Memaparkan catatan dengan label Viral. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Viral. Papar semua catatan

Sabtu, 15 Oktober 2022

Gajah liar tiba-tiba muncul serang penduduk yang melepak di tepi jalan

Gajah liar tiba-tiba muncul serang penduduk yang melepak di tepi jalan


Seekor gajah liar menyerbu ke arah sekumpulan penduduk di India sebelum merempuh sebuah motosikal yang diletakkan di tepi jalan dalam kejadian malam Selasa, lapor akhbar New York Post pada 12 Oktober 2022.


Berdasarkan rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV), penduduk bandar Malappuram sempat melarikan diri ke tempat selamat sebelum gajah itu menyerang mereka pada pukul 8.30 malam (waktu tempatan) pada 11 Oktober lepas.


Ketika kejadian, sebilangan penduduk dilihat berkumpul berhampiran beberapa buah motosikal di tepi sebatang jalan yang sunyi dan bercahaya malap.


Mereka kemudian ketakutan apabila mendengar bunyi kuat dari kawasan berhampiran. Rakaman seterusnya menunjukkan mereka bertempiaran lari dan mencari perlindungan di dalam bangunan.


Seekor gajah mengejar mereka dan melintas jalan sebelum menusuk sebuah motosikal menggunakan gadingnya.


Akhbar Malayalam Mathrubhumi melaporkan, renjer hutan dan penduduk tempatan kemudian membantu mengalihkan gajah itu ke habitat liar berhampiran kawasan hutan Malappuram. - Sumber New York Post.


Orang ramai melarikan diri ke tempat selamat sebelum gajah itu sempat menyerang mereka. - Foto Newslions.

Gajah itu menyerang sekumpulan penduduk di Malappuram, India. - Foto Newslions.

Gajah itu dilihat meninggalkan kawasan berkenaan selepas menjatuhkan sebuah motosikal. - Foto Newslions.

Khamis, 13 Oktober 2022

Kerana tak cukup wang, budak ini menggunakan beg sekolah yang diperbuat daripada tali rafia buatan bapanya

Kerana tak cukup wang, budak ini menggunakan beg sekolah yang diperbuat daripada tali rafia buatan bapanya


Setiap ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak mereka. Malangnya, tidak semua orang mempunyai keadaan ekonomi yang mencukupi. Ada ibu bapa yang terpaksa melalui perjuangan yang bukan mudah hanya untuk keperluan beg sekolah anak mereka.


Salah satu kisah perjuangan ibu bapa kali ini berlaku di Kemboja. Di mana seorang bapa tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli beg sekolah anaknya. Dia kemudian membuat keputusan untuk membuat anyaman daripada tali rafia untuk dibentuk menjadi beg sekolah.


Menerusi perkongsian akaun Facebook Sophous Suon, yang merupakan seorang guru kelas berkata salah seorang muridnya datang ke sekolah dengan membawa beg dengan penampilan berbeza dari beg sekolah biasa. Beg pelajar itu diperbuat daripada anyaman tali rafia berwarna biru.


Menurutnya, pelajar itu menjelaskan bahawa bapanya telah membuat beg uniknya. Sophous kemudian memuat naik beberapa foto dalam status Facebooknya yang menunjukkan bahagian beg yang lebih terperinci.


Dapat dilihat betapa kreatifnya bapa yang berjaya membuat beg galas hanya dengan material tali rafia. Lebih-lebih lagi, beg galas itu juga kelihatan kukuh walaupun dipenuhi dengan banyak buku.


Seperti beg sekolah asal, beg galas itu juga ada tali anduh yang diambil dari beg lama. Selain itu, beg berwarna biru itu juga mempunyai reka bentuk yang unik kerana penutupnya seperti beg sekolah biasa.


Kisah penuh inspirasi ini turut menarik perhatian ramai pihak yang menawarkan sumbangan kepada pelajar tersebut. Sophous sendiri menyatakan bahawa tidak lama lagi dia akan bertemu bapa muridnya untuk memberi sumbangan.


"Saya berharap nasib pelajar ini akan berubah agar kelak dapat menjalani kehidupan yang lebih baik," kata Sophous. - Sumber Liputan6.


Walaupun beg ini hanya diperbuat dari tali rafia, ia kelihatan kukuh walaupun dipenuhi dengan banyak buku. - Foto Sophous Suon.

Selasa, 4 Oktober 2022

Mi sup lauk 'lintah masih hidup', netizen loya tekak

Mi sup lauk 'lintah masih hidup', netizen loya tekak


Seorang pengguna berkongsi kejadian malang menimpa dirinya, apabila mi sup yang dimakannya di sebuah kedai makan mengandungi lintah yang masih hidup.


Kejadian itu dikongsinya oleh seorang pengguna di media sosial TikTok yang sehingga kini mendapat lebih 478,000 tontonan.


Dalam video berkenaan, pemuda itu menunjukkan juadah mi segeranya yang telah habis dan hanya tinggal lintah yang masih hidup, 'berenang' dalam sisa kuah mi celup yang dinikmatinya.


Bagaimanapun pengguna berkenaan tidak mendedahkan lokasi kejadian.


"Macam mana lintah itu boleh masuk dalam mangkuk tu agaknya, dapur kedai itu dekat dengan kawasan paya kot," kata seorang netizen.


"Nasib baik tak masuk dalam perut," kata netizen lain.


"Alahai kembang tekak kita," tulis netizen lain.


Dalam pada itu, ada netizen yang menyatakan lintah tersebut mungkin datang dari dalam sayur kangkung seperti kes yang tular beberapa tahun lalu, yang mengakibatkan seorang mangsa meninggal dunia kerana tidak menyedari telah memakan lintah dan membiak dalam ususnya.


Sementara itu, ramai juga yang menyatakan 'loya tekak' setelah melihat video tersebut dan bersyukur pengguna tersebut tidak memakannya kerana risau hal yang buruk bakal terjadi. - Sumber Kosmo! Online.


Tangkap layar mi sup yang dimakan seorang pelanggan di sebuah kedai makan mengandungi lintah yang masih hidup.

Ahad, 2 Oktober 2022

Ferrari Enzo bernilai RM12.9 juta musnah teruk dipandu penghantar kereta

Ferrari Enzo bernilai RM12.9 juta musnah teruk dipandu penghantar kereta


Sebuah jentera mewah jenama Ferrari Enzo yang merupakan antara kereta paling jarang ditemui di dunia, musnah dalam satu kemalangan ngeri di laluan berkembar di Jersey, England, lapor akhbar Daily Star UK pada 30 September 2022.


Kemalangan ngeri itu berlaku di Victoria Avenue melibatkan pertembungan dengan sebuah kereta Honda Jazz, pada pukul 11.30 pagi (waktu tempatan) pada Khamis lalu, 29 September.


Model Ferrari yang dinamakan sempena nama pengasasnya iaitu Ferrari Enzo, dipercayai bernilai sekitar £2.5 juta (RM12.9 juta) dan hanya terdapat 400 buah yang dikeluarkan di seluruh dunia.


Laluan berkembar itu ditutup dan perkhidmatan kecemasan berada di lokasi kejadian selama beberapa jam dengan Polis Jersi menggesa pemandu mengelak melalui kawasan itu.



"Ferrari Enzo itu sedang menuju ke arah bandar, melepasi lampu isyarat sebelum terbabas di atas pembahagi jalan dan berpusing sebelum bertembung," demikian menurut kenyataan seorang saksi, lapor The Jersey Evening Post.


Jentera Ferrari Enzo mempunyai kelajuan maksimum sekitar 346 kilometer sejam dan dilengkapi dengan teknologi kereta lumba Formula Satu (F1).


Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kemalangan itu tetapi seorang pemandu warga emas telah dibawa ke jabatan kecemasan hospital berdekatan sebagai langkah berjaga-jaga.


Terdapat laporan yang belum disahkan bahawa Ferrari itu sebenarnya dalam perjalanan untuk dihantar kepada pemilik baharunya. - Sumber Daily Star.


Keadaan kereta Ferrari Enzo yang musnah teruk selepas kemalangan di Jersey, England pada Khamis lalu. - Foto iTV.

Jumaat, 30 September 2022

Jelita di usia 46 tahun, wanita ini sering dikatakan kembar kepada anaknya

Jelita di usia 46 tahun, wanita ini sering dikatakan kembar kepada anaknya


Seorang wanita Jordan yang kelihatan muda, Sahar Darwazeh di usia 46 tahun sering membuatkan dia dianggap sebaya dengan pasangan anak kembarnya yang berusia 24 tahun, lapor akhbar Mirror UK pada 27 September 2022.


Sahar menjadi tular apabila muncul dalam video TikTok bersama anak kembarnya, Dana dan Juana Naseer.


Pengikut media sosial Dana pada mulanya menyangka Sahar adalah kembar ketiga yang baru memunculkan diri sebelum wanita itu memperkenalkan diri sebagai ibu kepada dua anak gadisnya.


"Wajah kami sangat seiras sehingga ramai yang menyangka kami ialah pasangan kembar tiga.


"Saya dan Juana sangat bertuah kerana mempunyai seorang ibu yang jelita, sihat dan bersantai bersama kami seperti sahabat karib," kata Dana.



Dengan lebih daripada 43,000 pengikut TikTok dan 32,500 pengikut Instagram, Dana kerap menyiarkan tentang semua perkara perjalanan, makanan dan fesyen, serta kehidupannya.


Dana yang kerap berulang-alik antara Kota London dan Jordan, turut mengakui bahawa dia tidak menyangka pengikutnya sangat menyukai status yang turut melibatkan ibunya.


Dana, yang kini melancarkan jenama sambungan rambutnya sendiri, selalunya akan membuat video dengan Juana hanya untuk keseronokan. - Sumber Mirror UK.


Sahar (kanan) sering dianggap kembar ketiga kepada Dana (kiri) dan Juana (tengah) kerana wajahnya yang masih awet muda di usia 45 tahun. - Foto Jam Press.

Khamis, 29 September 2022

Wanita cantik mengamuk, berang ditegur pandu kereta lawan arus

Wanita cantik mengamuk, berang ditegur pandu kereta lawan arus


Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan seorang wanita mengamuk apabila ditegur kerana memandu kereta secara melawan arus di jalan raya.


Menerusi laporan laman berita Bogor Daily, video itu telah dimuat naik di media sosial, salah satunya adalah akaun Instagram @memomedsos, dan sehingga kini video itu ditonton lebih 51,000 kali.


"Wanita ini berang apabila ditegur memandu kereta secara melawan arus," kenyataan yang ditulis pemuat naik video tersebut.


Dalam video tular itu, seorang wanita dilihat memandu sebuah kereta berwarna putih secara melawan arus di sebatang jalan pada waktu malam.


Perakam lelaki itu dilihat cuba menegur wanita tersebut tetapi kemudian dimarahi tanpa rasa bersalah. Lelaki ini terkejut dengan kelakuan wanita itu.


"Cantik, ada kereta, kaya tetapi dungu," kata perakam itu.


"Bodoh elu (kau)," kata wanita itu.


Mereka berdua bertengkar seketika sebelum wanita itu membaling wang ke arah kereta perakam tersebut. Video itu mendapat perhatian netizen di ruangan komen.


"Biasanya kejadian seperti ini yang ditegur malah lebih agresif," kata seorang netizen.


"Kalau saya dalam keadaan sedemikian tidak buka cermin tetapi terus memandu. Malu kalau dah buat salah," komen netizen lain.


"Saya tidak faham bahawa orang yang melakukan kesalahan marah. Apa salahnya minta maaf, mengaku kesilapan lebih beradab," komen seorang lagi netizen. - Sumber Bogor Daily.


Tangkap layar memaparkan seorang wanita memandu melawan arus. - Foto Instagram.

Sabtu, 24 September 2022

Lelaki nekad jalan kaki sejauh 1,350 kilometer pulang ke kampung selepas hilang kerja

Lelaki nekad jalan kaki sejauh 1,350 kilometer pulang ke kampung selepas hilang kerja


Seorang lelaki yang berkerja di wilayah selatan Songkhla nekad berjalan kaki pulang ke kampungnya di Buriram di timur laut Thailand, sejauh 1,350 kilometer selepas kehilangan pekerjaan, lapor laman berita Thaiger pada 22 September 2022.


Choi yang berusia 42 tahun berpindah ke Songkhla kira-kira tujuh bulan lalu untuk bekerja di sebuah ladang getah dan menerima bayaran 300 baht (RM36.73) sehari bagi tugas menebang pokok.


Bagaimanapun, dia hilang pekerjaan selepas pokok yang perlu ditebang semakin terhad dan dia hampir tidak menjana wang langsung. Dia merindui neneknya dan anak perempuan yang berusia 11 tahun, jadi dia memutuskan untuk pulang semula ke kampung pada 5 September.


Disebabkan tidak memiliki wang atau telefon bimbit, Choi memulakan perjalanan yang mengambil masa 18 jam jika berkereta, tetapi dia balik dengan berjalan kaki.



Choi sempat berjalan sejauh 300 kilometer dalam masa 12 hari dengan tidur di kuil-kuil serta memakan makanan yang diberi oleh sami di situ.


Nasibnya berubah apabila bertemu sebuah berek tentera di wilayah Patthalung dan Choi berhenti di sana untuk meminta sedikit bekalan air minuman.


Pada mulanya, askar di situ menyangka Choi penjenayah dan menahannya untuk sesi soal siasat sebelum mengetahui cerita sebenar.


Pihak askar memberitahu Choi bahawa mereka akan membayar tiket kapal terbangnya untuk terbang pulang ke Buriram. Bagaimanapun, Choi berkata dia tidak pasti cara menaiki kapal terbang. Mereka kemudian memberikan wang sebanyak 1,000 baht (RM122) dan menghantarnya ke stesen kereta api.


Choi meneruskan perjalanan selama 13 jam dari Phatthalung ke Stesen Kereta Api Hua Lamphong di Bangkok. Dari sana, dia menaiki kereta api selama lapan jam dari Bangkok ke Buriram dan tiba di kampung halaman dengan selamat.


Setibanya di Buriram, nenek Choi yang berusia 81 tahun, La mengikat beberapa tali di pergelangan tangan Choi sebagai tanda terima kasih. La berkata, dia berasa kasihan kerana cucunya telah berjalan sejauh 300 kilometer merentasi selatan Thailand.


La mengucapkan terima kasih kepada tentera kerana membantu Choi dan tertanya-tanya berapa lama masa yang diambilnya untuk pulang jika dia berjalan sepanjang perjalanan. Jarak antara Songkhla dan Buriram ialah 1,350 kilometer. - Sumber The Thaiger.


Choi (duduk di lantai) bercerita kisah hidupnya kepada salah seorang askar di berek tentera di Patthalung. - Foto Khaosood.