Sebuah litar permotoran baharu bernilai RM20 juta bakal dibangunkan di negeri ini menerusi kerjasama antara Menteri Besar Incorporated (MBI) dengan syarikat permotoran, ESR Motor.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, projek itu bakal dibangunkan di kawasan Perindustrian Lembah Industri Chuping (CVIA), Padang Besar, membabitkan keluasan tanah kira-kira 33 hektar.
Katanya, pembangunan litar itu berpotensi bagi memperkukuh pembangunan sektor sukan permotoran di samping merancakkan aktiviti ekonomi negeri.
"Kerja-kerja pecah tanah bagi pelaksanaan projek ini dijangka bermula Ogos ini.
"Pelaksanaan projek ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor permotoran di Perlis selain membuka peluang kepada penganjuran aktiviti dan acara berkaitan pada masa hadapan," katanya pada sidang media di Kompleks Seri Putra, Kangar semalam.
Abu Bakar berkata, pembangunan litar berkenaan bakal dilengkapi pelbagai kemudahan permotoran moden dan mempunyai laluan sepanjang 1.3 kilometer.
Katanya, projek dengan nilai pelaburan RM20 juta itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh kira-kira tiga tahun selepas pembinaan dimulakan.
Kata beliau, pembangunan projek berskala besar itu turut dijangka dapat merangsang sektor pelancongan sukan dan mewujudkan limpahan ekonomi buat komuniti setempat.
Pada masa sama, katanya, pelaksanaan inisiatif itu juga berpotensi memperluas lagi penyertaan golongan muda dalam bidang permotoran melalui saluran yang betul dan selamat.
"Kerjasama antara kerajaan negeri dengan syarikat swasta bagi membangunkan litar ini bakal memberi banyak impak positif dan manfaat khususnya buat anak muda," katanya.











