Rabu, 12 Oktober 2022

Syiling emas ditemui di bawah lantai dapur berjaya dijual pada harga RM3.9 juta dalam lelongan


Sepasang suami isteri di Britain yang menemui 264 keping syiling emas di bawah lantai dapur rumah mereka berjaya menjualnya pada harga £754,320 (RM3.9 juta) dalam satu acara lelongan, lapor akhbar BBC News pada 7 Oktober 2022.


Artifak itu ditemui ketika pasangan itu sedang mengubah suai lantai dapur rumah mereka sebelum menjumpai sebuah tin logam berisi kepingan syiling emas yang tertanam di bawah tanah sedalam 15 sentimeter.


Ia ditemui di bawah sebuah rumah di kampung Ellerby, North Yorkshire yang tersembunyi di bawah konkrit dan papan lantai Abad ke-18. Sebilangan artifak itu berusia 400 tahun. 


Pemilik yang enggan identiti mereka didedahkan itu, pada awalnya menyangka barang tersebut sebagai kabel elektrik.


Beberapa syiling emas itu didapati bertarikh dari 1610 hingga 1727 ketika pemerintahan Raja James I, Charles I dan George I.


Setelah mendapatkan pandangan pakar artifak, syiling itu didapati milik keluarga saudagar kaya dari bandar Hull, Fernley-Maisters.


Fernley-Maisters adalah pengimport dan pengeksport kayu balak, arang batu dan bijih besi dengan generasi terkemudian berkhidmat sebagai anggota Parlimen pada awal 1700-an. 


"Jualan itu unik dalam banyak cara. Sejarah syiling itu, kaedah penemuannya dan peluang yang jarang untuk membelinya dalam acara lelongan.


"Saya tidak pernah melihat lelongan seperti itu sebelum ini. Hasilnya membuktikan keunikannya kerana anggaran saya diatasi sebanyak tiga kali ganda," kata pelelong daripada firma Spink & Son, Gregory Edmund.


Anggaran awal nilai kesemua syiling emas itu sekitar £250,000 (RM1.3 juta). Bagaimanapun ia berjaya dijual tiga kali ganda selepas cerita itu mendapat perhatian global.


Syiling-syiling itu dijual kepada berpuluh-puluh pembeli dalam lot individu oleh pelelong Spink & Son di Bloomsbury, London. - Sumber BBC News.


BACA: Semakin kaya selepas temui syiling emas bawah dapur dianggarkan bernilai RM1.3 juta.


Syiling emas itu disimpan di dalam tin logam di dalam tanah. - Foto Spink & Son.


EmoticonEmoticon