Isnin, 17 November 2025

Indonesia rancang hantar 500,000 pekerja migran ke luar negara

Indonesia rancang hantar 500,000 pekerja migran ke luar negara


Kerajaan Indonesia merancang untuk menghantar 500,000 pekerja migran ke luar negara pada tahun 2026, dengan 300,000 daripada mereka terdiri daripada graduan Sekolah Menengah Kejuruan (SMK).


Timbalan Menteri Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (P2MI), Christina Aryani menjelaskan, inisiatif ini merupakan salah satu program keutamaan yang diarahkan oleh Presiden Indonesia dan menekankan bahawa graduan SMK akan melalui latihan khusus sebelum dihantar bekerja di luar negara.


"Mereka yang telah menamatkan pengajian akan diberikan peningkatan kompetensi termasuk latihan teknikal dan bahasa supaya mereka bersedia berlepas sebaik tamat latihan," kata Christina selepas menghadiri mesyuarat antara kementerian dengan Menteri Koordinasi Pembangunan Manusia dan Kebudayaan (Menko PMK) di Jakarta Pusat.


Bagi baki 200,000 pekerja migran, Christina menjelaskan bahawa peluang ini terbuka kepada orang awam termasuk pelajar SMK yang masih menuntut.


Latihan khusus akan diberikan supaya pelajar dapat mempersiapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan untuk bekerja di luar negara selepas tamat pengajian.


"Baki 200,000 ini akan diambil daripada masyarakat umum dan pelajar yang sedang belajar di SMK. Mereka akan menerima pendidikan dan latihan khusus supaya apabila menamatkan pengajian, mereka sudah bersedia untuk berkhidmat di luar negara," jelas beliau.


Christina menegaskan bahawa sasaran 500,000 pekerja migran merupakan sasaran minimum yang ditetapkan oleh Presiden Indonesia.


Program ini juga diharap dapat meningkatkan kualiti tenaga kerja negara itu di peringkat antarabangsa dan menyediakan pengalaman profesional yang berharga kepada rakyat.


Kerajaan Indonesia menekankan bahawa latihan ini bukan sahaja merangkumi kemahiran teknikal tetapi juga penguasaan bahasa dan kebolehan menyesuaikan diri dengan budaya serta persekitaran kerja di negara penerima.


Usaha ini diambil sebagai langkah strategik untuk memperkukuh kedudukan pekerja Indonesia di pasaran global.


Christina Aryani. - Foto Agensi.

Ahad, 16 November 2025

Temui cinta baharu ketika isteri masih dibekukan tunggu untuk 'dihidupkan semula'

Temui cinta baharu ketika isteri masih dibekukan tunggu untuk 'dihidupkan semula'


Suami kepada wanita pertama di China yang dibekukan secara kriogenik akibat kanser paru-paru mencetuskan perdebatan moral selepas memulakan hubungan baharu ketika isterinya masih disimpan dalam keadaan beku, lapor South China Morning Post.


Gui Junmin, 57, membuat keputusan membekukan isterinya, Zhan Wenlian, pada 2017 selepas doktor memaklumkan bahawa hayat wanita itu hanya berbaki beberapa bulan dengan harapan penawar kanser dapat ditemukan pada masa depan.


Zhan, 48, menjadi individu pertama di China yang diawet secara kriogenik selepas Gui menandatangani perjanjian selama 30 tahun dengan Institut Penyelidikan Sains Hayat Shandong Yinfeng yang bekerjasama dengan Hospital Qilu Universiti Shandong.


Selepas dua tahun hidup bersendirian, Gui menyedari risiko hidup tanpa peneman apabila serangan gout pada 2020 menyebabkannya terlantar tidak bermaya selama dua hari sebelum pintu rumahnya terpaksa dipecahkan oleh saudara-mara.


Lelaki itu kemudian diperkenalkan kepada wanita yang kini menjadi pasangannya, Wang Chunxia yang bekerja sebagai ejen insurans menerusi seorang rakan sebelum hubungan mereka berkembang menjadi lebih serius.



Walaupun Wang menjaganya dengan penuh perhatian, Gui mengakui bahawa hubungan mereka lebih bersifat 'utilitarian' atau atas dasar keperluan kerana wanita itu belum dapat menggantikan tempat isterinya di dalam hati.


"Saya rasa bertanggungjawab terhadapnya tetapi dia tidak akan dapat menggantikan isteri saya. Saya tidak boleh melupakan masa lalu, namun perlu meneruskan hidup," katanya kepada media.


Terdapat perbezaan latar belakang yang ketara antara mereka apabila Gui stabil daripada segi kewangan dan bergaul dalam lingkungan dihormati manakala Wang berasal dari luar bandar serta pernah bekerja sebagai buruh kilang dan pelayan.


Walaupun menegaskan Zhan tidak boleh diganti, Gui mengakui dia kini bergantung kepada Wang untuk urusan harian terutamanya selepas menjalani pembedahan jantung yang menjejaskan pergerakannya.


Gui kini berdepan dilema sama ada perkahwinan dengan Wang akan dianggap sebagai bigami pada masa depan selain persoalan rumit mengenai pengurusan aset sekiranya Zhan berjaya dihidupkan semula.


Kisah itu mencetuskan kontroversi dalam talian apabila ada netizen menyifatkan tindakan itu sebagai 'poligami emosi' dan mengkritik Gui kerana bersikap mementingkan diri sendiri dalam perhubungan.


Gui bersama pasangan baharunya Wang (tengah). - Foto infzm.com.

Gambar kenangan Gui bersama isterinya, Zhan. - Foto infzm.com.
Isteri bunuh suami guna kapak bimbang skandal dengan adik ipar terbongkar

Isteri bunuh suami guna kapak bimbang skandal dengan adik ipar terbongkar


Seorang wanita di Maharashtra dan adik iparnya ditahan polis selepas mereka mengaku membunuh suaminya kerana bimbang hubungan sulit mereka terbongkar.


Mangsa, Parameshwar Ram Tayde dari kampung Somthana ditemui mati dalam guni yang dibuang ke kolam Wala-Somthana pada Khamis pagi, selepas orang awam melihat guni terapung di kolam tersebut.


Laporan polis dibuat oleh bapa mangsa, Ram Natha, sebelum polis menahan isteri mangsa, Manisha dan adik lelaki mangsa, Gyaneshwar.


Kedua-duanya pada awalnya cuba mengelak menjawab tetapi akhirnya mengaku membunuh Tayde selepas disoal siasat secara agresif oleh polis.


Menurut polis, Manisha dan Gyaneshwar menjalin hubungan sulit dan Tayde dianggap sebagai penghalang.


"Mereka merancang pembunuhan, kemudian memukul kepala dan muka Tayde dengan kapak sehingga maut.


"Selepas itu, mayat mangsa dimasukkan ke dalam guni, diikat dan dibuang ke kolam, dengan batu ditambah untuk mengelakkan mayat timbul," ujar polis.


Kes kini dalam siasatan lanjut, dan kedua-dua suspek direman untuk tindakan undang-undang selanjutnya.


Manisha (kiri) dan Gyaneshwar (kanan) mengaku membunuh Tayde (tengah). - Foto Agensi.


Sabtu, 15 November 2025

Satu lingkaran misteri berbentuk cincin hitam muncul di langit Disneyland

Satu lingkaran misteri berbentuk cincin hitam muncul di langit Disneyland


Satu lingkaran berbentuk cincin dan berwarna hitam muncul di langit sebuah taman tema terkenal di negeri California, lapor akhbar The Sun UK.


Lingkaran hitam itu dirakam di ruang udara Taman Tema Disneyland, bandar Anaheim, baru-baru ini.


Penemuan itu dirakam oleh seorang pengguna jalan raya bernama Lori Nayahalski sebelum dikongsi di media sosial.


"Lingkaran hitam ini tidak hilang. Saya juga tidak tahu tetapi ia adalah sesuatu," kata Nayahalski.


Rakaman video itu menjadi tular dan mengundang pelbagai teori konspirasi bahawa taman tema tersebut berada di bawah pencerobohan makhluk asing.


"Makhluk asing juga tahu di mana tempat paling bahagia dunia (Disneyland)," kata seorang netizen.


Satu lingkaran berbentuk cincin hitam muncul di langit Taman Tema Disneyland. - Foto Lori Nayahalski/KTLA5.

Jumaat, 14 November 2025

Datuk 61 tahun kahwin gadis 19 tahun, mas kahwin Honda HRV

Datuk 61 tahun kahwin gadis 19 tahun, mas kahwin Honda HRV


Seorang warga emas berusia 61 tahun mengundang perhatian orang ramai apabila mengahwini seorang gadis berumur 19 tahun dan memberikan mas kahwin berupa sebuah kereta, lapor portal berita Tribunnews.


Perbezaan usia kira-kira 42 tahun tidak menghalang pasangan dari Jepara, wilayah Jawa Tengah itu untuk mendirikan rumah tangga.


Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @pembasmi.kehaluan.reall menunjukkan pasangan tersebut bergambar di atas pelamin sambil memegang sijil pernikahan mereka.


Pengantin lelaki bernama Haji Duriyanto itu menyerahkan sebuah kereta jenis Honda HR-V kepada isterinya sebagai mas kahwin.


Klip video itu menjadi tular dan menimbulkan pelbagai reaksi.


"Definisi sebenar tidak memandang rupa dan usia kecuali harta," kata seorang netizen. 


"Itu pilihan hidup dia,” kata pengguna media sosial lain.


Tangkap layar video menunjukkan pasangan pengantin bergambar bersama sijil pernikahan mereka di atas pelamin. - Foto Instagram.
Inspektor Sheila buat tiga laporan polis berbeza di ibu negara

Inspektor Sheila buat tiga laporan polis berbeza di ibu negara


Pegawai polis digantung tugas, Inspektor Sheila Sharon Steven Kumar, 37, membuat tiga laporan polis berbeza di ibu negara, semalam.


Perkara itu disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus ketika diminta mengulas mengenai beberapa kejadian tular membabitkan wanita itu semalam.


Beliau berkata, laporan pertama yang dibuat pegawai itu kerana perasaan tidak puas hati terhadap tangkapan dijalankan ke atasnya mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan laporan ini dirujuk kepada laporan asal untuk semakan menurut prosedur siasatan.


Katanya, laporan kedua pula dibuat kerana wanita itu mendakwa anggota polis tidak menghormatinya sebagai pegawai kanan, namun hasil penelitian polis mengklasifikasikannya sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) dan dirujuk kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).


"Laporan ketiga membabitkan perselisihan faham antara wanita itu dengan seorang peniaga makanan yang tular di media sosial semalam namun diklasifikasikan sebagai tiada apa-apa kesalahan (NOD)," katanya dalam kenyataannya, hari ini.


Terdahulu, tular satu video klip berdurasi 43 saat memaparkan pertikaman lidah antara seorang wanita dan seorang peniaga kedai makan.


Inspektor Sheila, gambar fail. - Foto Bernama.

Khamis, 13 November 2025

7 penguat kuasa direman berkait program pemutihan pendatang asing

7 penguat kuasa direman berkait program pemutihan pendatang asing


Tujuh pegawai agensi penguat kuasa ditahan reman kerana disyaki terlibat rasuah bagi mempercepat proses permohonan program pemutihan pendatang asing menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).


Perintah reman selama tiga hari bermula hari ini (Khamis sehingga Sabtu) telah dikeluarkan Majistret Izra Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.


Menurut sumber, kesemua suspek melibatkan empat lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 30 hingga 50-an telah ditahan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang menerusi Op Bleach yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM semalam.


"Kesemua suspek dipercayai menerima rasuah sebagai balasan bagi mempercepat permohonan pendatang asing yang berada di negara ini sebagai pekerja asing sah menerusi program RTK.


"Op Bleach ini adalah operasi susulan yang dijalankan SPRM berkait sindiket Counter Setting menerusi Op Rentas dan Op Dygo yang dijalankan baru-baru ini," katanya.


Sumber berkata, susulan tangkapan itu, SPRM turut menyita wang tunai lebih RM116,000, 14 unit peranti telekomunikasi, barang kemas serta kepingan emas, tiga unit kereta serta dua unit motosikal.


Semalam, SPRM telah menahan 11 individu bagaimanapun empat daripadanya telah dilepaskan dengan jaminan SPRM.


Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.


Antara individu yang ditahan reman selepas disyaki terlibat rasuah bagi mempercepat proses permohonan program pemutihan pendatang asing menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK). - Foto Sinar Harian.
Penduduk tangkap 'pocong' muncul tiba-tiba di majlis kesyukuran

Penduduk tangkap 'pocong' muncul tiba-tiba di majlis kesyukuran

 

Penduduk sebuah perkampungan di rantau Pati, wilayah Jawa Tengah hampir menangkap entiti didakwa pocong yang muncul secara tiba-tiba di sebuah majlis kesyukuran, lapor laman berita Detik.


Majlis kesyukuran itu berlangsung di Desa Mojo pada Ahad lalu.


Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @detikcom menunjukkan beberapa lelaki memegang kain kafan dipercayai milik makhluk halus tersebut di hadapan orang ramai.


Ketua Polis Daerah Cluwak, AKP Tejo Pramono tampil menjelaskan bahawa pelaku yang menyamar sebagai pocong itu sengaja menakut-nakutkan penduduk semasa acara berlangsung.


"Pelaku itu hampir ditangkap, namun dia kemudian melarikan diri. Penduduk sempat merampas telekung yang dipakai oleh pelaku lalu dibakar.


"Pelaku masih berkeliaran. Pemilik rumah bagaimanapun tidak mengalami sebarang kehilangan harta benda," kata Tejo.


Tangkap layar video menunjukkan penduduk memegang kain berwarna putih dipercayai milik pocong. - Foto TikTok.

Rabu, 12 November 2025

Presiden FIFA, Gianni Infantino Didakwa Langgar Artikel 15 Kod Etika

Presiden FIFA, Gianni Infantino Didakwa Langgar Artikel 15 Kod Etika

 

Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino berdepan tuduhan melanggar peraturan badan induk bola sepak dunia itu berhubung prinsip neutral politik susulan kenyataannya dalam satu majlis awam baru-baru ini.


Tuduhan berkenaan dibuat oleh bekas Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Urus FIFA, Miguel Maduro yang mendakwa Infantino secara terbuka menyokong seorang tokoh politik, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap tahap ketelusan dan keadilan organisasi itu.


Ketika berucap pada forum 'America Business Forum' di Miami, Infantino dilaporkan memuji agenda politik Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.


Infantino turut dipetik berkata, program Trump 'nampak cukup baik' selain menggesa orang ramai supaya menyokong apa yang sedang beliau lakukan.


Kenyataan itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan pemerhati sukan antarabangsa mengenai sejauh mana FIFA benar-benar mematuhi kod etika yang ditetapkannya sendiri.


Maduro dalam reaksi balasnya menegaskan kenyataan Infantino jelas bertentangan dengan Artikel 15 Kod Etika FIFA yang menetapkan bahawa pegawai dan organisasi FIFA perlu mengekalkan neutraliti sepenuhnya dalam hal ehwal politik.


Beliau menambah, sokongan terbuka terhadap mana-mana tokoh politik adalah pelanggaran prinsip asas yang selama ini menjadi tunjang kepada reputasi FIFA sebagai badan sukan global yang bebas daripada pengaruh politik.


Insiden ini sekali lagi membuka perbincangan tentang batasan neutraliti politik dalam pentadbiran sukan antarabangsa, khususnya memandangkan pengaruh dan kedudukan FIFA yang begitu besar di peringkat dunia.


Setakat ini, FIFA masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut atau menjelaskan pendirian Infantino selepas majlis berkenaan.

Lelaki cemas dikejar beruang gergasi, kereta kena cakar bonet kemik

Lelaki cemas dikejar beruang gergasi, kereta kena cakar bonet kemik


Seorang pekerja ladang kuda di Jepun berdepan detik cemas apabila diserang seekor beruang gergasi ketika cuba mengundurkan keretanya untuk melarikan diri, lapor akhbar The Sun UK.


Kejadian berlaku di Ladang Kuwata yang terletak di Pulau Hokkaido, Khamis lalu.


Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan beruang itu meluru laju ke arah kereta yang dipandu pekerja terbabit sebelum menyerang menggunakan kedua-dua cakarnya sehingga mencetuskan bunyi dentuman kuat.


Serangan itu meninggalkan kesan kemik dan calar pada bonet kereta.


Ladang Kuwata kemudian memuat naik beberapa imej yang memaparkan kesan cakar dalam pada permukaan logam.


Pemilik ladang berkata, beruang itu muncul ketika pekerja tersebut sedang membuat rondaan untuk memberi makan kepada haiwan ternakan.


"Tiada kerosakan lain selain apa yang dilihat dalam klip video dan pekerja kami selamat. Sila berhati-hati jika anda tinggal berdekatan dengan ladang atau melalui kawasan itu," tambahnya.


Tangkap layar video menunjukkan beruang itu mengejar seorang pekerja yang cuba melarikan diri. - Foto Newsflash.