Ahad, 4 Januari 2026

Lelaki mengaku nabi ditahan, ramalan dunia kiamat pada 2025 gagal

Lelaki mengaku nabi ditahan, ramalan dunia kiamat pada 2025 gagal


Seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai nabi, dikenali sebagai Ebo Noah, ditahan polis Ghana selepas menyebarkan ramalan palsu bahawa dunia akan berakhir pada 25 Disember 2025, sekali gus mencetuskan ketakutan dan panik dalam kalangan penduduk tempatan.


Ebo Noah, atau nama sebenarnya Evans Eshun, ditahan oleh Pasukan Khas Pemeriksaan Siber Polis Ghana pada Rabu susulan penyebaran video tular yang mengandungi dakwaan tersebut.


Gambar lelaki itu dalam tahanan polis dengan tangan bergari turut tersebar luas di media sosial. Individu berkenaan sebelum ini mencuri perhatian selepas mendakwa membina sebuah 'bahtera Nabi Nuh versi moden' dan menggelarkan dirinya sebagai utusan Tuhan.


Dalam video yang tular, Ebo Noah mendakwa menerima amaran daripada Tuhan bahawa dunia akan musnah pada 25 Disember 2025 akibat hujan lebat dan banjir besar.


Beliau turut mendakwa diarahkan untuk membina bot bagi menyelamatkan manusia dan mendakwa telah membina 10 buah bot bagi tujuan tersebut.



Melalui akaun Instagram yang mempunyai kira-kira 32,000 pengikut, beliau memperkenalkan dirinya sebagai 'Ebo Jesus'.


Selain itu, beliau pernah memuat naik sebuah video di YouTube pada Ogos tahun lalu bertajuk What Will Happen and How It Will Happen, yang turut mengandungi dakwaan serupa.


Dalam video berkenaan, beliau mendakwa merancang untuk tinggal di bahtera tersebut selama kira-kira tiga tahun bagi menghadapi tempoh banjir besar yang kononnya akan melanda dunia.


Bagaimanapun, siasatan mendapati bahtera yang didakwa dibina oleh Ebo Noah sebenarnya bukan miliknya. Dalam perkembangan seterusnya, beliau mendakwa telah merayu kepada Tuhan supaya memberi lebih masa kepada manusia.


Dalam satu lagi video yang turut menjadi tular, Ebo Noah mendakwa bahawa usahanya berpuasa selama tiga minggu telah menyebabkan Tuhan 'menangguhkan' kemusnahan dunia.


Beliau malah menggesa orang ramai untuk bersuka ria dengan alasan bahawa bencana tersebut telah ditangguhkan.


Pihak berkuasa Ghana menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap sebarang penyebaran maklumat palsu yang boleh mengancam ketenteraman awam dan mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.

Ugutan potong lidah Shah Rukh Khan cetus kecaman di India

Ugutan potong lidah Shah Rukh Khan cetus kecaman di India


Seorang pemimpin Hindu Mahasabha mencetuskan kecaman meluas selepas mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap pelakon Bollywood terkenal, Shah Rukh Khan, dengan menawarkan ganjaran tunai sebanyak 100,000 rupee (RM4,500) kepada sesiapa yang 'memotong lidah' aktor berkenaan.


Kenyataan provokatif itu dibuat oleh Presiden Daerah All India Hindu Mahasabha, Meera Rathore di Agra ketika beliau bercakap kepada wartawan di Mathura pada Khamis lalu.


Rathore ketika itu berada di lokasi bagi merakam kenyataannya berkaitan kes Aniruddha Acharya Maharaj.


Dalam insiden sama, Rathore turut menghitamkan poster Shah Rukh Khan dan 'memukulnya' dengan selipar sebagai simbol bantahan, tindakan yang kemudiannya tular di media sosial.


Menurut Rathore, kenyataan tersebut didakwa dibuat susulan kemarahan terhadap keganasan yang berlaku ke atas penganut Hindu di Bangladesh.


Beliau menuduh Shah Rukh Khan, yang juga pemilik sebuah francais Liga Perdana India (IPL), bersikap tidak sensitif berhubung isu tersebut berikutan penglibatan pemain dari Bangladesh dalam pasukan berkenaan.


"Saudara-saudara Hindu kami dibakar hidup-hidup di Bangladesh, namun individu ini dikatakan membeli dan memberi makan kepada mereka.


"Jika perkara seperti ini berlaku kepada saudara kami, kami tidak akan berdiam diri," katanya sambil mengulangi tawaran ganjaran tersebut.


Kenyataan Rathore dibuat di tengah-tengah kemarahan beberapa pertubuhan Hindu di India susulan laporan keganasan terhadap penganut Hindu di Bangladesh, yang mencetuskan gesaan agar kerajaan India mengambil tindakan tegas.


Ini bukan kali pertama Shah Rukh Khan menjadi sasaran kritikan dalam konteks berkenaan.


Sebelum ini, penceramah agama Devaki Nandan Thakur serta pemimpin Parti Bharatiya Janata (BJP), Sangeet Som, turut mengeluarkan kenyataan terhadap aktor itu, termasuk melabelkannya sebagai pengkhianat.


Bagaimanapun, setakat ini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh kepimpinan tertinggi BJP atau tokoh politik kanan India berhubung kenyataan kontroversi tersebut.


Shah Rukh Khan pada asalnya tidak terlibat secara langsung dalam bantahan berkaitan keganasan di Bangladesh, namun penglibatannya sebagai pemilik francais IPL yang menampilkan pemain dari negara itu dilaporkan menjadi punca beliau dikaitkan dengan kontroversi berkenaan.

Dikejar anjing, penunggang motosikal maut, isteri dan anak cedera parah

Dikejar anjing, penunggang motosikal maut, isteri dan anak cedera parah


Seorang penunggang motosikal maut manakala isteri dan bayi lelakinya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan akibat dikejar seekor anjing dalam kemalangan di Jalan Empangan, Taman Murni Jaya, Machap, Simpang Renggam, malam tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa dikenali sebagai Amirul Azim Hamdan, 28, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.


Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal jenis Benelli TNT300 bersama isterinya yang juga berusia 28 tahun serta bayi lelaki berusia setahun lapan bulan dari arah Tasik Machap menuju ke kawasan perumahan Taman Murni.


Menurutnya, siasatan awal mendapati penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan selepas dikejar seekor anjing sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian belakang sebuah motolori jenis Scania yang diletakkan di bahu jalan sebelah kanan.


"Akibat perlanggaran tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


"Isteri dan bayi mangsa pula mengalami kecederaan di bahagian kepala dan telah dikejarkan ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang dengan ambulans," katanya dalam satu kenyataan pagi tadi.


Bahrin berkata, kedua-dua mangsa kini sedang menerima rawatan di Zon Merah, Wad Kecemasan hospital berkenaan.


Menurut beliau, pemandu lori, seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun, telah menjalani ujian saringan air kencing dan didapati negatif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Keadaan motosikal mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Empangan, Taman Murni Jaya, Machap. - Foto IPD Kluang.

Sabtu, 3 Januari 2026

Pegawai tentera didakwa bayar RM23,000 selepas noda gadis

Pegawai tentera didakwa bayar RM23,000 selepas noda gadis


Seorang pegawai tentera laut Thailand didakwa membayar 180,000 baht (RM23,000) kepada seorang gadis selepas dia menodainya di wilayah Chon Buri, lapor portal berita Thaiger.


Gadis berusia 23 tahun itu membuat aduan di Balai Polis Sattahip pada 30 Disember 2025 selepas dinoda dan ditinggalkan dalam keadaan tanpa seurat benang bogel awal pagi 28 Disember lepas.


Mangsa berkata, dia hanya mengetahui bahawa suspek ialah seorang pegawai tentera laut.


Menurut gadis itu, dia dan dua rakannya yang juga wanita, keluar minum di sebuah tempat hiburan sekitar pukul 10 malam (waktu tempatan).


Dua lelaki Thai kemudian menyertai meja tiga wanita tersebut dan memperkenalkan diri sebagai kelasi.


Apabila memutuskan untuk meninggalkan tempat hiburan itu, seorang lelaki lain menghampiri mangsa dan menawarkan untuk menghantarnya pulang.


Percaya bahawa lelaki itu adalah rakan kepada dua pelaut tadi, gadis tersebut bersetuju tetapi kemudian menyedari bahawa dia tidak dibawa ke tempat penginapannya.


Sebaliknya, lelaki itu memandunya ke sebuah penginapan tentera laut dan suspek cuba membawa gadis tersebut ke biliknya, tetapi mangsa menolak.


Wanita itu memberitahu polis bahawa dia tidak mampu melarikan diri dan dinodai di atas but sebuah kenderaan yang diparkir di penginapan tersebut.


Portal berita Matichon kemudian melaporkan bahawa mangsa menarik balik aduannya selepas suspek bersetuju untuk membayar 180,000 baht sebagai ganti rugi.


Seorang pegawai tentera laut didakwa merogol seorang gadis. - Foto Naewna.
'Ugutan pertama sejak 14 bulan pegang jawatan' - Ketua Polis Kelantan

'Ugutan pertama sejak 14 bulan pegang jawatan' - Ketua Polis Kelantan


Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, ugutan menerusi contengan menggunakan dakwat merah yang diterimanya baru-baru ini adalah yang pertama sejak beliau mengambil alih jawatan itu kira-kira 14 bulan lalu.


Beliau berkata, ugutan terbuka melalui tulisan pada dinding Lapang Sasar Menembak Kontinjen Polis Kelantan di Gunong, Bachok itu diterima pada 22 Disember lalu.


"Ugutan terbuka dengan mesej mengancam pada dinding itu adalah yang pertama saya terima sejak mengambil alih jawatan Ketua Polis Kelantan pada Oktober 2024.


"Sebelum ini, saya hanya dimaklumkan mengenai ugutan oleh pegawai Cawangan Khas," katanya.


Berdasarkan maklumat daripada pegawai Cawangan Khas, beliau berkata memang terdapat ugutan yang ditujukan kepadanya.


"Saya percaya ugutan itu ditujukan kepada saya berikutan pendirian tegas pihak polis dalam melaksanakan operasi terhadap semua bentuk kegiatan jenayah, termasuk dadah, pemberi pinjaman wang haram dan lain-lain," katanya.


Beliau berkata, polis negeri sudah menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi menjejaki pihak yang bertanggungjawab mencemarkan dinding perimeter lapang sasar menembak berkenaan.


"Tindakan itu mungkin dilakukan oleh remaja nakal, namun polis percaya terdapat individu tertentu di sebalik kejadian ini.


"Mereka yang bertanggungjawab boleh disifatkan sebagai tidak menghormati undang-undang kerana berani mengugut pegawai penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas membanteras jenayah.


"Kami akan mengesan mereka yang terbabit dengan mengumpul maklumat daripada penduduk setempat.


"Mereka tidak akan terlepas kerana perbuatan sedemikian seolah-olah mencabar pihak berkuasa," katanya.


Mohd Yusoff berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.


Beliau menegaskan ugutan itu tidak pernah melemahkan semangatnya untuk terus melaksanakan tanggungjawab membanteras jenayah di negeri ini serta mengekalkan keharmonian awam.


Semalam, Mohd Yusoff mengesahkan beliau menerima ugutan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket jenayah yang terjejas akibat tindakan tegas polis negeri terhadap kegiatan jenayah.

Berlagak samseng pegang kayu di plaza tol undang padah, polis buru dua individu

Berlagak samseng pegang kayu di plaza tol undang padah, polis buru dua individu


Tindakan dua individu berlagak samseng dengan memegang objek disyaki kayu di Plaza Tol Sungai Long, Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) mengundang padah apabila mereka kini diburu polis susulan kejadian itu pada Jumaat.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, laporan berkaitan kejadian berkenaan diterima pada jam 9.08 malam tadi.


"Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada hari sama kira-kira jam 9 pagi serta melibatkan dua individu dengan salah seorang daripadanya memegang objek disyaki kayu.


"Akibat insiden tersebut, aliran trafik di kawasan berkenaan terjejas dan menimbulkan kebimbangan orang awam," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.


Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


"Usaha mengesan kedua-dua suspek sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan lanjut.


"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Inspektor Ghazali Zulkifli di talian 016-974 0758," katanya.


Tindakan dua individu berlagak samseng mengundang padah apabila kedua mereka kini sedang diburu pihak polis.
Guan Eng akan tulis surat kepada PMX, syor kadar pelepasan cukai pendapatan individu dinaikkan

Guan Eng akan tulis surat kepada PMX, syor kadar pelepasan cukai pendapatan individu dinaikkan


Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, akan menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu depan, terkandung syor agar kerajaan menyemak semula kadar pelepasan cukai pendapatan individu.


Ahli Parlimen Bagan itu berharap kadar RM9,000 ketika ini yang kekal sejak 15 tahun lalu dinaikkan secara berperingkat kepada RM12,000.


Beliau berpandangan kadar semasa tidak lagi mencerminkan kos sara hidup semakin yang tinggi akibat inflasi.


"Kerana sekarang pelepasan cukai setahun apabila kita isi borang cukai ialah RM9,000. Tapi (kadar) ini sudah kekal selama 15 tahun.


"Jadi kalau kita lihat daripada segi kadar kenaikan inflasi, kos sara hidup sudah naik berbanding dengan 15 tahun lalu. Sekarang RM9,000 dan ia harus naik kepada RM12,200. Kita harus genapkan kepada RM12,000.


"Oleh yang demikian, saya akan tulis surat kepada PMX (Perdana Menteri) minggu depan (mengenai syor ini)," katanya hari ini.


Mengulas mengapa mencadangkan kadar pelepasan cukai dinaikkan secara berperingkat, Guan Eng menjelaskan kenaikan sebanyak RM1,000 setiap tahun sehingga 2028 tidak akan memberi kesan kepada keadaan kewangan kerajaan.


"Tapi kalau sekali gus kita naik RM3,000, saya rasa ini akan membawa kesulitan atau pun akan menjejaskan kedudukan fiskal dan kewangan kerajaan.


"Sebab itu kita cadangkan ia dibuat secara bertahap, secara berperingkat mulai tahun ini (naik sebanyak) RM1,000. Jadi kita naik RM1,000 setiap tahun.


"Kalau RM1,000 tahun ini, pada 2028 ia akan sampai RM12,000," katanya. - Sumber Harian Metro.

Jumaat, 2 Januari 2026

Isteri berpakat dengan kekasih cuba bunuh suami untuk dapat wang tuntutan insurans

Isteri berpakat dengan kekasih cuba bunuh suami untuk dapat wang tuntutan insurans


Ketaksuban terhadap wang tuntutan insurans dipercayai menjadi punca seorang wanita bertindak berpakat dengan teman lelakinya untuk membunuh suaminya sendiri di Taman Ehsan Jaya, Pasir Gudang minggu lalu.


Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun, diserang ketika sedang tidur.


Jelasnya, lelaki yang dipercayai kekasih kepada isteri mangsa bertindak menekup muka mangsa menggunakan bantal sehingga menyebabkan dia sesak nafas.


"Siasatan mendapati kejadian berlaku pada 22 Disember lalu, apabila isteri mangsa bukan sahaja membenarkan suspek masuk ke dalam rumah, malah bertindak memegang kaki mangsa bagi memudahkan cubaan pembunuhan itu dilakukan.


"Bagaimanapun, mangsa berjaya melawan dan melepaskan diri sebelum suspek melarikan diri dari tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.


Mohd Sohaimi memberitahu, siasatan lanjut turut mendedahkan kira-kira seminggu sebelum kejadian, isteri mangsa kerap bertanyakan tentang jumlah wang serta butiran polisi insurans yang dicarumkan oleh mangsa.


"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seri Alam menahan kedua-dua suspek pada 23 Disember bagi membantu siasatan.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor dan arahan untuk pertuduhan telah dikeluarkan.


"Kedua-dua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini (Jumaat). Jika disabitkan kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun," ujarnya.

Khamis, 1 Januari 2026

'Muhyiddin berjiwa besar, ketepikan dendam peribadi demi perjuangan parti' - Noh Omar

'Muhyiddin berjiwa besar, ketepikan dendam peribadi demi perjuangan parti' - Noh Omar


Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai pemimpin berjiwa besar dan mengutamakan perjuangan parti berbanding kepentingan peribadi.


Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Bersatu, Tan Sri Noh Omar berkata, sifat kepimpinan matang itu juga antara faktor yang mendorong kepada keputusan beliau untuk melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) pada Selasa.


"Saya lihat Tan Sri Muhyiddin sebagai pemimpin yang berjiwa besar dan tidak berdendam tetapi demi perjuangan parti, dia ketepikan kepentingan dendam peribadi.


"Sebab itu saya lihat beliau sanggup meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN kerana latar belakang beliau yang memang jujur dan berjiwa besar," katanya ditemui pada Majlis Pelancaran Pusat Khidmat NGO Muafakat Nasional (MN) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Durian Tunggal semalam.


Terdahulu, media melaporkan Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.


Bekas Perdana Menteri itu turut melahirkan penghargaan kepada semua kepimpinan PN atas sokongan kepada beliau sepanjang memimpin gabungan terbabit.


Ujar Noh, Muhyiddin juga antara individu yang memberi sokongan ketika mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mewakili UMNO sebagai Perdana Menteri.


"Sewaktu Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, yang menjatuhkan beliau ialah UMNO. 15 orang Ahli Parlimen UMNO ketika itu menarik sokongan terhadap Muhyiddin.


“Kalau Muhyiddin mementingkan diri sendiri sudah tentu beliau tidak sokong (wakil) UMNO menjadi Perdana Menteri," ujarnya.


Menurut beliau, Muhyiddin yang lebih dikenali sebagai 'Abah' juga dilihat tidak menyimpan dendam terhadap mereka.


"Saya salah seorang daripada 15 Ahli Parlimen yang menjatuhkan Muhyiddin ketika itu.


"Kalau Muhyiddin seorang yang berdendam, sudah tentu beliau tidak melantik saya sebagai MPT Bersatu," katanya.

Hadi Awang kemungkinan besar dilantik Pengerusi PN - Kamaruddin

Hadi Awang kemungkinan besar dilantik Pengerusi PN - Kamaruddin


BERSATU Kelantan tidak menolak kemungkinan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, akan dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan berkuatkuasa hari ini.


Pengerusinya, Datuk Kamaruddin Md Noor, berkata ia mengambil kira status PAS dan BERSATU selaku dua parti besar dalam gabungan berkenaan.


Malah, katanya sebelum ini pun Muhyiddin pernah menawarkan jawatan berkenaan kepada Abdul Hadi, namun ditolak Ahli Parlimen Marang itu.


"Memandangkan dalam PN hanya mempunyai dua parti besar iaitu BERSATU dan PAS berbanding parti lain, maka logiknya Pengerusi PN nanti adalah dari PAS.


"Mengikut perlembagaan PN, mereka yang mengetuai PN adalah ketua parti masing-masing dan jika PAS yang mengetuai PN nanti, sudah tentulah Tan Sri Abdul Hadi," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyambut ketibaan pelancong di pintu masuk sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) hari ini.


Sebelum ini, PAS memberi bayangan bahawa pemimpin parti itu yang akan menerajui PN tidak semestinya diwakili Abdul Hadi selaku Presiden.


Sebaliknya, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata pemimpin parti itu yang akan diangkat sebagai Pengerusi PN adalah individu yang diyakini boleh menggembleng kekuatan parti yang ada di bawah perikatan terbabit.


Mengulas lanjut katanya, pelantikan Pengerusi PN dijangka dibuat dalam masa terdekat selepas perbincangan mendapat kata sepakat.


"Untuk pelantikan Pengerusi PN, semua ketua parti dalam PN akan berbincang bagi mencapai kata sepakat berkaitan lantikan baharu.


"Kami di BERSATU tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya Pengerusi PN yang dilantik nanti daripada PAS," katanya.


Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, sebelum ini mengesahkan parti itu akan mengusulkan beberapa nama untuk dicadangkan sebagai Pengerusi PN yang baharu, menggantikan Muhyiddin.


Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PN dalam masa terdekat.