Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membongkar kegiatan beberapa premis perniagaan, di Sepang kelmarin yang disyaki dikendalikan sepenuhnya oleh warga asing menggunakan lesen milik warganegara tempatan.
Operasi oleh Bahagian Penguatkuasaan JIM Putrajaya yang bermula jam 10.20 pagi itu memeriksa enam premis perniagaan terdiri daripada kedai runcit dan pasar raya mini di kawasan tumpuan warga asing.
Ketua Pengarah JIM Datuk Zakaria Shaaban berkata, opeasi itu bukan sahaja menyasarkan premis perniagaan yang disyaki milik warga asing tetapi juga kesalahan-kesalahan yang berkaitan penyalahgunaan pas oleh warga asing.
"Hasil pemeriksaan, seramai 13 warganegara asing terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita warganegara Indonesia serta tiga lelaki warganegara Bangladesh yang disyaki menjalankan aktiviti perniagaan dan menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) dengan berkerja di premis-premis tersebut ditahan.
"Modus operandi kebanyakan perniagaan ini disyaki menggunakan lesen perniagaan yang didaftarkan atas nama warganegara Malaysia tetapi dioperasikan sepenuhnya oleh warga asing.
"Ia termasuk pembayaran dalam talian yang menggunakan kod respon pantas (QR) ke akaun bank pemilik yang disyaki warga asing," katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, sebahagian premis juga didapati menjual produk dan barangan yang khusus untuk pelanggan warga asing khususnya warga Bangladesh.
Katanya, kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.
Dalam pada itu, Zakaria berkata, pihaknya akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.

EmoticonEmoticon