Ahad, 22 Ogos 2021

Pelajar cacah tatu kod QR sijil vaksin di lengan


Sebelum ini, pada bulan Jun lalu seorang lelaki di Thailand menjadi tular di media sosial apabila mengabdikan sijil perkahwinannya sebagai tatu kekal di lengan kanannya. Baca juga: Sebagai bukti cinta, lelaki cacah tatu kekal sijil kahwin di lengan.


Lukisan tatu itu dihiasi bunga berwarna hijau dan merah jambu serta memenuhi hampir keseluruhan lengan kanan lelaki itu, membuatkan Isterinya berasa terharu atas kesanggupan suaminya mencacah sijil perkahwinan mereka sebagai tatu.


Terbaru, seorang pelajar berusia 22 tahun di Itali turut tular di media sosial apabila dia mencacah tatu dengan imej kod QR sijil vaksin Covid-19 di lengannya.



Andrea Colonnetta berkata, beliau tidak terlalu memikirkan perkara itu sebelum mencacah tatu, tetapi memilih sesuatu yang praktikal selepas berbincang dengan pelukis tatu, Gabriele Pellerone.


Kini, pada lengannya terdapat kod QR yang juga pas hijau rasmi dikeluarkan kerajaan Itali. Pas berkenaan adalah bukti status berkaitan Covid-19 sama ada sudah menerima vaksin, baru sembuh daripada jangkitan Covid-19 atau disahkan negatif dalam tempoh 48 jam.


Sejak 6 Ogos lalu, pas berkenaan diperlukan untuk memasuki beberapa lokasi awam seperti panggung, muzium atau restoran. Colonnetta yang sudah menerima dos lengkap vaksin Covid-19 mengakui ibu bapanya kurang memahami tindakan yang dibuat.


"Mereka meminta saya supaya berfikiran jauh sebelum melakukan sesuatu. Ia adalah sesuatu yang asli dan saya suka tampil berbeza," katanya kepada akhbar Calabria.


Satu video di media sosial menyaksikan Colonnetta memasuki restoran McDonald's dan mengangkat lengannya serta mengambil gambar tatu di lengannya.


EmoticonEmoticon