Memaparkan catatan dengan label Seram. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Seram. Papar semua catatan

Jumaat, 3 September 2021

Padah suntik raksa mahu jadi X-Men, kulit terpaksa dipotong

Padah suntik raksa mahu jadi X-Men, kulit terpaksa dipotong


Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang terpengaruh dan ingin menjadi seperti karakter adiwira fiksyen X-Men, nekad menyuntik tubuhnya sendiri dengan cecair merkuri atau raksa, lapor Daily Star pada 30 Ogos 2021.


Remaja itu dilaporkan ingin mencontohi karakter adiwira studio Marvel namun tindakan itu menyebabkan tubuhnya ditumbuhi bisul yang menyakitkan dan sukar sembuh di bahagian kiri lengannya.


Kes tersebut dilaporkan dalam laporan Pusat Maklumat Nasional Bioteknologi India. Menurut laporan berkenaan, kecederaan yang dialami remaja yang tidak didedahkan identitinya itu berlaku selepas dia menyuntik tubuhnya dengan raksa.


Remaja itu menyatakan bahawa dia berbuat demikian sekurang-kurangnya tiga kali dengan menggunakan raksa yang diambil daripada sebiji termometer. Doktor terpaksa menjalankan pemeriksaan toksikologi bagi menilai tahap raksa dalam darah mangsa.


Dia bernasib baik kerana suntikan yang dilakukan, bukan semuanya pada salur darah utama, namun bisul yang terjadi pada tubuhnya itu perlu dipotong dan dia juga harus menjalani pembedahan mencantumkan kulit yang rosak.


"Remaja itu juga mempunyai sejarah digigit labah-labah kerana mahu menjadi seperti Spider-Man. Namun, dia tidak mempunyai masalah psikiatrik lain selain mempunyai kecerdasan otak atau IQ yang normal," tulis laporan tersebut.


Kesan kecederaan yang dialami mangsa akibat menyuntik kandungan berbahaya dalam badan. - Foto NCBI.

Khamis, 26 Ogos 2021

Lelaki Dakwa Diculik, Dibogelkan Makhluk Asing Yang Menyerupai Reptilia

Lelaki Dakwa Diculik, Dibogelkan Makhluk Asing Yang Menyerupai Reptilia


Sejak dulu lagi, ramai yang yakin dan percaya bahawa makhluk asing itu wujud, pelbagai cara dilakukan untuk menjejaki bentuk dan kewujudan mereka melalui gelombang radio dan sebagainya, namun tiada penemuan yang benar-benar jelas terbukti.


Baru-baru ini, seorang lelaki dari Bedfordshire, England telah menceritakan pengalamannya ketika dia diculik oleh sekumpulan makhluk asing yang menyerupai haiwan reptilia, dakwanya dia dibogelkan di atas katil selepas dibawa masuk ke dalam objek terbang tidak dikenali (UFO).


Menurut lapor akhbar Daily Star pada 24 Ogos 2021, Philip Kinsella mendakwa, dia telah berjumpa dengan makhluk asing pada tahun 1989 ketika terjaga pada tengah malam sebelum dibawa masuk ke dalam sebuah UFO.


"Saya mendapati diri saya berada dalam satu suasana seperti bilik perubatan yang kelihatan suram dan amat panas. Saya juga sedang berbogel. Apabila saya berpusing ke arah kanan, saya melihat tiga reptilia yang berada dalam keadaan berkabus dan tidak berkomunikasi antara satu sama lain," katanya.


Tambah Kinsella, dia ketakutan apabila menyedari ada sesuatu yang telah ditampal pada bahagian bawah tubuhnya. Dia menjerit ketakutan kerana tidak mahu alat itu ditanggalkan dari badannya, dan menyifatkan makhluk asing sebagai tidak berperikemanusiaan dan tiada sifat belas kasihan.


Kinsella kemudiannya didakwa diselamatkan oleh suatu 'benda hidup' yang kecil dan berwarna kelabu. Ketika ia muncul, alat yang ditampal pada badannya secara tiba-tiba hilang dan talinya tertanggal sebelum ketiga-tiga reptilia tersebut hilang.


"Terdapat kesan fizikal pada tubuh saya keesokan harinya. Abang saya menjumpai tiga kesan berbentuk segi tiga pada belakang telinga kanan, tiga kesan pada lengan kanan dan pendarahan pada lubang hidung kanan saya yang berhenti selepas dua tahun," katanya.


Kinsella menyifatkan makhluk asing yang menculiknya itu menyerupai reptilia. - Foto Getty Images.

Khamis, 12 Ogos 2021

Remaja berjaya rakam imej awan berwajah 'syaitan' seakan bertongkatkan pelangi cantik

Remaja berjaya rakam imej awan berwajah 'syaitan' seakan bertongkatkan pelangi cantik


Seorang remaja berusia 14 tahun dari Australia berjaya merakam imej gumpalan awan yang kelihatan sangat misteri seperti wajah yang menakutkan, lapor Daily Mail pada 10 Ogos 2021.


Kata Jarvis Smallman, imej tersebut di rakam ketika matahari terbenam selepas tamat waktu persekolahan. Menerusi gambar yang dikongsikan, kelihatan pelangi pada bahagian bawah gumpalan awan dalam corak berpusing itu.


"Gambar itu diambil ketika matahari terbenam selepas tamat waktu persekolahan. Saya gembira melihatnya. Ia adalah satu gambar yang cantik," katanya.


Jarvis memuat naik gambar tersebut pada Instagram miliknya beserta kapsyen 'Awan paling cantik yang pernah saya lihat setakat ini walaupun kelihatan agak menakutkan'.


Gambar itu kemudiannya dikongsi oleh stesen radio ABC South West dan menerima banyak komen positif daripada netizen yang mengagumi kecantikannya.


"Wah, gambar semula jadi yang hebat kerana merangkumi kombinasi wajah 'pelawak', pelangi, yang cantik dan buruk," tulis seorang pengguna.


"Ini membuatkan bulu roma saya berdiri. Menakutkan. Gambar yang hebat," komen seorang lagi netizen.


Gambar tersebut mempunyai imej seperti wajah yang menakutkan serta pelangi yang cantik. - Foto Jarvis Smallman.

Ahad, 25 Julai 2021

Lelaki Pasang Tanduk, Membelah Lidah Dan Robek Mulut Supaya Memiliki 'Senyuman Syaitan'

Lelaki Pasang Tanduk, Membelah Lidah Dan Robek Mulut Supaya Memiliki 'Senyuman Syaitan'


Seorang penyanyi rap di Brazil melakukan pengubahsuaian ekstrem dengan merobek bahagian pipinya semata-mata untuk memiliki 'senyuman syaitan' lapor akhbar The Sun pada 23 Julai 2021 lalu.


Renato de Santa, 41, turut menjalani pembedahan memasukkan implan tanduk ke dalam pada dahi, mengubah warna anak mata menjadi hitam pekat, membelah lidah supaya bercabang dan mengukir angka syaitan '666' di kepala­nya.


Namun, transformasi paling ekstrem yang dilakukan lelaki itu adalah menjalani prosedur merobek kulit pipinya dari mulut hingga ke telinga dan kini dia memiliki 'mulut sobek' yang diinginkannya.


"Transformasi ini diinspirasikan daripada sebuah legenda Jepun mengenai Kuchisake-onna. Ia menceritakan kisah seorang wanita yang merobek bibirnya hingga ke telinga," kata de Santa.



Menurut legenda itu, Kuchisake-onna akan bertanya kepada mangsa mengenai kecantikan wajahnya. Dia akan membunuh sesiapa sahaja yang menjawab 'tidak' serta merobek kulit mereka yang menjawab 'ya' agar kelihatan sama seperti wajahnya.


Menurut de Santa, dia mene­rima pelbagai reaksi daripada masyarakat sekeliling berhubung penampilannya. Katanya, ada wanita yang meminati penampilannya, namun ada juga bersikap sebaliknya.


"Masih banyak prejudis meskipun dalam dunia tatu, di mana mereka yang mencacah tatu bercorak komersial ada kalanya takut melihat penampilan saya," ujarnya.


Menurut de Santa, meskipun pelbagai cacian diterima terhadap penampilannya, dia berasa bangga dengan keadaannya dan tidak lagi terkesan dengan sebarang kata-kata kejian.


"Saya berasa sangat kacak seperti iblis. Kanak-kanak sangat menyukainya dan melihat saya sebagai superhero. Mereka bertanya bagaimana implan dibuat dan juga mata saya," katanya.


Secara keseluruhan, de Santa menganggarkan kira-kira AS$10,000 (RM42,265) telah dibelanjakan untuk menukar penampilannya itu.


De Santa melakukan transformasi ekstrem untuk mendapatkan senyuman Kuchisake-Onna.

Jumaat, 23 Julai 2021

Apartmen Ada Hantu, 4 Sekeluarga Tidur Di Balkoni Lebih Sebulan

Apartmen Ada Hantu, 4 Sekeluarga Tidur Di Balkoni Lebih Sebulan

Gambar hiasan (getty images).

Kerana percaya bahawa rumah berhantu, sepasang suami isteri dan dua anaknya terpaksa tidur di sebuah khemah kecil yang dipasang di balkoni apartmen mereka selama lebih dari sebulan.


Lapor Oddity Central, Patricia dan David bersama anak-anak mereka berpindah ke sebuah apartmen yang terletak di taman Semcoda, Replonges di Perancis pada September tahun lalu (2020).


Bangunan apartmen itu dibina pada 2016 di atas tanah yang sebelum ini menempatkan sebuah hangar lama. Walaupun ruang rumah mereka luas dan moden, tetapi keluarga ini tidak dapat menikmati kerana ada gangguan aneh.


"Kami tidak selesa tinggal di apartmen ini kerana dapat merasakan perkara ganjil berlaku khususnya pada waktu malam. Anak perempuan kami melihat perkara aneh di sekitar rumah ini sebaik sahaja keluarga kami berpindah masuk," kata Patricia.


Katanya, dia dan keluarganya percaya terdapat aktiviti paranormal di dalam rumah mereka. Situasi menjadi teruk sehingga mereka terpaksa memasang khemah kecil di balkoni apartmen untuk tidur pada setiap malam.


"Ia dimulai dengan bayangan hitam, kemudian gangguan semakin kuat, lampu terpadam secara rawak, TV menyala dengan sendirinya, telefon 'mati' tanpa sebab dan bunyi perkakas dapur seakan diselongkar," katanya.


Bosan dengan fenomena paranormal, pasangan itu meminta kunjungan pakar yang dikenali 'magnetiseur' atau seseorang yang menggunakan tenaga magnet untuk mengesan roh.


Setelah memeriksa apartmen tersebut, mereka diberitahu bahawa keluarganya dihantui oleh semangat roh 'terperangkap' seorang wanita dari abad ke-19 yang mahu mereka pergi.


David yang cacat tidak berkemampuan membawa keluarganya berpindah ke taman perumahan lain atas faktor kewangan, apartmen yang kini mereka tinggal merupakan ihsan dari program bantuan sosial Perancis.


Syarikat yang menguruskan taman Semcoda tidak memberi penjelasan tentang kejadian paranormal itu, malah mendakwa bahawa tidak ada masalah dengan apartmen itu, dan mengatakan telah disewa dua kali sebelumnya tanpa ada kejadian aneh.


Patricia dan David meminta mereka diberikan unit lain di taman Semcoda, tetapi buat masa ini mereka tidak mempunyai pilihan lain selain bermalam di khemah di balkoni apartmen tersebut.


Apartmen yang terletak di taman Semcoda, Replonges di Perancis.

Selasa, 6 Julai 2021

Makmal Di China Dalam Perancangan Menghidupkan Semula Orang Yang Sudah Mati

Makmal Di China Dalam Perancangan Menghidupkan Semula Orang Yang Sudah Mati


Membangkitkan orang yang sudah mati merupakan impian sebuah makmal di China. Kaedahnya adalah dengan membekukan jasad manusia sehingga tiba masanya suatu hari nanti teknologi masa depan dapat menghidupkannya semula, lapor Global Times pada 21 Januari  2021.


Kaedah ini biasanya disebut kriogenik, dan beberapa institusi mempelajari bidang ini. Shandong Yinfeng Life Science Research Institute yang terletak di Jinan, China adalah salah satu daripadanya, di mana mayat beberapa orang telah disimpan di sini pada suhu yang sangat rendah.


Pada 8 Mei 2017, seorang lelaki dikenali Zhan di sahkan telah meninggal dunia akibat barah paru-paru di sebuah hospital di Jinan, ibu kota wilayah Shandong China Timur. Tetapi ini bukan pengakhiran kisah tersebut apabila isteri kepada Zhan iaitu Gui belum putus asa.


Mayat Zhan segera dibekukan dengan teknologi kriopreservasi di sebuah institusi penyelidikan di Jinan, dan disimpan dalam bekas keluli tahan karat yang mengandungi nitrogen cecair super sejuk. Dalam keadaan seperti itu, metabolisme sel dapat bertahan selama 2.4 bilion tahun.


Cryopreservation is operated in Yinfeng company, East China's Shandong Province. - Foto Courtesy of Yinfeng.

Seperti yang dirancangkan Zhan akan dihidupkan kembali oleh teknologi masa depan suatu hari nanti. Gui dan anaknya juga menandatangani kesediaan untuk dibekukan dalam kriopreservasi bila mereka mati nanti, dengan harapan keluarganya boleh bersatu semula.


Zhan adalah kes tempatan yang pertama dalam kriopreservasi di China. Pada masa ini, 10 orang telah menjalani pemeliharaan krio di China, dan di seluruh dunia jumlahnya melebihi 400. Terdapat empat institusi seperti ini di dunia. Selain dari China, terdapat dua di Amerika Syarikat (AS) dan satu di Rusia.


Institusi Yinfeng Life sendiri bekerjasama dengan hospital dan universiti di China. Pengarahnya ialah Aaron Drake yang pernah bekerja di Alcor yang berpusat di Arizona, AS. Dia menyatakan perbezaan institusi di China dan di negara lain yang mungkin menjadikan Negara Tirai Buluh unggul. 


Di AS, institusi dengan kaedah sedemikian mesti mematuhi undang-undang dengan tegas dan perlu mempunyai lesen perubatan. Pembekuan melibatkan mayat hanya dibenarkan pada manusia yang benar-benar sudah mati.


"Tetapi kerajaan China tidak hanya mahu kami menjadi projek pembekuan badan. Kerajaan mahu bagaimana projek ini dapat berguna di semua bidang perubatan. Ini adalah projek penyelidikan besar jadi saya berminat untuk bergabung," katanya.


Oleh itu institusi ini juga sedang mengembangkan teknologi lain, seperti pemindahan organ yang lebih berkesan. Dengan sokongan pemerintah China dan mengembangkan kaedahnya secara aktif, ada kemungkinan Yinfeng Life akan mendahului pesaingnya di negara lain.


The Reproductive Medicine Center of The West China Second University Hospital of Sichuan University is the largest 'test-tube baby' center in Southwest China. - Foto VCG.

Salah satu perkara yang ingin mereka selesaikan adalah menyelamatkan seluruh tubuh manusia dengan lebih berkesan sehingga lebih senang 'dibangkitkan' kemudian. Pada masa ini, institusi ini telah menyimpan 10 badan manusia dan peminatnya terus bertambah.


"Lebih daripada 100 orang mengunjungi kami tahun lalu, dan 60 orang menjadi anggota di mana mereka berkomitmen untuk melakukan proses kriogenik," tambah Aaron.


Dia menambah bahawa budaya Cina lebih senang menerima kaedah seperti itu kerana mereka kurang beragama daripada di beberapa negara barat. Mereka cenderung tidak menghiraukan prosedur yang dilakukan.


Walaupun teknologi membangkitkan orang mati masih mustahil dan tidak semestinya kenyataan, Aaron tetap optimis. Ini kerana kemajuan dalam bidang perubatan menurutnya sangat pesat.


"Orang-orang sekarang mati kerana barah, Parkinson dan penyakit otak yang lain. Sekiranya kita memasuki seratus tahun lagi, penyakit-penyakit itu mungkin akan mudah di ubati. Pada awal tahun 1900-an, orang-orang mati akibat serangan jantung, strok dan selesema," kesimpulan Aaron.


Cryopreservation is operated in Yinfeng company, East China's Shandong Province. - Foto Courtesy of Yinfeng.

Jumaat, 25 Jun 2021

Misteri Alat Pengimbas Suhu Berbunyi Sendiri Kesan 'Seseorang' Tapi Tiada Orang Lalu

Misteri Alat Pengimbas Suhu Berbunyi Sendiri Kesan 'Seseorang' Tapi Tiada Orang Lalu


Tular di laman Twitter sejak Isnin lepas, seorang lelaki telah berkongsi pengalaman misterinya apabila pengimbas suhu badan yang disediakan di premis perniagaannya berbunyi sendiri seakan sedang mengimbas suhu seseorang.


Dipetik dari laporan Kosmo, mengatakan video tular berdurasi 11 saat itu memaparkan mesin pengimbas suhu, pada awalnya tidak mengesan apa-apa suhu badan kerana tiada orang, namun secara tiba-tiba mesin itu memaparkan suhu 35 darjah Celcius.


Menurut @afndysd yang merakam video tersebut memberitahu, mesin pengimbas suhu itu berbunyi pada waktu Maghrib sahaja seolah-olah sedang memeriksa suhu badan 'seseorang' walaupun tiada kelibat sesiapa.



"Jika mahu kata mesin pengimbas suhu itu sensitif, saya rasa tidak. Ini kerana, mesin pengimbas suhu itu hanya akan berbunyi pada waktu Maghrib. Waktu yang lain dia senyap sahaja kecuali ada pelanggan yang datang.


"Mengenai azan di kedai, kedai saya bersebelahan dengan sebuah surau dan saya masih tidak berani untuk membuat bacaan ruqyah. Mungkin juga ada masalah pepijat (bug) pada mesin pengimbas suhu tersebut," jelasnya.


Rata-rata pengguna laman Twitter berseloroh dan mahu menyedapkan hati tuan kedai tersebut daripada berfikir negatif mengenai kehadiran entiti yang menyeramkan itu.


Ada yang berkongsi pengalaman serupa, tak kurang juga ada yang membuat lawak jenaka. "Nasib baik suhu normal. Kalau demam, jangan bagi dia masuk," kata seorang netizen.


"Comel je hantu ni, main scan suhu pula. Baru saya tahu suhu badan hantu lagi rendah dari manusia. Mungkin sebab dah mati, hantunya sejuk," gurau netizen lain.


"Periksa suhu je? Cuba periksa aplikasi MySejahtera, mana tahu mungkin ada dalam senarai," balas seorang netizen. Sumber: Izzatul 'Ain Azman/Kosmo (25/6/2021).