Rabu, 6 Oktober 2021

Diiktiraf Lembu Terpendek Dunia Selepas Haiwan Itu Mati

Diiktiraf Lembu Terpendek Dunia Selepas Haiwan Itu Mati


Seekor lembu dari Bangladesh menjadi popular selepas mendapat pengiktirafan Guinness World Records sebagai lembu terpendek di dunia. Namun, pengiktirafan tersebut hanya diberikan selepas kematiannya bulan lalu.


Lembu bernama Rani hanya mempunyai ketinggian 50.8 sentimeter (cm) menjadi selebriti segera di internet selepas ribuan orang berpusu-pusu ke ladang itu sejak awal bulan Julai lalu untuk melihat haiwan tersebut.


Pemiliknya juga sudah menghantar maklumat Rani kepada Guinness World Record bagi membuat penilaian kerana yakin lembu peliharaannya itu adalah yang terpendek di dunia. Guinness World Records dilaporkan akan memberi keputusan dalam tempoh 90 hari selepas permohonan. 


Namun, selepas pemiliknya membuat permohonan kepada Guinness World Records, kejadian menyayat hati berlaku 19 Ogos lalu, apabila lembu itu mati akibat masalah dalaman.



Pemilik lembu kerdil, Kazi Mohammad Abu Sufian berkata, dia menerima e-mel daripada badan pengiktirafan dunia itu yang memaklumkan permohonannya sudah diterima.


"Kami sudah menghantar video Rani kepada pihak tersebut. Kami juga menghantar laporan bedah siasat kepada pihak berkuasa Guinness bagi melihat sama ada berlaku perkara luar biasa berhubung kematiannya.


"Perasaan kami bercampur-baur apabila Rani mendapat pengiktirafan itu. Kami berbangga akhirnya ia mendapat penghormatan itu," katanya.


Kenyataan yang disiarkan dalam laman web rasmi Guinness mengesahkan status pengiktirafan rekod dunia itu sekali gus membenam rekod terdahulu, lembu dari India, Manikyam dengan ketinggian 61 cm.


Lembu kerdil bernama Rani di ladang Charigram, Savar. - Foto AFP.

Selasa, 5 Oktober 2021

Pesawat Tersangkut Bawah Jejambat Tular Di Media Sosial

Pesawat Tersangkut Bawah Jejambat Tular Di Media Sosial


Satu video memaparkan sebuah pesawat Air India yang tersangkut di bawah jejambat pejalan kaki ketika dibawa melalui jalan raya di New Delhi, tular di laman media sosial sejak dua hari lepas.


Setakat ini, butiran mengenai pesawat, pembeli dan lokasi kejadian tidak dapat dipastikan. Pun begitu, menurut netizen, kejadian itu dilaporkan berlaku pada jam 1 pagi pada hari Ahad di jejambat Lebuh Raya Delhi-Gurugram berhampiran Lapangan Terbang New Delhi.


Menerusi laporan portal Republicworld.com, seorang jurucakap dari syarikat Air India mengesahkan pesawat yang dilupuskan itu telah dibatalkan pendaftarannya dan sudah dijual.


"Pesawat itu diangkut pada Sabtu lalu oleh pihak terlibat. Air India tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pesawat yang dalam keadaan apa pun. Ia merupakan pesawat lama yang sudah dilupuskan oleh syarikat kami," kata jurucakap itu.


Klip video itu menunjukkan kenderaan sedang bergerak di satu laluan di lebuh raya tersebut, sementara yang lain terhenti disebabkan pesawat tidak bergerak.


Bahagian depan pesawat itu dilihat melintas bawah jejambat pejalan kaki tersebut manakala separuh lagi badan kapal terbang tersekat.


Sementara itu, Lapangan Terbang New Delhi turut mengesahkan tidak ada pesawat yang beroperasi terlibat dalam insiden berkenaan.


Gambar menunjukkan pesawat tersangkut di bawah jejambat pejalan kaki di New Delhi. - Foto REPUBLIC.
Pakar Dakwa Makhluk Asing Mungkin Suka Dipeluk Dan Tidak Ganas

Pakar Dakwa Makhluk Asing Mungkin Suka Dipeluk Dan Tidak Ganas


Seorang ahli zoologi dari Universiti Cambridge di Britain menyifatkan makhluk asing mungkin sebenarnya tidak makan manusia seperti yang selalu digambarkan dalam filem sains fiksyen, sebaliknya ia suka dipeluk.


Menurut laporan akhbar Daily Star pada 3 Oktober 2021, Dr. Arik Kershenbaum mengatakan tiada sesiapa yang tahu rupa sebenar makhluk asing kerana wataknya lazimnya dimainkan oleh manusia. 


Menurut beliau, imej paling realistik tentang makhluk asing adalah mikroskopik dan sekiranya ia bersaiz besar, ia mungkin kelihatan seperti watak Tribble yang merupakan makhluk asing berbulu dalam filem Star Trek.


"Sekiranya saya perlu memilih rupa makhluk asing yang masuk akal, saya akan fikir ia kelihatan seperti Tribble," katanya.


Kebanyakan makhluk asing yang digambarkan dalam sains fiksyen dan kisah-kisah penampakan objek terbang tidak dikenali (UFO) mempunyai dua mata, dua lengan dan dua kaki.


Namun, Dr. Kershenbaum berpendapat makhluk asing mungkin mempunyai beberapa anggota badan yang mampu memberikan kelebihan kepadanya. Beliau juga berkata terdapat banyak lagi reka bentuk tubuh lain yang boleh dimiliki oleh makhluk asing termasuk menyerupai cacing, ikan atau labah-labah.


"Sekiranya 'alien' menyerupai ikan yang mempunyai enam atau lapan sirip, serta memiliki lebih banyak lengan untuk memanipulasi barang, maka kelebihan itu memudahkan mereka untuk membina kapal angkasa," katanya.


Makhluk asing sering digambarkan sebagai mempunyai sepasang mata, sepasang kaki dan tangan. Foto Getty Images.

Isnin, 4 Oktober 2021

38 Pesawat Tentera China Termasuk Pengebom Nuklear H-6 Ceroboh ADIZ Taiwan

38 Pesawat Tentera China Termasuk Pengebom Nuklear H-6 Ceroboh ADIZ Taiwan


TAIPEI - Kerajaan Taiwan mengesan 38 pesawat tentera China memasuki Zon Pengenalan Pertahanan Udara (ADIZ) negara itu, ketika Beijing menyambut Hari Kebangsaan, sekali gus dilihat sebagai pencerobohan terbesar sejak beberapa bulan lalu, dakwa Taipei pada 2 Oktober 2021.


Pertunjukan ketenteraan Hari Kebangsaan China (ulang tahun penubuhannya yang ke 70) pada 1 Oktober 2021 diadakan berhampiran pulau demokratik ditadbir sendiri, yang mana Beijing menuntut kawasan itu sebahagian wilayahnya.


Taipei memaklumkan sebanyak 22 pesawat pejuang China termasuk 18 jet jenis J-16 dan empat jet Su-30, mengiringi dua pesawat pengebom nuklear H-6 serta sebuah pesawat pengintip Y-8 dalam satu misi dijalankan Jumaat lalu.


Menurut Kementerian Pertahanan Taiwan, pihaknya mengerahkan jet pejuang bagi memintas dan memberi amaran kepada pesawat China, di samping mengaktifkan sistem pertahanan peluru berpandu bagi memantau keadaan.



Tambah kementerian itu, kumpulan kedua membabitkan 13 jet melintasi ADIZ pada Jumaat (1 Oktober 2021) dalam 'pencerobohan' malam yang jarang berlaku, sekali gus menjadikan jumlah pesawat China melintasi kawasan itu sebanyak 38.


ADIZ tidak sama seperti ruang udara wilayah Taiwan tetapi termasuk kawasan yang jauh lebih luas dan bertindih dengan bahagian zon identifikasi pertahanan udara China serta termasuk kawasan tanah besar negara itu.


Beijing sering menghantar pesawat ketenteraannya ke zon pertahanan udara Taiwan untuk menunjukkan kekuatan. Misi kali ini adalah yang terbesar berbanding 28 jet memasuki ADIZ Taiwan pada 15 Jun lalu.



Misi itu dijalankan ketika ketegangan semakin meningkat di wilayah tersebut berikutan pembentukan kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) berkaitan perolehan kapal selam nuklear yang menimbulkan kemarahan Beijing.


China sering melakukan misi seperti itu namun kali ini mereka mengambil 'kepentingan baharu' setelah perjanjian AUKUS. Taiwan yang merupakan sekutu dekat AS, mungkin berperang untuk melindungi wilayah separa autonomi itu sekiranya berlaku pencerobohan berterusan oleh China.


Perjanjian AUKUS itu secara tidak langsung memberi gambaran UK dan Australia kini boleh diseret dalam konflik tersebut.


Sementara itu, data penjejakan penerbangan yang dikeluarkan oleh Taiwan menunjukkan jet J-16 dan pesawat pejuang Su-30 terbang jarak dekat ke ADIZ sebelum berpatah balik. Dua pesawat pengebom H-6 pula terbang melengkung untuk waktu singkat di tepi ADIZ.


Dilaporkan, pesawat Y-8 terbang melalui laluan panjang di sepanjang selatan pulau sebelum berpatah balik. Sejak setahun lalu, Taiwan beberapa kali mendakwa pesawat tentera udara China menghampiri sempadan negara itu khususnya di kawasan zon pertahanan udara berhampiran Kepulauan Pratas.


Berdasarkan data Kementerian Pertahanan, sekurang-kurangnya sebuah pesawat tentera China melintasi zon pertahanan Taiwan hampir setiap hari pada bulan lalu.


Setakat ini, sebahagian besar misi dijalankan China hanya melibatkan sejumlah kecil pesawat namun misi pada Jumaat lalu merupakan luar biasa dari segi bilangan pesawat. Dilaporkan, hanya tiga misi yang setanding melintasi ADIZ Taiwan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.


"Misi pada 5 dan 23 September lalu masing-masing membabitkan 19 pesawat manakala 15 Jun lalu sebanyak 28 pesawat memasuki ADIZ," jelas laporan itu.


JET pejuang jenis J-16 antara pesawat tentera China yang melintasi Zon Pengenalan Pertahanan Udara (ADIZ) Taiwan.
Lelaki Kahwini Periuk Nasi Bercerai Selepas 4 Hari, Kerana 'Isterinya' Itu Hanya Tahu Memasak

Lelaki Kahwini Periuk Nasi Bercerai Selepas 4 Hari, Kerana 'Isterinya' Itu Hanya Tahu Memasak


Kisah seorang lelaki yang sempat tular baru-baru ini kerana tindakannya yang mengahwini sebuah periuk nasi, akhirnya bercerai dengan 'isterinya' itu selepas empat hari, lapor laman Suara.com pada 2 Oktober 2021.


Menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook, lelaki bernama Khoirul Anam itu berkata ikatan perkahwinan yang dibina itu ternyata tidak bertahan lama selepas dia memilih untuk menceraikan 'isterinya' itu.


Alasannya adalah kerana si 'isteri' itu hanya mampu memasak nasi dan tidak tahu memasak makanan lain. Kisah mengenai penceraiannya itu yang dikongsi di media sosial mendapat perhatian netizen yang kemudiannya meninggalkan pelbagai komen.


"Saya tertanya-tanya bagaimana agaknya ya dia bertengkar dengan 'isterinya' itu sebelum memutuskan untuk bercerai," soal seorang netizen. Baca juga: Pasangan kuat cemburu, lelaki ini bertindak 'Pacak' paku di seat belakang motornya.


Sebelum ini, lelaki yang dikenali sebagai Khoirul Anam ini mengambil keputusan bernikah dengan 'isterinya' 20 September lalu. Dia memilih periuk nasi itu kerana ia merupakan sosok 'isteri' idaman kerana putih, pendiam, penurut, tak banyak bercakap dan pandai memasak.


Namun 'perkahwinan' mereka hanya bertahan empat hari setelah lelaki tersebut mengambil keputusan menceraikan 'isteri' atau periuk nasinya. Penceraian ini turut disahkan Khoirul Anam melalui sebuah hantaran di Facebook, 24 September lalu.


Netizen menganggap hantaran tersebut hanya sebagai candaan dan hiburan untuk warganet. Hal ini kerana, ia bukan pertama kali lelaki tersebut memuatnaik foto-foto 'unik' seperti ini.


Ahad, 3 Oktober 2021

1,400 Kg Daun Ketum Ditemui Berselerakan Di Dalam Rumah

1,400 Kg Daun Ketum Ditemui Berselerakan Di Dalam Rumah


PADANG BESAR - Polis merampas sebanyak 1,400 kilogram daun ketum dalam keadaan berselerakan di hampir keseluruhan ruang termasuk tandas sebuah rumah sewa, di Kampung Kolam di sini Jumaat lalu yang dijadikan transit pengedaran daun itu ke Thailand.


Rampasan daun ketum dianggarkan bernilai RM42,000 itu dibuat selepas sepasukan polis menyerbu rumah tersebut hasil risikan dan maklumat orang awam kira-kira pukul 10 malam.


Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas memberitahu, pihaknya sebelum serbuan membuat pemerhatian selama sejam tetapi tiada individu yang datang ke rumah berkenaan.



"Pada kira-kira pukul 10 malam, kita menghubungi pemilik rumah untuk hadir dan seterusnya merampas daun-daun disyaki ketum.


"Siasatan awal, pemilik rumah memaklumkan bahawa urusan sewa rumah berkenaan diuruskan oleh adiknya dan dia tidak tahu menahu mengenai aktiviti berkaitan daun ketum berkenaan," katanya di sini hari ini.


Tambahnya, kesemua barang rampasan tersebut dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Padang Besar untuk siasatan lanjut. Katanya, siasatan diteruskan bagi mengesan penyewa rumah berkenaan yang dipercayai telah melarikan diri.


"Pemilik rumah dan adiknya yang menguruskan sewaan rumah akan dipanggil untuk dirakam keterangan, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," ujarnya.


Daun ketum yang dibungkus dengan plastik lut sinar berselerakan di dalam sebuah rumah sewa di Kampung Kolam, Padang Besar pada kelmarin.

Sabtu, 2 Oktober 2021

YouTuber Jake Paul Dijangka Mampu Kalahkan McGregor Dalam Pertarungan Tinju

YouTuber Jake Paul Dijangka Mampu Kalahkan McGregor Dalam Pertarungan Tinju


LOS ANGELES - Connor McGregor, berminat untuk menyahut cabaran YouTuber dari Amerika Syarikat, Jake Paul, dalam pertarungan. Minat McGregor timbul setelah Paul mengalahkan petarung UFC, Ben Askren dan Tyron Woodley, dalam pertarungan tinju sebelum ini.


Pada 29 November tahun lalu, Paul turut menewaskan Robinson menerusi 'knock out' pada minit 1:24 pusingan kedua. Paul kemudian mengemukakan cabaran kepada bintang UFC, Conor McGregor pula.


Selain itu, Paul turut mencabar rakan sepasukan McGregor, iaitu Dillon Danis. Difahamkan cabaran yang dikemukakan itu adalah untuk pertarungan sukan tinju dan bukannya sukan seni bela diri campuran (MMA).


Menurut jurulatih bekas bintang UFC, Khabib Nurmagomedov, beliau mengatakan Paul mampu menewaskan McGregor di dalam gelanggang tinju.


YouTuber berusia 24 tahun itu yang bertukar profesion sebagai petinju, mencabar McGregor untuk bertarung pada tahun ini sekali gus meminta semula bintang Ireland itu kembali bertarung di gelanggang tinju.


Bekas pelatih Khabib, Javier Mendez yang juga pernah melatih Cain Velasquez dan Daniel Cormier berasakan Paul mempunyai peluang untuk menewaskan McGregor.


"Paul mempunyai banyak kelebihan berbanding Conor. Saiz badan adalah faktor paling ketara, dan dia sudah pun terbabit dengan sukan tinju lebih tiga tahun selain mempunyai pengalaman beraksi dengan petarung profesional.


"Jadi dia tidak sepatutnya bimbang dengan Conor atau sesiapa sahaja. Benar, Paul tidak mempunyai banyak pengalaman tetapi dia serius dalam sukan tinju sedangkan Conor tidaklah kerap bertinju," kata Mendez kepada Betway.


Paul juga mencabar beberapa petinju ternama termasuk juara dunia, Saul 'Canelo' Alvarez. Namun Mendez berkata, Paul perlu memikirkan semula cabaran itu kerana dia bakal berdepan kesukaran jika bertemu lawan seperti Canelo.


Jake Paul (kiri) mencabar Connor McGregor beraksi di gelanggang tinju.
Ular Sawa Seberat 70kg Kenyang Telan Kambing Ditangkap

Ular Sawa Seberat 70kg Kenyang Telan Kambing Ditangkap


TANJUNG MALIM - Seekor ular sawa seberat 70 kilogram (kg) ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), selepas reptilia itu kekenyangan menelan seekor kambing di sebuah kandang di Jalan Besar, Behrang Stesen di sini semalam.


Reptilia itu ditemukan oleh salah seorang pekerja kandang kambing berusia 39 tahun ketika beliau sedang membersihkan kandang tersebut. 


Pegawai Pertahanan Awam Daerah Mualim, Kapten (PA) Shahrizal Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada pukul 2.30 petang semalam (1 September 2021).


Katanya, seramai empat anggota APM dikerahkan ke tempat kejadian bagi menangkap ular sawa berkenaan yang sedang berlingkar di kandang kambing.



"Reptilia itu baru menelan seekor kambing di kandang tersebut dan ditangkap dalam masa 10 minit menggunakan peralatan khas. 


"Ular sawa berkenaan tidak melawan ketika ditangkap kerana kekenyangan selepas menelan seekor kambing," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Menurut Shahrizal, ini merupakan kejadian pertama berlaku di kandang itu dan APM membawa ular berkenaan pulang ke pejabat terlebih dahulu. 


"Ular ini dibawa ke pejabat dahulu sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Sungkai," katanya.


Anggota APM Daerah Mualim menangkap ular sawa seberat 70kg yang menelan seekor kambing di Behrang Stesen dekat Tanjung Malim, Perak, semalam. - Foto APM.

Jumaat, 1 Oktober 2021

Wanita Sangka 'Makhluk Asing Mendarat Di Bumi' Selepas Terlihat Kelibat UFO Di Langit

Wanita Sangka 'Makhluk Asing Mendarat Di Bumi' Selepas Terlihat Kelibat UFO Di Langit


Seorang wanita menyangka makhluk asing telah mendarat di Bumi selepas dia berjaya merakam beberapa gambar, yang pada awalnya difikirkan sebagai objek terbang tidak dikenali (UFO), lapor akhbar Daily Star pada 28 September 2021.


Jayne Dickinson, 47, mengembara ke Istana Bamburgh di Northumberland untuk merakam gambar aurora atau cahaya polar, namun dia terlihat kelibat sebuah 'pesawat' yang mempunyai bentuk aneh.


Berdasarkan foto-foto yang dirakam, objek seakan pesawat itu sedang terbang di langit pada pukul 10.30 malam (waktu tempatan) pada Isnin 27 September lalu.


"Saya sedang mencari cahaya aurora namun tidak kelihatan. Ketika sedang berjalan ke arah kereta, saya tiba-tiba ternampak satu objek bercahaya terang di atas langit.


"Ia kelihatan menakjubkan dan saya terus mencapai kamera lalu merakam gambarnya. Saya fikirkan bahawa makhluk asing telah mendarat di Bumi," katanya.


Bagaimanapun, jangkaannya itu meleset sama sekali apabila mendapati objek yang dirakam itu sebenarnya merupakan sebuah roket milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA).


"Sejurus saya pulang ke rumah, saya memeriksa apakah objek tersebut dan menyedari bahawa ia sebenarya adalah satelit NASA Landsat-9 yang dilancarkan di California, Amerika Syarikat," katanya.


Objek menyerupai UFO yang dirakam Dickinson ternyata merupakan sebuah satelit milik NASA. - Foto Hull Live.


Istana Kota Bamburgh merupakan tapak bersejarah yang terletak di persisiran pantai Northumberland. - Foto Daily Mirror.
Sumbat Dalam Dubur, Cubaan Seludup Emas 1Kg Gagal

Sumbat Dalam Dubur, Cubaan Seludup Emas 1Kg Gagal


Penyeludup menjadi lebih kreatif sejak kebelakangan ini berikutan permintaan terhadap emas memuncak. Seorang penyeludup warga India menyumbat hampir satu kilogram (kg) emas berbentuk pes ke dalam duburnya, bagaimanapun taktik itu berjaya dikesan pihak Kastam India.


Menurut lapor berita Daily Mail pada 29 September 2021. 'Keldai emas' itu ditahan Isnin lalu, selepas seorang pegawai keselamatan melihat 'objek mirip logam dalam rongga badan' suspek di lapangan terbang Imphal di timur laut Manipur.


Lelaki berkenaan, yang mahu ke New Delhi, ditahan untuk soal siasat dan tidak dapat memberi jawapan yang memuaskan, kata Pasukan Keselamatan Perindustrian Pusat dalam satu kenyataan.


Pegawai kemudian membawanya ke bilik pemeriksaan perubatan, di mana keputusan imbasan X-ray di bahagian bawah badannya menunjukkan empat kapsul berisi pes emas seberat lebih 900 gram, bernilai kira-kira RM2.4 juta.



Permintaan terhadap emas memuncak dalam tempoh beberapa bulan menjelang hujung tahun di India, berikutan musim perkahwinan dan persiapan untuk perayaan kaum Hindu yang terbesar iaitu Deepavali dan Dussehra.


Pakar berkata, India adalah pengguna emas kedua terbesar di dunia dan penyeludupan semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu, termasuk dengan menukar logam berharga itu menjadi bentuk pes. Manipur yang bersempadan dengan Bangladesh menjadi laluan utama penyeludupan emas ke India.


Penyeludup menjadi lebih kreatif sejak kebelakangan ini, dengan pihak berkuasa menemukan jongkong emas yang dijahit pada pakaian atau tersembunyi di rongga mulut, selain ada yang menggunakan kerusi roda untuk menyembunyikannya.


Pada Ogos lalu, Pusat Dasar Emas India berkata dianggarkan 300 tan emas diseludup ke negara itu setiap tahun, yang membawa kerugian besar dari segi hasil pendapatan cukai kepada kerajaan.


Bungkusan berisi pes emas yang ditemui disorok dalam dubur seberat hampir 1kg. - Foto AFP.