Khamis, 23 Julai 2026

Kes lelaki ditumbuk pengiring VVIP: Pemandu e-hailing OKU saman polis, kerajaan

Kes lelaki ditumbuk pengiring VVIP: Pemandu e-hailing OKU saman polis, kerajaan


Seorang pemandu e-hailing kurang upaya (OKU) pendengaran yang mendakwa ditumbuk pengiring keselamatan seorang kenamaan (VVIP) berhampiran sebuah hotel lima bintang di ibu negara, memfailkan saman sivil berhubung insiden itu, selain pengendalian tidak wajar terhadap laporan polis dibuatnya.


Ong Ing Keong memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi pada 10 Julai lalu dengan menamakan Lans Koperal Muhammad Taufik Ismail, Inspektor Che W Hashimi Rafsanjani Che W Raksan, Ketua Polis Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai defendan.


Ong yang berdaftar sebagai OKU mendakwa kejadian berlaku pada 28 Mei 2024 ketika dia mengambil empat penumpang di luar Hotel St Regis, Kuala Lumpur Sentral.


Berdasarkan penyataan tuntutannya, ketika penumpangnya masih menaiki kenderaan, beberapa individu mengarahkannya mengalihkan kenderaan.


Selepas semua penumpang masuk dan ketika dia mahu beredar, defendan pertama iaitu Muhammad Taufik yang berpakaian preman, didakwa secara tiba-tiba menumbuk mukanya melalui tingkap sebelah pemandu tanpa sebarang amaran.


Plaintif mendakwa, serangan itu menyebabkan beliau mengalami kesakitan pada muka, kecederaan tisu lembut dan lebam pada bahagian bawah bibir atas, malah kejadian itu didakwa dirakam kamera papan pemuka (dashcam) kenderaannya.


Ong turut mendakwa selepas membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), beliau diminta hadir semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Travers, yang mana telefon bimbitnya diambil selepas polis melihat rakaman dimuat turun daripada kamera papan pemuka itu.


Beliau mendakwa, polis memaklumkan telefon bimbit itu hanya akan dipulangkan jika beliau menarik balik laporan polis dan memadam rakaman video kejadian didakwa berlaku.


Sebagai seorang pekak yang bergantung kepada telefon bimbit untuk bekerja dan berkomunikasi, Ong mendakwa, beliau kehilangan akses kepada medium komunikasi utamanya selama beberapa jam.


Beliau juga mendakwa tidak diberikan jurubahasa bahasa isyarat, perkhidmatan transkripsi atau bantuan terjemahan walaupun berstatus OKU.


Ong turut mendakwa, pergerakannya di balai polis dihadkan dan kemudian didesak oleh defendan kedua iaitu Hashimi, supaya menarik balik laporan polis serta menyelesaikan perkara itu dengan menerima pampasan RM800.


Beliau mendakwa akhirnya bersetuju berbuat demikian kerana bimbang telefon bimbitnya terus dirampas, namun memaklumkan kepada polis pada keesokan harinya bahawa beliau mahu siasatan diteruskan.


Melalui saman itu, Ong menuntut ganti rugi am atas dakwaan serangan, kecuaian dan salah guna kuasa dalam jawatan awam serta pelanggaran tanggungjawab statutori mengikut Akta Polis dan Akta Orang Kurang Upaya.


Beliau turut menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah, kos serta apa-apa relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.


Pada 4 November 2024, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman denda RM1,000 terhadap Muhammad Taufik, atau penjara 20 hari jika gagal membayar, selepas beliau mengaku bersalah atas pertuduhan sengaja mencederakan Ong.


Beliau didakwa melakukan perbuatan itu pada jam 11.40 pagi di lobi Hotel St Regis, Brickfields pada 28 Mei 2024.


Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Insiden itu sebelum ini turut mengundang kritikan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, yang menyifatkan cubaan mengaitkan institusi diraja dengan insiden berkenaan sebagai tidak wajar.


Video tular kejadian dua tahun lalu.
Pengarah, syarikat didakwa elak bayar cukai kastam lebih RM150,000

Pengarah, syarikat didakwa elak bayar cukai kastam lebih RM150,000


Seorang pengarah sebuah syarikat import dan eksport dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas tuduhan mengelak daripada membayar duti kastam lebih RM150,000, enam tahun lalu.


Tertuduh, Sabariah Ibrahim, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurzihan Abdul Rehman.


Wanita itu didakwa terbabit pengelakan fraud duti kastam bernilai RM150,319.50 di Cawangan Import Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru, jam 3.41 petang pada 2 Januari 2020.


Dia didakwa mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam dibaca bersama Seksyen 140 akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(i)(aa) akta sama.


Tertuduh berdepan hukuman denda minimum 10 kali ganda nilai duti iaitu RM1,503,195 hingga nilai maksimum 20 kali ganda duti iaitu RM3,006,390 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua- duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dan menetapkan 1 September depan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.


Di mahkamah sama, Syarikat Perkhidmatan Import dan Eksport Toon Sdn Bhd turut dihadapkan dengan pertuduhan sama dan Sabariah sebagai pengarah mewakili syarikat itu turut mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.


Pendakwaan terhadap syarikat dibuat mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam dan boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(i)(aa) akta yang sama dengan hukuman denda dan penjara yang sama, jika sabit kesalahan.


Mahkamah menetapkan 6 Ogos depan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan tiada jaminan dikenakan.


Pendakwaan kedua-dua kes dijalankan Pegawai Pendakwa dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Amiera Wahyunie Zainordin dan Atheerah Azizan, manakala tertuduh dan syarikat diwakili peguam Abd Rahim Ali.

Rabu, 22 Julai 2026

2 lelaki berdepan denda sehingga RM1 juta gara-gara jual dan beli minyak masak paket bersubsidi 1kg kepada warga asing

2 lelaki berdepan denda sehingga RM1 juta gara-gara jual dan beli minyak masak paket bersubsidi 1kg kepada warga asing


Gara-gara menjual dan membeli satu paket minyak masak satu kilogram (kg) menyebabkan dua lelaki dihadapkan di Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini, atas pertuduhan berkenaan, selain mereka bakal berdepan hukuman denda sehingga RM1 juta.


Tertuduh warga tempatan, Muhammad Anwar Kartibhan, 30, dan Mohd Roshidul Malitha, 44, yang juga pekerja kontrak warga Bangladesh mengaku bersalah ketika kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka di hadapan Hakim Roslan Hamid.


Mengikut pertuduhan, Muhammad Anwar didakwa menjual barang kawalan iaitu minyak masak dalam bungkusan polibeg satu kilogram kepada warga asing.


Ia didapati melanggar Peraturan 2 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan) (Minyak Masak) 2026 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Lingkaran Cassia Barat, Simpang Ampat kira-kira jam 5.40 petang pada 19 Julai lalu.


Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.


Sementara itu, Md Roshidul pula didakwa membeli satu kg barang kawalan itu, yang mana ia tidak boleh dijual kepada bukan warga Malaysia. Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 5 petang di tempat dan hari yang sama.


Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 3(2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan) (Minyak Masak) 2026 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.


Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, boleh didenda sehingga RM2 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.


Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Alsad Nasrullah manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.


Semasa prosiding, Alsad menawarkan bon jaminan masing-masing RM5,000 terhadap kedua-dua tertuduh, selain meminta tertuduh melapor diri di pejabat KPDN terdekat dan memohon satu tarikh untuk laporan kimia sebelum jatuh hukum.


Kedua-dua tertuduh merayu jaminan minima dengan memaklumkan seorang isteri tertuduh kini mengandung dan akan bersalin dalam masa terdekat.


Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin tempatan serta meminta mereka mematuhi syarat ditetapkan pihak pendakwaan. Kes akan disebut semula pada 21 Ogos depan.

Bapa dua anak dipenjara tujuh hari kerana curi Milo, syampu

Bapa dua anak dipenjara tujuh hari kerana curi Milo, syampu


Seorang bapa kepada dua anak dijatuhi hukuman penjara tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Kulim, hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri Milo dan syampu di sebuah pasar raya di Lunas, minggu lalu.


Majistret Nur Hamizah Mat Shah menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Zani Ishak, 49, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.


Berdasarkan pertuduhan, Muhamad Zani mencuri dua bungkusan serbuk Milo 1.8 kilogram, empat bungkusan serbuk Milo 900 gram dan lapan botol syampu berjumlah keseluruhan RM252.60. Perbuatan itu dilakukan di sebuah pasar raya di Kulim kira-kira jam 10.52 pagi pada 15 Julai lalu.


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda. Bagi kesalahan kali kedua, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara, denda atau sebatan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Preeyaa manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nur Najihah Ahmad Zulkarnain.


Dalam rayuannya, peguam memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman ringan dengan memaklumkan anak guamnya kini sedang berusaha mendapatkan pekerjaan.


Menurutnya, tertuduh turut menyesali perbuatannya dan menjelaskan barangan yang diambil merupakan barang keperluan.


Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal dikenakan kerana beliau difahamkan tertuduh mencuri barangan berkenaan untuk dijual bagi mendapatkan wang.


Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh dipenjara selama tujuh hari bermula tarikh ditangkap.

Dua lelaki Rohingya pandu kereta bawa 6,000 pil kuda cuba lari sekatan polis

Dua lelaki Rohingya pandu kereta bawa 6,000 pil kuda cuba lari sekatan polis


Dua lelaki etnik Rohingya bertindak melarikan diri dengan membuat pusingan U menggunakan kereta yang dinaiki sebaik menghampiri pemeriksaan polis di Kilometer 9, Jalan Gua Musang–Kuala Lipis pada Selasa.


Dua suspek berusia 36 dan 32 tahun itu bagaimanapun berjaya diberkas selepas kereta Proton Preve yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar sebuah lori dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi.


Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, kejadian berlaku ketika anggota polis menjalankan pemeriksaan rawak menerusi Ops Tapis Bersepadu.


Menurutnya, polis bertindak segera mengejar kenderaan tersebut dengan bantuan anggota dari Balai Polis Bertam.


"Kereta suspek akhirnya terbabas dan melanggar sebuah lori di Kampung Kuala Lah berhampiran simpang tiga Jerek-Meranto sebelum kedua-dua mereka berjaya ditahan.


"Pemeriksaan lanjut menemui sebuah beg silang mengandungi bungkusan plastik berisi 6,000 pil disyaki dadah jenis pil kuda dianggarkan bernilai RM60,000," katanya dalam kenyataan pada Selasa.


Beliau berkata, polis turut merampas sebuah Proton Preve, lima unit telefon bimbit dan satu kunci kereta bagi membantu siasatan. Turut dirampas satu kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).


"Hanya satu kad UNHCR dijumpai dan siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku memiliki dadah tersebut. Mereka juga didapati positif methamphetamine menerusi ujian saringan awal air kencing," katanya.


Menurut beliau, seorang daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman berat jika disabitkan kesalahan, selain Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


Sik Choon Foo berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran dadah serta individu lain yang terlibat.


Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah bagi membantu usaha membanteras aktiviti berkenaan.


Sebahagian pil Yaba dirampas polis daripada 2 lelaki Myanmar yang ditahan di Gua Musang, semalam. - Foto PDRM.
Pemandu van keselamatan maut serangan jantung semasa beri keterangan berkaitan kes cubaan rompak

Pemandu van keselamatan maut serangan jantung semasa beri keterangan berkaitan kes cubaan rompak


Polis Selangor mengesahkan pemandu van syarikat keselamatan yang terbabit dalam kes cubaan rompak di Klang meninggal dunia akibat serangan jantung semasa proses diambil keterangan, malam tadi.


Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, mangsa seorang warga tempatan berumur 43 tahun itu bukanlah individu yang tular diacukan pistol oleh suspek dalam kejadian jam 5.30 petang di Bandar Bukit Tinggi, Klang.


"Saya sahkan maklumat itu. Memang ada kes kematian seorang daripada petugas keselamatan ketika sedang ditemubual di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.


"Semasa temubual, mangsa rebah dan pengsan. Seterusnya apabila dibawa ke hospital, mangsa disahkan meninggal dunia. Bedah siasat selesai dijalankan semalam dan setakat ini akibat masalah jantung.


"Mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu van, bukan individu yang tular dengan suspek di luar van," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.


Mengulas mengenai siasatan kes, katanya, keterangan diambil pada sebelah malam selepas kejadian.


"Setakat ini belum ada tangkapan tetapi kita sudah mendapat beberapa petunjuk positif. Sejurus ada tangkapan, kejayaan ataupun maklumat lain, kita akan kongsikan. Setakat ini suspek masih belum dapat dikenal pasti," katanya.


Terdahulu, media melaporkan pengawal keselamatan menggagalkan cubaan rompakan oleh seorang lelaki membabitkan wang tunai RM82,000 di hadapan sebuah bank di Bandar Bukit Tinggi, Klang pada Isnin.


Kejadian jam 5.30 petang itu berlaku ketika pekerja syarikat keselamatan sedang melaksanakan pemindahan wang ke dalam van.


Shazeli berkata, petugas syarikat keselamatan terbabit kemudian dihampiri seorang lelaki yang memakai jaket gelap dan topi keledar sambil mengacukan objek menyerupai pistol revolver.


Beliau berkata, petugas keselamatan itu bagaimanapun sempat bertindak pantas dengan meletakkan beg berisi wang tunai ke dalam van sebelum segera menutup pintunya.


Menurutnya, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dengan mengumpulkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bank serta premis berhampiran, selain rakaman kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan.

Selasa, 21 Julai 2026

Bapa rogol anak berulang kali, paksa tempah hotel sebagai balasan pengorbanan tanggung belanja

Bapa rogol anak berulang kali, paksa tempah hotel sebagai balasan pengorbanan tanggung belanja


Seorang lelaki didakwa melakukan ugutan emosi terhadap anak sulungnya dengan mengungkit pengorbanan menanggung perbelanjaan keluarga dan pendidikan mangsa sebelum memaksanya menempah bilik hotel untuk dirogol.


Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan di Mahkamah Sesyen Tawau, mangsa yang kini berusia 25 tahun gagal menolak kehendak bapanya kerana sering dipengaruhi secara emosi dengan alasan tertuduh tersebut.


Siasatan turut mendapati tertuduh akan mendapatkan jadual kerja mangsa bagi mengetahui hari mangsa tidak bekerja sebelum mengarahkannya menempah bilik hotel.


Tertuduh kemudian datang dari Lahad Datu ke Tawau untuk melakukan perbuatan terkutuk tersebut.


Perbuatan terancang itu akhirnya membawa padah apabila lelaki berusia 53 tahun itu dijatuhi hukuman penjara 105 tahun dan 70 sebatan selepas mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan merogol anak sulungnya.


Hukuman dijatuhkan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya sebaik tertuduh mengaku salah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya.


Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan serta dikenakan pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anak kandungnya yang kini berusia 25 tahun di beberapa hotel di daerah Tawau antara Disember 2025 hingga Mac 2026.


Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.


Semasa rayuan, tertuduh memaklumkan dia berasa malu dan takut menerima hukuman yang bakal dijatuhkan selain memohon hukuman diringankan supaya diberi peluang memohon maaf kepada ahli keluarganya.


Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman maksimum dikenakan dengan mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan terhadap anak kandung sendiri serta sifat jenayah yang dirancang.


Pendakwaan turut berhujah dalam kes ini kejadian rogol bermula sejak mangsa berusia 16 tahun lagi dan terdapat unsur perancangan apabila tertuduh mendapatkan jadual kerja mangsa, meminta mangsa menempah bilik hotel dan sanggup bergerak dari Lahad Datu ke Tawau (kira-kira 150 kilometer) untuk melakukan perbuatan berkenaan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Md Yatin bersama Wildan Firdaus Ahmad Fazly, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Sebelum ini, pada 8 April lalu, Mahkamah Sesyen Lahad Datu turut menjatuhkan hukuman penjara 165 tahun dan 110 sebatan terhadap tertuduh selepas dia mengaku bersalah atas 11 pertuduhan merogol dua anak kandungnya.


Dalam kes berkenaan, tertuduh didakwa merogol kedua-dua anak perempuannya yang kini berusia 25 dan 22 tahun di beberapa lokasi di Lahad Datu antara 2016 hingga 2026.


Dengan keputusan Mahkamah Sesyen Tawau hari ini, tertuduh kini berdepan keseluruhan hukuman berjumlah 270 tahun penjara dan 180 sebatan selepas mengambil kira hukuman yang dijatuhkan bagi kes terdahulu di Mahkamah Sesyen Lahad Datu.


Tertuduh diiring pegawai dan anggota Jabatan Penjara Malaysia untuk dibawa ke Penjara Lahad Datu bagi menjalani hukuman. - Foto NSTP.
Sembilan lelaki warga China didakwa terbabit penipuan Love Scam

Sembilan lelaki warga China didakwa terbabit penipuan Love Scam


Sembilan lelaki warga China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Balik Pulau, hari ini atas pertuduhan terbabit dalam pakatan jenayah melibatkan penipuan cinta atau love scam, awal bulan ini.


Tertuduh Ye Binyu, 32; Yang Jie, 34; Xiang Hanghang, 33; Lin Zhixu, 30; Zhang Peng, 30; Huang Shihong, 31; Tan Qiao, 22; Tan Bo, 26; dan Li Mingrui, 27, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Chia Huey Ting selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin. 


Kesemua mereka didakwa dengan niat bersama bersetuju untuk melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang iaitu memperdaya mangsa menerusi love scam.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit Kondominium Muze PICC, Persiaran Mahsuri, Sungai Nibong Kecil, Bayan Lepas, kira-kira 6.10 petang pada 1 Julai lepas.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 120(B)(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya Ikmal Affendi Zulkifly menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh dengan dua penjamin warga tempatan, selain memohon mereka melapor diri di balai polis sebulan sekali serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.


Peguam Ahmad Luthfillah Hadi Ahmad yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya memasuki Malaysia sebagai pelancong dan mempunyai pekerjaan tetap di China dengan pendapatan antara RM1,800 hingga RM3,000 sebulan.


Ahmad Luthfillah berkata anak guamnya juga tidak mempunyai ahli keluarga di negara ini yang dapat membantu membayar jaminan, namun bersedia menyediakan dua penjamin warga Malaysia dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.


Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin warga Malaysia serta menetapkan syarat tambahan melapor diri di Balai Polis Sungai Nibong setiap Khamis dan menyerahkan pasport kepada mahkamah hingga kes selesai.


Mahkamah menetapkan 27 Ogos ini untuk sebutan semula kes. - BERNAMA.

Kelantan roboh penempatan etnik Rohingya di Tanah Merah

Kelantan roboh penempatan etnik Rohingya di Tanah Merah


Kerajaan negeri Kelantan merobohkan sebuah premis dan tiga rumah kediaman yang dihuni secara haram oleh etnik Rohingya di atas tanah milik kerajaan di Pechong, Tanah Merah, hari ini.


Operasi perobohan bermula jam 10.30 pagi itu diketuai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah serta disertai beberapa agensi lain.


Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah, berkata perobohan itu dilakukan selepas pihaknya mengesan premis dan kediaman terbabit dibina oleh pihak tidak bertanggungjawab tanpa kebenaran.


Katanya, premis berkenaan kemudiannya disewakan kepada etnik Rohingya dengan bayaran tertentu dikenakan.


"Antara yang dirobohkan ialah sebuah premis dan tiga rumah kediaman yang dibina tanpa kelulusan merancang atau kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa.


"Tindakan ini dibuat bagi membanteras kegiatan pencerobohan tanah kerajaan secara haram selain menangani isu penempatan warga asing tanpa dokumen sah serta mengelakkan aktiviti menyalahi undang-undang di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi.


Katanya, kerajaan negeri akan terus mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang menceroboh, memajukan atau menyewakan tanah rizab serta tanah kerajaan secara haram kepada warga asing.

Kecewa Bekas Isteri Kahwin Semula, Lelaki Tergamak Bakar Bapa Sendiri

Kecewa Bekas Isteri Kahwin Semula, Lelaki Tergamak Bakar Bapa Sendiri


Seorang lelaki bertindak di luar kawalan apabila tergamak membakar bapanya sendiri selepas didakwa sukar mengawal emosi berikutan bekas isterinya berkahwin semula dengan lelaki lain.


Dalam kejadian di Jalan Pinang Baris, Gang Wakaf II, Medan, Sumatera Utara pada Jumaat malam, mangsa yang dikenali sebagai YL, 66, berjaya diselamatkan sebelum api merebak ke seluruh tubuhnya.


Bagaimanapun, mangsa mengalami kecederaan akibat melecur pada bahagian tangan dan kaki susulan kejadian itu.


Suspek, EP, 39, dikatakan bertindak demikian selepas berdepan tekanan emosi akibat perpisahan dengan isterinya.


Ketua Unit Siasatan Jenayah Balai Polis Medan Sunggal, Iptu Herman Sentosa berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 malam waktu tempatan itu.


"Maklumat awal mendapati suspek mengalami tekanan selepas bekas isterinya berkahwin semula.


"Keadaan itu menyebabkan dia mudah hilang kawalan sehingga bapanya menjadi sasaran," katanya seperti dipetik media tempatan pada Sabtu.


Menurut Herman, suspek kini ditahan di Balai Polis Medan Sunggal bagi membantu siasatan lanjut.


Katanya, pihak polis masih menjalankan siasatan dan belum menetapkan status suspek sebagai tahanan reman kerana belum menerima laporan rasmi daripada mangsa atau ahli keluarga.


"Suspek masih ditahan bagi membantu siasatan. Setakat ini, belum ada laporan polis dibuat oleh mangsa atau ahli keluarga," katanya.


Sebelum kejadian itu, suspek dilaporkan sempat ditahan penduduk setempat selepas kejadian berlaku dan hampir menjadi sasaran amukan orang ramai.


Kes berkenaan kini disiasat bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk tindakan suspek yang menyebabkan bapanya mengalami kecederaan.


Tangkap layar kejadian seorang anak membakar bapanya di Medan. - Foto Tribun Medan/Istimewa.