Memaparkan catatan dengan label Teknologi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Teknologi. Papar semua catatan

Selasa, 11 Oktober 2022

Rumah terapung bernilai RM6.7 juta tenggelam ketika pelancaran

Rumah terapung bernilai RM6.7 juta tenggelam ketika pelancaran


Sebuah model rumah terapung yang dilancarkan di Panama akhir bulan lalu gagal memenuhi konsepnya apabila ia tenggelam di hadapan penonton ketika majlis perasmian, lapor akhbar Daily Star pada 8 Oktober 2022.


Menurut syarikat teknologi inovasi laut, Ocean Builders, SeaPod dibina bertujuan bagi memenuhi sebahagian daripada rancangan untuk menjadikan 72 peratus permukaan Bumi yang diliputi air sebagai 'syurga' kelestarian ekosistem.


"Teknologi kami akan membolehkan tamadun bergerak ke laut dan ia akan membuka kunci lautan sebagai sempadan baharu dengan kualiti hidup yang tiada tandingan di tempat lain," kata syarikat itu.


Bagaimanapun, ketika pelancaran rumah futuristik yang bernilai £1.3 juta (RM6.7 juta) itu, ia tumbang sebelum tenggelam di hadapan penonton termasuk Presiden Panama, Laurentino Cortizo.


Ocean Builders berkata, struktur yang tinggi itu dilengkapi batang keluli besi berisi udara bersaiz 47.8 meter padu yang menghasilkan daya apungan yang sangat tinggi.


Ia bahkan mampu menampung keseluruhan struktur SeaPod setinggi 3 meter di atas air. Malangnya, kegagalan fungsi pam lambung menyebabkan prototaip SeaPod tidak seimbang dan tumbang.


"Seperti semua inovasi dan teknologi baharu, terdapat fasa percubaan dan kesilapan. Ini memberi peluang kepada kita untuk belajar, menambah baik dan terus berinovasi untuk teknologi lautan," kata jurucakap SeaPod dalam satu kenyataan.


Ocean Builders bagaimanapun mengesahkan bahawa tiada individu cedera dalam insiden tersebut yang dianggap sebagai 'kemalangan yang kelakar'.


"Kira-kira pukul 4.35 petang (waktu tempatan) pada Khamis, 22 September, SeaPod mengalami masalah dalam sistem pengepaman, menyebabkan air melimpah di bilik jakuzi.


"Air melimpah dengan amat pantas dan mengalir ke bahagian lain sehingga menyebabkan apa yang kami gelar sebagai 'senget' (keadaan struktur SeaPod)," kata Ocean Builders. - Sumber Daily Star.


Rumah itu dirakam tumbang di hadapan penonton. - Foto Twitter.

Rumah terapung sebelum pelancaran. - Foto Daily Star.

Sabtu, 8 Oktober 2022

NASA dedah imej terbaharu kapal angkasa DART hentam asteroid

NASA dedah imej terbaharu kapal angkasa DART hentam asteroid


Sejarah tercipta pada malam Isnin, 26 September lalu apabila kapal angkasa Ujian Pengalihan Asteroid Berganda (DART) NASA berjaya merempuh asteroid Dimorphos. Kamera DART berkongsi imej dramatik permukaan asteroid sebelum ia terhempas.


Saintis turut mendedahkan imej pertama dari satu satelit kecil yang merakam detik kapal angkasa milik NASA itu merempuh asteroid tersebut, ia mendedahkan rupa kesannya dari perspektif lain.


Kapal angkasa kecil atau satelit kiub yang dikenali sebagai LICIACube bersaiz gelombang mikro berjaya merakam gambar misi DART dalam memesongkan orbit batuan angkasa.


Imej-imej itu sampai ke Bumi 24 jam kemudian, dan ia menunjukkan senario serpihan yang terhasil akibat hentaman tersebut tersebar sejauh 10.9 juta kilometer dari lokasi berkenaan.


Satelit kecil itu turut merakam situasi sebelum dan selepas pelanggaran asteroid Didymos, sepasang batuan angkasa lepas yang menjadi sasaran DART.


NASA sebelum ini menyiarkan rakaman langsung dari DART ketika ia menghentam Dimorphos, sebuah asteroid bersaiz 167 meter yang mengorbit Didymos.


LICIACube iaitu sebuah satelit yang terlepas daripada kapal angkasa itu sebelum berlakunya hentaman berjaya mengumpul data sebelum, semasa dan selepas kejadian.


Imej-imej itu sepatutnya menunjukkan kadar kemusnahan asteroid kecil itu akibat hentaman serta memberi penerangan mengenai komposisinya. - Sumber CNN.


BACA: NASA Lancar Kapal Angkasa Untuk Musnahkan Asteroid, Misi Persediaan Menghadapi Ancaman Sebenar.


Imej ini dirakam oleh LICIACube buatan Itali beberapa minit selepas pelanggaran DART dengan asteroid Dimorphos yang dirakam pada 26 September lalu. Kesan itu menyebabkan keseluruhan sistem asteroid menjadi cerah kerana ia menangkap cahaya dari matahari. - Foto ASI/NASA.

Selasa, 27 September 2022

Indonesia beli enam jet tempur Rafale buatan Perancis pada 2026

Indonesia beli enam jet tempur Rafale buatan Perancis pada 2026


Kementerian Pertahanan memaklumkan kontrak pembelian enam jet tempur Rafale bagi memperkuatkan sistem utama persenjataan Indonesia. Pesawat itu akan tiba pada 2026.


Lapor CNN Indonesia, Jurucakap Menteri Pertahanan, Dahnil Anzar Simanjuntak berkata, kontrak pembelian itu masih berkuatkuasa sejak 9 September lalu.


"Pesawat pertama akan tiba di Indonesia pada hujung 2026 selepas kontrak termeterai. Pihak kementerian juga sudah merancang sumber manusia untuk mengendali dan menyelenggara pesawat industri buatan Perancis," katanya.


Sebelum ini, Kementerian Pertahanan sudah menandatangani kontrak kerjasama pembelian enam pesawat tempur generasi 4 dan 5 Dassault Rafale buatan Perancis.


Kontrak tersebut ditandatangani oleh Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto ketika menerima kunjungan Menteri Angkatan Bersenjata Perancis, Florence Parly di Jakarta, 10 Februari lalu.


Menurut Prabowo, pihaknya merancang untuk membeli 42 pesawat Rafale dan kontrak pertama itu hanya melibatkan pembelian enam pesawat terlebih dahulu.


"Kita rencananya akan mengakuisisi 42 pesawat Rafale. Kita mulai hari ini dengan tanda tangan kontrak pertama untuk 6 pesawat," kata Prabowo ketika itu. - Sumber CNN Indonesia.


Jet pejuang Dassault Rafale buatan Perancis semasa latihan ketenteraan di kepulauan Sunda, Indonesia.- Foto AFP.

Isnin, 26 September 2022

Planet Marikh jadi tempat pembuangan sampah dalam tempoh 50 tahun lalu

Planet Marikh jadi tempat pembuangan sampah dalam tempoh 50 tahun lalu


Planet Marikh menjadi tempat pembuangan sampah peralatan dan kapal angkasa manusia, dalam tempoh 50 tahun lalu walaupun tiada manusia yang berjaya tiba di planet tersebut sehingga kini, lapor akhbar Daily Mail pada 23 September 2022.


Seorang felo penyelidik pasca doktoral dalam bidang robotik di West Virginia University, Cagri Kilic menganalisis jisim semua kenderaan penjelajah dan orbiter yang dihantar ke Marikh dan mendapati terdapat tinggalan sampah buatan manusia seberat 15,694 paun (7,119 kilogram).


Sampah itu termasuk peralatan yang dibuang ke planet tersebut dan kapal angkasa yang tidak aktif setelah ia terhempas di permukaan planet. Ia juga melibatkan kapal angkasa tanpa juruterbang milik Kesatuan Soviet yang kini dibubarkan dan dikenali Rusia, yang melakukan pendaratan sebelum terhempas pada tahun 1971.


Bukan sahaja manusia sudah mencemarkan planet lain, tetapi saintis takut serpihan itu boleh mencemari sampel yang dikumpulkan oleh kenderaan penjelajah NASA yang dinamakan Rover Perseverance, yang kini sedang mencari kehidupan purba di Marikh.


Kebanyakan serpihan itu tidak dapat dielakkan memandangkan banyak bahagian perlu dibuang untuk melindungi kenderaan angkasa ketika ia meluncur melalui atmosfera planet merah.


Rover, yang sedang mengumpul sampel di Marikh yang akan dibawa kembali ke Bumi, telah menangkap imej sampah semasa dalam misinya.


Pada bulan Jun, pasukan NASA di Bumi melihat cahaya di kejauhan dalam imej yang dihantar semula oleh Perseverance, yang kemudiannya mengarahkan rover untuk melihat.


Beberapa minggu kemudian, Perseverance memasuki wilayah Hogwallow Flats dan memperoleh panorama Mastcam-Z resolusi tinggi 360 darjah.


Imej menunjukkan cahaya terang adalah pantulan dari 'selimut haba' yang digunakan untuk melindungi kenderaan bersaiz kereta daripada suhu melampau yang dialami semasa mendarat. Selimut itu terselit di sudut beberapa batu dan kelihatan memantulkan cahaya.


Juga terdapat kenderaan penjelajah NASA dikenali sebagai Opportunity yang sudah tidak aktif berada di Marikh. Kenderaan itu aktif dari tahun 2004 hingga pertengahan 2018.


Selain itu, terdapat sejumlah lapan lagi kapal angkasa yang tidak aktif duduk di Marikh, termasuk pendarat Mars 3, pendarat Mars 6, pendarat Viking 1, pendarat Viking 2, rover Sojourner, pendarat Schiaparelli Agensi Angkasa Eropah, pendarat Phoenix dan rover Spirit.


Menurut Kilic, kebanyakan robot itu masih utuh dan agensi angkasa lepas melihatnya sebagai monumen bersejarah dan bukannya sampah yang dibuang.


"Apabila anda menambah jisim semua kapal angkasa yang pernah dihantar ke Marikh, anda mendapat kira-kira 9,979 kilogram.


"Tolakkan berat kapal yang sedang beroperasi di permukaan seberat 2,860 kilogram, hanya tinggal 7,119 kilogram serpihan manusia di Marikh," tulis Kilic dalam The Conversation. - Sumber Daily Mail.


Gambar perisai haba yang melindungi kenderaan penjelajah NASA, Opportunity yang mendarat di Marikh pada tahun 2004, serpihannya bersepah di tanah sejauh beberapa kilometer. - Foto NASA.

Disebabkan angin Marikh, jaring yang berasal dari perisai haba yang pada asalnya terikat ketat mula terurai. - Foto NASA.

Baru-baru ini pada bulan Jun 2022, Perseverance menemui jaring Dacron telah koyak yang membantunya mendarat dengan selamat di Marikh. - Foto NASA.

Helikopter Ingenuity merakam imej peralatan pendaratan yang digunakan semasa ketibaannya dengan Perseverance. - Foto NASA.

Serpihan 'selimut haba' terselit di sudut beberapa batu dan kelihatan memantulkan cahaya. - Foto NASA.

Jumaat, 16 September 2022

Teleskop JWST, merakam imej Nebula Orion yang terbentuk 4.5 bilion tahun lalu 'tempat bintang baharu dilahirkan'

Teleskop JWST, merakam imej Nebula Orion yang terbentuk 4.5 bilion tahun lalu 'tempat bintang baharu dilahirkan'


Pasukan penyelidik antarabangsa pada Isnin (12/9/2022) mendedahkan imej pertama Nebula Orion yang dirakam dengan Teleskop Angkasa James Webb (JWST). Lokasi imej itu dikesan di buruj Orion yang terletak dalam jarak 1,350 tahun cahaya dari bumi.


Nebula Orion, yang terbentuk lebih daripada 4.5 bilion tahun yang lalu, dipenuhi dengan gas berwarna berbeza, bahan molekul, habuk dan cahaya bintang yang bertaburan dan imej baharu.


Imej yang dirakam teleskop JWST itu membolehkan penyelidik memahami dengan lebih baik bagaimana bintang besar dilahirkan oleh awan habuk dan gas yang besar.


"Ia menunjukkan gugusan terbuka bintang besar muda yang membentuk awan habuk dan gas dengan sinaran sengit dan filamen padat, yang mungkin memainkan peranan penting dalam melahirkan bintang baharu," kata NASA.


Nebula itu sebelum ini dirakam oleh Teleskop Hubble pada tahun 2004, namun imej itu kabur kerana dikesan daripada habuk menyebabkan ia mustahil untuk dilihat menerusi teleskop cahaya.


Bagaimanapun, JWST boleh beroperasi dalam spektrum inframerah dan menembusi habuk, membolehkan pemerhati melihat melalui lapisan habuk dan mengintip ke dalam pusat kosmiknya.


Persekitaran Nebula Orion, dikatakan serupa dengan sistem suria kita yang juga dipercayai sudah wujud lebih daripada 4.5 bilion tahun lalu. Saintis percaya ia boleh memberikan petunjuk mengenai apa yang berlaku dalam sejuta tahun pertama evolusi bumi.


Imej itu diperoleh sebagai sebahagian daripada Program Sains Keluaran Awal yang membabitkan lebih 100 saintis dari 18 negara.


Kajian itu juga turut dijalankan bersama beberapa institusi termasuk Pusat Penyelidikan Saintifik Kebangsaan Perancis (CNRS), Universiti Barat di Kanada dan Universiti Michigan, Amerika Syarikat (AS).


"Kami terpesona dengan imej Nebula Orion yang menakjubkan. Imej baharu ini membolehkan kita memahami dengan lebih baik," kata ahli astrofizik Universiti Els Peeters dalam satu kenyataan. - Sumber Daily Mail.


Nebula itu sebelum ini dirakam oleh Teleskop Hubble (kiri) pada tahun 2004, namun imejnya nampak kabur. Bagaimanapun, James Webb (kanan) mampu menangkap cahaya inframerah, membolehkan ia melihat melepasi habuk. - Foto NASA/ESA/CSA.

Imej itu menunjukkan gugusan terbuka bintang besar muda yang membentuk awan besar, habuk dan gas dengan sinaran sengit dan filamen padat yang mungkin memainkan peranan penting dalam melahirkan bintang baharu. - Foto NASA/ESA/CSA.

Teleskop Angkasa James Webb NASA telah merakam imej paling terperinci Nebula Orion yang terletak 1,350 tahun cahaya dari Bumi, yang menurut pakar boleh memberikan petunjuk kepada beberapa juta tahun pertama sistem suria kita. - Foto NASA/ESA/CSA.

Berikut ialah imej yang menunjukkan kawasan yang lebih besar mengelilingi Nebula Orion. - Foto NASA/ESA/CSA.

Isnin, 12 September 2022

China berjaya temui mineral baharu di bulan, yang mungkin boleh 'membantu' angkasawan bertani

China berjaya temui mineral baharu di bulan, yang mungkin boleh 'membantu' angkasawan bertani


Institut Penyelidikan Uranium Geologi Beijing mendakwa China berjaya menemui sejenis mineral baharu di bulan baru-baru ini, lapor akhbar Daily Mail pada 9 September 2022.


Menurut institut itu, mineral itu dipisahkan dengan teliti oleh penyelidik daripada 140,000 zarah kecil dan kemudian dianalisis melalui satu siri kaedah mineralogi termaju. Namun, setakat ini masih belum diketahui lagi sama ada mineral tersebut boleh digunakan di bumi.


Pada awalnya ia ditemui dalam sampel batu dan tanah yang dibawa balik dari permukaan bulan pada tahun 2020 dengan menggunakan sebuah kapal angkasa tanpa pemandu.


Sebelum ini kapal angkasa Chang'e-5 kembali ke bumi pada 17 Disember 2020 dengan membawa sampel bulan untuk dianalisis oleh China. Buat masa ini, ia dinamakan Changesite-(Y).



Changesite-(Y) termasuk dalam kategori merrilit bulan iaitu mineral yang terdapat dalam batuan bulan dan meteorit. Ia adalah sejenis mineral fosfat yang terdapat dalam kristal kolumnar.


Fosfat, yang terdapat di bumi adalah elemen penting untuk pertumbuhan tumbuhan, tetapi sifatnya dalam bentuk kristal masih belum dikenal pasti.


Pengumuman itu meletakkan China sebagai negara ketiga yang menemui mineral baharu di bulan. Sebelum ini, Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet yang kini telah dibubarkan dan dikenali sebagai Rusia turut berjaya menemui mineral baharu di bulan.


Penemuan itu menjadikan ia adalah mineral keenam yang ditemui oleh manusia di bulan sejak sampel pertama dikumpulkan semasa misi Apollo 11 pada tahun 1969.


Fosfat, yang juga terdapat di bumi adalah sumber semula jadi fosforus, unsur yang menyediakan satu perempat daripada semua nutrien yang diperlukan oleh tumbuhan untuk pertumbuhan dan perkembangannya.


Pendedahan fosforus pada tahap tinggi kepada tubuh manusia boleh merosakkan. Ini kerana fosforus tambahan menyebabkan perubahan badan yang menarik kalsium keluar dari tulang anda, menjadikannya lemah.


Bagaimanapun, di bulan, elemen ini akan memainkan peranan penting dalam membantu mana-mana angkasawan yang berjaya mendarat untuk bertani di permukaan bulan. - Sumber Daily Mail.


China adalah negara ketiga yang menemui mineral di bulan. Gambar di atas adalah koleksi mineral baharu di dalam bekas yang disterilkan. - Foto SINA English.

Mineral baharu itu ialah fosfat dalam kristal kolumnar yang dinamakan oleh pegawai China Changesite-(Y). Ia dikenal pasti dalam sampel batu dan tanah yang dibawa balik dari permukaan bulan pada tahun 2020 lalu. - Foto Globaltimes.Cn.

Mineral itu dipisahkan dengan teliti oleh penyelidik daripada lebih 140,000 zarah kecil  (gambar) dan kemudian dianalisis melalui satu siri kaedah mineralogi termaju. - Foto SINA English.

Sabtu, 10 September 2022

Kapal selam mewah berperisai gaya Batman ditawar pada harga RM6.8 juta mempunyai sayap lipat

Kapal selam mewah berperisai gaya Batman ditawar pada harga RM6.8 juta mempunyai sayap lipat


Sebuah kapal selam mewah berperisai yang kelihatan seperti lambang watak adiwira terkenal, Batman, ditawarkan untuk dijual pada harga £1.3 juta (RM6.8 juta), lapor akhbar The Sun pada 26 Ogos 2022 lalu.


Kapal selam Kronos itu boleh memuatkan 10 penumpang dan sesuai untuk operasi komersial, menyelamat dan pertempuran.


Syarikat Highland Systems yang berpangkalan di Britain dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) berkata, kapal hibrid itu membawa konsep baharu dalam pengeluaran kapal selam di seluruh dunia.


Reka bentuk hidrodinamik futuristik kapal selam itu menampilkan sayap lipat untuk memudahkan pengangkutan.


Ia juga mempunyai reka bentuk badan yang inovatif dengan mengurangkan penggunaan bahan api dengan ketara, meningkatkan kelajuan maksimum dan memberikan kestabilan yang baik.


Dengan panjang sembilan meter, kapal selam berbentuk ikan pari manta itu boleh mencecah kelajuan 80 kilometer per jam (km/j) di atas air dan 50 km/j di bawah lautan.


Ia boleh menyelam pada kedalaman sehingga 250 meter dan mempunyai kapasiti beban sehingga 3,000 kilogram di atas air.


Sistem pendorong hibridnya yang menggunakan diesel dan elektrik mampu menjana 1,200 kuasa kuda sehingga boleh melakukan perjalanan selama 54 jam.


Bahagian dalamannya mempunyai pencahayaan penyesuaian dan pendingin hawa. Terdapat juga sistem sokongan hayat automatik.


Rancangan untuk kapal itu juga mencadangkan torpedo boleh dibawa untuk kegunaan ketenteraan.


Highland Systems berkata, kapal selam Kronos akan dibuat di UAE tetapi tarikh penghantaran belum diumumkan lagi. - Sumber The Sun.


Kesan artis tentang kapal selam berperisai Kronos. - Foto Highland System.

Sayap boleh dilipat untuk memudahkan pengangkutan. - Foto SWNS.

Sebuah kapal selam persendirian berperisai gaya Batman. - Foto SWNS.

Kapal selam Kronos boleh memuatkan sehingga sepuluh penumpang. - Foto Highland System.