Jumaat, 12 Jun 2026

Polis tahan suspek bunuh teman lelaki bekas kekasih, rogol wanita dalam kereta

Polis tahan suspek bunuh teman lelaki bekas kekasih, rogol wanita dalam kereta

(Foto dijana AI)

Suspek lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes tikam hingga maut seorang lelaki di Kilometer 12, Jalan Trans Perak dekat Kampung Gajah, berjaya ditahan semalam.


Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata suspek berusia 30 tahun itu ditahan di Terminal Bas Perlis Sentral, Kangar di Perlis kira-kira 3.45 petang oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak dan JSJ Perlis.


Beliau berkata polis turut menemukan sebilah pisau yang telah dibuang oleh suspek dalam sebuah tong sampah di bandar Kangar.


"Suspek berjumpa dengan bekas teman wanitanya berusia 25 tahun untuk berbincang mengenai masalah hubungan mereka kira-kira 9 pagi pada Selasa lepas.


"Semasa pertemuan di kawasan sawah padi di Jalan Trans Perak, suspek bertindak mengugut dan merogol wanita tersebut di dalam kereta suspek," katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Perak di Mes Pegawai Kanan Polis di Jalan Sultan Azlan Shah, Ipoh hari ini.


Mengulas lanjut, Mohd Alwi berkata kira-kira 5 pagi pada Rabu lepas, suspek menghantar bekas teman wanitanya ke kereta, tiba-tiba seorang lelaki yang merupakan teman lelaki kepada wanita tersebut datang untuk berjumpa suspek namun suspek bertindak melarikan diri dengan memandu kereta miliknya.


Beliau berkata lelaki itu bertindak mengejar suspek dan berjaya melanggar dan menghalang kereta suspek sehingga berhenti dan suspek terus bertindak menyerang dan menikam mangsa dengan sebilah pisau di bahagian perut.


"Suspek melarikan diri dengan kereta milik mangsa sebelum meninggalkan kereta tersebut di Persiaran Batu Gajah Perdana di Batu Gajah.


"Dengan tertangkapnya suspek, kes bunuh dan rogol berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang dari 24 jam.


"Suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 376 kanun yang sama," katanya.


Semalam, Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Hafezul Helmi Hamzah dilaporkan berkata seorang lelaki berusia 29 tahun meninggal dunia selepas cedera parah akibat ditikam dalam satu pergaduhan dengan suspek dalam satu kejadian Rabu lepas.


Hafezul Helmi berkata siasatan awal mendapati mangsa sempat dibawa ke sebuah klinik untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Hukuman dua lelaki pukul anjing di Pulau Pinang kekal, denda diturunkan kepada RM30,000

Hukuman dua lelaki pukul anjing di Pulau Pinang kekal, denda diturunkan kepada RM30,000


Mahkamah Tinggi Georgetown mengekalkan sabitan ke atas dua lelaki kerana memukul seekor anjing tiga tahun lalu, namun mengurangkan denda yang dikenakan daripada RM50,000 kepada RM30,000 setiap seorang.


Hakim Choong Yeow Choy menolak rayuan dikemukakan Rosli Mat Zin dan Suhaili Haron terhadap sabitan di bawah Seksyen 29 (1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 selepas mendapati sabitan itu berasaskan keterangan langsung serta bukti video yang diterima oleh mahkamah.


Beliau bagaimanapun membenarkan rayuan dua lelaki itu terhadap hukuman dijatuhkan Mahkamah Sesyen, iaitu denda RM50,000 atau 12 bulan penjara jika gagal membayarnya dan menetapkan mereka didenda RM30,000 setiap seorang atau jika gagal, dipenjara enam bulan.


Dalam penghakimannya bertarikh 6 Jun, Choong berkata, mesej yang jelas dan tegas mesti disampaikan kepada orang ramai bahawa Seksyen 29 (1) akta itu perlu dipandang serius kerana ia bukan sahaja berfungsi sebagai hukuman tetapi juga bertujuan pencegahan dan pendidikan yang penting untuk kepentingan awam.


"Mahkamah ini berpendapat hukuman yang sewajarnya dalam kes ini ialah denda. Oleh itu, denda RM30,000 dikenakan ke atas setiap perayu dan jika gagal membayar, enam bulan penjara," katanya.


Seksyen 29 (1) akta itu memperuntukkan hukuman denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Berdasarkan penghakiman itu, Rosli, 56, yang bekerja sebagai nelayan dan pemandu bas Suhaili, 52, disabitkan bersalah oleh Mahkamah Sesyen atas kesalahan memukul seekor anjing selepas perbicaraan penuh yang berakhir pada 31 Julai tahun lalu.


Mereka didapati bersalah melakukan perbuatan itu di Kampung Teluk Tempoyak, Batu Maung, Pulau Pinang pada 8.30 malam 8 Julai 2023.


Choong menolak hujah perayu bahawa hakim bicara telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang kerana gagal mengambil kira siasatan polis dijalankan bertentangan dengan peruntukan serta prosedur Akta Kebajikan Haiwan.


Perayu berhujah di bawah akta itu, hanya pegawai kebajikan haiwan yang dilantik mempunyai kuasa untuk menyiasat kesalahan di bawah akta tersebut.


Bagaimanapun, Choong memutuskan walaupun akta itu mengandungi peruntukan berkaitan pegawai kebajikan haiwan, peruntukan itu tidak mengecualikan kuasa siasatan am polis yang diperoleh daripada Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Polis 1967.


Beliau berkata, tiada peruntukan dalam Akta Kebajikan Haiwan yang menyekat polis daripada mengendalikan kes yang berlaku di bawah akta tersebut.


Dalam video tular pada Julai 2023 lalu, dua orang lelaki dipercayai memukul seekor anjing di kawasan semak menggunakan kayu.


Difahamkan, kejadian berlaku apabila anjing terbabit melintas jalan di kawasan kurang pencahayaan dan terlanggar motosikal di jalan raya sehingga dipercayai menyebabkan kakinya patah.


Mungkin mahu menyorok dari dikesan orang ramai, anjing berkenaan masuk ke dalam longkang. Namun, dua orang suspek dikatakan mencari haiwan tersebut dan bertindak memukul anjing itu sehingga mati.

Khamis, 11 Jun 2026

Lelaki etnik Rohingya didakwa bunuh rakan senegara, cederakan isteri mangsa

Lelaki etnik Rohingya didakwa bunuh rakan senegara, cederakan isteri mangsa


Seorang lelaki etnik Rohingya didakwa di Mahkamah Majistret Jawi, Nibong Tebal hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya di sebuah kawasan perumahan, bulan lepas.


Tertuduh, Osman Bawdi Alom, 38, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Ainna Ahmad.


Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan bagi pertuduhan membunuh kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.


Tertuduh didakwa membunuh Abdul Rahman Shah Mia, 31, di sebuah rumah di Taman Belibis antara jam 2.50 pagi hingga 2.54 pagi, pada 31 Mei lalu.


Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.


Tertuduh juga didakwa mencederakan Formin Lal Mia, 26, menggunakan sebilah pisau pada waktu dan di lokasi yang sama.


Dari kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.


"Saya tidak mengaku," katanya ketika diminta membuat pengakuan bagi pertuduhan kedua itu.



Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Airina Syazreen Zainurin manakala tertuduh diwakili peguam G. Sathiash.


Airina memohon mahkamah menetapkan satu tarikh lain sementara menunggu laporan bedah siasat, kimia dan forensik siap.


Katanya, tiada jaminan ditawarkan bagi pertuduhan kedua memandangkan tertuduh turut berdepan pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Nurul Ainna kemudian menetapkan 7 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes. Di mahkamah yang sama, Nurul Ainna turut menangguhkan pertuduhan terhadap dua wanita Rohingya, Humaira, 18, dan Minara, 29, ke 23 Jun ini selepas mereka memaklumkan mahkamah bahawa mereka tidak memahami Bahasa Malaysia.


Kedua-dua wanita itu sepatutnya berdepan pertuduhan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki atau tinggal di negara ini tanpa pas atau permit yang sah. Humaira adalah isteri kepada Osman manakala Minara ialah kakak ipar kepada si mati.


Mahkamah menetapkan 23 Jun ini untuk kehadiran jurubahasa mahkamah bagi bahasa Myanmar. Ketiga-tiga individu berkenaan ditahan selepas kejadian tikam yang mengorbankan mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami pelbagai kesan tikaman.


Memetik laporan media pada 31 Mei lalu, mangsa dipercayai telah diserang dan ditikam di beberapa bahagian badan oleh suspek manakala isterinya pula terpaksa dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami kecederaan akibat serangan yang sama.


Siasatan awal polis mendapati, perselisihan akibat masalah rumah tangga dikenal pasti sebagai antara motif pembunuhan tersebut.

Guru tadika digantung tugas 'gam' mulut murid hingga cedera guna pistol perekat panas

Guru tadika digantung tugas 'gam' mulut murid hingga cedera guna pistol perekat panas


Seorang guru tadika di China digantung tugas dan kini disiasat polis selepas didakwa menggunakan pistol perekat panas (glue gun) pada bibir seorang kanak-kanak perempuan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan melepuh yang serius, lapor South China Morning Post.


Kejadian pagi 27 Mei lalu itu berlaku di sebuah tadika di daerah Fengxian, wilayah Jiangsu, di timur China.


Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendedahkan guru wanita terbabit mengarahkan beberapa kanak-kanak beratur untuk menerima hukuman seorang demi seorang kerana mereka membuat bising ketika sesi pembelajaran.


Guru yang dikenali dengan nama keluarga Chen itu pada mulanya menggunakan glue gun pada tapak tangan seorang murid lelaki sebelum murid itu menarik tangannya akibat kepanasan.


Chen kemudian mengheret kanak-kanak perempuan berusia empat tahun ke hadapannya lalu bertindak kejam menggunakan alat berkenaan pada bibir mangsa.


Seorang guru lelaki yang berada berhampiran di dalam kelas turut dilihat tidak mengambil sebarang tindakan untuk menghalang perbuatan berkenaan.


Pada waktu malam, bibir kanak-kanak perempuan itu mula melepuh sebelum menjadi semakin parah dan bernanah menyebabkan mangsa menangis kesakitan lalu mendorong ibu bapanya membawanya ke hospital dan membuat laporan polis.


Ibu mangsa yang dikenali sebagai Zhou meluahkan rasa hiba apabila menonton rakaman video berkenaan bersama pihak polis, sambil mempersoalkan tindakan tidak berperikemanusiaan itu.


Zhou turut memaklumkan bahawa bukti rakaman video itu bercanggah dengan penjelasan awal Chen yang mendakwa luka itu berpunca daripada kecuaian anaknya. Guru itu mendakwa kanak-kanak itu tercedera ketika persiapan menggunakan alat kraftangan untuk menghias bilik darjah.


Kes itu masih dalam siasatan polis, manakala pihak berkuasa pendidikan tempatan memaklumkan bahawa beberapa guru dihantar untuk memberikan bimbingan psikologi kepada murid-murid di kelas berkenaan.

Jurujual kereta mengaku bersalah simpan gambar, video bogel kanak-kanak umur 9 tahun

Jurujual kereta mengaku bersalah simpan gambar, video bogel kanak-kanak umur 9 tahun


Jurujual kereta mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Muar, hari ini, atas tuduhan menyimpan bahan pornografi berupa gambar dan video bogel seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun.


Majistret Kartini Kasran kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000 terhadap Tan Yean Xuen, 26, selepas tertuduh mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.


Pada masa sama, mahkamah memerintahkan tertuduh dikenakan penjara tambahan enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda. Tertuduh membayar denda itu.


Mengikut pertuduhan, dia yang masih bujang didakwa dalam milikannya berupa pornografi kanak-kanak di dalam telefon bimbit.


Kesalahan itu dilakukan di pejabat pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pada jam 6 petang, 7 Jun lalu didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.


Berdasarkan fakta kes, lelaki berusia 49 tahun yang juga bapa kanak-kanak terbabit memeriksa telefon bimbit dan mendapati anaknya menghantar gambar serta video bogel kepada seorang lelaki tidak dikenali.


Disebabkan bimbang gambar dan video anaknya disalahgunakan, lelaki terbabit kemudiannya membuat laporan polis.


Pada jam 1.30 tengah hari keesokan hari, polis berjaya menahan tertuduh di Bandar Puteri, Klang, Selangor sebelum dibawa ke IPD Muar untuk tindakan lanjut.


Pemeriksaan menemukan beberapa keping gambar serta video kanak-kanak dalam telefon bimbit tertuduh.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yasmin Mohd Piah manakala tertuduh diwakili peguam, Fatimah Zahra Azmi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Jumlah Rohingya di Malaysia bakal atasi populasi Orang Asli, data DOSM

Jumlah Rohingya di Malaysia bakal atasi populasi Orang Asli, data DOSM


DATA Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Oktober tahun lalu mendedahkan populasi Orang Asli di Malaysia dianggarkan meningkat kepada 227,900 orang (2025) berbanding 213,461 (2020).


Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berdasarkan Laporan Khas Demografi Orang Asli dikeluarkan jabatan berkenaan.


Bagaimanapun, terdapat perkara yang menjadi kebimbangan di mana menurut data Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), dianggarkan sehingga 126,000 Rohingya berdaftar di Malaysia setakat Februari lepas.


Tidak cuma itu, Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Salawati Mat Basir mendedahkan jumlah Rohingya kini dianggarkan melebihi 200,000 orang (termasuk yang tidak berdaftar).


Populasi etnik tersebut hampir mengatasi jumlah Orang Asli di negara ini.


Ini bermakna jurang antara kedua-dua kumpulan semakin mengecil sekiranya pertumbuhan komuniti Rohingya terus berlaku melalui kelahiran dan kemasukan baharu.


Dalam senario tertentu, lambakan Rohingya berpotensi menghampiri atau mengatasi populasi Orang Asli beberapa dekad lagi.


Bagaimanapun, ramalan ini bergantung kepada sejauh mana keberkesanan penguatkuasaan dan kawalan sempadan, penempatan semula pelarian ke negara ketiga serta perkembangan politik di Myanmar.


Dari sudut sosial dan politik, isu sebegini sering dikaitkan dengan kebimbangan mengenai persaingan pekerjaan, kemudahan awam serta identiti nasional.


Namun perlu difahami bahawa Orang Asli ialah penduduk asal yang mempunyai kedudukan unik dalam sejarah dan perlembagaan negara, manakala Rohingya kebanyakannya berada di Malaysia sebagai pelarian atau pemohon suaka tanpa status kewarganegaraan jelas.


Oleh yang demikian, perbandingan semata-mata dari segi bilangan penduduk tidak semestinya menggambarkan pengaruh politik atau kedudukan undang-undang kedua-dua komuniti.


Tetapi hakikat bahawa jumlah Rohingya di negara ini sedang mengatasi populasi Orang Asli tidak boleh ditolak sepenuhnya jika trend semasa berterusan.


Perkara yang lebih penting untuk diperhalusi adalah bagaimana Malaysia menguruskan isu pelarian Rohingya, termasuk perihal kebajikan masyarakat Orang Asli secara seimbang demi kestabilan negara pada masa hadapan.

JIM gempur kedai warga asing di Sepang, 10 warganegara Indonesia dan 3 Bangladesh ditahan

JIM gempur kedai warga asing di Sepang, 10 warganegara Indonesia dan 3 Bangladesh ditahan


Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membongkar kegiatan beberapa premis perniagaan, di Sepang kelmarin yang disyaki dikendalikan sepenuhnya oleh warga asing menggunakan lesen milik warganegara tempatan.


Operasi oleh Bahagian Penguatkuasaan JIM Putrajaya yang bermula jam 10.20 pagi itu memeriksa enam premis perniagaan terdiri daripada kedai runcit dan pasar raya mini di kawasan tumpuan warga asing.


Ketua Pengarah JIM Datuk Zakaria Shaaban berkata, opeasi itu bukan sahaja menyasarkan premis perniagaan yang disyaki milik warga asing tetapi juga kesalahan-kesalahan yang berkaitan penyalahgunaan pas oleh warga asing.


"Hasil pemeriksaan, seramai 13 warganegara asing terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita warganegara Indonesia serta tiga lelaki warganegara Bangladesh yang disyaki menjalankan aktiviti perniagaan dan menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) dengan berkerja di premis-premis tersebut ditahan.


"Modus operandi kebanyakan perniagaan ini disyaki menggunakan lesen perniagaan yang didaftarkan atas nama warganegara Malaysia tetapi dioperasikan sepenuhnya oleh warga asing.


"Ia termasuk pembayaran dalam talian yang menggunakan kod respon pantas (QR) ke akaun bank pemilik yang disyaki warga asing," katanya dalam kenyataan, malam ini.


Beliau berkata, sebahagian premis juga didapati menjual produk dan barangan yang khusus untuk pelanggan warga asing khususnya warga Bangladesh.


Katanya, kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.


"Kes disiasat di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.


Dalam pada itu, Zakaria berkata, pihaknya akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.

Rabu, 10 Jun 2026

74 NGO antarabangsa minta hentikan gelombang kebencian terhadap Rohingya

74 NGO antarabangsa minta hentikan gelombang kebencian terhadap Rohingya


Sebanyak 74 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia dan pelbagai negara menggesa semua pihak menghentikan gelombang kebencian serta diskriminasi terhadap komuniti Rohingya yang semakin membimbangkan di negara ini.


Dalam satu kenyataan yang disokong 74 NGO itu, Jawatankuasa Penganjur Kebangsaan Malaysia bagi Persidangan Masyarakat Sivil ASEAN/Forum Rakyat ASEAN (ACSC/APF Malaysia) berkata, kempen kebencian terhadap Rohingya merupakan pencabulan hak asasi manusia yang tidak boleh diterima.


Menurutnya, ia termasuk dari segi petisyen dalam talian yang menggesa etnik tersebut disingkirkan dari Malaysia.


Katanya, retorik sedemikian bukan sahaja menjejaskan maruah komuniti Rohingya malah mengalihkan perhatian daripada punca sebenar krisis yang mereka hadapi di Myanmar.


"Gelombang kebencian terhadap Rohingya adalah manifestasi jelas xenofobia yang semakin membarah apabila mangsa penganiayaan dipersalahkan, sedangkan pihak yang melakukan penindasan terlepas daripada pertanggungjawaban.


"Rohingya merupakan komuniti yang telah lama menetap di Myanmar sebelum dilucutkan kewarganegaraan mereka pada tahun 1982 melalui dasar yang didorong fahaman ultra-nasionalisme," katanya pada Selasa.


ACSC/APF Malaysia berkata, masyarakat antarabangsa perlu memahami bahawa majoriti Rohingya yang berada di negara-negara jiran termasuk Malaysia melarikan diri daripada konflik bersenjata, diskriminasi sistematik dan pelanggaran hak asasi manusia yang berterusan di negeri Rakhine.


Menurutnya, keadaan di wilayah tersebut masih tidak selamat apabila konflik antara junta tentera Myanmar dan Tentera Arakan terus meragut nyawa orang awam.


Katanya, antara November 2025 hingga April 2026, sebanyak 411 pertempuran bersenjata dan serangan terhadap orang awam direkodkan, menyebabkan sekurang-kurangnya 288 individu terbunuh termasuk wanita dan kanak-kanak.


"Dalam keadaan konflik yang semakin memuncak, memaksa Rohingya pulang ke zon perang bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, malah merupakan tindakan yang amat kejam.


"Sebarang usaha mengusir mereka ke kawasan yang masih berdepan penganiayaan dan ketidakstabilan hanya akan menghapuskan identiti, sejarah serta hubungan mereka dengan tanah asal," tambahnya.


Pada masa sama, ACSC/APF Malaysia turut menyuarakan kebimbangan bahawa kempen kebencian terhadap Rohingya boleh melemahkan usaha masyarakat antarabangsa untuk menuntut keadilan terhadap pelaku jenayah kemanusiaan di Myanmar.


Ujarnya, naratif kebencian dan maklumat mengelirukan yang disebarkan di beberapa platform telah menghalang usaha global untuk memastikan pihak yang bertanggungjawab terhadap kekejaman ke atas Rohingya dibawa ke muka pengadilan.


Sehubungan itu, ACSC/APF Malaysia menggesa platform petisyen dalam talian memadamkan kempen yang menyeru penyingkiran Rohingya dari Malaysia kerana didakwa melanggar garis panduan komuniti berkaitan kebencian, diskriminasi dan penyebaran maklumat palsu.


Selain itu, mereka turut menggesa Malaysia meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 serta Protokol 1967 dan menggubal kerangka perundangan yang komprehensif bagi melindungi hak, keselamatan dan maruah pelarian termasuk komuniti Rohingya.


"Dasar berkaitan pelarian perlu dibangunkan berteraskan keadilan dengan mengimbangi tanggungjawab kemanusiaan dan kepentingan negara.


"Bahasa yang merendahkan martabat manusia serta serangan terhadap komuniti rentan tidak boleh diterima dan perlu ditolak sepenuhnya," katanya.


NGO luar negara yang menyokong kenyataan itu termasuklah Action Committee for Democracy Development, Burma Campaign United Kingdom (UK), Asia Justice and Rights (AJAR), Manushya Foundation, India for Myanmar dan National Rural Women Coalition dari Filipina.


Pertubuhan dari Malaysia pula antaranya All Women's Action Society (AWAM), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), SIS Forum serta Pusat KOMAS.

Bagi alasan kurang kasih sayang punca lakukan amang seksual terhadap dua remaja perempuan

Bagi alasan kurang kasih sayang punca lakukan amang seksual terhadap dua remaja perempuan


Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja perempuan di hadapan sebuah sekolah di Wakaf Bharu, Tumpat baru-baru ini.


Tertuduh, Abd Sofar Abd Satar, 48, membuat pengakuan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.


Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh anggota badan bagi maksud seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun empat bulan.


Bagi pertuduhan kedua, Abd Sofar dituduh melakukan perbuatan sama terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun.


Kedua-kedua kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah sekolah di Wakaf Bharu, Tumpat jam 1.30 tengah hari pada 20 Mei 2026 dan jam 1.40 tengah hari pada 31 Mac 2026.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.


Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na'ilah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Terdahulu, Siti Aiysha Na'ilah berkata, pihak pendakwaan dimaklumkan bahawa tertuduh memiliki kad OKU kategori mental.


Menurutnya, pihak pendakwaan memohon agar tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan di Perak untuk menjalani pemeriksaan mental selama sebulan.


Abd Sofar dalam rayuannya memaklumkan dia sudah bertaubat dan insaf dengan perbuatan berkenaan.


"Saya jadi macam ini kerana kurang kasih sayang," katanya.


Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk menjalani pemeriksaan mental selama sebulan sebelum sebarang hukuman atau keputusan diputuskan. Mahkamah turut menetapkan 8 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Imigresen lumpuhkan 2 sindiket 'jual' pekerja asing kaut untung atas angin

Imigresen lumpuhkan 2 sindiket 'jual' pekerja asing kaut untung atas angin


Jabatan Imigresen Johor menumpaskan dua sindiket yang mengeksploitasi Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dengan membekalkan pekerja asing secara tidak sah di bandar raya ini baru-baru ini.


Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, berkata sindiket dikesan menggunakan syarikat yang mempunyai kuota pekerja asing namun tidak menggunakan pekerja terbabit untuk perniagaan yang didaftarkan.


Sebaliknya, katanya, sindiket berkenaan menjual dan membekal pekerja asing yang mempunyai permit kerja PLKS kepada majikan lain dan mengaut keuntungan 'atas angin'.


"Dalam operasi pertama di sebuah pejabat agensi pengurusan pekerja asing di Pusat Perdagangan Pandan pada 4 Jun lalu, kita menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 33 tahun kerana tinggal lebih masa di negara ini.


"Turut dirampas 36 pasport Bangladesh dan India serta wang tunai RM5,000 yang dipercayai hasil urus niaga agensi berkenaan," katanya dalam kenyataan.


Mohd Rusdi berkata, operasi kedua dilakukan di sebuah pejabat agensi pengurusan pekerja asing di Taman Setia Tropika dan dua pangsapuri di Taman Kempas Utama semalam.


Katanya, selain dua ejen serta empat pekerja asing yang tinggal lebih masa ditahan, pihaknya turut merampas 48 pasport Bangladesh, wang tunai RM4,300 serta menyita dua kenderaan yang dipercayai digunakan sindiket.


"Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai membekalkan sehingga 500 pekerja asing di seluruh negeri ini.


"Keuntungan bersih yang diperoleh sindiket dianggarkan mencecah RM225,000 sebulan hasil aktiviti membekalkan pekerja asing kepada majikan lain," ujarnya.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c); Seksyen 56(1)(d); Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.


Penguat Kuasa Imigresen menahan pendatang asing dipercayai ahli sindiket 'menjual' pekerja asing. - Foto Imigresen.