Ahad, 5 September 2021

Nampak UFO Setiap Kali Melakukan Penerbangan Dakwa Juruterbang Tentera Laut AS

Nampak UFO Setiap Kali Melakukan Penerbangan Dakwa Juruterbang Tentera Laut AS


Kisah objek tidak dikenali (UFO) bukan baru. Sudah terlalu banyak teori dan penemuan yang dikaitkan kewujudan makhluk asing ini. Biarpun banyak gambar dan saksi-saksi yang mengaku berpeluang melihatnya, namun misteri tentang UFO masih tidak jelas.


Menurut laporan Daily Star pada 3 September 2021, seorang juruterbang tentera laut Amerika Syarikat (AS) mengakui melihat UFO terbang di ruang udara setiap kali dia melakukan penerbangan.


Ryan Graves menggambarkan kesemua UFO yang dilihatnya sebagai fenomena udara tidak dikenali (UAP) dan mendakwa boleh mencetuskan ancaman keselamatan. Dia membuat kenyataan itu beberapa minggu selepas Pentagon mendedahkan laporan mengenai penampakan UFO.


Laporan itu memaklumkan, tiada tanda-tanda kehidupan makhluk asing dikenal pasti dan menegaskan penampakan sejumlah UFO sebelum ini tidak dapat dijelaskan. Namun, Graves memberitahu, kesemua UAP yang dilihatnya sejak 2014 lalu adalah sukar untuk dipalsukan.


"UAP itu mungkin boleh jadi jet tentera dari negara lain yang kita tidak ketahui, maka keadaan tersebut secara tidak langsung boleh mengancam keselamatan. Adalah sukar untuk menyatakan semua penampakan UAP itu, lebih-lebih lagi jika anda melihatnya hampir setiap hari," katanya.


Sementara itu, pakar berpendapat kebanyakan kes penampakan UAP adalah melibatkan pesawat fizikal kerana boleh dikesan menerusi pelbagai sistem termasuk inframerah dan radar. Kerajaan AS menerusi satu lagi laporan turut menyatakan ratusan penampakan UFO dikesan antara 2004 hingga 2021.


AS mempunyai sejarah yang panjang tentang pesawat misteri ini, termasuk penemuan serpihan logam aneh pada tahun 1947 di Roswell, New Mexico. Laporan berita kemudian menyebutnya 'piring terbang', tetapi tentera AS mendakwa ia adalah belon cuaca yang jatuh.


Ryan Graves mengatakan UAP menimbulkan ancaman kepada keselamatan. - Foto Fox 8 News.

Sabtu, 4 September 2021

Kucing Terkurung Dalam Rumah 52 Hari Bertahan Hidup Dengan Memakan Kertas

Kucing Terkurung Dalam Rumah 52 Hari Bertahan Hidup Dengan Memakan Kertas


BELANDA - Seekor kucing ditemui terselamat selepas 52 hari terkurung di dalam sebuah rumah terbengkalai. Haiwan yang kekurangan gizi itu bertahan hidup dengan memakan kepingan kertas, lapor akhbar Daily Star pada 30 Ogos 2021.


Kucing yang dinamakan Finn itu ditemui oleh pemilik baru yang membeli rumah tersebut dari lelong buta (lelong bidaan tertutup harga pertama) ketika datang untuk memeriksa rumah baharunya itu. Pada saat mereka membuka pintu, seekor kucing yang sangat kurus bergegas membebaskan diri keluar dari rumah.


Kucing berjalur hitam itu kemudian ditangkap dan dibawa menemui doktor haiwan, dan hasil pemeriksaan mendapati, perutnya dipenuhi dengan kertas yang dimakan akibat terdesak.


Menurut Ketua Perlindungan Haiwan Belanda, Dik Nagtegaal, kucing itu, yang diberi nama Finn oleh penyelamatnya buat masa ini enggan berada di samping manusia.


"Finn amat kurus ketika ia ditemui di rumah tersebut, namun kini telah sihat. Berkemungkinan terdapat paip bocor di mana-mana yang membolehkannya untuk minum air. Ia amat sedih dengan apa yang telah dilaluinya. Jadi, kami akan mencari seorang pemilik yang sesuai dengannya," kata Nagtegaal.


Setakat ini, polis masih mencari pemilik lama Finn, yang berkemungkinan berdepan dengan tuduhan kekejaman terhadap haiwan. Difahamkan rumah tersebut telah dikosongkan sejak 1 Julai 2021 lalu.


Selain itu, polis juga tidak dapat memastikan bagaimana kucing itu boleh berada di dalam rumah kosong tersebut, selain tidak menolak kemungkinan bahawa ia dibuang oleh pemiliknya di situ tanpa sebarang makanan dan minuman.


Finn kini enggan berada di samping manusia. - Foto Daily Star.
Heboh Gua Penuh Emas, Selepas Disiasat Rupanya Besi Pirit

Heboh Gua Penuh Emas, Selepas Disiasat Rupanya Besi Pirit


Sebuah gua yang dikenali dengan nama Goa Tao 8 Putri di Deli Serdang, Sumatera Utara berhampiran dengan kawasan pelancongan Tasik Linting, menjadi tular dalam media sosial kerana didakwa mengandungi emas.


Berdasarkan satu rakaman video, beberapa orang memasuki gua dan menunjukkan dinding gua yang didakwa mengandungi serpihan emas. Mereka turut mengatakan 'emas' di dinding gua itu tidak boleh diambil kerana dianggap benda suci.


Namun, dakwaan itu disangkal oleh Ketua Daerah Sinembah Tanjung Muda (STM) Hulu, Budiman ketika dihubungi Kompas.com pada 2 September 2021 lalu.


"Tiada emas di dalam gua tersebut dan gua itu memang sering dikunjungi oleh penduduk tempatan. Jika ada emas, sudah pasti tempat itu sesak dengan orang ramai," katanya.


Jelas Budiman, pihak berkuasa tempatan akan mengetahui terlebih dahulu sekiranya terdapat emas dalam gua tersebut.


Dalam pada itu, Ketua Pengurus Daerah Ikatan Ahli Geologi Indonesia (IAGI), Sumut Gustam Lubis mengesahkan tiada emas dalam gua berkenaan.


"Bahan berkilat yang didakwa emas itu hanyalah besi pirit, iaitu logam biasa. Disebabkan besi pirit berwarna keemasan, bahan mineral itu sering dianggap sebagai emas palsu," ujarnya.


Sumut memberitahu, mineral itu terbentuk hasil reaksi antara unsur besi dengan sulfur atau belerang sehingga menghasilkan warna kekuningan seperti emas.


Menurutnya, cara untuk membezakan sama ada mineral yang ditemukan adalah emas atau pirit dengan cara menggosoknya. Katanya, emas tidak akan luntur warnanya jika digosok, namun pirit akan bertukar warna.


"Telah diketahui bahawa Goa Tao 8 Putri terletak berdekatan dengan mata air panas yang kaya dengan belerang. Itu hanya pirit yang keluar dari celah batu kapur yang mengelilingi dinding gua," tambahnya.


Sebuah gua di Deli Serdang, Sumatera Utara, Indonesia didakwa mengandungi emas.
Penduduk Dikejutkan Penemuan 'Kuali Raksasa Zaman Purba' Ketika Melakukan Kerja Penggalian

Penduduk Dikejutkan Penemuan 'Kuali Raksasa Zaman Purba' Ketika Melakukan Kerja Penggalian


Penduduk dikejutkan dengan penemuan objek yang menyerupai kuali berukuran 'raksasa' tertanam dalam tanah pada kedalaman tiga meter, ketika seorang pekerja melakukan kerja penggalian, lapor DetikNews pada 1 September 2021.


Penemuan itu bermula ketika penduduk Kretek, Desa Jambidan, Kapanewon Banguntapan, Bantul, Yogyakarta, ingin membina padang permainan untuk kanak-kanak pada selasa 31 Ogos lalu. Namun, ketika menggali tanah menggunakan backhoe, mereka menjumpai objek seperti kuali.


Pada awalnya, penduduk memberitahu penemuan objek tersebut sebagai kuali raksasa zaman purba. Ramai yang mendakwa 'kuali' itu digunakan oleh makhluk gergasi. Bagaimanpun, andaian itu tidak benar, objek itu bukan kuali seperti yang mereka katakan.


Memetik laporan DetikNews, Supardi, 57, penyewa tanah di kawasan itu menjelaskan objek berkenaan ditemukan ketika salah seorang pekerja projek melakukan penggalian, dan objek disangka kuali itu merupakan pangkalan pam air yang telah digunakan sejak zaman penjajahan Belanda.



"Orang tua pernah beritahu kawasan ini merupakan tempat pam air oleh Belanda. Ini (objek) bukan untuk memasak tetapi sebahagian daripada mesin pam air," katanya.


Menurut Supardi, wilayah Jambidan termasuk Kretek pernah dikenali sebagai ladang tebu. Jelasnya, pemerintah Belanda membina pam air di kawasan itu untuk mengairi kawasan ladang.


Katanya, kerajaan dan penduduk tempatan pada tahun 1980 telah merancang untuk mengaktifkan semula sistem pengepaman ini dengan mengambil air dari sungai Opak untuk tujuan pengairan. Namun rancangan itu gagal diteruskan kerana air tidak dapat mengalir ke semua kawasan.


Sementara itu, ketua kampung, Riyan Hidayat juga mengesyaki bahawa objek itu merupakan peninggalan zaman Belanda berdasarkan catatan sejarah. Katanya, warisan budaya telah memeriksa lokasi dan mengatakan bahawa objek itu bukan dari zaman purba.



Jumaat, 3 September 2021

Padah suntik raksa mahu jadi X-Men, kulit terpaksa dipotong

Padah suntik raksa mahu jadi X-Men, kulit terpaksa dipotong


Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang terpengaruh dan ingin menjadi seperti karakter adiwira fiksyen X-Men, nekad menyuntik tubuhnya sendiri dengan cecair merkuri atau raksa, lapor Daily Star pada 30 Ogos 2021.


Remaja itu dilaporkan ingin mencontohi karakter adiwira studio Marvel namun tindakan itu menyebabkan tubuhnya ditumbuhi bisul yang menyakitkan dan sukar sembuh di bahagian kiri lengannya.


Kes tersebut dilaporkan dalam laporan Pusat Maklumat Nasional Bioteknologi India. Menurut laporan berkenaan, kecederaan yang dialami remaja yang tidak didedahkan identitinya itu berlaku selepas dia menyuntik tubuhnya dengan raksa.


Remaja itu menyatakan bahawa dia berbuat demikian sekurang-kurangnya tiga kali dengan menggunakan raksa yang diambil daripada sebiji termometer. Doktor terpaksa menjalankan pemeriksaan toksikologi bagi menilai tahap raksa dalam darah mangsa.


Dia bernasib baik kerana suntikan yang dilakukan, bukan semuanya pada salur darah utama, namun bisul yang terjadi pada tubuhnya itu perlu dipotong dan dia juga harus menjalani pembedahan mencantumkan kulit yang rosak.


"Remaja itu juga mempunyai sejarah digigit labah-labah kerana mahu menjadi seperti Spider-Man. Namun, dia tidak mempunyai masalah psikiatrik lain selain mempunyai kecerdasan otak atau IQ yang normal," tulis laporan tersebut.


Kesan kecederaan yang dialami mangsa akibat menyuntik kandungan berbahaya dalam badan. - Foto NCBI.
Wanita Dipenjara 18 Bulan, Ambil Vaksin Guna Pasport Orang Lain

Wanita Dipenjara 18 Bulan, Ambil Vaksin Guna Pasport Orang Lain


Padah menggunakan pasport milik individu lain untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, seorang wanita warga asing dijatuhi hukuman penjara 18 bulan di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka, hari ini.


Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim menjatuhkan hukuman itu ke atas That That Mar, 27, setelah dia mengaku bersalah atas tiga pertuduhan sebaik sahaja pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.


Mengikut pertuduhan satu dan dua, tertuduh didapati telah memperdayakan seorang doktor dan jururawat dengan menggunakan pasport milik Than Lin Tun bagi mendapatkan suntikan dos pertama dan kedua vaksin Covid-19.


Tindakan itu dilakukan tertuduh di Klinik Medidion, Taman Cheng Perdana dalam daerah Melaka Tengah pada 28 Julai dan 18 Ogos lalu.


Bagi kedua-dua keslahan itu, tertuduh didakwa mengikut Sekyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu sebuah kedai makan didapati telah masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah dan didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).


Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun atau didenda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-dua sekali dan boleh juga dikenakan maksimum enam sebatan.


Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman berbentuk denda diberikan dengan alasan dia ingin pulang ke negara asalnya.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius, selain sebagai pengajaran kepada masyarakat.


Selepas mendengar hujah kedua pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan bermula tarikh ditangkap pada 18 Ogos lalu. Beliau bagaimanapun memerintah kesemua hukuman itu berjalan serentak.


Tertuduh seorang wanita warga Myanmar diiringi anggota polis selepas dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

Khamis, 2 September 2021

Makhluk Asing Guna Lohong Hitam Peroleh Tenaga Untuk 'Masyarakatnya'

Makhluk Asing Guna Lohong Hitam Peroleh Tenaga Untuk 'Masyarakatnya'


Satu kajian baharu mendakwa makhluk asing menjana tenaga untuk kegunaan 'masyarakatnya' melalui lohong hitam. Oleh kerana itu, saintis berpendapat, memerhati aktiviti lohong hitam adalah kaedah terbaik untuk menjejaki makhluk luar angkasa.


Memetik laporan portal berita MailOnline pada 31 Ogos 2021, pasukan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Tsing Hua di Taiwan percaya, makhluk asing secara teorinya boleh menggunakan struktur mega yang dipanggil sfera Dyson.


Katanya, sfera Dyson akan mengelilingi bintang dengan formasi platform orbit yang ketat untuk menangkap cahaya bintang dan menghasilkan tenaga. Penjanaan tenaga ini akan meninggalkan jejak peristiwa lohong hitam berputar.


Proses itu dapat menjelaskan sekurang-kurangnya beberapa ledakan plasma, suatu bentuk gas bermuatan panas-putih, graviti lohong hitam menjadi terlalu kuat untuk jirim dan tenaga yang dilepaskan.


Mereka turut percaya bahawa kaedah tersebut bukan sesuatu yang mustahil, selain ia boleh memancarkan cahaya yang membolehkan teleskop di Bumi untuk mengesan makhluk asing.


Sebelum ini, pada tahun 1960, seorang ahli fizik dan ahli astronomi, Freeman J. Dyson mencadangkan penggunaan pengumpul suria yang mengorbit untuk mengumpulkan semua tenaga bintang atau matahari.


"Biasanya, cakera penambahan dapat memberikan 10,000 dan bahkan lebih banyak tenaga yang boleh didapati daripada bintang seperti matahari.


"Oleh itu, daripada memburu 10,000 bintang yang sama seperti matahari, kita boleh mencari satu lohong hitam dan membina sfera Dyson di sekelilingnya kerana tindakan itu lebih berkesan," kata ketua penyelidik, Tiger Yu-Yang Hsiao kepada blog IFL Science.


Sementara itu, menurut seorang lagi penulis kajian yang sama, Tomotsugu Goto, makhluk asing boleh menempatkan satelit besar di orbit stabil sekitar lohong hitam untuk mengumpulkan tenaga sinar-X menggunakan sesuatu yang serupa dengan panel suria.

Rabu, 1 September 2021

Bawa Parang Dan Ugut Bakar Rumah Bekas Majikan Kerana Diberhentikan Kerja

Bawa Parang Dan Ugut Bakar Rumah Bekas Majikan Kerana Diberhentikan Kerja


BEAUFORT - Polis menahan seorang lelaki mengamuk serta mengugut akan membakar rumah majikannya selepas diberhentikan kerja dalam kejadian di Kampung Siaun Menumbok, di sini, semalam.


Difahamkan, suspek warga Indonesia itu diberhentikan kerja oleh majikannya kerana malas bekerja dan disyaki mengambil dadah syabu. Kerana tidak puas hati, suspek datang ke rumah bekas majikannya membawa parang panjang kira-kira 8 pagi.


Bagaimanapun, hanya anak lelaki bekas majikannya berusia 18 tahun yang berada di rumah itu dan remaja itu menghubungi ayahnya sebelum membuat laporan polis.


Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, suspek adalah bekas pekerja ladang sawit milik bapanya yang telah diberhentikan kerja.


"Suspek yang tidak puas hati diberhentikan kemudian datang ke rumah majikannya dengan membawa parang sambil mengamuk sebelum beredar.


"Beberapa minit kemudian majikannya tiba rumah dan turut menerima pesanan melalui WhatsApp daripada suspek menyatakan akan membakar rumah majikannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Menurutnya, hasil siasatan berjaya mengesan dan menahan suspek di tepi jalan di Jalan Kuala Penyu - Menumbok di Kampung Kayul, di sini pada 7.40 malam.


"Siasatan masih dijalankan dan suspek belum membuat sebarang pengakuan berkenaan kejadian itu. Soal siasat akan diteruskan. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 kerana melakukan ugutan jenayah," katanya.


(Kiri) Yusoff Zaki Mat Yaacob. (Kanan) suspek yang ditahan polis.
Lelaki Jahit Kemaluan Isteri Guna Benang Aluminium Selepas Mengesyaki Wanita Itu Curang Terhadapnya

Lelaki Jahit Kemaluan Isteri Guna Benang Aluminium Selepas Mengesyaki Wanita Itu Curang Terhadapnya


Apa yang akan anda lakukan sekiranya anda mengesyaki pasangan anda menipu anda? Adakah anda akan mengekori setiap pergerakan mereka untuk mengetahui kebenaran? Atau anda terus bertindak kejam untuk memberi pengajaran kepada pasangan walaupun tanpa bukti kukuh bahawa mereka telah curang?


Memetik laporan The Sun pada 31 Ogos 2021, seorang lelaki yang berasal dari Madhya Pradesh, India, bertindak kejam apabila menjahit kemaluan isterinya selepas menyangka wanita itu berlaku curang terhadapnya.


Insiden itu berlaku di daerah Singrauli dan doktor yang memeriksa wanita tersebut mengesahkan kemaluannya cedera akibat dijahit oleh suaminya. Hospital kemudiannya melaporkan kejadian itu kepada polis dan suami wanita tersebut kini menjadi buruan pihak berkuasa.


Bagaimanapun, wanita itu merayu kepada polis supaya tidak menahan suaminya, sebaliknya hanya menegur atau memarahi lelaki tersebut. Menurut jurucakap polis Singrauli, Anil Sonkar berkata, polis masih mengesan lelaki tersebut dan dia tetap akan ditahan kerana melakukan penderaan domestik.


"Suspek yang berusia 22 tahun didakwa mengikat tangan isterinya sebelum menjahit kemaluan wanita itu menggunakan benang alumininum. Walaupun isterinya merayu jangan dicederakan, suspek tetap melakukan perbuatan itu, selain memukulnya sebelum melarikan diri," kata Sonkar.


Sementara itu, insiden tersebut bukanlah pertama kali berlaku di India apabila pada Mac lalu, seorang lelaki di negeri Uttar Pradesh ditahan selepas menjahit kemaluan isterinya menggunakan benang aluminium.


Motif insiden sama iaitu lelaki berkenaan mengesyaki isterinya berlaku curang dengan lelaki lain, suspek kemudian bertindak mengikat tangan dan kaki wanita tersebut sebelum melakukan serangan mengerikan itu, lapor Latin Times.

Selasa, 31 Ogos 2021

Tuan Rumah Pula Terpaksa Merempat Walaupun Ada 3 Rumah

Tuan Rumah Pula Terpaksa Merempat Walaupun Ada 3 Rumah


Seorang pesara tentera Amerika Syarikat yang juga ibu tunggal ini memiliki tiga rumah, namun terpaksa tinggal dalam kereta selain menumpang di rumah rakan-rakan bersama anak perempuannya buat sementara waktu, selepas penyewanya enggan membayar sewa.


Walaupun mempunyai portfolio hartanah yang sihat, Brandie LaCasse kini kehilangan tempat tinggal setelah penyewa berhenti membayar sewa sejak tahun lalu, bahkan wanita itu menanggung tunggakan lebih AS$23,000 (RM95,886). Setelah menempuh masa yang sukar, Brandie menyuruh penyewa untuk pindah agar dia dapat masuk, tetapi ketiga-tiganya menolak.


Lebih malang, Brandie tidak dapat mengambil apa-apa tindakan ke atas semua penyewanya itu berikutan masing-masing dilindungi di bawah dasar larangan pengusiran, susulan pandemik Covid-19 yang dikuatkuasakan negeri dan persekutuan.



"Saya menangis setiap malam memikirkan 'mana duit saya?' Saya tidak faham bagaimana mereka (kerajaan) boleh beri rumah saya kepada orang lain untuk mereka duduk secara percuma. Sedangkan saya yang membeli hartanah itu dengan segala kudrat dan kemampuan saya.


"Saya melabur dalam hartanah ini, tanpa menyangka saya tidak akan mempunyai tempat tinggal. Saya hanya mahukan rumah saya. Itu sahaja. Saya hanya mahukan rumah saya," kata Brandie LaCasse memberitahu kepada CBS.


Dasar larangan pengusiran diwujudkan untuk melindungi penyewa sepanjang tempoh pandemik, namun sesetengah pemilik hartanah menyifatkan mereka sebagai mangsa akibat dasar itu. Pakar polisi perumahan yang juga profesor di Universiti Pennsylvania, Vincent Reina berkata, hampir 10 peratus pemilih hartanah di AS mengutip kurang daripada separuh sewa rumah pada 2020.


Katanya, pemilik yang memiliki kurang daripada enam unit rumah adalah golongan paling terkesan. CBS menghubungi Carla McArthur iaitu seorang daripada penyewa Brandie, dan diberitahu wanita itu bahawa dia dan suaminya tidak dapat membayar sewa rumah kerana terjejas akibat Covid-19.


"Saya rasa bersalah kerana tidak dapat membayar sewa kepada dia tetapi kami hilang pendapatan. Saya dijangkiti Covid-19 dua kali, anak saya sekali dan suami saya juga sekali. Kami sangat terkesan dengan virus ini," katanya.


Brandie LaCasse terpaksa menumpang rumah rakannya dan tinggal di dalam kereta buat sementara waktu. - Foto CBS.