Khamis, 19 Ogos 2021

Mahu Rasa Tinggal Di Planet 'Marikh', NASA Kini Buka Permohonan


Sebagai persiapan untuk menghantar angkasawan ke planet Marikh, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan Amerika (NASA), baru-baru ini telah memaklumkan bahawa mereka kini mencari beberapa individu untuk menyertai simulasi 3D 'Marikh'.


Menurut Daily Mail, NASA membuka permohonan untuk empat individu untuk tinggal selama setahun di Mars Dune Alpha, sebuah fasiliti seluas 1,700 kaki persegi, yang dibina menggunakan teknologi percetakan 3D, terletak dalam bangunan Johnson Space Center di Houston.


Kumpulan sukarelawan berbayar itu akan menjalankan misi eksplorasi Marikh yang disimulasikan, lengkap dengan space walk, komunikasi terhad, kekurangan makanan dan sumber serta masalah kelengkapan.



NASA merancang tiga eksperimen, dengan yang pertama bermula pada musim luruh tahun hadapan pada 2022, dan berhasrat untuk menghantar manusia ke planet Marikh menjelang tahun 2037.


"Kami ingin memahami bagaimana manusia berfungsi di dalamnya. Kami mahu melihat keadaan sebenar di Marikh, " kata Ketua Saintis, Grace Douglas.


Proses permohonan dibuka sejak seminggu lalu dan akan berakhir pada 12 September 2021, namun ada kelayakan tertentu yang dicari pihak NASA. Syarat pemilihan sangat ketat, termasuk memiliki ijazah sarjana dalam bidang sains, kejuruteraan atau matematik atau pengalaman sebagai juruterbang.


Hanya warganegara Amerika Syarikat atau penduduk tetap sahaja yang layak, dan pemohon mestilah berumur antara 30 hingga 55 tahun, mempunyai kesihatan fizikal yang baik tanpa masalah diet dan tidak mempunyai masalah mabuk perjalanan.



"Ini bermakna NASA sedang mencari mereka yang hampir sama dengan angkasawan. Lebih baik mencari individu yang menyamai angkasawan sebenar untuk ke Marikh.


"Usaha Rusia dalam misi olok-olok ke Marikh yang disebut sebagai Mars 500, gagal kerana individu yang dipilih adalah mereka dalam kalangan orang biasa," kata bekas angkasawan Kanada, Chris Hadfield.


Malah Hadfield, yang menghabiskan lima bulan di orbit pada tahun 2013 di Stesen Angkasa Antarabangsa, yakin jika individu yang tepat dipilih untuk menyertai program ini, ia akan menjadi pengalaman yang luar biasa untuk mereka.


Mars Dune Alpha, sebuah fasiliti seluas 1,700 kaki persegi, yang dibina menggunakan teknologi percetakan 3D, terletak dalam bangunan Johnson Space Center di Houston.

Habitat Mars Dune Alpha yang dibangunkan di Johnson Space Centre, Houston ini menjadi tapak untuk menilai keserasian manusia dalam persekitaran seumpama Marikh.


EmoticonEmoticon