Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki merogol seorang remaja perempuan bawah umur yang dilaporkan hilang dari rumah sebelum ditemui semula di Bandar Fajar, Tawau kelmarin.
Suspek berusia lingkungan 18 tahun itu ditahan dalam operasi sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di kawasan tempat letak kereta sebuah masjid di Batu 2, Jalan Apas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, siasatan dijalankan selepas bapa mangsa membuat laporan polis memaklumkan anak perempuannya yang tidak pulang ke rumah sudah ditemui di kawasan Fajar dekat pusat bandar.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa mengaku tinggal bersama suspek di sebuah bilik sewa di Jalan Haji Karim, Bandar Fajar dan mendakwa berlaku persetubuhan antara mereka.
"Susulan maklumat itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau melancarkan operasi bagi mengesan suspek sebelum berjaya menahannya di Batu 2, Jalan Apas," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati suspek ialah warga asing yang berada di negara ini tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah.
"Hasil semakan turut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana disyaki merogol serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah," katanya.













