Khamis, 17 September 2026

Kes saman fitnah: Papagomo kekal diperintah bayar RM280,000 kepada Guan Eng, anak

Kes saman fitnah: Papagomo kekal diperintah bayar RM280,000 kepada Guan Eng, anak


Pempengaruh, Papagomo kekal diperintah membayar ganti rugi RM280,000 kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan anak lelakinya, Clint Lim Way Chau dalam kes saman fitnah berkaitan dakwaan membawa masuk RM2 juta ke Singapura tanpa pengisytiharan pada 2020.


Hakim, Roslan Mat Nor menolak permohonan Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris, 43, untuk menggantung pelaksanaan penghakiman yang memerintahkannya membayar ganti rugi kepada dua beranak itu selaku plaintif.


Ketika ditemui di luar mahkamah, peguam, Simon Murali yang mewakili Guan Eng, 66, dan Clint, 33, berkata keputusan itu dibuat selepas hakim mempertimbangkan asas dalam afidavit yang dikemukakan kedua-dua pihak.


"Mahkamah mendapati bahawa defendan tidak dapat menunjukkan keadaan istimewa bagi mahkamah ini menggunakan budi bicara untuk mempertimbangkan menangguhkan pelaksanaan perintah yang sudah diberikan pada 19 Mei lalu.


"Berikutan itu, hakim memberitahu permohonan pihak defendan ditolak dengan kos RM5,000,” katanya.


Simon berkata, mahkamah turut mendapati alasan bahawa Wan Muhammad Azri mungkin berdepan tindakan pelaksanaan, termasuk prosiding kebankrapan sekiranya penangguhan tidak diberikan, bukan asas yang mencukupi.


Katanya, defendan turut berhujah bahawa plaintif tidak berupaya mengembalikan ganti rugi sekiranya pempengaruh itu berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan.


"Bagaimanapun, mahkamah memutuskan tiada sebarang keterangan dalam afidavit yang menunjukkan fakta-fakta tersebut bagi membantu mahkamah untuk mempertimbangkannya," kata peguam.


Dalam prosiding itu, kedua-dua plaintif dan defendan tidak hadir di mahkamah, sebaliknya diwakili peguam masing-masing. Wan Muhammad Azri diwakili peguam, Fazilah Jaafar.


Pada 19 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar ganti rugi RM200,000 kepada Guan Eng, manakala Clint menerima RM80,000 selepas membenarkan saman fitnah yang difailkan plaintif.


Saman berkenaan difailkan pada 19 April 2020, susulan dakwaan Wan Muhammad Azri menerusi Facebook menggunakan nama 'Papa Azri' bahawa Clint ditahan di Lapangan Terbang Changi, Singapura pada 29 Februari 2020 kerana membawa wang tunai berjumlah RM2 juta.


Guan Eng turut mendakwa hantaran itu memberi gambaran bahawa beliau pergi ke Singapura pada tarikh berkenaan selepas anaknya ditahan di lapangan terbang tersebut.


Kes itu asalnya difailkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 19 April 2020 sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Mac 2021.


Pesuruhjaya Kehakiman, mendiang Eddie Yeo Soon Chye yang mendengar perbicaraan kes berkenaan pada 2024 meninggal dunia pada Februari tahun lalu.


Kes itu kemudiannya dikendalikan Roslan, dengan kedua-dua pihak bersetuju hakim baharu membuat keputusan berdasarkan nota prosiding sedia ada.

Kedai emas dirompak empat lelaki di Sungai Petani, kerugian cecah RM1 juta

Kedai emas dirompak empat lelaki di Sungai Petani, kerugian cecah RM1 juta


Sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di Sungai Petani mengalami kerugian kira-kira RM1 juta akibat dirompak empat lelaki, dalam kejadian lebih kurang 7.20 malam Rabu.


Suspek yang memakai topi keledar disyaki melarikan barang kemas setelah memecahkan tiga kotak pameran kaca menggunakan tukul dan objek tajam.


Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, berdasarkan siasatan, suspek disyaki berhenti di hadapan pasar raya, sebelum dua lelaki masuk ke dalam premis dan dua lagi menunggu di motosikal dengan jarak hanya sekitar 20 meter.


"Pada jam lebih kurang 7.20 malam, kita terima panggilan pertama daripada orang awam mengatakan ada insiden rompakan di sebuah kedai emas dalam bangunan pasar raya ini.


"Kita percaya suspek menaiki dua motosikal... nilai kerugian masih dalam siasatan awal, tetapi anggaran pemilik antara RM700,000 hingga RM1 juta," katanya kepada media.



Mengulas tindakan orang awam mengejar suspek sehingga timbul dakwaan sebahagian barang kemas dipulangkan, beliau merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat.


"Kita terima maklumat ada orang awam cuba membantu selepas kejadian, dalam masa sama, beberapa barang kemas telah dijumpai dan dikembalikan kepada pihak polis selepas kejadian.


"Namun harus diingatkan perlu berhati-hati kerana khuatir mereka ini mungkin mempunyai senjata yang lebih bahaya daripada yang digunakan," jelasnya.


Menurut Hanyan, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan.


"Kita melihat apa saja maklumat yang mereka boleh membantu kita, walaupun mereka bertopeng, daripada paras rupa, bentuk badan, perbualan, ataupun maklumat-maklumat yang lebih awal daripada sebelum kejadian, mungkin yang mereka nak salurkan, boleh terus hubungi," katanya.


Difahamkan, dua pekerja wanita yang berada dalam premis kedai emas sempat menekan penggera keselamatan sebelum kejadian disedari orang awam yang berada di pasar raya terbabit.


Hanyan berkata, berdasarkan maklumat, premis berkenaan pernah dirompak dua tahun lalu dengan nilai kerugian lebih kurang sama direkodkan.


Premis berkenaan dikatakan tidak dibekalkan pengawal keselamatan semasa kejadian. Jelas beliau, tiada sebarang kecederaan dilaporkan semasa kejadian, setakat ini.


Beliau berkata, rakaman kamera litar tertutup yang terdapat di pasar raya berkenaan akan diteliti bagi membantu siasatan.


Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan berkumpulan bersenjata yang membawa hukuman penjara maksimum hingga 20 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

JAIM buru lelaki dikaitkan kegiatan pemujaan di Pulau Besar

JAIM buru lelaki dikaitkan kegiatan pemujaan di Pulau Besar


Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) masih mengesan lelaki yang dikaitkan dengan kegiatan pemujaan di Pulau Besar, Melaka dan siasatan berhubung perkara itu masih dijalankan.


EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, Bahagian Penguatkuasaan JAIM sudah beberapa kali melakukan pemantauan berkala di Pulau Besar selepas menerima aduan.


"JAIM sentiasa melakukan pemantauan dan baru-baru ini pasukan penguat kuasa turut melakukan pemeriksaan di pulau itu, namun lelaki berkenaan tidak ditemui.


"Hasil maklumat yang diterima mendapati lelaki terbabit sudah tiada di situ sejak minggu lalu," katanya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, JAIM turut bekerjasama dengan polis dan nelayan bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung lelaki berkenaan.


Menurutnya, siasatan turut dijalankan susulan video yang dimuat naik di TikTok memaparkan perdebatan antara lelaki berkenaan dengan seorang imam Surau Pulau Besar yang mengajaknya menunaikan solat Asar secara berjemaah.


Katanya, turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan kegiatan berkaitan khurafat dan syirik, termasuk amalan yang mendakwa mampu memberikan kekayaan atau manfaat tertentu melalui tangkal dan ritual.


"Masyarakat diingatkan supaya mendapatkan rawatan dan bimbingan agama daripada pihak yang diiktiraf serta tidak terpengaruh dengan amalan yang bercanggah dengan ajaran Islam.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 69 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 berkaitan kesalahan pemujaan," katanya.


Difahamkan semakan yang dilakukan JAIM mendapati lelaki berusia 44 tahun itu memeluk Islam pada 29 Jun 1994 dan pendaftarannya direkodkan pada 21 Januari 2025 di Kuala Lumpur.


Sumber berkata, berdasarkan siasatan awal, bayaran bagi 'tangkal kaya' yang dikenakan lelaki berkenaan bergantung kepada jenis atau tahap yang diminta pelanggannya, selain untuk mencari jodoh atau membuang sial.


"Ada mangsa yang mendakwa dikenakan bayaran sehingga lebih RM100 ketika bertemu dengannya berhampiran surau di Pulau Besar," katanya.


Sebelum ini, media melaporkan mengenai seorang lelaki yang dikaitkan dengan kegiatan berkenaan di Pulau Besar, termasuk dakwaan menawarkan 'tangkal kaya' kepada individu tertentu.

Rabu, 16 September 2026

Janda beri alasan bantu masak, kemas rumah selepas dicekup khalwat dengan lelaki bujang

Janda beri alasan bantu masak, kemas rumah selepas dicekup khalwat dengan lelaki bujang

(Gambar Ilustrasi)

Seorang wanita berstatus janda ditahan khalwat bersama seorang lelaki bujang di sebuah pangsapuri di Johor Bahru pada 1.50 pagi, Ahad.


Pasangan berusia lingkungan 30-an dan 40-an itu ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas menerima aduan awam.


JAINJ dalam kenyataan memberitahu, pemeriksaan dijalankan penguat kuasa mendapati pintu utama dan jeriji rumah berkunci sebelum seorang lelaki membuka pintu selepas loceng ditekan beberapa kali.


"Pasangan ini mengaku mereka bukan suami isteri dan bukan juga adik-beradik atau mahram.


"Lelaki terbabit masih bujang dan bekerja di Johor Bahru, manakala wanita itu berusia lingkungan 40-an, berstatus janda anak satu dan turut bekerja di kawasan sama," katanya.


Menurut JAINJ, rumah tiga bilik berkenaan disewa lelaki terbabit yang mendakwa tinggal seorang diri, manakala wanita itu dikatakan kerap datang ke rumah berkenaan pada waktu malam.


"Wanita itu memberi alasan datang untuk membantu memasak dan mengemas rumah. Hasil pemeriksaan mendapati terdapat makanan di dapur dan rumah juga berada dalam keadaan kemas.


"Bagaimanapun, berdasarkan aduan diterima, wanita berkenaan dikatakan beberapa kali datang pada waktu malam dan keluar sekitar jam 6 pagi keesokan harinya.


"Pasangan ini turut merayu supaya tidak ditahan dengan alasan mereka tidak melakukan sebarang maksiat," katanya.


Bagaimanapun, penguat kuasa menjelaskan bahawa perbuatan berkurung atau berada bersama bukan mahram dalam keadaan sedemikian boleh menjadi kesalahan khalwat mengikut peruntukan undang-undang syariah Johor.

Polis buru suspek curi kabel TM Tech RM15,000 di Jalan Jelatek

Polis buru suspek curi kabel TM Tech RM15,000 di Jalan Jelatek


Polis mengesan beberapa individu dipercayai terlibat dalam kes cubaan mencuri kabel milik TM Tech Sdn Bhd di Jalan Jelatek, Dato Keramat, Ampang Jaya, semalam.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima laporan daripada pekerja syarikat itu pada pukul 4.30 petang selepas menerima rakaman video kejadian yang tular di media sosial.


Katanya, rakaman video itu memaparkan beberapa individu menggunakan kenderaan pacuan empat roda berwarna putih dan Toyota Harrier sedang menarik kabel milik syarikat berkenaan.


"Pihak syarikat menganggarkan kerugian akibat kejadian itu adalah sebanyak RM15,000. Usaha mengesan individu terbabit dan kenderaan yang digunakan dalam kejadian itu sedang dilakukan," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 379, Seksyen 431A dan Seksyen 124K Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Terdahulu, media melaporkan sekumpulan individu dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel berhampiran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Jelatek awal pagi tadi.


Menerusi video tular di Threads, ia memaparkan sekumpulan individu bersama dua buah kenderaan serta sebuah motosikal selain ada yang memakai topeng muka bagi mengelak dikenal pasti identiti mereka.


Tangkap layar video yang dikongsikan di Threads berhubung kejadian dipercayai kegiatan mencuri kabel di LRT Jelatek, semalam.
Mekanik didakwa culik isteri orang di Balai Polis Malim

Mekanik didakwa culik isteri orang di Balai Polis Malim


Mekanik didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, semalam atas pertuduhan menculik seorang wanita yang juga isteri orang di Balai Polis Malim, awal bulan ini.


Tertuduh, Lim Jun Wei, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menculik wanita berusia 33 tahun daripada jagaan sah suaminya, Azam Mamat ketika mangsa berada di dalam sebuah kereta.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di Balai Polis Malim, jam 1.30 tengah hari, 1 September lalu. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda.


Dipercayai ketika kejadian, wanita terbabit berada di dalam sebuah kereta dan menunggu suaminya yang sedang membuat laporan polis berkaitan kes lain di balai berkenaan.


Tertuduh kemudian dipercayai masuk ke dalam kereta berkenaan sebelum memandu keluar dari kawasan balai polis.


Wanita itu dikatakan menjerit meminta pertolongan sebelum kenderaan terbabit berhenti di lampu isyarat, yang membolehkan orang awam datang membantu dan menyelamatkannya.


Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Syauqi Mardia Baharudin mencadangkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin, manakala tertuduh diwakili peguam LK Teoh.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 22 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Mayat pemancing hilang ditemukan dalam keadaan memakai jaket keselamatan disahkan Mohd Sharil

Mayat pemancing hilang ditemukan dalam keadaan memakai jaket keselamatan disahkan Mohd Sharil


Polis mengesahkan mayat lelaki ditemui terapung di perairan Hutan Melintang, Perak pada Rabu merupakan salah seorang daripada tiga individu yang dilaporkan hilang selepas keluar memancing di perairan One Fathom Bank, Isnin lalu.


Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, mayat berkenaan dikenal pasti sebagai Mohd Sharil Abd Rahman, 43, selepas proses pengecaman dilakukan waris.


Menurutnya, mayat mangsa ditemui kira-kira jam 8.30 pagi selepas pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menerima maklumat daripada nelayan mengenai penemuan mayat lelaki terapung di perairan berkenaan.


"Hasil pengecaman oleh waris mengesahkan mayat tersebut adalah Mohd Sharil salah seorang daripada tiga mangsa yang masih hilang," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Media sebelum ini melaporkan bot dinaiki tujuh pemancing termasuk tekong yang dilaporkan hilang di perairan One Fathom Bank pada Ahad dipercayai terbalik selepas dilambung ombak setinggi kira-kira empat meter.


Empat daripada tujuh pemancing termasuk tekong yang dilaporkan hilang kemudian ditemukan selamat pada Selasa.


Mereka dikenal pasti sebagai Mohd Shairazi Abdul Aziz, 43, Mohd Rizal Mohamad Sadali, 45, Muhd Hamiszar Punirain, 45, dan tekong bot, Zulfikalnain Awang, 47.


Dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala dua lagi dibawa ke Hospital Banting bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.


Bagaimanapun, dua lagi mangsa masih belum ditemukan iaitu Muhamad Ridzuan Ruhaizat, 37 dan Raja Mohd Rozi Raja Mohamad, 49.


Ramsay berkata, mayat mangsa akan dibawa ke Hospital Shah Alam bagi tindakan lanjut. Ujar beliau, operasi SAR bagi mengesan dua lagi mangsa masih diteruskan secara bersepadu.


"Operasi ini membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), APMM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta agensi berkaitan.


"Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

‘Tolong jangan tangkap saya, esok nak bawa isteri, anak jalan-jalan’

‘Tolong jangan tangkap saya, esok nak bawa isteri, anak jalan-jalan’


"Tolonglah jangan tangkap saya, esok saya dah janji dengan isteri dan anak-anak nak keluar jalan-jalan. Saya janji selepas ini saya akan berubah, saya dah insaf."


Demikian rayu seorang pemandu lori simen berusia 43 tahun yang ditahan selepas ujian saringan air kencingnya didapati positif dadah dalam Ops Khas Bersepadu Dadah Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Jitra arah selatan, malam tadi.


Menurut bapa kepada tiga anak itu, dia dalam perjalanan menghantar serbuk simen dari Perlis ke Perak sebelum ditahan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di plaza tol tersebut.


"Saya ambil dadah bila badan rasa letih sangat, nak bagi bertenaga. Saya mengaku saya tersilap, saya tak akan buat dah. Isteri saya mesti marah sebab dia tak tahu saya ambil (dadah). Esok pula saya dah janji nak bawa isteri dan anak-anak mandi kolam dan jalan-jalan di Pulau Pinang, tolonglah encik jangan tangkap saya," rayunya lagi kepada pihak AADK dan JPJ.


Lelaki yang tinggal di Pendang itu mengakui telah mengambil dadah jenis methamphetamine sejak kira-kira 15 tahun lalu ketika bekerja sebagai buruh kontrak dan pernah ditangkap sebelum ini.


"Saya cuba berhenti dan pernah tahan ketagihan sehingga dua minggu, memang boleh tahan tetapi tiga hari pertama itu badan jadi lemah dan lambat pick up," dakwanya.


Sementara itu, Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, pemandu yang didapati positif dalam saringan dadah dan dikenakan tindakan oleh AADK turut berdepan tindakan pentadbiran JPJ mengikut peruntukan yang sedang berkuat kuasa.


"Antara tindakan yang akan diambil adalah Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Vokasional akan ditahan sehingga siasatan serta tindakan oleh pihak AADK selesai.


"Lesen Vokasional juga akan digantung selama tempoh tiga bulan, tertakluk kepada peruntukan dan ketetapan yang berkuat kuasa. Tindakan ini membuktikan bahawa JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemandu kenderaan perdagangan yang mengambil risiko memandu selepas mengambil atau menyalahgunakan dadah," katanya.


Tambahnya, dalam operasi bersepadu itu yang antaranya turut melibatkan polis, pihak konsesi lebuh raya, dan Jabatan Alam Sekitar, sebanyak 123 pemandu kenderaan telah diperiksa sejak 1 Julai lalu dengan enam daripadanya dikenakan tindakan, termasuk penggantungan Lesen Kenderaan Barangan (GDL).


"Kita ingin menyeru kepada semua pemandu kenderaan perdagangan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain. Jangan sesekali memandu sekiranya berada di bawah pengaruh dadah, alkohol atau sebarang bahan yang boleh menjejaskan keupayaan untuk mengawal kenderaan.


"Kenderaan perdagangan adalah kenderaan berat dan besar. Kesilapan kecil boleh membawa kepada akibat yang besar, termasuk kehilangan nyawa," katanya.

Wanita didakwa simbah sebaldi najis manusia ke arah jiran kerana cemburu

Wanita didakwa simbah sebaldi najis manusia ke arah jiran kerana cemburu

 

Hanya kerana cemburu, seorang wanita didakwa sanggup membawa baldi berisi najis manusia sebelum menyimbah kandungannya ke arah jirannya, lapor Benin Web TV.


Suspek, Yirsi Esperanza Machado Rivera, 50, ditahan selepas kejadian pada 7 September dan berdepan pertuduhan menceroboh kediaman berpenghuni serta mendatangkan kecederaan.


Berdasarkan laporan penahanan yang dipetik NBC Miami dan People, kedua-dua wanita berkenaan tinggal di unit bersebelahan dalam treler rumah di Royal Country Mobile Homes, bahagian barat laut Miami-Dade County.


Machado Rivera didakwa mengetuk pintu rumah jirannya sebelum menuduh mangsa mempunyai hubungan sulit dengan suaminya.


Suspek kemudian didakwa menceroboh masuk ke kediaman berkenaan tanpa kebenaran sebelum menolak penghuni terbabit.


Penyiasat mendakwa Machado Rivera selepas itu menyimbah kandungan baldi berkenaan ke arah mangsa. Seorang saksi dilaporkan memberitahu polis bahawa suspek menyatakan dia menyediakan bekas itu untuk menyimbah kandungannya ke muka mangsa.


Bagaimanapun, Machado Rivera menafikan dakwaan berkenaan ketika disoal siasat dengan mendakwa menggunakan baldi itu kerana tandas rumahnya rosak dan cuba membuang kandungannya selepas menerima aduan mengenai bau busuk.


Suspek turut menafikan menceroboh rumah jirannya atau menyimbah kandungan baldi itu ke arah mangsa selain mendakwa kepalanya dipukul menggunakan kayu pemukul ketika pertengkaran berlaku.


Machado Rivera dihadapkan ke hadapan Hakim Mindy Glazer pada 8 September sebelum majistret memerintahkan dia ditahan tanpa jamin serta melarang sebarang hubungan dengan pengadu.


Machado Rivera masih berada dalam tahanan sehingga 13 September di Pusat Tahanan Turner Guilford Knight, menurut rekod dalam talian yang disemak People.


Semua dakwaan terhadapnya masih berupa pertuduhan dan tidak membuktikan kesalahannya, manakala suspek dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Muhyiddin Yassin lepas, bebas 4 pertuduhan babit RM200 juta

Muhyiddin Yassin lepas, bebas 4 pertuduhan babit RM200 juta


Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilepas dan dibebaskan (DNA) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam daripada satu pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM200 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.


Hakim Noor Ruwena Md Nurdin, memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pembelaan supaya empat daripada tujuh kes dihadapi Muhyiddin diberi perintah DNA.


Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib memaklumkan kepada mahkamah, pendakwaan memohon tertuduh dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dan tidak meneruskan empat tuduhan itu, dengan menggunapakai peruntukkan Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).


Dalam keputusannya, Noor Ruwena berkata, mahkamah membuat keputusan (DNA) itu selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak dan undang-undang yang dikemukakan mengikut Seksyen 254(1) KTJ.


Katanya, ia memperuntukkan, pada mana-mana peringkat perbicaraan sebelum penghakiman disampaikan, pendakwa raya boleh memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya tidak akan meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh bagi sesuatu pertuduhan.


"Pendakwaan tidak memberikan sebarang alasan bagi permohonan berkenaan, selain menyatakan pihaknya tidak mahu meneruskan pertuduhan dan menyerahkan perkara ini kepada budi bicara mahkamah.


"Justeru, saya berpandangan demi kepentingan keadilan, budi bicara mahkamah hendaklah dilaksanakan memihak kepada tertuduh.


"Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan berkenaan," katanya.


Bagaimanapun, Noor Ruwena berkata, keputusan itu hanya terpakai terhadap empat pertuduhan sahaja dan tidak membabitkan tiga pertuduhan lain yang berkaitan dengan kes Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).


Sebaik hakim memutuskan demikian, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh yang berada di kandang tertuduh, kelihatan lega, disambut sorakan daripada penyokongnya yang berada di galeri awam.


Muhyiddin, 79, masih berdepan tiga pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM25.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat, iaitu Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta Azman, berkaitan Projek Jana Wibawa.


Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.


Ia memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Terdahulu, Ahmad Akram memaklumkan kepada mahkamah, selepas pihaknya meneliti keseluruhan kedudukan kes, memutuskan untuk tidak meneruskan pertuduhan pertama berkait menggunakan kedudukan untuk suapan dan tiga pertuduhan penggubahan wang haram ke atas tertuduh yang berkaitan dengan Bukhary Equity Sdn Bhd.


"Dengan itu, pendakwaan dengan hormat memohon supaya tertuduh (Muhyiddin) diberikan perintah pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) bagi pertuduhan berkenaan selaras dengan peruntukan Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.


"Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan, permohonan pendakwaan pada hari ini adalah terhad kepada pertuduhan ini sahaja dan tidak membabitkan pertuduhan lain yang masih dihadapi oleh tertuduh," katanya.


Bagaimanapun, peguam Muhyiddin, Datuk Hisyam Teh Poh Teik membantah permohonan pendakwaan dan memohon anak guamnya diberikan pembebasan kekal.


"Permohonan itu (pendakwaan) dibuat kerana perbicaraan kini hampir selesai dan pihak pendakwaan tidak mengemukakan walau satu bukti pun berhubung empat pertuduhan berkenaan.


"Berdasarkan senarai saksi yang dikemukakan kepada mahkamah, nama Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Bukhary Equity tidak disenaraikan sebagai saksi, sedangkan kedua-duanya dikatakan menjadi saksi utama bagi empat pertuduhan terbabit," katanya.


Hisyam berkata, tiada alasan kukuh dikemukakan pihak pendakwaan mengapa Muhyiddin perlu diberikan DNAA, sedangkan undang-undang menetapkan ia perlu diberikan sebelum mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk tidak memberikan pembebasan.