Sabtu, 20 Disember 2025

Balak hanyut banjir bukan percuma, penduduk dilarang ambil

Balak hanyut banjir bukan percuma, penduduk dilarang ambil


Timbalan Ketua Suruhanjaya IV Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Alex Indra Lukman menyatakan bahawa penduduk di Sumatera Barat dan Aceh tidak sepatutnya mengambil kayu balak yang hanyut akibat banjir, lapor portal berita nentralnews.com kemarlin.


Namun, katanya, pengurusan kayu selepas banjir tidak boleh dibiarkan berterusan tanpa peraturan jelas. Ia perlu dirujuk kepada Undang-Undang Nombor 18 Tahun 2008 mengenai Pengurusan Sisa.


"Kita melihat penduduk menjadikan kayu pelbagai saiz dan jenis sebagai barangan bernilai ekonomi seperti papan dan seumpamanya. 


"Perkara ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana pengendaliannya mesti merujuk kepada Undang-Undang Nombor 18 Tahun 2008 mengenai Pengurusan Sisa," ujarnya.


Kayu pelbagai saiz dan jenis itu kini banyak digunakan oleh penduduk sebagai bahan binaan untuk membaiki rumah selepas banjir serta tanah runtuh berlaku hujung bulan lalu.


Alex menjelaskan bahawa Peraturan Pemerintah Nombor 27 Tahun 2020 sebagai panduan teknikal Undang-Undang Pengelolaan Sampah memberikan ruang kepada kerajaan pusat mahupun daerah untuk memanfaatkan sisa akibat bencana menjadi aktiviti bernilai ekonomi.


Beliau menyarankan agar pihak berkuasa tempatan menggunakan perkhidmatan pihak ketiga untuk membersihkan timbunan kayu tersebut supaya proses pembersihan dapat dilakukan pada kadar segera.


Sementara itu, di Aceh, Gabenor Muzakir Manaf juga melarang mana-mana pihak mengambil kayu balak yang dibawa banjir kecuali untuk kepentingan kecemasan atau sebagai barang bukti penyelidikan.


Timbunan kayu balak di Tukka, Sumatera Utara, 2 Disember lalu. - Foto AFP.
 Banjir Sumatera: Negara Arab hairan keputusan Indonesia tolak bantuan asing

Banjir Sumatera: Negara Arab hairan keputusan Indonesia tolak bantuan asing


Keputusan pemerintah Indonesia menolak bantuan kemanusiaan asing susulan bencana banjir dan tanah runtuh besar di Pulau Sumatera menimbulkan tanda tanya dalam kalangan negara-negara Arab, meskipun skala kemusnahan dan korban yang direkodkan amat tinggi.


Bencana yang melanda Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat sejak akhir November hingga awal Disember 2025 itu mengorbankan lebih 1,000 nyawa manakala ratusan lagi masih dilaporkan hilang.


Lebih 800,000 penduduk terpaksa berpindah, sementara kerugian ekonomi dianggarkan melebihi AS$3.1 bilion (sekitar RM12.6 bilion).


Namun, di sebalik tawaran bantuan daripada beberapa negara Asia Barat termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Qatar, Oman, dan Iran, kerajaan Indonesia memilih untuk menangani krisis itu secara dalaman.


Datuk Bandar Kota Medan, Rico Waas, mengesahkan bahawa sumbangan 30 tan beras daripada UAE telah dipulangkan berikutan keputusan kerajaan pusat yang belum membuka pintu kepada bantuan antarabangsa.


"Kami tidak menerima bantuan tersebut selepas merujuk kepada garis panduan dan arahan kerajaan pusat," katanya kepada media pada Khamis.


Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, sebelum ini menyatakan bahawa beberapa pemimpin dunia telah menghubunginya bagi menawarkan bantuan, namun beliau menegaskan Indonesia masih berkeupayaan menguruskan situasi itu sendiri.


"Terima kasih atas keprihatinan, tetapi kami mampu menanganinya," katanya dalam mesyuarat Kabinet.


Menurut laporan Middle East Monitor, negara-negara Arab menyifatkan keputusan itu sebagai luar jangka, memandangkan bantuan yang ditawarkan adalah atas dasar kemanusiaan, solidariti keagamaan, dan hubungan persahabatan jangka panjang.


Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman serta Raja Salman dilaporkan mengutuskan mesej takziah peribadi manakala UAE dan Qatar menyatakan kesediaan menghantar pasukan bantuan serta logistik segera.


Pakar hubungan antarabangsa dari Centre for Economic and Law Studies (CELIOS), Dr Muhammad Zulfikar Rakhmat berkata, keengganan Indonesia menerima bantuan berpotensi mencetuskan ketidakselesaan diplomatik, meskipun tidak menjejaskan hubungan jangka panjang.


"Negara-negara Asia Barat bertindak atas dasar keprihatinan tulus, manakala Indonesia bertindak berdasarkan pertimbangan kedaulatan dan sensitiviti domestik," katanya.


Pemerhati turut mengaitkan pendirian kerajaan dengan isu tata kelola alam sekitar, susulan dakwaan bahawa kawasan terjejas bertindih dengan konsesi perlombongan, perladangan dan pembalakan di kawasan hulu sungai.


Aktivis alam sekitar memberi amaran bahawa kehadiran pasukan antarabangsa berkemungkinan membuka penelitian global terhadap pengurusan sumber dan dasar pembangunan, sesuatu yang dianggap sensitif bagi pentadbiran baharu Indonesia.


Walaupun keputusan tersebut terus dipertahankan atas dasar keupayaan nasional, situasi di Sumatera kekal kritikal, dengan ribuan mangsa masih bergantung kepada bantuan kecemasan dan sokongan komuniti setempat


Datuk Bandar Kota Medan, Rico Waas (tengah), mengesahkan bahawa sumbangan 30 tan beras daripada UAE telah dipulangkan berikutan keputusan kerajaan pusat yang belum membuka pintu kepada bantuan antarabangsa. - Foto Agensi.

Jumaat, 19 Disember 2025

Penjual mi babi di Bandung tanggalkan tudung, kopiah selepas tular di media sosial

Penjual mi babi di Bandung tanggalkan tudung, kopiah selepas tular di media sosial


Beberapa penjual mi babi di kawasan Cibadak, Bandung, Indonesia, menanggalkan pemakaian tudung dan kopiah selepas perniagaan mereka tular di media sosial kerana didakwa menggunakan penampilan yang boleh mengelirukan pelanggan khususnya umat Islam.


Tinjauan media tempatan mendapati gerai mi babi berjenama Mi Danau Toba yang beroperasi di kawasan pecinan Cibadak sejak puluhan tahun itu kini tidak lagi menampilkan pekerja yang berpakaian menyerupai identiti Muslim.


Ketika tinjauan dilakukan, para penjual didapati tidak lagi memakai tudung atau kopiah seperti sebelum ini.


Dalam pada itu, empat individu kelihatan mengendalikan gerai berkenaan, dengan tiga orang menyediakan pesanan mi manakala seorang lagi menerima tempahan pelanggan.


Pada masa sama, pelekat pemberitahuan 'tidak halal' turut dipamerkan dengan jelas pada bahagian hadapan gerai.


Isu ini mula mencetuskan perhatian ramai selepas sebuah video dimuat naik di platform TikTok menunjukkan penjual lelaki memakai kopiah manakala penjual wanita bertudung ketika mengendalikan jualan mi babi.


Keadaan itu menimbulkan kritikan warganet kerana dianggap berpotensi mengelirukan pelanggan Muslim, lebih-lebih lagi apabila tiada maklumat jelas mengenai status halal makanan tersebut ketika itu.


Rakaman berkenaan menerima reaksi meluas di media sosial, dengan sebahagian pengguna menyuarakan kebimbangan terhadap sensitiviti agama serta keperluan ketelusan dalam perniagaan makanan.


Bagaimanapun, ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut, pekerja di gerai berkenaan enggan memberikan sebarang kenyataan.


Pemerhati sosial berpandangan, kejadian ini menjadi peringatan penting kepada pengusaha makanan agar memastikan maklumat berkaitan status halal atau tidak halal dinyatakan secara jelas, selain mengelakkan penggunaan penampilan atau simbol yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan pelanggan.


Isu sensitiviti agama dalam perniagaan makanan kekal menjadi perkara yang perlu ditangani dengan berhati-hati, khususnya di kawasan masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan.


Ketika tinjauan dilakukan, para penjual didapati tidak lagi memakai tudung atau kopiah seperti sebelum ini.
Taktik beli emas guna wang palsu RM30,000 terbongkar

Taktik beli emas guna wang palsu RM30,000 terbongkar


Tindakan licik seorang lelaki yang cuba membeli barangan kemas menggunakan wang palsu bernilai kira-kira RM30,000 terbongkar selepas disedari seorang jurujual di sebuah kedai emas di Chabang Tiga, Kuala Terengganu semalam.


Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, laporan berhubung kejadian diterima jam 6.31 petang dan disiasat di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan kerana menggunakan wang palsu.


Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 3.10 petang apabila seorang lelaki berusia awal 30-an datang bersendirian ke sebuah kedai emas dengan memakai kopiah putih, cermin mata hitam serta pelitup muka berwarna merah jambu.


"Suspek berurusan untuk membeli beberapa barangan kemas dengan anggaran nilai RM30,000 dan sempat mengambil gambar barang kemas berkenaan kononnya untuk ditunjukkan kepada isterinya.


"Selepas beberapa kali keluar masuk premis, suspek menyatakan hasrat untuk meneruskan pembelian," katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu hari ini.


Azli berkata, ketika proses penyediaan resit pembelian, jurujual meminta suspek menyerahkan wang untuk tujuan pengiraan sebelum mendapati wang yang diikat dalam bentuk bungkusan di dalam plastik kuning mencurigakan kerana bahagian tepinya berwarna putih.


Menurutnya, jurujual cuba memeriksa wang tersebut namun berlaku tarik-menarik antara kedua-dua pihak sebelum suspek bertindak agresif dan melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Perodua Axia berwarna biru gelap yang diletakkan di hadapan kedai.


"Hasil semakan mendapati nombor pendaftaran kenderaan berkenaan adalah palsu.


"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis terlibat serta kedai berhampiran sedang diperoleh bagi membantu siasatan," katanya.


Beliau berkata, setakat ini tiada kerugian direkodkan dan laporan dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.


Dalam pada itu, Azli menasihatkan peniaga emas supaya sentiasa berwaspada, memeriksa wang tunai diterima dengan teliti serta tidak teragak-agak menghubungi pihak polis sekiranya mengesyaki sebarang transaksi mencurigakan.


"Langkah ini penting bagi mengelakkan peniaga menjadi mangsa sindiket wang palsu yang semakin berani menggunakan pelbagai taktik," katanya.


Pada Khamis tular video dipercayai daripada rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki melarikan diri dengan menaiki sebuah Perodua Axia di hadapan kedai emas di Chabang Tiga, Kuala Terengganu.


Video berkenaan turut memaparkan wang palsu yang didakwa digunakan suspek ketika pembelian emas bertaburan ketika kekecohan berlaku di hadapan kedai tersebut.


Tangkap layar video tular memaparkan kekecohan di hadapan sebuah kedai emas di Chabang Tiga, Kuala Terengganu pada Khamis.

Khamis, 18 Disember 2025

Najib mesti jalani tahanan rumah jika keputusan Titah Adendum Isnin ini memihak kepadanya - Peguam

Najib mesti jalani tahanan rumah jika keputusan Titah Adendum Isnin ini memihak kepadanya - Peguam


Datuk Seri Najib Razak akan menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah serta merta, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, jika Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakimannya berkaitan Titah Adendum pada 22 Disember ini.


Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman terbabit.


Demikian dinyatakan peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, dengan menegaskan bahawa semakan kehakiman itu membabitkan kebebasan anak guamnya.


"Saya ingin menegaskan jika keputusan memihak kepada kami, beliau mesti menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah dengan serta-merta.


"Saya faham persiapan perlu dibuat di kediaman itu, namun saya percaya beliau mesti dibenarkan pulang tanpa berlengah lagi," katanya.


Ditanya mengenai kemungkinan Jabatan Peguam Negara akan memfailkan rayuan kemudian (jika mahkamah berpihak kepada Najib), Muhammad Shafee berkata ia tidak akan menjejaskan keputusan itu.


Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching pada mulanya menetapkan 5 Januari tahun hadapan bagi memberikan keputusan selepas selesai mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, bagaimanapun tarikh itu diawalkan kepada 22 Disember ini.


Surat daripada firma guaman Shafee & Co yang dialamatkan kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, menyatakan pemohon (Najib) meminta pertimbangan semula tarikh keputusan.


Ia menyatakan Najib memohon tarikh keputusan dibuat lebih awal, tertakluk kepada ketersediaan dan budi bicara hakim.


Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Najib memohon perintah jika titah itu wujud, semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur serta merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.


Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari tahun lalu.


Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.


Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu ialah supaya semua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.


Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.


Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.


Pada 3 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, sebelum beliau merayu keputusan berkenaan di Mahkamah Rayuan.


Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong dakwaan Najib, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, adalah khabar angin serta tidak boleh diterima sebagai bukti.

UMANY gesa Adam Adli mansuhkan AUKU dan PTPTN

UMANY gesa Adam Adli mansuhkan AUKU dan PTPTN


Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) menggesa Adam Adli Abdul Halim yang baharu dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT) supaya memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta melaksanakan pendidikan tinggi percuma.


UMANY berkata, pihaknya berharap agar bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu tidak melupakan tuntutan reformasi yang pernah diperjuangkannya ketika bergiat sebagai aktivis mahasiswa.


"UMANY berpandangan bahawa pelantikan Adam Adli sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi perlu menjadi pemangkin kepada reformasi pendidikan tinggi yang tulen.


"Oleh itu, kami menggesa beliau agar tidak melupakan tuntutan yang pernah diperjuangkannya, termasuk pemansuhan AUKU dan pelaksanaan pendidikan percuma sebagai reformasi asas,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.


Selasa lalu, dalam pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Adam Adli bertukar portfolio daripada Timbalan Menteri Belia dan Sukan kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi menggantikan Datuk Mustapha Sakmud.


Sewaktu era kebangkitan reformasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Adam Adli merupakan antara pemimpin mahasiswa yang lantang menuntut supaya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dihapuskan.


Mengulas lanjut, UMANY menegaskan, Adam Adli merupakan tokoh penting dalam gerakan aktivisme mahasiswa.


Menurutnya, sepanjang penglibatannya dalam aktivisme mahasiswa, Adam Adli secara terbuka menentang AUKU serta secara konsisten memperjuangkan sistem pendidikan tinggi yang lebih demokratik.


“Pertama, AUKU digubal bagi menyekat kebebasan dan autonomi mahasiswa. Pada Pilihan Raya Umum 1969, aktivis mahasiswa lantang menyuarakan pendirian serta memberikan tekanan kepada kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan, yang secara tidak langsung menyumbang kepada kehilangan majoriti dua pertiga kerajaan pemerintah di Dewan Rakyat.


"Sebagai tindak balas, kerajaan menggubal AUKU pada 1971 bagi mengehadkan penyertaan politik dan autonomi mahasiswa," ujarnya.


Justeru, UMANY berpendirian, pemansuhan AUKU juga merupakan usaha untuk mengembalikan maruah dan identiti mahasiswa serta menjadi langkah penting ke arah peralihan keadilan.


Ujarnya, memandangkan Adam Adli sendiri pernah menjadi mangsa penindasan di bawah AUKU, beliau seharusnya memahami sepenuhnya kesan drakonian akta tersebut dan tidak mengabaikan agenda reformasi penting itu selepas memegang jawatan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.


"Kedua, pelaksanaan pendidikan tinggi percuma serta pemansuhan sistem pinjaman PTPTN merupakan satu lagi agenda reformasi kritikal yang tidak boleh ditinggalkan oleh Adam Adli.


"Menurut Perkara 26 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, pendidikan ialah hak asasi manusia dan universiti tidak seharusnya menjadi kemewahan yang hanya mampu diakses oleh golongan tertentu," katanya lagi.


UMANY berkata, pada masa kini, pendidikan tinggi semakin menjadi keperluan asas bagi majoriti golongan muda dan latar belakang ekonomi keluarga tidak seharusnya menjadi penghalang untuk memasuki universiti.


Tambahnya, dengan yuran pengajian yang terus meningkat, sistem pinjaman pendidikan pada hakikatnya berfungsi sebagai mekanisme institusi yang menafikan hak pendidikan kepada pelajar daripada latar belakang miskin dan terpinggir.


"Pelaksanaan pendidikan tinggi percuma merupakan reformasi utama bagi menjamin keadilan pendidikan, memperluas mobiliti sosial serta memastikan pembangunan jangka panjang negara," tegasnya.

Rabu, 17 Disember 2025

'Sabarlah, saya pun mahu cepat' - Hajiji jawab isu 40 peratus hasil Sabah

'Sabarlah, saya pun mahu cepat' - Hajiji jawab isu 40 peratus hasil Sabah



Tuntutan hasil Sabah sebanyak 40 peratus tidak perlu dibahaskan lagi dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana pendirian kerajaan negeri mengenainya sudah jelas dan konsisten, selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Perlembagaan Persekutuan.


Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkara itu telah berkali-kali dibangkitkan dalam mesyuarat berkaitan MA63 bersama kerajaan Persekutuan, termasuk dalam pertemuan yang dihadiri Perdana Menteri.


"Soal 40 peratus ini, pendirian kerajaan negeri jelas seperti mana yang termaktub dalam tuntutan MA63 dan juga Perlembagaan negara kita. Itu pendirian kita dan saya telah kemukakan permasalahan ini berkali-kali kepada Perdana Menteri melalui mesyuarat MA63.


"Saya ingat ramai rakan-rakan kita yang hadir dalam mesyuarat tersebut jelas dengan pendirian kita. Jadi tidak perlulah kita bincangkan atau persoalkan di sini kerana saya difahamkan dalam beberapa hari lagi satu mesyuarat akan diadakan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, kalau saya tidak silap pada 19 haribulan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Kota Kinabalu hari ini.


Menurut Hajiji, kerajaan negeri kini menunggu mekanisme dan formula pembayaran hasil berkenaan diputuskan menerusi rundingan yang akan diadakan.


"Jadi kita tunggulah mekanisme dan formula pembayaran itu. Kalau tanya saya sebagai anak Sabah, saya ikut Perlembagaan sahaja, selesai dan perkara ini telah kita kemukakan dalam mesyuarat MA63 berkali-kali sejak dahulu, sama ada mesyuarat di Kuching, Kuala Lumpur dan juga di Kota Kinabalu," katanya.


Dalam sesi perbahasan itu, Mohd Shafie mencelah dengan membangkitkan persoalan mengenai ketegasan kerajaan negeri dalam menuntut pelaksanaan keputusan mahkamah berhubung tuntutan tersebut.


"Saya ingin bertanya kepada Yang Amat Berhormat, apakah langkah atau opsyen pertama untuk menuntut supaya keputusan mahkamah ini dipatuhi sepenuhnya? Adakah kerajaan negeri tegas bahawa tidak ada tolak ansur terhadap keputusan mahkamah kerana perkara ini sudah diputuskan di mahkamah dan kerajaan Persekutuan perlu mematuhinya?" katanya.


Menjawab perkara itu, Hajiji berkata, sebarang rundingan yang diadakan adalah berasaskan keputusan mahkamah dan tidak boleh menyimpang daripada ketetapan tersebut.


"Saya memahami perkara ini kerana mahkamah telah memutuskan bahawa bayaran mesti dibuat mengikut keputusan mahkamah. Jadi rundingan itu adalah berasaskan keputusan tersebut dan mereka tidak boleh lari daripada aspek itu. Kita tunggulah, sabarlah, saya pun mahu cepat supaya kita dapat lebih banyak peruntukan," katanya.

Selasa, 16 Disember 2025

Dendam tak restu perkahwinan, anak bunuh ayah kandung

Dendam tak restu perkahwinan, anak bunuh ayah kandung


Seorang lelaki warga emas berusia 77 tahun maut selepas dipercayai dibunuh oleh anak kandungnya sendiri dalam satu kejadian tragis yang berlaku pada Ahad malam, 7 Disember lalu di Bagan Batu, Rokan Hilir, Riau.


Mangsa, dikenali sebagai KH, diserang oleh anak lelakinya ZH atau dikenali sebagai Fredi, berusia 35 tahun, di sebuah kedai makan milik keluarga di Kilometer 10 Bagan Batu, Desa Pelita, Kecamatan Bagan Sinembah


Ketua Unit Siasatan Jenayah Balai Polis Bagan Sinembah, Inspektor Ridho Alfian Syahputra berkata, siasatan awal mendapati pembunuhan itu bermotifkan dendam lama, dipercayai berpunca daripada ketidaksetujuan mangsa terhadap rancangan perkahwinan suspek.


"Siasatan mendapati suspek tidak pernah berkahwin, kekecewaan suspek bertambah apabila beliau merasakan dirinya dipinggirkan, termasuk tidak diziarahi ketika menjalani rawatan pemulihan sebelum ini," katanya.


Menurut beliau, suspek sebelum ini pernah cuba menyerang mangsa menggunakan parang beberapa bulan sebelum kejadian, namun cubaan tersebut berjaya digagalkan dan suspek sempat ditahan polis.


"Pada ketika itu, keluarga memohon agar proses undang-undang dihentikan kerana mendakwa suspek mengalami masalah mental dan berjanji menghantarnya menjalani rawatan pemulihan di pusat rehabilitasi," katanya.


Bagaimanapun, selepas dibawa pulang, suspek dipercayai masih menyimpan dendam dan merancang serangan ke atas bapanya.


Pada malam kejadian, mangsa baru pulang dari gereja dan memasuki premis melalui pintu sisi. Ketika mangsa menuju ke bilik air, suspek secara tiba-tiba memukul wajah mangsa menggunakan tukul besi.


Mangsa terjatuh dan sempat merayu agar serangan dihentikan, namun suspek terus menghentam kepala dan wajah mangsa sebanyak 21 kali, menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.


Ketika insiden berlaku, ahli keluarga lain tidak menyedari kejadian tersebut kerana sedang melayani pelanggan di kedai makan berkenaan.


Suspek melarikan diri sebelum diberkas polis tidak lama kemudian di kawasan Kilometer 12 Bagan Batu.


Kes kini disiasat oleh Balai Polis Bagan Sinembah, dan pihak penyiasat turut merancang untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan mental terhadap suspek bagi melengkapkan siasatan.


Pemuda MIC balas Akmal: 'Kalau MIC mabuk todi, Umno mabuk air ketum?'

Pemuda MIC balas Akmal: 'Kalau MIC mabuk todi, Umno mabuk air ketum?'


Ketua Pemuda MIC K Arvind tidak menunggu masa yang lama untuk membalas kecaman Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, dalam pergeseran dua sekutu dalam BN itu yang dilihat kian meruncing.


Dalam kenyataan terbarunya, Arvind mengingatkan Akmal bahawa pertikaman lidah mereka berpunca daripada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. 


"Dei macha Akmal, sedarlah polemik Umno-MIC hari ini berpunca daripada kenyataan presiden Umno sendiri semasa merasmikan perhimpunan agung IPF (Barisan Kemajuan India Se-Malaysia) semalam. Dia melontarkan kata-kata tidak senonoh terhadap MIC.


"Bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Sama juga bagaimana presiden Umno, begitulah ketua pemudanya (Akmal). 


Dei macha, jika Pemuda MIC mabuk todi, awak mabuk air ketum ke. Rakyat tahu siapa mabuk kuasa dan siapa yang jadi pelacur politik," kata Arvind.


Terdahulu, Akmal membidas Arvind selepas dia mengkritik kenyataan Zahid supaya MIC "jangan mabuk kuasa" susulan parti itu yang sedang menimbang untuk keluar BN.


Dalam kenyataan pada Ahad, Arvind berkata Zahid sebenarnya yang mabuk kuasa, dengan membangkitkan kerjasama BN dengan PH selepas PRU15 dan juga GRS selepas PRN bulan lalu. Kenyataan itu jelas tidak diterima Akmal.


"Dei machaa. Yang mabuk ini bila ada orang cakap mahu keluar, tapi tak keluar walaupun AGM sudah setuju keluar.


"Yang mabuk ini bila mahu sertai PN tapi mahu kekal sokong PMX (Perdana Menteri Anwar Ibrahim).


"Ini tahap mabuk todi level tinggi," sindirnya.


Dalam kenyataan semalam (Isnin), Arvind mencabar Zahid untuk menarik balik bon kesetiaan berjumlah RM100 juta yang ditandatangani semua calon BN dalam PRU15, yang perlu dibayar antaranya jika mereka lompat parti selepas menang.


"Awak tahu tak berapa ramai wakil rakyat BN, termasuk Umno sendiri yang makin meluat terhadap kepimpinan Zahid? Yang sokong dan mengampu pun bukanlah sebab setia kepada Zahid, tetapi demi jawatan dan kerakusan kuasa.


"Dei macha, nasihatkan presiden awak supaya beradab dalam percakapannya.


"Perkataan mabuk dan mabuk todi sesungguhnya mencerminkan sikap angkuh dan bukan saja memperlekehkan MIC, tetapi masyarakat India. 


"Keghairahan dan kemabukan kuasa mengaburi adab dan adat, yang turut merebak kepada awak. Sedarlah diri wahai macha," katanya lagi.


MIC kini sedang menilai kemungkinan untuk keluar daripada BN, antaranya ekoran rasa tidak puas hati terhadap kedudukan politik mereka, khususnya selepas Umno di bawah pimpinan Zahid menjalin kerjasama dengan PH.


Selain MIC, MCA juga bimbang isu pembahagian kerusi pilihan raya, yang mereka anggap lebih memihak kepada parti-parti penyandang.


Di bawah formula pembahagian kerusi BN–PH, MCA dan MIC dijangka hanya akan menerima jumlah kerusi yang kecil untuk ditandingi pada PRU akan datang.

Hubungan erat Anwar, Hajiji pemangkin penyelesaian segera tuntutan 40 peratus Sabah

Hubungan erat Anwar, Hajiji pemangkin penyelesaian segera tuntutan 40 peratus Sabah


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yakin isu tuntutan 40 peratus hasil negeri mampu diselesaikan dengan lebih cepat susulan hubungan erat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor membuka ruang kerjasama lebih lancar antara kerajaan negeri dan Persekutuan.


Datuk Seri Ghulamhaidar @Yusof Khan Bahadar (GRS-Kawang) berkata, keyakinan itu turut diperkukuh dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan hak perlembagaan Sabah terhadap pemberian khas berkenaan, seperti dinyatakan Menteri Kewangan Sabah ketika pembentangan Belanjawan Sabah 2026 baru-baru ini.


"Saya juga ingin berkongsi suara tentang harapan dan keyakinan kepimpinan luar biasa Yang Amat Berhormat Sulaman (Hajiji) serta hubungan baik beliau dengan Putrajaya, khususnya dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, memberi keyakinan kepada kita semua bahawa isu hak 40 peratus hasil negeri akan lebih mudah dileraikan.


"Apatah lagi, undang-undang telah memberikan petunjuk jelas sebagai jalan penyelesaian," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 Sabah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Kinabalu pada Isnin.


"Apabila tuntutan ini direalisasikan sepenuhnya, ia akan memberikan impak besar kepada kedudukan fiskal negeri dan seterusnya membolehkan lebih banyak peruntukan disalurkan kepada pembangunan rakyat, infrastruktur dan perkhidmatan awam," katanya.


Beliau berkata, pelaksanaan hak itu akan mengukuhkan kedudukan kewangan negeri secara signifikan, sekali gus membolehkan Sabah merancang pembangunan jangka panjang secara lebih mampan dan berkesan.


Dalam pada itu, Justin Wong Yung Bin (Warisan-Sri Tanjong) berkata, perjuangan mendapatkan semula hak 40 peratus hasil Sabah tidak boleh lagi dilihat daripada lensa persaingan politik, sebaliknya memerlukan pendekatan bersama yang lebih matang dan bersepadu.


Beliau menegaskan pentingnya pendekatan bipartisan untuk mempercepat penyelesaian isu berkenaan, memandangkan wakil rakyat kerajaan dan pembangkang sependapat bahawa agenda itu mesti diperjuangkan secara kolektif demi kepentingan negeri.


"Apabila melibatkan kepentingan Sabah, lebih-lebih lagi dengan mengambil kira impak besar yang bakal dibawa oleh perolehan 40 peratus ini kepada Sabah, saya berpandangan bahawa sudah tiba masanya kita menghapuskan mentaliti persaingan kepartian," katanya.


Justin berkata, keputusan pilihan raya negeri serta pola undi popular menunjukkan bahawa pemulihan hak-hak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan isu kepartian, sebaliknya tuntutan rakyat Sabah secara keseluruhan.


ADUN Sabah yakin isu tuntutan 40 peratus hasil negeri dapat diselesaikan dengan kerjasama Perdana Menteri dan Ketua Menteri. - Foto Bernama.