Jabatan Imigresen Johor menumpaskan dua sindiket yang mengeksploitasi Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dengan membekalkan pekerja asing secara tidak sah di bandar raya ini baru-baru ini.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, berkata sindiket dikesan menggunakan syarikat yang mempunyai kuota pekerja asing namun tidak menggunakan pekerja terbabit untuk perniagaan yang didaftarkan.
Sebaliknya, katanya, sindiket berkenaan menjual dan membekal pekerja asing yang mempunyai permit kerja PLKS kepada majikan lain dan mengaut keuntungan 'atas angin'.
"Dalam operasi pertama di sebuah pejabat agensi pengurusan pekerja asing di Pusat Perdagangan Pandan pada 4 Jun lalu, kita menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 33 tahun kerana tinggal lebih masa di negara ini.
"Turut dirampas 36 pasport Bangladesh dan India serta wang tunai RM5,000 yang dipercayai hasil urus niaga agensi berkenaan," katanya dalam kenyataan.
Mohd Rusdi berkata, operasi kedua dilakukan di sebuah pejabat agensi pengurusan pekerja asing di Taman Setia Tropika dan dua pangsapuri di Taman Kempas Utama semalam.
Katanya, selain dua ejen serta empat pekerja asing yang tinggal lebih masa ditahan, pihaknya turut merampas 48 pasport Bangladesh, wang tunai RM4,300 serta menyita dua kenderaan yang dipercayai digunakan sindiket.
"Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai membekalkan sehingga 500 pekerja asing di seluruh negeri ini.
"Keuntungan bersih yang diperoleh sindiket dianggarkan mencecah RM225,000 sebulan hasil aktiviti membekalkan pekerja asing kepada majikan lain," ujarnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c); Seksyen 56(1)(d); Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.


EmoticonEmoticon