Selasa, 7 Julai 2026

Lelaki mengaku rakam, intai anak dara jiran sedang mandi didenda RM3,500


Perbuatan seorang remaja lelaki merakam anak dara jiran yang sedang mandi menerima padah selepas didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini.


Tertuduh, Muhamad Syafiq Hidayat Mohd Syukur, 19, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret, Nur Afiqah Radhiah Zainurin.


Mengikut pertuduhan pindaan, tertuduh didakwa dengan niat mengaibkan kehormatan mangsa berusia 19 tahun dengan merakam wanita itu ketika sedang mandi tanpa pengetahuannya menggunakan sebuah telefon bimbit sehingga mengganggu kesantunannya.


Kesalahan itu dilakukan sekitar jam 5 petang pada 8 September 2025 di Batu 4, Batu Berendam, Melaka Tengah.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Difahamkan pengadu membuat laporan polis selepas tertuduh merakam video anak perempuannya sehingga menyebabkan mangsa berasa takut dan tidak selamat.


Dikatakan tertuduh yang merupakan jiran mangsa juga didapati telah beberapa kali melakukan perbuatan tersebut.


Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan denda sebanyak RM300 dengan alasan menanggung keluarga selepas ibu bapanya bercerai. Dia turut berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama lagi.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana perbuatan tertuduh telah mengaibkan kehormatan mangsa.


Mahkamah menjatuhkan hukuman denda itu dan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon