Rabu, 8 November 2023

4 lelaki didakwa curi mangkuk tandas emas bernilai RM27.6 juta


Empat lelaki berdepan pertuduhan berkaitan kecurian mangkuk tandas emas 18 karat di sebuah rumah desa Inggeris, kata pendakwa raya pada Isnin lalu (6/11/2023).


Mangkuk tandas yang berfungsi sepenuhnya itu bernilai 4.8 juta pound sterling (kira-kira RM27.6 juta) adalah karya seni bertajuk 'Amerika' dan bertujuan sebagai sindiran tajam mengenai kekayaan yang berlebihan.


Ia adalah sebahagian daripada pameran seni di Istana Blenheim di Woodstock, berhampiran Oxford, selatan England, sebelum hilang pada September 2019.


Ia antara tarikan pameran oleh artis Itali, Maurizio Cattelan di istana yang juga rumah Dukes of Marlborough dan tempat kelahiran bekas Perdana Menteri Britain, Winston Churchill.


Menerusi lapor AP News pada 7 November 2023, tujuh orang telah ditangkap kerana rompakan tersebut, tetapi tiada pertuduhan difailkan sehinggalah Isnin lalu, empat tahun selepas mangkuk tandas itu dicuri kerana karya seni itu tidak pernah ditemui.


Kediaman mewah abad ke-18 itu juga adalah Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).


Perkhidmatan Pendakwaan Mahkota (CPS), yang memutuskan sama ada untuk membawa kes ke mahkamah di England dan Wales.


Empat lelaki didakwa berusia antara 35 dan 39 tahun itu dijadual tampil di mahkamah di Oxford pada 28 November depan.


James Sheen, 39, berdepan satu pertuduhan pecah rumah, satu pertuduhan konspirasi untuk memindahkan harta jenayah, dan pertuduhan lain adalah memindahkan harta jenayah.


Michael Jones, 38, pula berdepan pertuduhan pecah rumah, manakala Fred Doe, 35, dan Bora Guccuk, 39, masing-masing didakwa bersubahat untuk memindahkan harta jenayah, kata kenyataan CPS.


AF melaporkan pelawat dapat menempah slot masa untuk menggunakan tandas mewah itu, tetapi hanya tiga minit pada satu-satu masa, untuk mengehadkan tempoh menunggu.


Lebih 100,000 individu menggunakannya sepanjang tahun ketika ia dipamerkan di Muzium Guggenheim di New York.


Polis Britain berkata, ketika kejadian, pencuri menceroboh masuk ke Istana Blenheim semasa waktu ia ditutup dan melarikan mangkuk tandas, selepas mencabutnya dari paip dan menyebabkan kerosakan yang ketara dan banjir. - Sumber AF News.


Gambar mangkuk tandas emas 18 karat sebelum dicuri. - Foto AF News.


EmoticonEmoticon