Selasa, 11 Oktober 2022

Rumah terapung bernilai RM6.7 juta tenggelam ketika pelancaran


Sebuah model rumah terapung yang dilancarkan di Panama akhir bulan lalu gagal memenuhi konsepnya apabila ia tenggelam di hadapan penonton ketika majlis perasmian, lapor akhbar Daily Star pada 8 Oktober 2022.


Menurut syarikat teknologi inovasi laut, Ocean Builders, SeaPod dibina bertujuan bagi memenuhi sebahagian daripada rancangan untuk menjadikan 72 peratus permukaan Bumi yang diliputi air sebagai 'syurga' kelestarian ekosistem.


"Teknologi kami akan membolehkan tamadun bergerak ke laut dan ia akan membuka kunci lautan sebagai sempadan baharu dengan kualiti hidup yang tiada tandingan di tempat lain," kata syarikat itu.


Bagaimanapun, ketika pelancaran rumah futuristik yang bernilai £1.3 juta (RM6.7 juta) itu, ia tumbang sebelum tenggelam di hadapan penonton termasuk Presiden Panama, Laurentino Cortizo.


Ocean Builders berkata, struktur yang tinggi itu dilengkapi batang keluli besi berisi udara bersaiz 47.8 meter padu yang menghasilkan daya apungan yang sangat tinggi.


Ia bahkan mampu menampung keseluruhan struktur SeaPod setinggi 3 meter di atas air. Malangnya, kegagalan fungsi pam lambung menyebabkan prototaip SeaPod tidak seimbang dan tumbang.


"Seperti semua inovasi dan teknologi baharu, terdapat fasa percubaan dan kesilapan. Ini memberi peluang kepada kita untuk belajar, menambah baik dan terus berinovasi untuk teknologi lautan," kata jurucakap SeaPod dalam satu kenyataan.


Ocean Builders bagaimanapun mengesahkan bahawa tiada individu cedera dalam insiden tersebut yang dianggap sebagai 'kemalangan yang kelakar'.


"Kira-kira pukul 4.35 petang (waktu tempatan) pada Khamis, 22 September, SeaPod mengalami masalah dalam sistem pengepaman, menyebabkan air melimpah di bilik jakuzi.


"Air melimpah dengan amat pantas dan mengalir ke bahagian lain sehingga menyebabkan apa yang kami gelar sebagai 'senget' (keadaan struktur SeaPod)," kata Ocean Builders. - Sumber Daily Star.


Rumah itu dirakam tumbang di hadapan penonton. - Foto Twitter.

Rumah terapung sebelum pelancaran. - Foto Daily Star.


EmoticonEmoticon