Khamis, 9 Julai 2026

MPV polis dirempuh pemandu disyaki mabuk ketika rondaan di Semabok

MPV polis dirempuh pemandu disyaki mabuk ketika rondaan di Semabok


Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki disyaki mabuk di bahu jalan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Semabok, Melaka pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu, tiada sebarang kecederaan dilaporkan, namun kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, siasatan awal mendapati MPV PDRM terbabit sedang menjalankan rondaan di kawasan pentadbiran Balai Polis Kandang dan Balai Polis Tiang Dua.


Menurut beliau, ketika kejadian, anggota polis telah memberhentikan MPV berkenaan di bahu jalan dengan lampu beacon serta lampu kecemasan dipasang bagi menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan.


"Bagaimanapun, sebuah kereta yang datang dari arah belakang dipercayai telah melanggar bahagian sisi kanan belakang MPV PDRM tersebut.


"Tiada kecederaan dilaporkan dan kemalangan hanya mengakibatkan kerosakan pada kedua-dua kenderaan yang terlibat," katanya kepada pemberita hari ini.


Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil siasatan mendapati pemandu kereta persendirian itu merupakan lelaki tempatan berusia 28 tahun yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.


"Ujian saringan pernafasan yang dijalankan mendapati bacaan alkohol melebihi had yang ditetapkan, manakala saringan awal air kencing adalah negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.


"Lelaki tersebut telah ditahan bagi membantu siasatan dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh bagi permohonan reman," ujarnya.

Pemilik premis 'disko retro' tepi Sungai Kelantan dikompaun RM25,000

Pemilik premis 'disko retro' tepi Sungai Kelantan dikompaun RM25,000


Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mengeluarkan notis kesalahan dan tawaran kompaun berjumlah RM25,000 kepada pemilik sebuah premis perniagaan di tepi Sungai Kelantan semalam selepas didapati menganjurkan program hiburan tanpa lesen sah.


MPKB-BRI dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu diambil susulan penganjuran program hiburan bertemakan disko retro, hippie ala 60-an dan 70-an yang diadakan pada Jumaat lalu dan tular di media sosial.


Katanya, pihak MPKB-BRI melibatkan pegawai Jabatan Pelesenan dan Bahagian Penguatkuasaan telah mengadakan perjumpaan secara bersemuka bersama pemilik premis termasuk penganjur program itu bagi mendapatkan penjelasan berhubung penganjuran acara tersebut.


"Pertemuan itu bertujuan menyiasat dan memberi penjelasan mengenai kesalahan yang dilakukan oleh pihak penganjur khususnya di bawah Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025.


"Selain itu, beberapa kompaun lain turut dikeluarkan terhadap pemilik premis kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen sah seperti yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKB-BRI) 2019," katanya.


Menurut kenyataan itu, MPKB-BRI akan terus memperkukuh penguatkuasaan terhadap individu atau pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang dan syarat pelesenan bagi memastikan setiap aktiviti hiburan serta perniagaan dijalankan mengikut peraturan yang berkuatkuasa.


Media semalam melaporkan, penganjur program hiburan bertemakan disko retro, hippie ala 60-an dan 70-an di sebuah restoran di tebing Sungai Kelantan, Kota Bharu pada Jumaat lalu berdepan hukuman denda sehingga RM60,000.


Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, selain itu, pihak penganjur juga boleh dipenjara lapan tahun jika disabitkan kesalahan.


Katanya, hukuman tersebut boleh dikenakan selepas penganjur didapati menganjurkan acara tersebut tanpa kelulusan MPKB-BRI.


"Siasatan mendapati, penganjur hiburan tersebut tidak pernah membuat sebarang permohonan kepada MPKB-BRI," katanya.Seni & Hiburan


Kelmarin, tular satu video berdurasi 40 saat yang memaparkan sekumpulan pengunjung menari beramai-ramai dalam program hiburan bertemakan disko retro dan hippie dipercayai berlangsung di sebuah restoran di tebing Sungai Kelantan.


Susulan daripada kejadian itu, Bahagian Perlesenan dan Kawalan Perniagaan bersama pasukan penguat kuasa MPKB-BRI telah menjalankan operasi dan siasatan petang semalam dengan mengambil keterangan daripada saksi termasuk pihak berkaitan.


Pegawai Jabatan Pelesenan dan Bahagian Penguatkuasaan MPKB-BRI mengadakan perjumpaan dengan pemilik premis perniagaan di tepi Sungai Kelantan semalam. - Foto MPKB-BRI.
Polis tumpas geng samun gudang didalangi etnik Rohingya di Melaka

Polis tumpas geng samun gudang didalangi etnik Rohingya di Melaka


Polis menumpaskan satu kumpulan samun didalangi etnik Rohingya dipercayai terbabit dalam kejadian samun sebuah gudang penyimpanan barangan pembinaan di Sungai Udang, bulan lalu, susulan penahanan enam lelaki dalam operasi khas dikenali sebagai Op Kargo.


Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek berusia antara 18 hingga 38 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dalam serbuan di sekitar Kajang, Selangor pada 19 Jun lalu.


Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian samun itu berlaku jam 2 pagi pada 15 Jun apabila sekumpulan lelaki dipercayai warga asing menceroboh sebuah gudang penyimpanan barangan pembinaan di Sungai Udang.


"Suspek mengikat tangan dan kaki pengawal keselamatan sebelum melarikan aluminium formwork yang disimpan di gudang berkenaan.


"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian dianggarkan kira-kira RM200,000," katanya dalam kenyataan semalam.


Menurutnya, hasil risikan dan maklumat yang diperoleh membawa kepada pelancaran Op Kargo sebelum enam lelaki etnik Rohingya berjaya diberkas.


Katanya, polis turut merampas dua lori, tiga guni bongkah aluminium serta dua salinan resit jualan barangan lusuh bernilai RM27,440 dan RM101,816 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan hasil samun berkenaan.


"Semua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Ayer Keroh hari ini bagi menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun secara berkumpulan," katanya.


Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

Rabu, 8 Julai 2026

"Saya tahu pergi karaoke itu rutin dia..." - Yusof Haslam buka mulut isu pelakon wanita ditahan ambil dadah

"Saya tahu pergi karaoke itu rutin dia..." - Yusof Haslam buka mulut isu pelakon wanita ditahan ambil dadah


"Saya sudah beri amaran, jangan 'expose' diri, pergi kelab dan sebagainya kerana dia berlakon watak polis."


Demikian kata penerbit dan pengarah terkenal Datuk Yusof Haslam apabila disoal mengenai kesahihan penangkapan seorang pelakon wanita drama Gerak Khas 2.0 yang didakwa terlibat dengan kes dadah.


Menurut Yusof, dia maklum mengenai perkara itu (penangkapan) malah telah dua kali memberi amaran agar pelakon terbabit tidak melakukan sebarang aktiviti yang boleh mencemar nama baik drama tersebut.


Bagaimanapun, kata Yusof, amaran berkenaan tidak diendahkan pelakon itu.


"Saya menasihatkan dia, jika hendak pergi kelab malam, karaoke dan sebagainya itu hak dia, tetapi berpada-pada kerana dia terlibat Gerak Khas 2.0.


"Saya tahu pergi karaoke itu memang rutin dia, namun kurang-kurangkan kerana dia membawa watak seorang polis. Apa pun amaran itu tidak diendahkan dan akhirnya membinasakan.


"Saya amat menjaga imej Gerak Khas dan tak mahu ianya tercalar. Bukanlah kita ini sempurna tapi sekurang-kurangnya saya tak mahu imej polis itu tercemar," katanya lagi.


Terdahulu, seorang pelakon wanita yang membintangi drama polis ditahan selepas disyaki positif dadah methamphetamine di sebuah pusat hiburan di ibu negara.


Pelakon wanita berkenaan ditahan bersama 17 individu lain ketika serbuan dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Penempatan Rohingya di Kangkar Tebrau: Komuniti makin berkembang, tindakan telus diperlukan

Penempatan Rohingya di Kangkar Tebrau: Komuniti makin berkembang, tindakan telus diperlukan

(Foto dijana AI)

Isu etnik Rohingya di negara ini bukan hanya memerlukan tindakan pihak berkuasa, malah masyarakat turut memainkan peranan untuk tampil melaporkan kewujudan penempatan pelarian berkenaan.


Aktivis masyarakat, Michael Tay Chee Boon berkata, tidak dinafikan kewujudan penempatan etnik itu di negeri Johor termasuk di Kangkar Tebrau, Johor Bahru, sejak lebih sedekad lalu menimbulkan kebimbangan masyarakat setempat.


Menurutnya, penduduk mendakwa pelbagai permasalahan timbul termasuk isu kebersihan dan keselamatan.


Namun katanya, permasalahan itu dapat dielakkan sekiranya pemilik rumah atau tanah tidak sewenang-wenangnya menyewakan kepada golongan berkenaan.


"Apabila mereka semakin ramai di sesuatu kawasan, ia menimbulkan pelbagai masalah terutama apabila wujudnya generasi kedua dan ketiga.


"Ia juga boleh mewujudkan kartel memonopoli sesuatu perniagaan termasuk perusahaan besi buruk dan sebagainya. Malah ada juga segelintir etnik Rohingya mengemis bagi meneruskan kehidupan dan ia bukan sesuatu yang sihat," katanya ketika dihubungi.


Menurutnya, setiap ahli masyarakat setempat perlu memainkan peranan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya keselamatan, keselesaan terjejas kesan kewujudan golongan itu.


"Negara kita memberi perlindungan kepada pelarian atas dasar perikemanusiaan namun apabila komuniti itu keterlaluan, mereka juga seharusnya dikenakan tindakan.


"Ia memberi kesedaran kepada mereka supaya tidak memperlekehkan peraturan dan undang-undang negara ini," katanya.


Sementara itu, mantan Pengerusi Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Rohsawal Nizam Abd Ghafar berkata, masalah timbul apabila penempatan Rohingya di Kangkar Tebrau adalah kawasan memiliki geran.


Menurutnya, berdasarkan aduan yang diterima dari penduduk, tindakan penguatkuasaan sudah dijalankan beberapa kali selain kawasan itu juga sentiasa di bawah pemantauan.


"Suatu tindakan lebih telus perlu diambil bagi mengelakkan kawasan itu didominasi etnik Rohingya.


"Komuniti berkenaan dipercayai sudah berkembang serta populasi mereka juga semakin bertambah. Penduduk mengharapkan isu pelarian ini diatasi kerajaan.


"Penduduk mencadangkan penggubalan akta berkaitan pelarian bagi membolehkan pemantauan dan pengurusan pelarian yang lebih sistematik," katanya.

Pengurus kelab malam dipenjara 2 hari, didenda RM17,000 kerana memandu mabuk

Pengurus kelab malam dipenjara 2 hari, didenda RM17,000 kerana memandu mabuk


Seorang lelaki yang juga pengurus kelab malam dihukum penjara dua hari dan didenda RM17,000 oleh Mahkamah Majistret Tawau, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk pada awal pagi Jun lalu.


Hukuman itu dijatuhkan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin terhadap Tan Tiong Peng, 37, selepas mahkamah menerima pengakuan bersalah dan rayuan tertuduh, selain mengambil kira fakta kes serta hujahan pihak pendakwaan.


Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh sabitan hari ini, selain menetapkan tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Lesen memandunya turut digantung selama dua tahun.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dengan kadar kandungan alkohol dalam badan sebanyak 82 miligram (mg) bagi setiap 100 mililiter (ml) darah, iaitu melebihi had ditetapkan sebanyak 32 mg daripada kadar maksimum 50 mg per 100 ml darah.


Kesalahan itu dilakukan ketika satu operasi membanteras pemanduan dalam keadaan mabuk yang dijalankan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di Jalan Bintang Kubota pada 14 Jun lalu kira-kira jam 2.40 pagi.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2020 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda tidak kurang RM10,000 serta maksimum RM30,000, selain hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.


Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya dikenakan hukuman ringan dengan alasan dia sudah insaf, mengakui kesalahan dilakukan dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.


Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa BSPT IPD Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira kepentingan awam kerana kesalahan memandu dalam keadaan mabuk adalah serius dan boleh menyebabkan kehilangan nyawa.


Beliau berhujah tindakan tertuduh mewujudkan risiko tinggi terhadap nyawa dan keselamatan orang awam, selain hukuman berat wajar dikenakan sebagai mesej jelas bahawa mahkamah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu dalam keadaan membahayakan pengguna jalan raya.

Pelakon disyaki positif dadah digantung sementara daripada penggambaran - Yusof Haslam

Pelakon disyaki positif dadah digantung sementara daripada penggambaran - Yusof Haslam


"Sepatutnya ada 'shooting' hari ini. Tapi dah jadi macam ini, saya terpaksa 'gantung' dia sementara," kata penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam.


Yusof mengulas mengenai isu penahanan seorang pelakon wanita drama kepolisan yang positif dadah.


Katanya, kebetulan penggambaran drama bersiri itu akan selesai, jadi keputusan itu wajar diambil oleh pihaknya.


"Memang, kita pun nak habis dah shooting. Kita shooting lagi dua minggu akan habis. Jadi apa yang berlaku itu biar jadi satu pengajaran.


"Benda ini polis pun dah bagi tahu, kita sebagai pelakon, kalau boleh jangan terlibat dengan dadah. Apa-apa juga perkara negatif. Tapi bila sudah terlibat dengan dadah ini, tak eloklah," katanya.


Yusof berkata, dia pernah menasihatkan pelakonnya agar tidak berkelakuan buruk, menjaga nama baik serta jangan memuatnaik gambar-gambar tidak sepatutnya di media sosial.


"Kita habiskan shooting macam itu sajalah. Maksudnya, pasal kita dah shooting banyak dah. Babak-babak pun dah tinggal sikit.


"Kalau tak ada pun tak jadi masalah. Insya-Allah kita akan habis baki berapa babak saja lagi.


"Bukan apa, yang tak sedap itu kita baru launching, baru nak siarkan minggu kedua Jumaat ini. Jadi kita dah nasihat benda ini. Tapi itulah hal ini menjadi iktibar untuk kita semua," kata Yusof yang menyerahkan segala keputusan kepada siasatan pihak polis.


Terdahulu media melaporkan seorang pelakon wanita yang membintangi drama kepolisan terkenal, ditahan selepas disyaki positif dadah methamphetamine di sebuah pusat hiburan di ibu negara.


Pelakon berkenaan ditahan bersama 17 individu lain ketika serbuan dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Guru, rakan dipenjara 8 tahun dan denda RM5,000 perdagang wanita untuk eksploitasi seks

Guru, rakan dipenjara 8 tahun dan denda RM5,000 perdagang wanita untuk eksploitasi seks


Seorang guru dan rakannya dijatuhi hukuman penjara lapan tahun serta denda RM5,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen, Kuala Terengganu, semalam selepas didapati bersalah memperdagangkan seorang wanita bagi tujuan eksploitasi seks dua tahun lepas.


Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Hasfyanizam Mansor, 50, dan rakannya Mohamad Fazley Jaafar, 31, yang bekerja sebagai buruh pada akhir kes pembelaan semalam.


Mahkamah turut memerintahkan kedua-duanya dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.


Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa memperdagangkan seorang wanita tempatan berusia 29 tahun bagi tujuan eksploitasi seks dengan cara menyalahgunakan kedudukan mangsa yang mudah terdedah kepada bahaya perbuatan pemerdagangan orang.



Kesalahan itu dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu pada 2.35 pagi 11 Mac 2024, mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.


Terdahulu, peguam Mohd Shahir Mat Jusoh daripada Tetuan Ghazali & Co memohon hukuman yang minimum dengan alasan kedua-dua anak guamnya merupakan ketua keluarga dan menanggung keluarga masing-masing selain hukuman berat akan memberi kesan kepada ahli keluarga terutama anak-anak mereka.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Hafizudin Manjur Ahmad memohon hukuman berat dan setimpal dikenakan dengan mengambil kira Mohd Hasfyanizam yang merupakan seorang guru sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat, namun sebaliknya terlibat dalam perbuatan jenayah berkenaan.


"Pihak pendakwaan berharap agar satu hukuman berat dijatuhkan kepada kedua-dua OKT (Orang Kena Tuduh) agar mereka dapat berfikir, bermuhasabah dan menjadikan hukuman tersebut sebagai titik tolak untuk mereka berubah menjadi insan yang lebih baik dan berguna kepada masyarakat pada masa hadapan," katanya.


Sebelum menjatuhkan hukuman, Mohd Zul Zakiqudin berkata, mahkamah berharap hukuman yang dikenakan itu dapat menginsafkan kedua-dua tertuduh. Pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noradila Abdul Latif. - BERNAMA.

Selasa, 7 Julai 2026

Lelaki mengaku rakam, intai anak dara jiran sedang mandi didenda RM3,500

Lelaki mengaku rakam, intai anak dara jiran sedang mandi didenda RM3,500


Perbuatan seorang remaja lelaki merakam anak dara jiran yang sedang mandi menerima padah selepas didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini.


Tertuduh, Muhamad Syafiq Hidayat Mohd Syukur, 19, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret, Nur Afiqah Radhiah Zainurin.


Mengikut pertuduhan pindaan, tertuduh didakwa dengan niat mengaibkan kehormatan mangsa berusia 19 tahun dengan merakam wanita itu ketika sedang mandi tanpa pengetahuannya menggunakan sebuah telefon bimbit sehingga mengganggu kesantunannya.


Kesalahan itu dilakukan sekitar jam 5 petang pada 8 September 2025 di Batu 4, Batu Berendam, Melaka Tengah.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Difahamkan pengadu membuat laporan polis selepas tertuduh merakam video anak perempuannya sehingga menyebabkan mangsa berasa takut dan tidak selamat.


Dikatakan tertuduh yang merupakan jiran mangsa juga didapati telah beberapa kali melakukan perbuatan tersebut.


Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan denda sebanyak RM300 dengan alasan menanggung keluarga selepas ibu bapanya bercerai. Dia turut berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama lagi.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana perbuatan tertuduh telah mengaibkan kehormatan mangsa.


Mahkamah menjatuhkan hukuman denda itu dan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Wanita sewa ekskavator pada waktu malam, rupanya mahu robohkan rumah pegawai kastam

Wanita sewa ekskavator pada waktu malam, rupanya mahu robohkan rumah pegawai kastam


Seorang wanita didakwa di mahkamah pada Jumaat, selepas dipercayai menyewa sebuah jentera berat jenis ekskavator untuk merobohkan sebuah rumah rasmi kerajaan milik Pejabat Wilayah Direktorat Jeneral Kastam dan Eksais (DJBC) Jawa Timur I, setelah mendakwa bangunan itu telah dibelinya.


Tertuduh, Murnita Triwidyaning (MT), bagaimanapun berdepan pertuduhan selepas siasatan mendapati rumah yang dirobohkan itu sebenarnya merupakan aset kerajaan di bawah Kementerian Kewangan Indonesia.


Menurut Pendakwa Raya, Hajita Cahyo Nugroho, kejadian bermula pada Ogos 2025 apabila MT menghubungi rakannya untuk mendapatkan maklumat mengenai penyewaan ekskavator.


Selepas memperoleh nombor penyedia perkhidmatan melalui aplikasi WhatsApp, dia menyewa sebuah jentera berat itu untuk dihantar ke sebuah rumah di Jalan Asemrowo Kali No. 23, Surabaya.


Pendakwa berkata, MT didakwa memilih untuk melakukan perobohan pada waktu malam, sekitar jam 8 malam pada 27 Ogos 2025.


"Sebaik operator ekskavator tiba, tertuduh memecahkan mangga pagar menggunakan tukul sebelum mengarahkan operator merobohkan pagar dan dinding rumah menggunakan ekskavator sehingga hampir keseluruhan bangunan musnah, kecuali bahagian garaj," katanya ketika membacakan pertuduhan di Mahkamah Daerah Surabaya.


Selepas kerja perobohan selesai, MT didakwa membayar kos sewaan jentera itu sebanyak 7 juta rupiah (RM1,583) kepada operator terbabit.


Operator berkenaan kini masih dikesan pihak berkuasa dan disenaraikan sebagai Daftar Pencarian Saksi (DPS).


Tindakan MT merobohkan rumah itu menarik perhatian Ketua Rukun Tetangga (RT), Nanang Sudibyo, yang datang ke lokasi selepas mendapati kerja-kerja berkenaan dijalankan tanpa kebenaran.


Ketika ditegur, MT didakwa memaklumkan bahawa rumah rasmi tersebut telah dibelinya. Namun, Nanang yang berasa curiga menghubungi pihak Kastam Tanjung Perak untuk mendapatkan pengesahan.


Siasatan kemudian mendapati rumah berkenaan ialah aset kerajaan milik Pejabat Wilayah Direktorat Jeneral Kastam dan Eksais (DJBC) Jawa Timur I.


Pendakwa memaklumkan tindakan MT mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian dianggarkan 537.36 juta rupiah (RM121,955).


Susulan itu, MT didakwa mengikut pertuduhan alternatif di bawah Kanun Keseksaan Indonesia atas kesalahan memusnahkan bangunan dan merosakkan harta benda milik orang lain.