Jumaat, 15 Mei 2026

Juruteknik berusia 33 tahun ditemukan maut dipercayai ditikam berkali-kali

Juruteknik berusia 33 tahun ditemukan maut dipercayai ditikam berkali-kali

(Foto dijana AI)

Seorang juruteknik berusia 33 tahun yang ditemukan maut di sebuah unit pangsapuri di Prima Tebrau, Johor Bahru malam kelmarin dipercayai ditikam berkali-kali.


New Straits Times (NST) difahamkan polis meminta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada penduduk bagi membantu siasatan dan mendapatkan bukti rakaman penting berkaitan kejadian itu.


Menurut sumber, rakaman persendirian diminta kerana kebanyakan CCTV di pangsapuri berkenaan sedang menjalani kerja penyelenggaraan dan hanya kamera di pintu keluar utama berfungsi ketika kejadian.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat ketika dihubungi malam tadi mengesahkan pihaknya menerima laporan pada jam 11.12 malam selepas mayat lelaki itu ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di dalam unit berkenaan.


"Mangsa ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah kira-kira jam 10.50 malam. Sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu turut ditemukan di sisi mangsa," katanya.


Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, mangsa ditemukan selepas rakan sekerjanya meminta bantuan pengawal keselamatan pangsapuri berkenaan.


Katanya, mangsa yang dikenali sebagai Salleh dipercayai tidak hadir bekerja sejak tiga hari lalu. Dengan bantuan pengawal keselamatan, mereka pergi ke unit di Blok A sebelum mendapati pintu jeriji dan pintu utama rumah itu terbuka sedikit.


"Mereka kemudian terhidu bau hanyir darah dari dalam rumah sebelum menemukan mangsa terbaring di lantai dan terus menghubungi polis.


"Kami dimaklumkan mangsa ditikam berkali-kali dengan hampir sembilan kesan tikaman termasuk pada bahagian mata," katanya.


Menurutnya, pihak pengurusan pangsapuri turut meminta rakaman CCTV antara jam 6 pagi hingga 9 pagi dari 11 hingga 12 Mei selain rakaman dashcam di kawasan parkir terutama berhampiran lot parkir mangsa bagi membantu siasatan.


Media semalam melaporkan seorang juruteknik ditemukan maut dipercayai dibunuh di dalam sebuah rumah pangsapuri, di Johor Bahru.

Sorok dadah dan telefon bimbit dalam sel lokap di Balai Polis Sentral Ipoh

Sorok dadah dan telefon bimbit dalam sel lokap di Balai Polis Sentral Ipoh

(Foto dijana AI)

Pemeriksaan mengejut yang dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak membongkar penemuan pelbagai barangan terlarang, termasuk dadah, telefon bimbit dan senjata tajam di dalam sebuah sel lokap di Balai Polis Sentral, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.


Serbuan yang dijalankan Selasa lalu bermula jam 9.30 malam hingga 3 pagi itu bertindak atas maklumat awam yang diterima pihak berkuasa.


Pemeriksaan yang tertumpu di lokap yang menempatkan empat orang Orang Kena Tahan (OKT) lelaki, membawa kepada penemuan awal sebuah telefon pintar jenis Vivo pada tubuh salah seorang tahanan.


Pemeriksaan lanjut di dalam sel yang disaksikan oleh semua OKT kemudiannya merungkai penemuan lebih mengejutkan.


Polis menemui sebuah kotak bertulis Fire Sens yang menyembunyikan 22 paket plastik lutsinar dipercayai dadah jenis heroin seberat 4.23 gram serta satu paket disyaki methamphetamine seberat 1.6 gram.


Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti bagaimana pelbagai barangan terlarang termasuk dadah dan telefon bimbit boleh diseludup masuk ke dalam sel lokap balai polis berkenaan.


"OKT yang dikaitkan dengan penemuan itu sebenarnya adalah tahanan transit dari Taiping yang ditempatkan sementara di lokap berkenaan," katanya.


Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, OKT terbabit berada di IPD Ipoh atas urusan perbicaraan di mahkamah.


"Kami sedang siasat bagaimana dan dari mana dia (OKT) bawa masuk barang-barang berkenaan. Ini kerana OKT itu sebenarnya hanya 'menumpang' di lokap kami untuk tujuan perbicaraan. Dia dari Taiping, bukan tahanan asal kami (IPD Ipoh). Jadi, kami masih siasat bagaimana (barang terlarang) boleh lepas ke dalam," katanya.


Susulan operasi berkenaan, satu laporan polis dibuat di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ipoh.


Difahamkan, semua barang kes berkaitan dadah dan alat komunikasi diserahkan kepada pihak BSJND dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak untuk rakaman percakapan risikan bagi mengenal pasti dalang aktiviti pengedaran dadah di dalam lokap.

Khamis, 14 Mei 2026

Amang seksual tiga murid lelaki di masjid, guru mengaji dipenjara 9 tahun dan tiga sebatan

Amang seksual tiga murid lelaki di masjid, guru mengaji dipenjara 9 tahun dan tiga sebatan


Seorang guru mengaji al-Quran menangis di hadapan hakim dan merayu supaya hukumannya diringankan atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap tiga anak murid lelakinya, dalam tempoh tiga tahun bermula 2023.


Tertuduh, Hanafi Hassan, 64, dihukum penjara sembilan tahun dan tiga sebatan oleh Hakim Zulkpli Abdullah selepas mengaku bersalah atas kesemua sembilan pertuduhan melibatkan tiga mangsa kanak-kanak lelaki berusia 9, 10 dan 11 tahun.


Hanafi memohon hukumannya diringankan atas alasan sudah berusia selain turut menjadi penanggung tunggal keluarga.


"Assalamualaikum tuan, pak cik mohon tuan ringankan hukuman pak cik seringan-ringannya memandangkan pak cik sudah tua.


"Pak cik ada empat anak berusia lebih 30 hingga 25 tahun, seorang anak orang kurang upaya berusia 27 tahun dan pak cik seorang saja bekerja jadi tulang belakang keluarga.


"Pak cik menyesal di atas perbuatan terkutuk ini, pak cik merayu hukuman seringan-ringannya," rayunya.


Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak bermula ketika mangsa berusia sembilan tahun empat bulan pada Mei 2023, 16 Mac 2024, 26 Januari dan 11 Oktober tahun lepas.


Bagi pertuduhan kelima hingga tujuh, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap kanak-kanak berbeza bermula semasa mangsa berusia sembilan tahun 11 bulan pada 25 September, 2 Oktober dan 24 Oktober tahun lepas.


Pada pertuduhan lapan dan sembilan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi kanak-kanak lain berusia 11 tahun dua bulan pada 23 November dan 7 Disember tahun lepas.


Kejadian-kejadian berlaku berasingan antara jam 8 pagi hingga 5.45 petang di tandas, bilik mandi dan stor di dua masjid serta sebuah stor kedai gunting rambut di Kusial Bharu, Tanah Merah.


Kesemua kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.


Pada prosiding itu, selepas tertuduh mengemukakan rayuannya, Siti Aiysha Na’ilah pula berhujah satu hukuman berat penting bagi menyampaikan mesej bahawa kesalahan seksual terhadap kanak-kanak merupakan jenayah serius dan tidak terus menjadi barah dalam masyarakat.

Polis Arau buru lelaki warga asing ceroboh sekolah, peluk, cium beberapa murid

Polis Arau buru lelaki warga asing ceroboh sekolah, peluk, cium beberapa murid


Polis memburu seorang lelaki warga asing bagi membantu siasatan insiden tular membabitkan dakwaan cubaan culik dan gangguan fizikal terhadap murid sekolah, di Arau semalam.


Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pengadu berusia 41 tahun pada jam 1 tengah hari tadi.


Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, ketika kejadian pada jam 5.45 petang semalam, pengadu bersama isterinya sedang melatih pelajar kelas silat di padang sekolah rendah berkenaan.


"Pengadu mendapati seorang lelaki warga asing masuk ke pekarangan sekolah melalui pintu pagar belakang, terus ke kawasan padang tempat mereka berlatih. Suspek kemudian bertindak memegang, mengangkat serta mencium beberapa murid lelaki tanpa sebab munasabah," katanya.


Ahmad Mohsin berkata, pengadu yang curiga dan bimbang suspek mempunyai niat buruk segera menghalang perbuatan lelaki terbabit, mengarahkan suspek beredar dari kawasan itu sebelum dibantu pengawal keselamatan sekolah yang tiba untuk mengusirnya dengan segera.


"Suspek terus beredar meninggalkan kawasan sekolah dan melarikan diri menuju ke kawasan hutan berdekatan. Pengadu juga memaklumkan bahawa suspek didapati tidak mahir menggunakan bahasa Melayu, sebaliknya hanya bercakap dalam bahasa Thailand," katanya.


Susulan kejadian itu, beliau berkata, polis sudah berjumpa bersama pihak sekolah bagi mengesahkan insiden berkenaan dan dimaklumkan mereka sudah berbincang bersama pengadu dan menasihatkannya membuat laporan polis demi keselamatan murid lain.


"Laporan itu dirujuk kepada pegawai penyiasat jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau dan usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan suspek terbabit," katanya.

Geng pecah rumah warga China ditahan, cuba rempuh anggota polis

Geng pecah rumah warga China ditahan, cuba rempuh anggota polis


Tindakan empat lelaki warga China memecut laju kenderaan dan cuba merempuh sekatan jalan raya (SJR) mengundang padah apabila mereka ditahan di Kampung Wai, Kuala Perlis.


Penahanan semua suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah itu turut membongkar penemuan pelbagai peralatan, termasuk alat penyamaran menggunakan rambut palsu.


Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata tangkapan jam 4.30 petang semalam itu dilakukan susulan maklumat awam mengenai kenderaan jenis Toyota Innova dalam keadaan mencurigakan di Taman Sentosa, Kuala Perlis.


Beliau berkata, sepasukan anggota polis yang tiba di lokasi menghampiri kenderaan itu sambil memperkenalkan diri serta mempamerkan kad kuasa.


"Bagaimanapun, kenderaan berkenaan secara tiba-tiba memecut laju untuk melarikan diri, namun dapat diekori pihak polis.


"Suspek kemudian cuba merempuh SJR di Kampung Wai, namun kenderaan itu berjaya ditahan dengan bantuan anggota bertugas di laluan terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.


Yusharifuddin berkata, ketika anggota polis sekali lagi mengarahkan suspek membuka pintu, keempat-keempat lelaki itu enggan memberikan kerjasama.


"Suspek secara tiba-tiba bertindak mengundurkan kenderaan dan hampir melanggar anggota polis, memaksa pasukan bertindak memecahkan cermin belakang serta cermin penumpang hadapan untuk membuka pintu.


"Semua suspek cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan ketika tangkapan, namun mereka berjaya diberkas dan dibawa ke Balai Polis Kuala Perlis," katanya.


Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk kegiatan pecah rumah


"Antara barangan dirampas termasuk empat batang besi, sepana boleh laras, alat pemotong, pemutar skru dan satu alat berbentuk 'T' yang diubah suai dipercayai bertindak sebagai 'master key'.


"Polis turut merampas dua rambut palsu, empat topeng muka, sarung tangan, dua set 'walkie-talkie', lampu suluh, telefon bimbit, wang tunai, pasport serta kenderaan Toyota Innova yang didapati disewa di Kuala Lumpur," katanya.


Yusharifuddin berkata, siasatan awal mendapati semua suspek berusia 45 hingga 52 tahun masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5 Mei lalu sebagai pelancong dan tidak mempunyai pekerjaan di negara ini.


"Semakan mendapati semua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lalu dan saringan awal air kencing adalah negatif.


Keempat-empat suspek direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Rabu, 13 Mei 2026

JPJ Kuala Lumpur sita kereta hadiah hari jadi, disyaki kenderaan klon

JPJ Kuala Lumpur sita kereta hadiah hari jadi, disyaki kenderaan klon


Sebuah kereta Honda Mobilio yang didakwa dibeli sebagai hadiah hari jadi disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur selepas disyaki kenderaan klon dalam Ops Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) di Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur semalam.


Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, kenderaan berwarna perak itu ditahan kira-kira jam 7 malam selepas didapati melakukan kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.


"Hasil semakan lanjut mendapati jenis dan model kenderaan berkenaan tidak sepadan dengan maklumat yang direkodkan di dalam sistem MySikap.


"Pemeriksaan terhadap nombor casis dan nombor enjin turut mendapati tiada rekod pendaftaran sah bagi kenderaan berkenaan, sekali gus menimbulkan syak bahawa ia adalah sebuah kenderaan klon," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, ketika ditahan kenderaan itu dipandu wanita tempatan berusia 34 tahun yang bekerja sebagai tukang masak.


Katanya, wanita terbabit memaklumkan dia tidak mengetahui status sebenar kenderaan itu dan hanya menggunakannya sejak kira-kira seminggu lalu selepas dipinjamkan oleh ahli keluarganya.


"Wanita itu memaklumkan bahawa kenderaan berkenaan ialah hadiah hari jadi kepada ibu mereka, yang diuruskan pembeliannya oleh abangnya yang berdomisil di Singapura," katanya.


Hamidi berkata, pihaknya mengeluarkan Notis Saman P22 serta menyita kenderaan itu mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut.


Selain itu, katanya, antara kesalahan dikenal pasti ialah menggunakan kenderaan tidak berdaftar mengikut Seksyen 7(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, mempamerkan nombor pendaftaran bukan kepunyaan kenderaan itu mengikut Seksyen 108(3)(f) akta sama serta tiada perlindungan insurans mengikut Seksyen 90(1) akta berkenaan.


Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya memandang serius penggunaan kenderaan klon kerana ia bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya serta menyukarkan proses penguatkuasaan.


"Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa memastikan status pemilikan dan pendaftaran sesebuah kenderaan disemak terlebih dahulu sebelum membeli, menggunakan atau menerima kenderaan daripada mana-mana pihak bagi mengelakkan terlibat dengan kesalahan berkaitan kenderaan klon.


"JPJ WPKL akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras penggunaan kenderaan tidak sah dan memastikan pematuhan terhadap peruntukan undang-undang jalan raya," katanya.

Bakal pengantin ditangkap berkhalwat, lelaki panjat siling elak dicekup

Bakal pengantin ditangkap berkhalwat, lelaki panjat siling elak dicekup


Mendakwa bakal berkahwin beberapa minggu lagi, namun alasan itu tidak dapat menyelamatkan seorang lelaki dan wanita berusia 20-an daripada ditahan atas kesalahan berkhalwat.


Malah, ketika serbuan dibuat, lelaki bujang itu ditemukan bersembunyi di atas siling rumah dipercayai untuk menyelamatkan diri sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).


JAINJ dalam satu kenyataan berkata, pihaknya bertindak menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di sebuah taman perumahan dekat daerah ini pada jam 2.30 pagi tadi.


"Seorang wanita berbaju 'kelawar' membuka pintu rumah dan terdapat seorang nenek tidur di atas katil dekat ruang tamu.


"Wanita itu mendakwa hanya dia dan neneknya sahaja di dalam rumah tanpa orang lain, namun pemeriksaan menemukan telefon dan dompet milik lelaki menyebabkan penguat kuasa mengesyaki ada orang lain di rumah berkenaan," katanya dalam kenyataannya, hari ini.


Menurut JAINJ, penguat kuasa membuat keputusan memanjat siling rumah untuk pemeriksaan sebelum menemukan seorang lelaki mencangkung dan berpaut di kayu galang siling.


"Penguat kuasa mengarahkan lelaki itu turun dan hasil soal siasat mendapati pasangan berkenaan bukan suami isteri.


"Kedua-dua mereka masih bujang dengan lelaki itu bekerja di daerah ini, manakala wanita berniaga atas talian dan sambilan dari rumah," katanya.


JAINJ berkata, hasil siasatan, pasangan ini akan bernikah beberapa minggu lagi dan urusan di pejabat kadi sudah selesai.


Bagaimanapun, katanya, pasangan ini ditangkap khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997.


Suspek kurung, dera dan liwat remaja di Bukit Kemuning ada rekod lampau rogol dan rompak

Suspek kurung, dera dan liwat remaja di Bukit Kemuning ada rekod lampau rogol dan rompak


Lelaki yang diburu polis selepas mengurung, mendera dan meliwat seorang remaja lelaki di sebuah unit pangsapuri di Bukit Kemuning, kelmarin, memiliki rekod lampau merogol, mengurung dan merompak seorang wanita, 18 tahun lalu.


Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, suspek sudah disabitkan dengan kesalahan berkenaan dan dimasukkan ke penjara pada 2008.


"Semakan dibuat, memang suspek ada rekod jenayah lampau seperti dinyatakan dan terima hukuman," katanya ringkas ketika dihubungi.


"Semakan dibuat, memang suspek ada rekod jenayah lampau seperti dinyatakan dan terima hukuman," katanya ringkas ketika dihubungi.


Ketika ditanya perkembangan terbaru dalam mengesan suspek, Ramsay berkata, sebarang perkembangan akan dimaklumkan.


Semalam, media melaporkan seorang remaja lelaki mendakwa dikurung, didera termasuk dipercayai diliwat lelaki tidak dikenali di sebuah pangsapuri di Bukit Kemuning, Shah Alam kelmarin.


Ramsay berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian menimpa remaja berusia 14 tahun itu jam 12 tengah hari selepas diselamatkan jiran berdekatan selepas kira-kira tiga jam dikurung dalam rumah berkenaan.


Siasatan awal mendapati suspek memperdaya mangsa dengan mengajak remaja itu berbual sebelum menawarkan satu pakej Internet telefon bimbit, berserta syarat mangsa membantu mengangkat barang dalam rumah.


Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mangsa dikesan berjalan bersama suspek sekitar jam 8.05 pagi.

Ketua Menteri Tamil Nadu, C Joseph Vijay arah tutup 717 kedai arak

Ketua Menteri Tamil Nadu, C Joseph Vijay arah tutup 717 kedai arak


Dalam satu tindakan besar-besaran, Ketua Menteri Tamil Nadu yang baharu mengangkat sumpah, C Joseph Vijay, telah mengarahkan penutupan lebih 700 kedai arak di negeri itu, dengan arahan supaya pelaksanaan dilakukan dalam tempoh dua minggu, menurut satu notis kerajaan.


Langkah tegas Vijay muncul selepas beberapa hari beliau memegang jawatan dengan mengarah petutupan 717 kedai arak di bawah kendalian Tamil Nadu State Marketing Corporation (TASMAC).


Arahan tersebut merupakan antara tindakan pertama yang dibuat Vijay, bekas pelakon yang kini bergelar ahli politik, selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, Ahad lalu.


Partinya, Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) memenangi 108 kerusi dalam pilihan raya Tamil Nadu yang baru selesai dan berjaya membentuk kerajaan dengan sokongan beberapa parti lain sehingga mencapai majoriti 118 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 234 kerusi.


Kerajaan Tamil Nadu semalam memaklumkan bahawa Vijay telah mengeluarkan arahan untuk menutup 717 kedai arak yang terletak dalam lingkungan 500 meter dari rumah ibadat, institusi pendidikan dan stesen bas.


Menurut kenyataan rasmi, tindakan ini diambil demi menjaga kebajikan rakyat. Daripada jumlah itu, 276 kedai berhampiran rumah ibadat, 186 berhampiran institusi pendidikan dan 255 kedai berhampiran stesen bas yang akan ditutup dalam tempoh dua minggu akan datang.


Ketua Menteri turut mengarahkan supaya arahan ini dilaksanakan sepenuhnya dalam masa dua minggu demi kepentingan orang ramai.


"Ketika ini, sebanyak 4,765 kedai runcit arak dikendalikan oleh TASMAC. Antara jumlah itu, Ketua Menteri, S Joseph Vijay, telah mengarahkan satu audit bagi mengenal pasti kedai yang terletak dalam lingkungan 500 meter dari rumah ibadat, institusi pendidikan dan stesen bas," menurut kenyataan rasmi pada Selasa.


Manifesto pilihan raya TVK sebelum ini turut menjanjikan usaha untuk menjadikan Tamil Nadu negeri bebas dadah. - SumberHindustan Times.

Selasa, 12 Mei 2026

Remaja dirogol ketika pulang dari kenduri kahwin di Tawau

Remaja dirogol ketika pulang dari kenduri kahwin di Tawau


Seorang remaja perempuan dipercayai menjadi mangsa rogol ketika dalam perjalanan pulang dari sebuah majlis kenduri kahwin di kawasan perumahan pekerja sebuah ladang di daerah Tawau, Ahad lalu.


Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa berusia 17 tahun diserang secara seksual oleh seorang lelaki yang dikenalinya.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada bapa tiri mangsa.


"Laporan polis dibuat kira-kira jam 12.55 tengah malam Isnin selepas dimaklumkan oleh anak tirinya bahawa dia telah menjadi mangsa serangan seksual oleh seorang lelaki yang dikenali.


"Menurutnya, mangsa mendakwa ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri satu majlis kenduri kahwin, dia telah ditahan dan ditarik masuk ke dalam rumah suspek yang dikenalinya sebelum bertindak menutup mulut menggunakan kain lalu merogolnya," katanya dalam kenyataan.


Susulan laporan tersebut, Jasmin berkata, sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai bersama anggota Polis Bantuan Sabah Softwood Berhad melancarkan operasi mengesan suspek.


"Hasil tindakan pantas itu, polis berjaya memberkas buruh yang juga merupakan seorang warga asing berusia sekitar 20-an kira-kira jam 12.10 tengah malam di hadapan perumahan pekerja di sini.


"Turut dirampas beberapa barang kes termasuk sehelai baju, seluar serta tilam yang dipercayai digunakan ketika kejadian untuk membantu siasatan," katanya.


Tambah Jasmin lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol. Siasatan lanjut mengenai kes ini dijalankan secara menyeluruh.


"Dalam pada itu, orang ramai diharap sentiasa berwaspada dan segera membuat laporan sekiranya melihat sebarang tingkah laku mencurigakan demi menjaga keselamatan diri dan jiran tetangga," katanya.