Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja perempuan di hadapan sebuah sekolah di Wakaf Bharu, Tumpat baru-baru ini.
Tertuduh, Abd Sofar Abd Satar, 48, membuat pengakuan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh anggota badan bagi maksud seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun empat bulan.
Bagi pertuduhan kedua, Abd Sofar dituduh melakukan perbuatan sama terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun.
Kedua-kedua kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah sekolah di Wakaf Bharu, Tumpat jam 1.30 tengah hari pada 20 Mei 2026 dan jam 1.40 tengah hari pada 31 Mac 2026.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na'ilah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Siti Aiysha Na'ilah berkata, pihak pendakwaan dimaklumkan bahawa tertuduh memiliki kad OKU kategori mental.
Menurutnya, pihak pendakwaan memohon agar tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan di Perak untuk menjalani pemeriksaan mental selama sebulan.
Abd Sofar dalam rayuannya memaklumkan dia sudah bertaubat dan insaf dengan perbuatan berkenaan.
"Saya jadi macam ini kerana kurang kasih sayang," katanya.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk menjalani pemeriksaan mental selama sebulan sebelum sebarang hukuman atau keputusan diputuskan. Mahkamah turut menetapkan 8 Julai depan untuk sebutan semula kes.

EmoticonEmoticon