Rabu, 16 September 2026

Polis buru suspek curi kabel TM Tech RM15,000 di Jalan Jelatek


Polis mengesan beberapa individu dipercayai terlibat dalam kes cubaan mencuri kabel milik TM Tech Sdn Bhd di Jalan Jelatek, Dato Keramat, Ampang Jaya, semalam.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima laporan daripada pekerja syarikat itu pada pukul 4.30 petang selepas menerima rakaman video kejadian yang tular di media sosial.


Katanya, rakaman video itu memaparkan beberapa individu menggunakan kenderaan pacuan empat roda berwarna putih dan Toyota Harrier sedang menarik kabel milik syarikat berkenaan.


"Pihak syarikat menganggarkan kerugian akibat kejadian itu adalah sebanyak RM15,000. Usaha mengesan individu terbabit dan kenderaan yang digunakan dalam kejadian itu sedang dilakukan," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 379, Seksyen 431A dan Seksyen 124K Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Terdahulu, media melaporkan sekumpulan individu dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel berhampiran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Jelatek awal pagi tadi.


Menerusi video tular di Threads, ia memaparkan sekumpulan individu bersama dua buah kenderaan serta sebuah motosikal selain ada yang memakai topeng muka bagi mengelak dikenal pasti identiti mereka.


Tangkap layar video yang dikongsikan di Threads berhubung kejadian dipercayai kegiatan mencuri kabel di LRT Jelatek, semalam.


EmoticonEmoticon