dan anak lelakinya yang berusia 10 tahun melecur dan dihantar ke hospital, manakala seorang lagi kanak-kanak dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.



Media tempatan menyatakan, salah seorang daripada mereka dipindahkan ke unit rawatan rapi kerana melecur lebih 30 peratus pada badannya.


"Kedua-dua mangsa dihantar ke hospital dengan melecur pada bahagian kaki mereka," kata Kementerian Situasi Kecemasan dalam satu kenyataan yang diperoleh Newsflash.


Sebuah video yang dirakam oleh saksi yang tidak dinamakan memaparkan sebuah SUV berwarna putih tenggelam sepenuhnya dalam lubang benam, yang masih mengeluarkan wap.


Kelihatan krew kecemasan berkumpul di tepi, menunggu air panas reda sebelum mereka mula bekerja menyelamatkan kenderaan.


Sebanyak 31 anggota kecemasan dan 11 unit peralatan khas dilaporkan mengendalikan operasi pembersihan besar-besaran, manakala jalan itu ditutup sementara kepada lalu lintas.


Banyak bandar di Russia mempunyai loji pemanasan gergasi yang menyalurkan air panas ke taman perumahan, manakala paip pecah adalah perkara biasa disebabkan infrastruktur yang semakin 'tua'. - Sumber Mirror UK.


Sebuah kenderaan SUV yang turut dinaiki dua kanak-kanak ‘ditelan’ ke dalam sebuah lubang benam di St. Petersburg, pada 5 April lalu. - Foto Newsflash.

Sabtu, 8 April 2023

Gadis telan telefon bimbit selepas bertengkar dengan abangnya

Gadis telan telefon bimbit selepas bertengkar dengan abangnya


Seorang gadis berusia 18 tahun di India terpaksa menjalani pembedahan kecemasan selepas dia menelan sebuah telefon bimbit ketika bertengkar dengan saudara lelakinya, lapor akhbar New York Post pada 6 April 2023.


"Pertelingkahan adik-beradik membawa kepada masalah," kata doktor yang terlibat dalam pembedahan itu kepada akhbar The Times of India. Pertengkaran itu berlaku di daerah Bhing, negeri Madhya Pradesh.


Dua beradik itu dilaporkan bergaduh mengenai sebuah telefon bimbit buatan China sebelum gadis itu memutuskan untuk menamatkan pertengkaran dengan menelan peranti mudah alih tersebut.


"Ketika perasaan marah memuncak semasa pertengkaran mereka, dia mengambil langkah impulsif dengan menelan telefon bimbit," kata doktor tersebut.


Menurut doktor, tidak lama selepas itu, gadis itu mengalami sakit perut yang teruk sebelum dibawa oleh keluarganya ke Hospital Jaya Arogya di bandar Gwalior.


Pakar kemudian menjalankan beberapa ujian termasuk imbasan tomografi berkomputer (CT Scan), X-ray dan ultrasound.


Pakar perubatan memutuskan bahawa telefon itu tidak boleh dikeluarkan melalui kaedah yang kurang invasif seperti endoskopi, maka pisau bedah adalah satu-satunya pilihan mereka.


Remaja itu yang memerlukan 10 jahitan dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan. Dia dijangka keluar dari hospital tidak lama lagi.


Dr. Kushwah berkata ini adalah kali pertama dia menghadapi kes seperti ini sepanjang 20 tahun kerjayanya sebagai doktor. - Sumber New York Post.


Seorang gadis berusia 18 tahun di India terpaksa menjalani pembedahan kecemasan selepas menelan telefon bimbitnya semasa bergaduh dengan abangnya berhubung peranti tersebut. - Foto Gwalior Medical College.

Pakar bedah menjalankan pembedahan selama dua jam untuk mengeluarkan telefon tersebut. - Foto Gwalior Medical College.

Wanita terkejut biawak gemuk ceroboh bilik air melalui lubang udara

Wanita terkejut biawak gemuk ceroboh bilik air melalui lubang udara


Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan seekor biawak besar menceroboh masuk ke dalam sebuah bilik air melalui lubang udara, lapor laman berita Liputan 6 pada 7 April 2023.


Pada mulanya video itu dimuat naik oleh akaun media sosial TikTok @alyaaziyya. Menurut pemilik akaun tersebut, kejadian itu berlaku selepas dia bangun dari tidur pada waktu siang. 


Apabila memasuki bilik air, wanita itu ternampak seekor biawak hitam tersangkut pada lubang udara bilik airnya. 


Dia kemudian bersembunyi di sebalik pintu tandas dan merakam biawak itu melihat kawasan di dalam bilik air.


Wanita itu sempat meminta bantuan daripada pengawal keselamatan, namun dia tidak datang ke rumah mangsa, sebaliknya berkata dia sedang menunggu rakannya. Akhirnya biawak itu keluar dengan sendirinya melalui lubang udara semula.


Ramai netizen memberikan pelbagai respon, dan menceritakan kisah serupa apabila melihat reptilia memasuki rumah mereka. Lebih-lebih lagi, ini adalah biawak besar yang pasti menyebabkan ramai orang trauma.


"Jumpa cicak dalam bilik air pun dah trauma, berani betul perempuan ni. Kalau saya jadi awak memang saya panggil mak," komen seorang netizen.


"Gemuk betul biawak ni, nak keluar tersangkut pula," komen netizen lain. - Sumber Liputan6.


Biawak itu berjaya masuk ke dalam rumah setelah tersangkut pada lubang udara. - Foto TikTok/alyaaziyya.

Jumaat, 7 April 2023

Wanita bibir paling besar sukar cari pasangan sertai rancangan mencari jodoh

Wanita bibir paling besar sukar cari pasangan sertai rancangan mencari jodoh


Seorang wanita di Bulgaria yang memiliki bibir paling besar di dunia menceritakan kesukarannya untuk mencari pasangan hidup, lapor akhbar Daily Star pada 5 April 2023.


Andrea Emilova Ivanova, 25, membelanjakan hampir £20,000 (RM109,605) untuk menjalani 43 prosedur mengubah bentuk badan. Dia telah mendapatkan empat suntikan asid hyaluronik pada tulang pipinya baru-baru ini.


Ivanova melakukan beberapa prosedur rutin dalam sebulan untuk mengekalkan gelaran memiliki bibir terbesar di dunia. Dia meneruskan prosedur itu kerana masih tidak berpuas hati dengan saiz bibirnya.


Dalam mencari pasangan hidup, pesohor media sosial itu sanggup menyertai rancangan realiti televisyen seperti The Bachelor.


"Saya seorang gadis dengan penampilan yang berbeza dan mewah dan ini pelik bagi ramai lelaki. 


"Memang ramai lelaki yang sangat menyukai saya, tetapi ada juga sebaliknya. Mereka fikir saya pelik dan gila," katanya.


Walaupun Ivanova sanggup mengambil risiko dengan menyertai rancangan untuk mencari lelaki idamannya, dia tidak meletakkan harapan yang tinggi.


"Saya meneruskan pembesaran tulang pipi kerana saya mahu mencapai 'kesan wow' dan saya mahu ia menjadi sebesar bibir saya. Saya juga meneruskan pembesaran bibir kerana saya mahu memiliki bibir yang lebih besar.


"Bibir saya sekarang kelihatan sangat kecil dan saya mahu mempunyai bibir yang jauh lebih besar daripada apa yang saya miliki sekarang," jelas Ivanova. - Sumber Daily Star.


BACA: Tidak kisah gadai nyawa demi memiliki bibir paling tebal di dunia.


Ivanova meneruskan prosedur pembesaran bibir dan tulang pipi supaya menjadi lebih besar. - Foto AndreaIvanova.

Rabu, 5 April 2023

Tiga pelajar tutup bekalan elektrik masjid ketika tarawih

Tiga pelajar tutup bekalan elektrik masjid ketika tarawih


Tiga pelajar sekolah rendah di wilayah Sulawesi Selatan, Indonesia dipanggil polis selepas sengaja menutup bekalan elektrik masjid ketika penduduk menunaikan solat sunat tarawih, lapor laman berita Detik pada 3 April 2023.


Ketiga-tiga budak lelaki tersebut mengaku mereka melakukannya dengan sengaja. Kejadian itu berlaku di Masjid Namira, Daerah Soreang, Parepare.


"Ya, tiga pelajar sekolah yang melakukannya. Kami sudah memanggil mereka ke balai polis. Ia berlaku pada malam 30 Mac lalu," kata Ketua Polis Soreang, Muhammad Amin.


Amin menjelaskan bahawa tiga budak lelaki itu tidak berniat untuk mengancam penduduk, sebaliknya hanya untuk keseronokan. Selepas kejadian itu, mereka menulis surat permohonan maaf kepada pentadbir masjid.


Pihak pentadbir masjid juga telah memaafkan perbuatan tiga pelaku tersebut. Mereka dianggap masih boleh dibimbing untuk tidak melakukan perkara yang sama pada masa hadapan.


"Pihak pengurusan masjid telah memaafkan mereka. Jadi, kami telah menghantar mereka semua pulang," jelasnya. - Sumber Detik.


Tiga budak lelaki itu berpakat menutup bekalan elektrik di masjid ketika tarawih. - Foto Instagram.

Selasa, 4 April 2023

Lelaki bujang kantoi intai isteri orang dalam rumah ditahan polis

Lelaki bujang kantoi intai isteri orang dalam rumah ditahan polis


Seorang lelaki bujang diberkas semalam, selepas perbuatannya mengintai jiran wanita yang juga isteri orang ketika berada di dalam rumah di Kampung Seronok, Bayan Lepas, Balik Pulau, terbongkar.


Suspek berusia lingkungan 30-an yang masih bujang itu ditahan sepasukan polis Daerah Barat Daya di kawasan kampung berkenaan sebaik sahaja menerima laporan kejadian terbabit yang dibuat suami mangsa.


Menurutnya kenyataan di Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, hasil soal siasat mendapati perbuatan tersebut dikesan telah dilakukan beberapa kali oleh suspek.


"Suspek kini direman sehingga 6 April dan kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan," demikian menurut kenyataan itu hari ini.


Difahamkan, ujian saringan air kencing ke atas suspek yang bekerja sebagai operator kilang itu juga didapati negatif sebarang pengambilan dadah.


Seorang lelaki warga tempatan berusia 30-an ditahan polis selepas didakwa mengintai jiran wanita yang juga isteri orang dalam kejadian di Kampung Seronok, Bayan Lepas, Pulau Pinang semalam. - Foto Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya.