Rabu, 1 September 2021

Bawa Parang Dan Ugut Bakar Rumah Bekas Majikan Kerana Diberhentikan Kerja


BEAUFORT - Polis menahan seorang lelaki mengamuk serta mengugut akan membakar rumah majikannya selepas diberhentikan kerja dalam kejadian di Kampung Siaun Menumbok, di sini, semalam.


Difahamkan, suspek warga Indonesia itu diberhentikan kerja oleh majikannya kerana malas bekerja dan disyaki mengambil dadah syabu. Kerana tidak puas hati, suspek datang ke rumah bekas majikannya membawa parang panjang kira-kira 8 pagi.


Bagaimanapun, hanya anak lelaki bekas majikannya berusia 18 tahun yang berada di rumah itu dan remaja itu menghubungi ayahnya sebelum membuat laporan polis.


Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, suspek adalah bekas pekerja ladang sawit milik bapanya yang telah diberhentikan kerja.


"Suspek yang tidak puas hati diberhentikan kemudian datang ke rumah majikannya dengan membawa parang sambil mengamuk sebelum beredar.


"Beberapa minit kemudian majikannya tiba rumah dan turut menerima pesanan melalui WhatsApp daripada suspek menyatakan akan membakar rumah majikannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Menurutnya, hasil siasatan berjaya mengesan dan menahan suspek di tepi jalan di Jalan Kuala Penyu - Menumbok di Kampung Kayul, di sini pada 7.40 malam.


"Siasatan masih dijalankan dan suspek belum membuat sebarang pengakuan berkenaan kejadian itu. Soal siasat akan diteruskan. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 kerana melakukan ugutan jenayah," katanya.


(Kiri) Yusoff Zaki Mat Yaacob. (Kanan) suspek yang ditahan polis.


EmoticonEmoticon