Isnin, 12 September 2022

China berjaya temui mineral baharu di bulan, yang mungkin boleh 'membantu' angkasawan bertani


Institut Penyelidikan Uranium Geologi Beijing mendakwa China berjaya menemui sejenis mineral baharu di bulan baru-baru ini, lapor akhbar Daily Mail pada 9 September 2022.


Menurut institut itu, mineral itu dipisahkan dengan teliti oleh penyelidik daripada 140,000 zarah kecil dan kemudian dianalisis melalui satu siri kaedah mineralogi termaju. Namun, setakat ini masih belum diketahui lagi sama ada mineral tersebut boleh digunakan di bumi.


Pada awalnya ia ditemui dalam sampel batu dan tanah yang dibawa balik dari permukaan bulan pada tahun 2020 dengan menggunakan sebuah kapal angkasa tanpa pemandu.


Sebelum ini kapal angkasa Chang'e-5 kembali ke bumi pada 17 Disember 2020 dengan membawa sampel bulan untuk dianalisis oleh China. Buat masa ini, ia dinamakan Changesite-(Y).



Changesite-(Y) termasuk dalam kategori merrilit bulan iaitu mineral yang terdapat dalam batuan bulan dan meteorit. Ia adalah sejenis mineral fosfat yang terdapat dalam kristal kolumnar.


Fosfat, yang terdapat di bumi adalah elemen penting untuk pertumbuhan tumbuhan, tetapi sifatnya dalam bentuk kristal masih belum dikenal pasti.


Pengumuman itu meletakkan China sebagai negara ketiga yang menemui mineral baharu di bulan. Sebelum ini, Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet yang kini telah dibubarkan dan dikenali sebagai Rusia turut berjaya menemui mineral baharu di bulan.


Penemuan itu menjadikan ia adalah mineral keenam yang ditemui oleh manusia di bulan sejak sampel pertama dikumpulkan semasa misi Apollo 11 pada tahun 1969.


Fosfat, yang juga terdapat di bumi adalah sumber semula jadi fosforus, unsur yang menyediakan satu perempat daripada semua nutrien yang diperlukan oleh tumbuhan untuk pertumbuhan dan perkembangannya.


Pendedahan fosforus pada tahap tinggi kepada tubuh manusia boleh merosakkan. Ini kerana fosforus tambahan menyebabkan perubahan badan yang menarik kalsium keluar dari tulang anda, menjadikannya lemah.


Bagaimanapun, di bulan, elemen ini akan memainkan peranan penting dalam membantu mana-mana angkasawan yang berjaya mendarat untuk bertani di permukaan bulan. - Sumber Daily Mail.


China adalah negara ketiga yang menemui mineral di bulan. Gambar di atas adalah koleksi mineral baharu di dalam bekas yang disterilkan. - Foto SINA English.

Mineral baharu itu ialah fosfat dalam kristal kolumnar yang dinamakan oleh pegawai China Changesite-(Y). Ia dikenal pasti dalam sampel batu dan tanah yang dibawa balik dari permukaan bulan pada tahun 2020 lalu. - Foto Globaltimes.Cn.

Mineral itu dipisahkan dengan teliti oleh penyelidik daripada lebih 140,000 zarah kecil  (gambar) dan kemudian dianalisis melalui satu siri kaedah mineralogi termaju. - Foto SINA English.


EmoticonEmoticon