Sabtu, 11 November 2023

Lelaki mati ditembusi peluru ketika menguji kekebalan tangkal dipakai

Lelaki mati ditembusi peluru ketika menguji kekebalan tangkal dipakai


Seorang lelaki di negeri Bauchi, Nigeria mati ditembak oleh seorang pawang ketika menguji kekebalan tangkal yang didakwa dapat menjadikan si pemakai kalis peluru, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) pada 9 November 2023.


Pawang tersebut, yang menembak mangsa menggunakan sepucuk pistol buatan tempatan, telah diberkas bersama dua suspek lain. Seorang lagi suspek masih diburu polis.


Menurut Superintendan polis tempatan, Ahmed Wakil, ujian kekebalan objek digelar 'tangkal pistol' itu dilakukan ke atas mangsa, Muhammadu Ali, 43.


Sejurus terdengar bunyi tembakan, polis yang bertugas di kawasan itu bergegas ke lokasi kejadian sebelum membawa mangsa ke hospital.


"Dia bagaimanapun disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital," kata Wakil sambil memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menggunakan tangkal seperti itu.


Tangkal sering digunakan oleh penduduk Nigeria di mana orang ramai menggunakan khidmat dukun dan pawang untuk mengatasi pelbagai masalah. - Sumber BBC News.


Ahmed Wakil memberi kenyataan mengenai kes itu. - Foto BBC.

Jumaat, 10 November 2023

Sup tumpah atas tangga 'rider' tuang semula ke dalam bekas makanan

Sup tumpah atas tangga 'rider' tuang semula ke dalam bekas makanan


Sebuah klip video memaparkan seorang penghantar makanan menuangkan semula sup yang tumpah ke dalam bekas sebelum menghantarnya kepada pelanggan, tular di media sosial Singapura, lapor laman berita Stomp pada 6 November 2023.


Seorang wanita bernama Wendy berkongsi rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di hadapan bangunan bersebelahan di kawasan Somme Road pada 1 November kira-kira jam 11.45 pagi.


"Saya perasan sup itu tumpah di atas tangga dan memeriksa CCTV.


"Dia menuang semula sup yang tumpah ke dalam bekas dari beg plastik dan bahagian atas bekas lain," kata Wendy.


Dalam video itu, penghantar makanan tersebut dilihat membuka plastik makanan di atas tangga. Dia kemudian menuang semula sup yang tumpah di dalam plastik ke dalam bekas makanan itu.


"Ia tidak bersih dan benar-benar menjijikkan. Adakah restoran itu tidak membungkus dengan betul, adakah itu punca ia tumpah atau adakah penghantar itu menjatuhkannya?


"Bagaimanapun, dia sepatutnya menjelaskan kepada pelanggan dan menyerahkan kepada pelanggan untuk membuat aduan kepada restoran atau syarikat penghantaran," katanya.


Wendy berkongsi bahawa insiden sebegitu menyebabkan dia berhenti memesan dari platform penghantaran makanan sejak setahun lalu.


"Agensi Makanan Singapura (SFA) benar-benar perlu membuat peraturan bahawa kotak makanan mempunyai meterai atau pelekat supaya seseorang tahu sama ada penutupnya telah dibuka.


"Covid-19 sepatutnya menyedarkan kita semua tentang keperluan untuk kebersihan yang baik tetapi nampaknya kebersihan yang baik semakin menurun," katanya. - Sumber Stomp.


Penghantar makanan itu menuang semula sup tumpah ke dalam bekas makanan. - Foto Stomp.
Penyelidik sahkan mumia makhluk tiga jari bukan manusia

Penyelidik sahkan mumia makhluk tiga jari bukan manusia


Sekumpulan penyelidik mengesahkan kesahihan beberapa mumia yang mempunyai tiga jari bahawa makhluk tersebut bukan manusia, lapor akhbar The Sun pada 8 November 2023.


Mereka berkata demikian dalam satu sidang di Kongres Mexico pada hari Selesa (7/11/2023). Menurut mereka, mumia yang sebelum ini dikatakan bukan berasal dari Bumi itu asli dan pernah hidup.


Beberapa makhluk berbadan kecil tersebut diklasifikasikan sebagai 'spesies baharu bukan manusia' kerana ia tidak mempunyai paru-paru atau tulang rusuk.


Ahli antropologi Universiti Kebangsaan San Luis Gonzaga Ica di Peru, Roger Zuniqa berkata, pasukan penyelidik telah menemui lima spesimen serupa dalam tempoh empat tahun.


"Ia adalah asli. Tiada campur tangan manusia terhadap pembentukan fizikal dan biologi makhluk ini," katanya.


Sepucuk surat yang ditandatangani oleh 11 penyelidik universiti tersebut mengisytiharkan bahawa mereka semua bersetuju bahawa mumia itu adalah nyata tetapi enggan mengesahkan sama ada ia berasal dari angkasa lepas.


Seorang wartawan dan peminat objek terbang tidak dikenali (UFO), Jaime Maussan mula membawa mumia mempunyai tiga jari dan tengkorak memanjang itu kepada perhatian Kongres Mexico pada September lalu.


Mumia yang dikatakan ditemui di sebuah lombong di Cuzco, Peru itu didakwa oleh Maussan sebagai bukan manusia. - Sumber The Sun.


Wartawan Mexico Jaime Maussan dan penggubal undang-undang membentangkan 'mayat bukan manusia' pada hari Selasa. - Foto AP.

Penggubal undang-undang Mexico mengadakan satu lagi pendengaran khusus untuk potensi bentuk kehidupan luar angkasa dan UFO pada hari Selasa lepas. - Foto AP.

Wartawan Mexico Jaime Maussan pertama kali membentangkan spesimen itu pada bulan September lalu. - Foto Getty.

Salah satu daripada dua makhluk 'bukan manusia' yang dibentangkan oleh Maussan pada bulan September lalu. - Foto Getty.

Rabu, 8 November 2023

Perayau paling canggih milik NASA sudah berada di Marikh selama 4,000 hari, sejak 2012

Perayau paling canggih milik NASA sudah berada di Marikh selama 4,000 hari, sejak 2012


Perayau Curiosity milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) berada di Marikh selama 4,000 hari sejak ia mendarat di Kawah Gale pada 5 Ogos 2012, lapor Xinhua, semalam.


Sejak itu, perayau berkenaan terus berfungsi mengumpul data saintifik mengenai Planet Merah itu.


Baru-baru ini, ia menggerudi sampel ke-39nya kemudian menjatuhkan batu yang dihancurkan ke dalam 'perutnya' untuk dianalisis secara terperinci.


Untuk mengkaji sama ada Mars purba mempunyai persekitaran yang menyokong kehidupan mikrob, perayau itu secara beransur-ansur mendaki Gunung Sharp yang setinggi lima kilometer.


Gunung itu yang terbentuk dalam tempoh yang berbeza dalam sejarah planet itu juga boleh menunjukkan rekod tentang iklim planet itu yang berubah dari semasa ke semasa, menurut NASA.


Dilancarkan pada 26 November 2011 dan mendarat di Marikh pada Ogos 2012, Curiosity adalah perayau terbesar dan paling canggih pernah dihantar ke Marikh. - Sumber Xinhua.


Gunung Sharp. - Foto NASA.
4 lelaki didakwa curi mangkuk tandas emas bernilai RM27.6 juta

4 lelaki didakwa curi mangkuk tandas emas bernilai RM27.6 juta


Empat lelaki berdepan pertuduhan berkaitan kecurian mangkuk tandas emas 18 karat di sebuah rumah desa Inggeris, kata pendakwa raya pada Isnin lalu (6/11/2023).


Mangkuk tandas yang berfungsi sepenuhnya itu bernilai 4.8 juta pound sterling (kira-kira RM27.6 juta) adalah karya seni bertajuk 'Amerika' dan bertujuan sebagai sindiran tajam mengenai kekayaan yang berlebihan.


Ia adalah sebahagian daripada pameran seni di Istana Blenheim di Woodstock, berhampiran Oxford, selatan England, sebelum hilang pada September 2019.


Ia antara tarikan pameran oleh artis Itali, Maurizio Cattelan di istana yang juga rumah Dukes of Marlborough dan tempat kelahiran bekas Perdana Menteri Britain, Winston Churchill.


Menerusi lapor AP News pada 7 November 2023, tujuh orang telah ditangkap kerana rompakan tersebut, tetapi tiada pertuduhan difailkan sehinggalah Isnin lalu, empat tahun selepas mangkuk tandas itu dicuri kerana karya seni itu tidak pernah ditemui.


Kediaman mewah abad ke-18 itu juga adalah Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).


Perkhidmatan Pendakwaan Mahkota (CPS), yang memutuskan sama ada untuk membawa kes ke mahkamah di England dan Wales.


Empat lelaki didakwa berusia antara 35 dan 39 tahun itu dijadual tampil di mahkamah di Oxford pada 28 November depan.


James Sheen, 39, berdepan satu pertuduhan pecah rumah, satu pertuduhan konspirasi untuk memindahkan harta jenayah, dan pertuduhan lain adalah memindahkan harta jenayah.


Michael Jones, 38, pula berdepan pertuduhan pecah rumah, manakala Fred Doe, 35, dan Bora Guccuk, 39, masing-masing didakwa bersubahat untuk memindahkan harta jenayah, kata kenyataan CPS.


AF melaporkan pelawat dapat menempah slot masa untuk menggunakan tandas mewah itu, tetapi hanya tiga minit pada satu-satu masa, untuk mengehadkan tempoh menunggu.


Lebih 100,000 individu menggunakannya sepanjang tahun ketika ia dipamerkan di Muzium Guggenheim di New York.


Polis Britain berkata, ketika kejadian, pencuri menceroboh masuk ke Istana Blenheim semasa waktu ia ditutup dan melarikan mangkuk tandas, selepas mencabutnya dari paip dan menyebabkan kerosakan yang ketara dan banjir. - Sumber AF News.


Gambar mangkuk tandas emas 18 karat sebelum dicuri. - Foto AF News.

Isnin, 6 November 2023

Remaja 14 tahun cipta sabun rawat kanser kulit menang anugerah saintis muda Amerika

Remaja 14 tahun cipta sabun rawat kanser kulit menang anugerah saintis muda Amerika


Seorang remaja berusia 14 tahun menang anugerah saintis muda Amerika selepas berjaya menghasilkan sebuku sabun mampu milik yang berupaya merawat kanser kulit, lapor akhbar Daily Mail pada bulan lepas.


Heman Bekele merupakan pelajar gred sembilan dari Sekolah Tinggi W.T Woodson di Annandale, Virginia membawa pulang hadiah utama wang tunai sebanyak AS$25,000 (RM119,120) selepas bersaing dengan sembilan lagi finalis dalam Cabaran Saintis Muda 3M 2023.


Inovasi itu dicipta dengan menggunakan elemen sabun perubatan bersama tiga ramuan yang boleh mengaktifkan semula sel dendritik. Sel berkenaan mampu menghasilkan tindak balas imun untuk melawan kanser.


Produk dihasilkan Bekele bukan sahaja membantu melawan kanser tetapi ia juga berharga AS$0.50 (RM2.38) setiap buku sabun. Harga sabun itu jauh lebih murah berbanding kos rawatan perubatan semasa yang mencecah lebih AS$40,000 (RM190,597).



Ketika ditemu bual, Bekele menyatakan hasratnya untuk memperhalusi inovasi itu dalam tempoh lima tahun akan datang. Malah, dia juga mahu menubuhkan organisasi bukan keuntungan untuk mengagihkan sabun berkenaan kepada golongan yang memerlukan.


"Penyakit kanser kulit kebanyakannya dihidap oleh penduduk yang tinggal di negara-negara membangun dan purata kos rawatan perubatan untuk penyakit kanser itu mencecah lebih AS$40,000 (RM190,597).


"Saya berasa amat kecewa dengan idea orang ramai memilih antara rawatan dan menyara keluarga mereka. Sebenarnya, begitu banyak kes kematian boleh dielakkan," katanya.


Dilaporkan, remaja itu pada mulanya melakukan penyelidikan berkaitan kanser kulit dan mempelajari mengenai sel dendritik yang dikatakan mampu membantu melindungi kulit dengan meningkatkan tindak balas imun.


Satu rakaman video Bekele yang diserahkan kepada pihak pertandingan menjelaskan tiga ramuan tersebut iaitu asid salisilik, asid glikolik dan tretinoin merupakan agen keratolitik yang memecahkan lapisan luar kulit.


Ia membolehkan reseptor jenis Toll (TLR) dan protein memainkan peranan penting dalam sistem daya tahan semula jadi untuk dilepaskan ke dalam kulit yang melekat dan mengaktifkan semula sel dendritik.


Sel dendritik itu kemudian bergabung dengan sel darah putih untuk melawan sel-sel yang dijangkiti. Bekele menamakan produk itu sabun merawat kanser kulit (SCTS). Menurutnya, sabun itu boleh digunakan pada kulit setiap dua hari selepas mendapatkan preskripsi.


Selepas memenangi hadiah utama itu, Bekele berharap untuk mendapatkan paten bagi produk sabunnya dan menggunakan wang itu bagi perbelanjaan di kolej. Tambahnya, dia bercita-cita untuk menjadi jurutera elektrik apabila dewasa.


"Saya dapat membayangkan diri saya mengetuai pasukan profesional dalam membangunkan sistem elektrik inovatif yang akan membentuk masa depan teknologi.


"Di samping kejayaan profesional, saya berharap dapat menyumbang kembali kepada masyarakat dengan membimbing bakal jurutera dan menyokong inisiatif yang mempromosikan pendidikan dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).


"Dalam masa 15 tahun lagi, saya juga berharap dapat memberi impak positif kepada dunia melalui hasil kerja saya," katanya. - Sumber Daily Mail.


Bekele menamakan produk itu sabun merawat kanser kulit (SCTS). Sabun itu boleh digunakan pada kulit setiap dua hari selepas mendapatkan preskripsi. - Foto Fairfax County Public Schools.
Kambing biri-biri diselamatkan selepas 2 tahun terkandas di atas batu

Kambing biri-biri diselamatkan selepas 2 tahun terkandas di atas batu


Seekor kambing biri-biri yang hidup bersendirian akhirnya diselamatkan dan dibawa ke sebuah ladang di Scotland selepas terkandas di atas batu selama dua tahun, lapor akhbar The Sun pada 5 November 2023.


Pemeriksa kebajikan pada awalnya mendapati kambing biri-biri itu terkandas di kawasan pantai, timur laut Scotland dua tahun lalu selepas ia tidak dapat diselamatkan menggunakan perahu atau bot. Ia berikutan keadaan berbatu yang berbahaya berhampiran Balintore.


Pelbagai gesaan disuarakan orang ramai untuk menyelamatkan haiwan itu dengan satu petisyen di laman web Change.org berjaya mengumpul lebih 55,000 tandatangan.


Sepasukan sukarelawan kemudian bekerjasama menyelamatkan kambing biri-biri betina itu dengan saiznya yang besar sehingga ia sukar untuk berdiri.


Sukarelawan yang menggelar diri mereka sebagai The Sheep Game itu pada hari Sabtu berkata: "Kambing biri-biri paling sunyi di Britain tidak lagi sunyi. Kami telah menamakannya Fiona dan ia kini selamat dan sihat serta sedang menuju ke ladang di Scotland."


Mereka menggunakan beberapa peralatan berat untuk mengangkut Fiona, manakala Pasukan Scotland untuk Pencegahan Kekejaman terhadap Haiwan (SPCA) membantu memeriksa haiwan itu. - Sumber The Sun.


Kambing biri-biri yang diselamatkan telah dinamakan Fiona oleh sepasukan penyelamat yang juga merupakan penternak. - Foto The Sheep Game/Facebook.

Sukarelawan berjaya menyelamatkan biri-biri betina yang telah terkandas selama dua tahun. - Foto The Sun.

Penyelamat menggunakan winch yang dipasang pada trak yang diletakkan di bahagian atas tebing, tali sepanjang 200 meter. - Foto THE SHEEP GAME/UNPIXS.

Bulu Fiona tumbuh begitu panjang sehingga berleret di atas tanah. - Foto Northpix.

Ahad, 5 November 2023

Pelancong patah tulang rusuk ditanduk rusa ketika merakam gambar

Pelancong patah tulang rusuk ditanduk rusa ketika merakam gambar


Seorang pelancong dari Mexico mengalami patah tulang rusuk akibat diserang seekor rusa ketika cuba merakam foto, lapor akhbar Metro UK pada 3 November 2023.


Gian Carlo Triacca, 42, sedang bercuti di kawasan pantai Greece bersama isterinya, Erika, 40, apabila pasangan itu tertarik melihat kumpulan rusa liar.


Ketika cuba merakam gambar seekor rusa di hadapan mereka, seekor lagi rusa bergerak ke arah Triacca lalu menanduk belakang badannya sehingga menyebabkan tulang rusuk lelaki itu patah.


Erika sedang mengambil video pada masa itu dan telah merakam serangan yang menakutkan itu pada kamera.


Triacca yang menetap di bandar Cancun berkata: "Saya sedang merakam gambar seekor rusa kecil di hadapan saya, tiba-tiba seekor rusa jantan menyerang belakang saya.


"Beberapa tulang rusuk saya patah, meninggalkan kesakitan selama beberapa hari. Namun, saya bernasib baik kerana kecederaan tidak begitu teruk.


"Saya tidak pergi ke hospital, saya hanya menggunakan banyak ubat dan ais," katanya. - Sumber Metro UK.


Telefon Triacca tercampak ketika dia diserang rusa jantan itu. - Foto Caters News.

Sabtu, 4 November 2023

Bomba caj RM48,547 selamatkan anjing milik seorang pelancong

Bomba caj RM48,547 selamatkan anjing milik seorang pelancong


Seorang lelaki Perancis yang bercuti di Switzerland terkejut menerima bil sebanyak 9,241 Swiss franc (RM48,547) daripada pasukan bomba negara itu selepas mereka menyelamatkan anjing peliharaannya yang terperangkap di dalam paip bawah tanah, lapor laman berita Oddity Central, minggu lepas.


Beberapa bulan lalu, Alian Chichignoud, 25, yang mengembara ke negara itu berdepan insiden tidak diingini apabila salah satu daripada tiga anjing peliharaannya, Gaia yang berlari mengejar musang berhampiran bandar Vaulruz tiba-tiba hilang.


Selepas dua hari mencari, Chichignoud mendapati anjing itu terperangkap dengan musang yang dikejarnya dalam paip yang sangat sempit. Chichignoud kemudian menghubungi perkhidmatan kecemasan dan sepasukan anggota bomba dihantar untuk membantunya.



Selepas menilai keadaan, anggota bomba memberitahunya bahawa mereka memerlukan lebih ramai anggota dan jentera khusus untuk mencapai paip itu dan dia perlu membayar kos operasi tersebut.


Tanpa berfikir panjang, Chichignoud terus sahaja bersetuju dan sepasukan 12 anggota bomba yang datang bersama jentera pembinaan milik sebuah syarikat swasta mengambil masa sekitar 9 jam untuk mengeluarkan Gaia.


Chichignoud kemudian menerima bil untuk operasi menyelamat anjing kesayangannya itu beberapa minggu kemudian dan diminta melunaskan caj mahal itu dalam tempoh 30 hari.


"Saya menghargai tanda kebaikan dan kebajikan pegawai bomba itu tetapi dengan jumlah bil yang tinggi ini, saya beranggapan kesusahan saya seakan digunakan untuk melapisi poket mereka," katanya.


Chichignoud bernasib baik apabila kisahnya mendapat perhatian pemilik anjing di seluruh dunia yang menghulurkan sumbangan melalui kutipan dana di laman Helloasso untuk melunaskan bil tersebut. - Sumber Oddity Central.


Anggota bomba menyerahkan Gaia kepada Alian Chichignoud selepas diselamatkan dari paip bawah tanah di bandar Vaulruz, Switzerland. - Foto Alian Chichi/Facebook.

Jumaat, 3 November 2023

Terpaksa bayar ganti rugi RM6,485 sebab anak panjat, tabur pasir atas Lamborghini

Terpaksa bayar ganti rugi RM6,485 sebab anak panjat, tabur pasir atas Lamborghini


Seorang kanak-kanak berumur lapan tahun yang ditinggalkan tanpa pengawasan ibu bapa telah menyebabkan kerosakan pada sebuah kereta sport jenama Lamborghini, lapor laman berita Thaiger, hari ini.


Insiden itu berlaku pada 29 Oktober lalu apabila seorang lelaki bernama Su dari wilayah Zhejiang, China meninggalkan keretanya di tempat letak kereta awam untuk menyelesaikan urusan peribadi.


Sebaik sahaja kembali, Su mendapati kereta mewahnya dipenuhi pasir. Dia memeriksa sistem televisyen litar tertutup (CCTV) kawasan sekitar dan mendapati seorang budak lelaki memanjat dan bermain di atas keretanya.


Su kemudian menghubungi polis dan budak lelaki itu akhirnya mengakui perbuatannya. Ibu kanak-kanak berkenaan berjanji akan menanggung kos pembaikan.


Dia bernasib baik kerana walaupun pasir telah memasuki petak enjin, ia tidak menyebabkan kerosakan sebenar pada enjin Lamborghini berharga 8 juta yuan (RM5.19 juta) itu.


Oleh kerana tiada kerosakan ketara, dia hanya meminta ibu bapa budak itu menanggung kos pembersihan sekitar 10,000 yuan (RM6,485).


Su menambah bahawa dia pada asalnya membeli Lamborghini itu pada harga 8 juta yuan. Ditambah dengan pelbagai perbelanjaan pengubahsuaian kereta, jumlah kos mungkin melebihi 10 juta yuan.


Bagaimanapun, melihat budak lelaki itu dan ibu bapanya meminta maaf secara ikhlas dan tiada kerosakan yang ketara pada keretanya, dia memutuskan untuk tidak menyimpan dendam. - Sumber The Thaiger.


Su menghubungi polis apabila mendapati keretanya dipenuhi pasir. - Foto KhaoSod.