Selasa, 31 Ogos 2021

Tuan Rumah Pula Terpaksa Merempat Walaupun Ada 3 Rumah


Seorang pesara tentera Amerika Syarikat yang juga ibu tunggal ini memiliki tiga rumah, namun terpaksa tinggal dalam kereta selain menumpang di rumah rakan-rakan bersama anak perempuannya buat sementara waktu, selepas penyewanya enggan membayar sewa.


Walaupun mempunyai portfolio hartanah yang sihat, Brandie LaCasse kini kehilangan tempat tinggal setelah penyewa berhenti membayar sewa sejak tahun lalu, bahkan wanita itu menanggung tunggakan lebih AS$23,000 (RM95,886). Setelah menempuh masa yang sukar, Brandie menyuruh penyewa untuk pindah agar dia dapat masuk, tetapi ketiga-tiganya menolak.


Lebih malang, Brandie tidak dapat mengambil apa-apa tindakan ke atas semua penyewanya itu berikutan masing-masing dilindungi di bawah dasar larangan pengusiran, susulan pandemik Covid-19 yang dikuatkuasakan negeri dan persekutuan.



"Saya menangis setiap malam memikirkan 'mana duit saya?' Saya tidak faham bagaimana mereka (kerajaan) boleh beri rumah saya kepada orang lain untuk mereka duduk secara percuma. Sedangkan saya yang membeli hartanah itu dengan segala kudrat dan kemampuan saya.


"Saya melabur dalam hartanah ini, tanpa menyangka saya tidak akan mempunyai tempat tinggal. Saya hanya mahukan rumah saya. Itu sahaja. Saya hanya mahukan rumah saya," kata Brandie LaCasse memberitahu kepada CBS.


Dasar larangan pengusiran diwujudkan untuk melindungi penyewa sepanjang tempoh pandemik, namun sesetengah pemilik hartanah menyifatkan mereka sebagai mangsa akibat dasar itu. Pakar polisi perumahan yang juga profesor di Universiti Pennsylvania, Vincent Reina berkata, hampir 10 peratus pemilih hartanah di AS mengutip kurang daripada separuh sewa rumah pada 2020.


Katanya, pemilik yang memiliki kurang daripada enam unit rumah adalah golongan paling terkesan. CBS menghubungi Carla McArthur iaitu seorang daripada penyewa Brandie, dan diberitahu wanita itu bahawa dia dan suaminya tidak dapat membayar sewa rumah kerana terjejas akibat Covid-19.


"Saya rasa bersalah kerana tidak dapat membayar sewa kepada dia tetapi kami hilang pendapatan. Saya dijangkiti Covid-19 dua kali, anak saya sekali dan suami saya juga sekali. Kami sangat terkesan dengan virus ini," katanya.


Brandie LaCasse terpaksa menumpang rumah rakannya dan tinggal di dalam kereta buat sementara waktu. - Foto CBS.


EmoticonEmoticon