Ahad, 22 Ogos 2021

TMJ mahu jumpa 779 guru tolak vaksin di Johor

TMJ mahu jumpa 779 guru tolak vaksin di Johor


Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim akan bertemu dengan Pengarah Pendidikan Johor dan kira-kira 779 guru yang menolak menerima vaksin Covid-19, bagi mencari penyelesaian isu itu.


Memetik laporan Harian Metro, Tunku Ismail menerusi dua ciapan di akaun Twitter baginda hari ini bertitah, pertemuan itu akan diadakan dalam masa terdekat.


Tunku Mahkota Johor membuat ciapan berkenaan apabila seorang netizen berkongsi laporan berita Harian Metro berkenaan seramai 779 guru di Johor menolak untuk menerima vaksin Covid-19.


Baginda bertitah, keutamaan negeri Johor adalah untuk mengatasi pandemik ini secepat mungkin supaya rakyat, negeri boleh kembali dan meneruskan kehidupan seperti biasa.


Hari ini, Pengerusi Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang, ketika menjawab soalan tambahan pada Persidangan Keempat DUN Johor yang ke-14, dilaporkan memaklumkan kira-kira 779 guru di negeri ini menolak untuk menerima vaksin Covid-19.


Mazlan dilaporkan berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan membantu memberi penerangan mengenai kebaikan vaksin supaya golongan guru terbabit akan menerima vaksin.


Pelajar cacah tatu kod QR sijil vaksin di lengan

Pelajar cacah tatu kod QR sijil vaksin di lengan


Sebelum ini, pada bulan Jun lalu seorang lelaki di Thailand menjadi tular di media sosial apabila mengabdikan sijil perkahwinannya sebagai tatu kekal di lengan kanannya. Baca juga: Sebagai bukti cinta, lelaki cacah tatu kekal sijil kahwin di lengan.


Lukisan tatu itu dihiasi bunga berwarna hijau dan merah jambu serta memenuhi hampir keseluruhan lengan kanan lelaki itu, membuatkan Isterinya berasa terharu atas kesanggupan suaminya mencacah sijil perkahwinan mereka sebagai tatu.


Terbaru, seorang pelajar berusia 22 tahun di Itali turut tular di media sosial apabila dia mencacah tatu dengan imej kod QR sijil vaksin Covid-19 di lengannya.



Andrea Colonnetta berkata, beliau tidak terlalu memikirkan perkara itu sebelum mencacah tatu, tetapi memilih sesuatu yang praktikal selepas berbincang dengan pelukis tatu, Gabriele Pellerone.


Kini, pada lengannya terdapat kod QR yang juga pas hijau rasmi dikeluarkan kerajaan Itali. Pas berkenaan adalah bukti status berkaitan Covid-19 sama ada sudah menerima vaksin, baru sembuh daripada jangkitan Covid-19 atau disahkan negatif dalam tempoh 48 jam.


Sejak 6 Ogos lalu, pas berkenaan diperlukan untuk memasuki beberapa lokasi awam seperti panggung, muzium atau restoran. Colonnetta yang sudah menerima dos lengkap vaksin Covid-19 mengakui ibu bapanya kurang memahami tindakan yang dibuat.


"Mereka meminta saya supaya berfikiran jauh sebelum melakukan sesuatu. Ia adalah sesuatu yang asli dan saya suka tampil berbeza," katanya kepada akhbar Calabria.


Satu video di media sosial menyaksikan Colonnetta memasuki restoran McDonald's dan mengangkat lengannya serta mengambil gambar tatu di lengannya.

Kesan Imej UFO 'Terhempas' Di Pulau Tidak Berpenghuni, Dakwa Pengguna Google Earth

Kesan Imej UFO 'Terhempas' Di Pulau Tidak Berpenghuni, Dakwa Pengguna Google Earth


Seorang pengguna laman sosial Reddit mendakwa bahawa dia mengesan imej objek terbang tidak dikenali (UFO) mendarat di sebuah pulau tidak berpenghuni di tengah lautan, lapor akhbar Daily Star pada 14 Ogos 2021.


Pengguna akaun itu memuat naik imej saiz besar objek berbentuk aneh terdampar di Pulau Starbuck yang merupakan sebahagian daripada negara Kiribati. Pulau Starbuck berada di barat daya lautan Pasifik yang terletak 3,200 kilometer di selatan Hawaii.


"UFO terhempas di Pulau Starbuck! Imej Google Earth ini menunjukkan terdapat corak laluan di belakang objek tersebut yang menunjukkan ia bergerak pada kelajuan tinggi," tulisnya pada kapsyen gambar tersebut.


Imej itu menerima pelbagai komen daripada pengguna yang membuat spekulasi mengenai bagaimana objek tersebut boleh berada di situ.



"Saya tidak tahu apakah objek itu atau adakah ia UFO? Bagaimanapun, ia amat hebat," tulis seorang pengguna.


Terdapat juga pengguna yang tidak mempercayai dakwaan tersebut dan berkata, imej yang dilihat berbentuk seperti bot yang mempunyai corak laluan pasir pada bahagian belakangnya, berkemungkinan ditarik oleh seseorang.


Ada juga yang mengatakan bahawa jika benar ia adalah UFO, sebab apa ditinggalkan di situ sejak sekian lama? Pulau Starbuck terkenal dengan lokasinya yang sangat terpencil dan bangkai kapal yang banyak terdapat di sana.


Gambar ini pernah tular beberapa tahun lalu menunjukkan sebuah objek misteri di pulau Starbuck.

Imej yang didakwa merupakan UFO yang terdampar di tepi pantai. - Foto Reddit.

Sabtu, 21 Ogos 2021

Yanjin Bandar Paling Sempit Di Dunia Seakan Kota Dalam Filem Fantasi

Yanjin Bandar Paling Sempit Di Dunia Seakan Kota Dalam Filem Fantasi


Dibina di sepanjang Sungai Nanxi antara pergunungan curam di wilayah Yunnan, bandar Yanjin dianggap sebagai bandar paling sempit di dunia, lapor Oddity Central pada 6 Ogos 2021 lalu.


Jika melihat bandar Yanjin dari udara, sukar untuk membayangkan penempatan itu sebenarnya wujud dalam kehidupan sebenar. Namun, itulah yang membuat bandar Yanjin unik, ia kelihatan seperti dalam filem fantasi atau dalam permainan simulasi dengan bangunan daripada kota moden.


Walaupun mempunyai kawasan yang terhad, bandar ini dihuni kira-kira 450,000 penduduk dengan titik paling sempit di bandar Yanjin adalah seluas 30 meter. Ruang paling luas di bandar ini pula diukur kira-kira 300 meter.



Bandar Yanjin mempunyai satu jalan utama di setiap sisi dan walaupun terdapat deretan bangunan serta rumah di sepanjang sungai, bandar ini tidak mempunyai banyak jambatan.


Selain itu, kebanyakan kediaman penduduk terletak di bahagian kanan tebing sungai dan struktur pembinaannya disokong dengan tiang tinggi bagi mengelakkan banjir sekiranya paras sungai meningkat.


Bandar ini sudah dihuni sejak ratusan tahun lalu, malah penduduknya juga enggan berhijrah ke bandar besar. Namun, ekonomi di bandar ini tidak 'semewah' di bandar utama yang lain kerana kedudukannya yang sukar diakses oleh para pelabur.






Kawanan lembu tidak bertuan bertindak agresif 'tawan' pantai Perancis

Kawanan lembu tidak bertuan bertindak agresif 'tawan' pantai Perancis


Beberapa pantai di Lozzi, Perancis terpaksa ditutup apabila ia ditawan oleh kawanan lembu 'jahat' yang bertindak menghalau semua pengunjung di situ, lapor akhbar Daily Star pada 19 Ogos 2021.


Populasi lembu tidak bertuan yang kini mencecah 15,000 ekor menjadi masalah buat penduduk setempat apabila haiwan itu mula menguasai kebanyakan lokasi di wilayah tersebut.


Sejak akhir-akhir ini, berlaku beberapa insiden pengunjung pantai diserang oleh lembu yang tidak suka untuk berkongsi kawasan pinggir pantai dengan manusia.


Memetik laporan The Times, seorang lelaki dihantar ke hospital setelah diserang kawanan lembu terbabit, lelaki itu dilaporkan cedera di leher tertusuk tanduk tajam seekor lembu.



Minggu lalu, sekumpulan lembu yang tidak terkawal mengejar pelancong yang melalui jalan raya yang popular di salah satu bandar yang paling banyak dikunjungi di wilayah tersebut.


Datuk bandar Lozzi, Francois Acquaviva memberitahu akhbar tempatan Corse-Matin bahawa masalah tersebut adalah serius dan bukan sekadar satu perkara yang melucukan.


"Ada kes di mana seorang wanita itu ditanduk oleh lembu hingga mengalami kecederaan serius pada kakinya. Jika situasi ini berlanjutan, saya pasti akan ada kes kematian akibat diserang kawanan lembu liar," jelasnya.


Sebilangan penduduk tempatan menyalahkan dasar pertanian Kesatuan Eropah (EU) yang mendorong petani baru untuk membeli lembu.


Namun begitu, apabila peraturan semasa diubah, lembu itu banyak dibebaskan daripada pemilikan dan dibiarkan berkeliaran bebas tanpa pemantauan.


Lembu liar di Lozzi, Perancis tidak suka berkongsi pantai dengan manusia dan sering bertindak mengejar mereka keluar. - Foto Getty Images.
Cuba terjun jejambat kerana putus cinta, bomba berjaya pujuk

Cuba terjun jejambat kerana putus cinta, bomba berjaya pujuk


Seorang pemuda cuba membunuh diri dipercayai akibat putus cinta dalam kejadian di jejambat Bukit Jelutong Lebuh Raya Guthrie di Shah Alam, pagi tadi.


Bagaimanapun, tindakan lelaki tempatan berusia 20-an itu berjaya dihalang pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik.


Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, enam anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 11.38 pagi.


Katanya, pihaknya yang tiba dua minit kemudian mendapati lelaki berusia 20an itu berada di atas jejambat yang berketinggian kira-kira 10 meter.


"Usaha memujuk dilakukan dengan polis mengawal lalu lintas di bahagian bawah selain menyediakan sebuah lori kontena berhampiran pemuda itu.


"Kita mengambil masa sepuluh minit dalam pujukan sebelum lelaki itu kemudiannya turun pada lori kontena tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.


Jelas beliau, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.


Cubaan seorang lelaki terjun dari jejambat Bukit Jelutong di Lebuhraya Guthrie. - Foto ihsan bomba.

Khamis, 19 Ogos 2021

Mahu Rasa Tinggal Di Planet 'Marikh', NASA Kini Buka Permohonan

Mahu Rasa Tinggal Di Planet 'Marikh', NASA Kini Buka Permohonan


Sebagai persiapan untuk menghantar angkasawan ke planet Marikh, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan Amerika (NASA), baru-baru ini telah memaklumkan bahawa mereka kini mencari beberapa individu untuk menyertai simulasi 3D 'Marikh'.


Menurut Daily Mail, NASA membuka permohonan untuk empat individu untuk tinggal selama setahun di Mars Dune Alpha, sebuah fasiliti seluas 1,700 kaki persegi, yang dibina menggunakan teknologi percetakan 3D, terletak dalam bangunan Johnson Space Center di Houston.


Kumpulan sukarelawan berbayar itu akan menjalankan misi eksplorasi Marikh yang disimulasikan, lengkap dengan space walk, komunikasi terhad, kekurangan makanan dan sumber serta masalah kelengkapan.



NASA merancang tiga eksperimen, dengan yang pertama bermula pada musim luruh tahun hadapan pada 2022, dan berhasrat untuk menghantar manusia ke planet Marikh menjelang tahun 2037.


"Kami ingin memahami bagaimana manusia berfungsi di dalamnya. Kami mahu melihat keadaan sebenar di Marikh, " kata Ketua Saintis, Grace Douglas.


Proses permohonan dibuka sejak seminggu lalu dan akan berakhir pada 12 September 2021, namun ada kelayakan tertentu yang dicari pihak NASA. Syarat pemilihan sangat ketat, termasuk memiliki ijazah sarjana dalam bidang sains, kejuruteraan atau matematik atau pengalaman sebagai juruterbang.


Hanya warganegara Amerika Syarikat atau penduduk tetap sahaja yang layak, dan pemohon mestilah berumur antara 30 hingga 55 tahun, mempunyai kesihatan fizikal yang baik tanpa masalah diet dan tidak mempunyai masalah mabuk perjalanan.



"Ini bermakna NASA sedang mencari mereka yang hampir sama dengan angkasawan. Lebih baik mencari individu yang menyamai angkasawan sebenar untuk ke Marikh.


"Usaha Rusia dalam misi olok-olok ke Marikh yang disebut sebagai Mars 500, gagal kerana individu yang dipilih adalah mereka dalam kalangan orang biasa," kata bekas angkasawan Kanada, Chris Hadfield.


Malah Hadfield, yang menghabiskan lima bulan di orbit pada tahun 2013 di Stesen Angkasa Antarabangsa, yakin jika individu yang tepat dipilih untuk menyertai program ini, ia akan menjadi pengalaman yang luar biasa untuk mereka.


Mars Dune Alpha, sebuah fasiliti seluas 1,700 kaki persegi, yang dibina menggunakan teknologi percetakan 3D, terletak dalam bangunan Johnson Space Center di Houston.

Habitat Mars Dune Alpha yang dibangunkan di Johnson Space Centre, Houston ini menjadi tapak untuk menilai keserasian manusia dalam persekitaran seumpama Marikh.
Lelaki Berdepan Denda RM100,000 Dan 3 Tahun Penjara Kerana Bunuh Siput Babi

Lelaki Berdepan Denda RM100,000 Dan 3 Tahun Penjara Kerana Bunuh Siput Babi


Seorang lelaki di Hong Kong ditahan polis selepas didakwa melakukan perbuatan khianat ke atas haiwan apabila dia dilihat membunuh tiga ekor siput babi menggunakan taburan garam, lapor portal Coconut, semalam.


Menerusi kejadian yang dilaporkan berlaku di sebuah kolam air pancut di Tsim Sha Tsui pada 4 Ogos lalu, suspek dikatakan menaburkan garam ke atas siput babi berkenaan.


Apabila perbuatannya dihalang, suspek berkata kewujudan siput babi adalah ancaman pada keseimbangan ekosistem alam semulajadi. Menabur garam pada siput boleh membunuh haiwan tersebut kerana mineral itu akan menyerap kelembapan melalui proses osmosis.


Cara itu adalah salah satu teknik berkebun yang terkenal untuk mengawal populasi siput babi, namun ianya dilihat sebagai kejam kerana akan menyebabkan kesakitan yang melampau terhadap haiwan terbabit.


Susulan laporan orang ramai, polis menahan suspek berusia 26 tahun yang merupakan pelajar doktor falsafah jurusan sains komputer dan merampas pakaian yang dipakai ketika melakukan jenayah tersebut.


Lelaki itu kini berdepan kemungkinan hukuman denda sehingga HK$200,000 (RM109,012) dan tiga tahun penjara di bawa kesalahan penganiayaan ke atas haiwan.

Lelaki Guna Satu Jari Imbangi Kayu Hoki Selama Lebih 3 Jam, Cipta Rekod Dunia Baharu

Lelaki Guna Satu Jari Imbangi Kayu Hoki Selama Lebih 3 Jam, Cipta Rekod Dunia Baharu


Memang suatu kepuasan dan kebanggaan buat seseorang itu, sekiranya sesuatu kerja yang dilakukan memperolehi pengiktirafan daripada pihak tertentu seperti Guinness World Records yang merupakan koleksi buku rujukan yang diterbitkan setiap tahun.


Buku ini mencatatkan pencapaian manusia yang luar biasa di seluruh dunia. Justeru, macam-macam cara dilakukan oleh manusia di setiap pelusuk dunia semata-mata untuk mencapai impian agar namanya dapat tersenarai dalam buku tersebut.


Terbaru, seorang lelaki dari India dilaporkan telah berjaya mencipta rekod dunia baharu selepas berjaya mengimbangi kayu hoki dengan hanya menggunakan satu jari selama 3 jam 35 minit.



Lapor portal UPI pada 13 Ogos 2021, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Raj Gopal Bhoi, berasal dari kampung Jamutjhula di daerah Balangir, Odisha. Raj mengimbangi kayu hoki tersebut dengan menggunakan jari telunjuk tangan kanannya.


Lelaki itu melakukan aksi tersebut dihadapan orang ramai termasuk Satyapira Padhan yang merupakan seorang pemegang Rekod Dunia Guinness bagi kategori lain.


Raj mahu memecahkan rekod semasa yang dicatatkan oleh Himanshu Gupta iaitu 2 jam 22 minit 22 saat pada tahun 2017.


Rakaman video yang memaparkan aksi Raj melakukan percubaan itu dan kenyataan daripada beberapa saksi sudah diserahkan kepada Rekod Dunia Guinness untuk kelulusan.


Raj Gopal Bhoi berjaya mengimbangi kayu hoki dengan hanya menggunakan satu jari selama 3 jam 35 minit.
Lelaki 'Bertapa' Dalam Gua 20 Tahun Keluar Ambil Suntikan Vaksin

Lelaki 'Bertapa' Dalam Gua 20 Tahun Keluar Ambil Suntikan Vaksin


Baru-baru ini tular kisah seorang lelaki dari Pirot, Serbia, yang tinggal di dalam gua selama 20 tahun keluar dari tempat pertapaannya untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.


Menurut laporan akhbar The Sun pada 13 Ogos 2021, Panta Pertrovic, 70, mendapat tahu mengenai wabak tersebut daripada satu lawatannya ke pekan berhampiran pada tahun lepas.


Apabila dia sedar mengenai bahaya virus itu, dia mengatakan bahawa dia perlu mendapatkan vaksin secepat mungkin dan kini dia bersyukur kerana telah mendapatkannya.


"Virus itu tidak memilih mangsa. Ia akan datang ke sini, ke gua saya juga. Saya ingin dapatkan kesemua tiga dos termasuk dos tambahan. Saya juga ingin menggalakkan setiap penduduk agar mendapatkan vaksinasi mereka," katanya.


Tambah Pertrovic, dia tidak memahami mengapa terdapat sebilangan individu yang mempunyai pandangan skeptikal mengenai virus Covid-19, dan ada yang tidak mahu menerima suntikan vaksin.


Pertrovic pada 20 tahun lepas berpindah ke sebuah gua kecil di sebuah kawasan pergunungan untuk mengelak daripada berhubungan dengan masyarakat.



Dia yang pernah bekerja sebagai seorang buruh mengambil keputusan untuk menjadi seorang pertapa di dalam gua kerana mahu hidup bersendirian.


"Saya tidak bebas di bandar. Kebiasaannya, terdapat seseorang yang akan mengganggu anda, sama ada anda bertengkar dengan isteri, jiran atau polis. Di sini, tiada sesiapa yang mengganggu saya," jelasnya.


'Rumah' Pertrovic hanya boleh diakses menerusi pendakian curam. Rakan-rakannya hanya terdiri daripada ayam, kucing, anjing dan babi hutan. 


Makanan rujinya pula adalah cendawan dan ikan yang ditangkap dari sebatang anak sungai berdekatan selain dia turut pergi ke pekan sesekali untuk mencari sisa makanan dari tong sampah.


Panta Pertrovic hidup di dalam gua berbekalkan bantuan yang diberikan kepadanya termasuk bantuan makanan. - Foto AFP.

Panta Pertrovic sedar akan kepentingan mendapatkan suntikan Covid-19. - Foto AFP.