Pempengaruh, Papagomo kekal diperintah membayar ganti rugi RM280,000 kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan anak lelakinya, Clint Lim Way Chau dalam kes saman fitnah berkaitan dakwaan membawa masuk RM2 juta ke Singapura tanpa pengisytiharan pada 2020.
Hakim, Roslan Mat Nor menolak permohonan Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris, 43, untuk menggantung pelaksanaan penghakiman yang memerintahkannya membayar ganti rugi kepada dua beranak itu selaku plaintif.
Ketika ditemui di luar mahkamah, peguam, Simon Murali yang mewakili Guan Eng, 66, dan Clint, 33, berkata keputusan itu dibuat selepas hakim mempertimbangkan asas dalam afidavit yang dikemukakan kedua-dua pihak.
"Mahkamah mendapati bahawa defendan tidak dapat menunjukkan keadaan istimewa bagi mahkamah ini menggunakan budi bicara untuk mempertimbangkan menangguhkan pelaksanaan perintah yang sudah diberikan pada 19 Mei lalu.
"Berikutan itu, hakim memberitahu permohonan pihak defendan ditolak dengan kos RM5,000,” katanya.
Simon berkata, mahkamah turut mendapati alasan bahawa Wan Muhammad Azri mungkin berdepan tindakan pelaksanaan, termasuk prosiding kebankrapan sekiranya penangguhan tidak diberikan, bukan asas yang mencukupi.
Katanya, defendan turut berhujah bahawa plaintif tidak berupaya mengembalikan ganti rugi sekiranya pempengaruh itu berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan.
"Bagaimanapun, mahkamah memutuskan tiada sebarang keterangan dalam afidavit yang menunjukkan fakta-fakta tersebut bagi membantu mahkamah untuk mempertimbangkannya," kata peguam.
Dalam prosiding itu, kedua-dua plaintif dan defendan tidak hadir di mahkamah, sebaliknya diwakili peguam masing-masing. Wan Muhammad Azri diwakili peguam, Fazilah Jaafar.
Pada 19 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar ganti rugi RM200,000 kepada Guan Eng, manakala Clint menerima RM80,000 selepas membenarkan saman fitnah yang difailkan plaintif.
Saman berkenaan difailkan pada 19 April 2020, susulan dakwaan Wan Muhammad Azri menerusi Facebook menggunakan nama 'Papa Azri' bahawa Clint ditahan di Lapangan Terbang Changi, Singapura pada 29 Februari 2020 kerana membawa wang tunai berjumlah RM2 juta.
Guan Eng turut mendakwa hantaran itu memberi gambaran bahawa beliau pergi ke Singapura pada tarikh berkenaan selepas anaknya ditahan di lapangan terbang tersebut.
Kes itu asalnya difailkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 19 April 2020 sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Mac 2021.
Pesuruhjaya Kehakiman, mendiang Eddie Yeo Soon Chye yang mendengar perbicaraan kes berkenaan pada 2024 meninggal dunia pada Februari tahun lalu.
Kes itu kemudiannya dikendalikan Roslan, dengan kedua-dua pihak bersetuju hakim baharu membuat keputusan berdasarkan nota prosiding sedia ada.

EmoticonEmoticon