Suspek lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes tikam hingga maut seorang lelaki di Kilometer 12, Jalan Trans Perak dekat Kampung Gajah, berjaya ditahan semalam.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata suspek berusia 30 tahun itu ditahan di Terminal Bas Perlis Sentral, Kangar di Perlis kira-kira 3.45 petang oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak dan JSJ Perlis.
Beliau berkata polis turut menemukan sebilah pisau yang telah dibuang oleh suspek dalam sebuah tong sampah di bandar Kangar.
"Suspek berjumpa dengan bekas teman wanitanya berusia 25 tahun untuk berbincang mengenai masalah hubungan mereka kira-kira 9 pagi pada Selasa lepas.
"Semasa pertemuan di kawasan sawah padi di Jalan Trans Perak, suspek bertindak mengugut dan merogol wanita tersebut di dalam kereta suspek," katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Perak di Mes Pegawai Kanan Polis di Jalan Sultan Azlan Shah, Ipoh hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Alwi berkata kira-kira 5 pagi pada Rabu lepas, suspek menghantar bekas teman wanitanya ke kereta, tiba-tiba seorang lelaki yang merupakan teman lelaki kepada wanita tersebut datang untuk berjumpa suspek namun suspek bertindak melarikan diri dengan memandu kereta miliknya.
Beliau berkata lelaki itu bertindak mengejar suspek dan berjaya melanggar dan menghalang kereta suspek sehingga berhenti dan suspek terus bertindak menyerang dan menikam mangsa dengan sebilah pisau di bahagian perut.
"Suspek melarikan diri dengan kereta milik mangsa sebelum meninggalkan kereta tersebut di Persiaran Batu Gajah Perdana di Batu Gajah.
"Dengan tertangkapnya suspek, kes bunuh dan rogol berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang dari 24 jam.
"Suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 376 kanun yang sama," katanya.
Semalam, Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Hafezul Helmi Hamzah dilaporkan berkata seorang lelaki berusia 29 tahun meninggal dunia selepas cedera parah akibat ditikam dalam satu pergaduhan dengan suspek dalam satu kejadian Rabu lepas.
Hafezul Helmi berkata siasatan awal mendapati mangsa sempat dibawa ke sebuah klinik untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.











