Ahad, 2 Oktober 2022

Ferrari Enzo bernilai RM12.9 juta musnah teruk dipandu penghantar kereta


Sebuah jentera mewah jenama Ferrari Enzo yang merupakan antara kereta paling jarang ditemui di dunia, musnah dalam satu kemalangan ngeri di laluan berkembar di Jersey, England, lapor akhbar Daily Star UK pada 30 September 2022.


Kemalangan ngeri itu berlaku di Victoria Avenue melibatkan pertembungan dengan sebuah kereta Honda Jazz, pada pukul 11.30 pagi (waktu tempatan) pada Khamis lalu, 29 September.


Model Ferrari yang dinamakan sempena nama pengasasnya iaitu Ferrari Enzo, dipercayai bernilai sekitar £2.5 juta (RM12.9 juta) dan hanya terdapat 400 buah yang dikeluarkan di seluruh dunia.


Laluan berkembar itu ditutup dan perkhidmatan kecemasan berada di lokasi kejadian selama beberapa jam dengan Polis Jersi menggesa pemandu mengelak melalui kawasan itu.



"Ferrari Enzo itu sedang menuju ke arah bandar, melepasi lampu isyarat sebelum terbabas di atas pembahagi jalan dan berpusing sebelum bertembung," demikian menurut kenyataan seorang saksi, lapor The Jersey Evening Post.


Jentera Ferrari Enzo mempunyai kelajuan maksimum sekitar 346 kilometer sejam dan dilengkapi dengan teknologi kereta lumba Formula Satu (F1).


Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kemalangan itu tetapi seorang pemandu warga emas telah dibawa ke jabatan kecemasan hospital berdekatan sebagai langkah berjaga-jaga.


Terdapat laporan yang belum disahkan bahawa Ferrari itu sebenarnya dalam perjalanan untuk dihantar kepada pemilik baharunya. - Sumber Daily Star.


Keadaan kereta Ferrari Enzo yang musnah teruk selepas kemalangan di Jersey, England pada Khamis lalu. - Foto iTV.


EmoticonEmoticon