Memaparkan catatan dengan label Seram. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Seram. Papar semua catatan

Khamis, 24 Jun 2021

Dukun ikat 22 jin 'nakal' berusia 100 tahun dalam rumah

Dukun ikat 22 jin 'nakal' berusia 100 tahun dalam rumah


Seorang dukun di Indonesia yang baru bertaubat dari dunia perdukunan mendedahkan bahawa dia mengikat 22 jin berusia 100 tahun di dalam rumahnya, lapor Suara.com pada 23 Jun 2021, semalam.


Ki Joko Bodo dari Pondok Gede, Jakarta Timur berkata, jin-jin yang diikat itu adalah daripada spesies 'nakal' dan sering menimbulkan masalah. Tindakan itu dilakukan sebagai bentuk hukuman atas tindakan jahat makhluk tersebut.


Menurut Joko, dia mengikat makhluk halus tersebut di rumah kerana boleh mengawalnya agar tidak terlepas lalu mengganggu penduduk kampung.


Joko, turut mengatakan bahawa lampu di rumahnya hanya dinyalakan seketika, kerana bimbang beberapa perkara, salah satunya adalah untuk mengelak berlaku litar pintas yang disebabkan oleh roh, dan sebagainya.


"Saya selalu mematikan lampu, litar pintas mungkin berlaku kerana mereka tidak menyukai lampu. Saya hanya menyalakan lampu di beberapa tempat untuk seketika sebelum mematikannya.


"Kawasan rumah saya memang menjadi lokasi hantu, makhluk halus dan jin berkumpul. Malah pontianak juga sering singgah di pokok-pokok sekitar rumah," jelasnya.


Tambah Joko, walaupun dirinya sedang berusaha kembali ke pangkal jalan, dia masih meneruskan pekerjaannya sebagai penghalau hantu dan berinteraksi dengan dunia spiritual.


"Ini adalah pekerjaan dan sumber rezeki saya jadi sukar untuk ditinggalkan terus. Jika ada pelanggan yang datang meminta pertolongan halau hantu, saya masih cuba bantu," ujarnya.


Joko Bodo ikat 22 ekor jin dalam rumah kerana bersikap nakal dan suka mengganggu orang. - Foto Suara.com.

Sabtu, 12 Jun 2021

Pengguna Peta Google Terkejut Menemui 'Makhluk Putih' Berdiri Dalam Lingkaran Seakan Melakukan Upacara Pelik

Pengguna Peta Google Terkejut Menemui 'Makhluk Putih' Berdiri Dalam Lingkaran Seakan Melakukan Upacara Pelik


Seorang pengguna aplikasi peta Google Earth menjadi tular apabila berkongsi rakaman menunjukkan sekumpulan individu berkelubung putih di sebuah bandar tidak berpenghuni di Nevada, Amerika Syarikat (AS).


Menurut lapor akhbar Daily Star 06 Jun 2021 lalu, seorang pengguna TikTok dikenali Jason Cline, menyedari penemuan pelik itu ketika sedang menggunakan aplikasi itu di beberapa negeri di AS.


Jason Cline berkata, ketika dia menukar mod peta menjadi pemandangan jalan, dia melihat sebuah rumah terbengkalai di sebelah ladang dengan tanda bulat di tanah.


Di suatu tempat yang tidak jauh dari rumah tersebut, kelihatan seorang 'lelaki menyeramkan serba putih' sedang memegang basikal. Dia juga mengatakan beberapa lagi 'makhluk' putih berada dalam lingkaran seakan melakukan upacara pelik.



"Kamu pernah melihat padang pasir, seperti ini? Cuba anda perhatikan klip ini dan anda akan menyedari satu lingkaran objek yang kelihatan seperti cap jari.


"Apabila saya menukar mod menjadi pemandangan jalan, saya ternampak sekumpulan manusia berkelubung putih sedang mengerumuni lingkaran cap jari itu," tulis Jason Cline.


Klip rakaman itu mendapat lebih 17 juta tontonan sebelum misteri itu akhirnya dirungkai. Salah seorang pengguna Google Earth memberitahu bahawa imej tersebut merupakan satu pameran seni di sebuah bandar tidak berpenghuni, Rhyolite di Death Valley.


Kumpulan individu berkelubung putih menyeramkan itu dikenali sebagai 'Jamuan Terakhir' yang dicipta oleh artis Belgium, Albert Szukalski. "Saya pernah ke sana. Ini adalah Muzium Udara Terbuka Goldwell," komen seorang pengguna media sosial.



Khamis, 10 Jun 2021

Lelaki ini memasang 2 taring gergasi di mulutnya seperti 'Orc' makhluk mitologi

Lelaki ini memasang 2 taring gergasi di mulutnya seperti 'Orc' makhluk mitologi


Seorang lelaki berasal dari bandar Iguatemi Brazil, membuat tatu di hampir keseluruhan badannya, serta mengubah dirinya menjadi penampilan 'Orc' dengan memasang dua taring palsu gergasi yang diletakkan di barisan gigi bawah.


Dia membelanjakan kira-kira RM3000 untuk memasang sepasang taring besar di gigi bawahnya untuk membuat dirinya kelihatan seperti Orc, makhluk yang menakutkan.


Dia mengatakan pertama kali membuat tatu pada usia 15 tahun dan sejak itu dia ingin menambah lebih banyak tatu dan mengubah bentuk tubuhnya, menjalani beberapa prosedur yang membuatnya kelihatan agak unik.


Lelaki berusia 41 tahun ini turut memiliki sepasang bola mata bertatu hitam, sekitar 80 peratus tubuhnya ditutup dengan tatu, lidah terbelah, beberapa implan subdermal dan telinga yang dihiris. Namun, pengubahsuaian di mulut inilah yang menarik perhatian kebanyakan orang.


"Saya cuba menjadi diri sendiri, ini adalah idea saya sendiri, inspirasi saya datang dari hati, saya tidak diilhamkan oleh sesiapa pun," kata lelaki orc itu.


Peminat pengubahsuaian badan dari Brazil ini mengakui bahawa dia gembira dengan penampilannya yang unik, tetapi dia mengakui bahawa dia tidak begitu disukai oleh rakan dan keluarganya.


"Ibu saya tidak menyukainya, ayah saya tidak bertolak ansur dan rakan-rakan saya merasa pelik. Namun itu sama sekali tidak mengubah minat saya," ujarnya.


Mengenai gading di barisan gigi bawah, dia tidak menyatakan apakah itu kekal atau sementara. Dia mempunyai seorang isteri yang mempunyai minat yang sama dalam tatu dan pengubahsuaian badan, sehingga mereka nampak bahagia.


Orc adalah makhluk mitologi yang muncul dalam cerita fiksyen cerita rakyat dan fantasi sebagai binatang dengan tubuh yang menyerupai manusia, kadang-kadang seperti raksasa, biasanya berwarna hijau, dengan wajah yang menyerupai babi, kera dan raksasa dengan taring panjang, sifatnya garang dan buas. Sumber: Alahna Kindred/The Sun (3/11/2020).


Orc telah membelanjakan kira-kira RM3000 untuk memasang taring gergasi pada gigi barisan bawahnya. - Foto Jam Press

Orc telah membelanjakan kira-kira RM3000 untuk memasang taring gergasi pada gigi barisan bawahnya. - Foto Jam Press

Selasa, 1 Jun 2021

Gempar Biri-Biri Mati Dengan Luka Seperti gigitan Puntianak, Darah Kering

Gempar Biri-Biri Mati Dengan Luka Seperti gigitan Puntianak, Darah Kering


Penduduk Desa Kedungsari di Kecamatan Tegaldlimo dalam wilayah Jawa Barat gempar berikutan misteri kematian lima ekor biri-biri, mereka mendakwa kematian ternakan itu dibunuh oleh makhluk penghisap darah pada hari Ahad lalu (30/5/2021).


Menurut penduduk kampung, ketika haiwan itu ditemui mati terdapat luka gigitan di leher. Masing-masing ditemukan ada kesan lubang taring menyerupai gigitan drakula atau puntianak, makhluk penghisap darah yang pernah kita lihat dalam filem.


Pemilik biri-biri itu yang dikenali sebagai Yusuf berkata, ini kali pertama dia melihat kesan gigitan seperti itu pada bangkai ternakannya.


"Saya tidak pasti punca kematian biri-biri ini kecuali boleh mengesahkan ada kesan taring pada leher haiwan itu," katanya.


Kejadian tersebut semakin aneh kerana tiada serakan atau kesan darah ditemui berhampiran bangkai biri-biri, manakala kawasan kandang juga kelihatan seperti biasa tanpa tanda-tanda diceroboh.


Ketua Polis Tegaldlimo, Asisten Komisioner Bambang Suprapto mengesahkan kejadian itu dan memberitahu bahawa kandang haiwan ditutup rapat semasa insiden berlaku. Polis mempercayai kejadian itu berlaku antara pukul 2 pagi hingga 4 pagi (waktu tempatan).


Oleh kerana lokasi kandang terletak berdekatan dengan hutan, polis mengesyaki bahawa kejadian itu dilakukan oleh binatang buas.


"Kandang ini sangat dekat dengan hutan. Jaraknya hanya sekitar 100 meter. Jadi suspek utama kejadian ini adalah haiwan liar dari dalam hutan," kata Bambang. Sumber: suara.com


Kesan gigitan yang ditemui pada bangkai biri-biri milik penduduk di Jawa Barat menyerupai taring drakula. - Foto Agung Sedana/TIMES Indonesia.

Jumaat, 7 Mei 2021

Tebang pokok betik didakwa dirasuki roh jahat, lelaki dihukum penjara 3 minggu

Tebang pokok betik didakwa dirasuki roh jahat, lelaki dihukum penjara 3 minggu


Di era moden ini, ada lagi kah yang mempercayai benda-benda mistik? Mungkin rata-rata ada di antara anda yang tidak mempercayai objek seperti ini, lagi-lagi ketika zaman semakin moden. Tapi ada segelintir masyarakat yang masih percaya seperti yang berlaku di negara jiran kita.

 

Gara-gara mempercayai sebatang pokok betik dirasuki roh jahat, seorang lelaki di Singapura dihukum penjara tiga minggu kerana mengancam keselamatan seorang wanita menggunakan pisau pemotong, menurut laporan laman berita Mothership hari ini.


Ang Say Chee, 60, pada Ogos 2019 bertindak menebang bahagian atas sebatang pokok betik milik Majlis Perbandaran Boshan-Toa Payoh kerana mendakwa pokok itu telah dirasuki oleh roh jahat.


Tindakannya disedari oleh seorang wanita berusia 70 tahun yang terdengar bunyi pokok tumbang berhampiran lokasinya. Ketika kejadian dia sedang memberi makan kepada beberapa ekor kucing.


Say Chee yang menyedari kehadiran wanita tersebut cuba merampas bekas yang mengandungi makanan kucing dari tangan mangsa dan bertindak mengacukan senjata tersebut pada kepala wanita itu.


Menurut Channel News Asia (CNA), Say Chee dikatakan tidak menyukai tindakan wanita itu memberi makanan kepada kucing. Wanita itu kemudian bertindak menghubungi polis, Say Chee ketika itu duduk di atas sebuah bangku sambil bercakap dengan diri sendiri sebelum melemparkan senjata yang digunakan.


Dia mengaku bersalah atas pertuduhan ugutan jenayah dengan mengacukan senjata berbahaya ke arah wanita tersebut dan dijatuhi hukuman penjara tiga minggu.


Menurut CNA, Say Chee mempunyai beberapa rekod jenayah lampau sejak tahun 1979 termasuk pecah rumah, membawa minuman memabukan ke hospital awam, penghinaan, rogol dan tindakan ganas yang membahayakan keselamatan. Sumber: KosmoMotherShip

Ahad, 18 April 2021

Sumpahan Pulau Anak Patung seakan berbisik pada pengunjung

Sumpahan Pulau Anak Patung seakan berbisik pada pengunjung


Mexico terkenal dengan banyak bangunan bersejarah dan terusan menghubungkan beberapa penempatan menarik. Antaranya Pulau Anak Patung yang terletak di antara terusan Xochimico sebuah daerah yang terletak 17 kilometer dari Mexico City.


Pada 1987, Xochimilco diisytiharkan Tapak Warisan Dunia UNESCO, sekali gus menarik jutaan pelancong dari seluruh dunia ke daerah itu. Namun, keterujaan pelancong mungkin bertukar menjadi perasaan seram sekiranya mereka melawat sebuah pulau dikenali sebagai Pulau Anak Patung.


Pulau terpencil 'Isla de las Munecas' atau lebih dikenali dengan nama Pulau Anak Patung terletak di satu kawasan berpaya ini dianggap berhantu, pasti membuatkan pengunjung berasa seram sejuk apabila melihat ribuan anak patung digantung pada pokok, diikat dan dipaku pada dinding pondok buruk.


Seakan berlakunya satu sumpahan atau sihir apabila anak-anak patung ini terbiar begitu sahaja dengan dibasahi hujan dan terik cahaya matahari. Dahulunya tempat ini adalah sebuah pulau dikelilingi terusan yang dipenuhi pokok teratai yang berwarna-warni.


Setiap sudut di pulau ini kelihatan anak-anak patung digantung pada pokok. Keadaannya yang menyeramkan, menyaksikannya satu kawasan yang tidak mahu dikunjungi orang ramai, tetapi kini selepas kematian pemiliknya, Don Julian Santana Barrera mula menjadi salah satu kemestian lokasi untuk dilawati.



Kisah Kewujudan Ratusan Anak Patung


Menurut lagenda tempatan, Barrera menemui seorang gadis kecil tenggelam dalam keadaan misteri di celah-celah pokok teratai, dan dia amat kecewa kerana tidak dapat menyelamatkan nyawanya. Tidak lama selepas itu, beliau menemui anak patung terapung berhampiran terusan yang pada pendapatnya berkemungkinan milik gadis itu.


Sejak peristiwa itu, Barrera mendakwa dia sering diganggu oleh suara jeritan dan bayangan kanak-kanak itu. Oleh kerana tidak tahan dengan gangguan tersebut, dia kemudiannya mengambil keputusan menggantung anak patung tersebut di dahan pokok bagi menghormati semangat kanak-kanak itu.


Barrera mula mengumpul anak patung yang dibeli dan dikutipnya dari pekan berhampiran meletakkan di pulau tersebut. Dia menghabiskan masa selama 50 tahun sehingga akhir hayatnya dengan menggantung, mengikat dan memaku kira-kira 1,500 anak patung termasuk ada beberapa bahagian tubuh yang sudah hilang dipercayai dapat menenangkan semangat gadis yang lemas berkenaan.




Tangan mereka yang terputus, kepala yang dipenggal, dan mata kosong menghiasi pokok. Selepas 50 tahun mengumpul anak patung dan menggantungnya di pulau itu, Barrera ditemui mati lemas pada tahun 2001 di tempat yang sama di mana dia menemui gadis malang itu.


Ramai orang di pulau itu percaya bahawa Barrera menyertai roh lain di pulau itu. Tempat itu menjadi popular selepas produser filem Mexico, Emilio Fernández menjadikannya lokasi filem María Candelaria yang dibintangi Dolores del Río dan Pedro Armendáriz.


Sejak itu, banyak artikel mengenai Pulau Anak Patung disiarkan di akhbar dan media. Jurugambar profesional Cindy Vasko yang melawat pulau itu pada 2015, menyifatkannya sebagai 'tempat yang paling dahsyat yang pernah dikunjungi'.


Begitu juga, penduduk setempat menggambarkannya sebagai 'terpesona dan berhantu', seakan-akan boneka yang tergantung berbisik dengan pengunjung. Ditambah pula, apabila kita melihat anak-anak patung berkenaan seolah-olah matanya memandang tepat ke arah pengunjung. Ada mengatakan anak patung menggerakkan kepala dan lengan mereka, bahkan membuka mata mereka.


Sesetengah saksi mendakwa mereka seperti mendengar anak-anak patung berbisik antara satu sama lain, manakala mereka yang berada di dalam bot memberitahu anak patung itu menarik mereka untuk turun ke pulau berkenaan.


Kini, tempat ini menjadi tarikan pelancong, sebagai tanda sokongan pengunjung membawa banyak anak patung untuk digantung di situ. Pulau ini boleh dikunjungi dengan menaiki bot. Rujukan: BH Onlinemstar.







Isnin, 22 Mac 2021

'Kota Hantu' sebuah desa yang terkubur di tengah padang pasir

'Kota Hantu' sebuah desa yang terkubur di tengah padang pasir


Sebut saja Dubai pasti kita terbayang sebuah bandar raya canggih yang penuh dengan kemewahan, disebalik semua itu ia juga mempunyai sisi lain yang menarik untuk diterokai, salah satunya adalah desa Al-Ghuraifah yang digelar 'kota hantu' oleh penduduk berdekatan.


Sebuah desa yang terkubur oleh pasir dan telah ditinggalkan ini terletak di tengah padang pasir yang dikenali sebagai Desa Al-Ghuraifah. Ia terletak 2 kilometer sebelah Barat Daya daerah Al-Madam di Sharjah laluan antara Dubai dan Hatta.


Kampung ini disebut 'kota hantu' kerana menurut ceritanya, penduduk kampung berhijrah dari kampung tersebut dikaitkan dengan gangguan mistik. Kisah ini semakin dipercayai kerana penduduk kampung yang berdekatan juga mengatakan perkara yang sama, iaitu ada jin jahat yang menghantui kampung tersebut.


Namun, secara ilmiah alasan kampung itu ditinggalkan adalah kerana lokasinya di padang pasir dan sering dilanda ribut pasir. Kini, kampung ini hanya menunggu untuk ditenggelamkan oleh pasir.




Menurut laporan oleh Insider, Al-Ghuraifah adalah sebuah desa yang telah wujud sejak tahun 1970. Desa kecil ini terdiri atas dua barisan rumah yang berbentuk hampir sama dan terdapat sebuah masjid di hujung jalan. Berada di tengah-tengah padang pasir terletak kira-kira 59 kilometer dari pusat bandar Dubai.

Walaupun tidak diketahui berapa orang yang tinggal di sana, seorang penduduk bernama Ayub Al Kaabi mengatakan bahawa kampung itu adalah kediaman suku Al Kutbi.

 "Apa yang kami tahu adalah tempat ini dibangun untuk Suku Al Kutbi, tetapi mereka meninggalkannya setelah tinggal di sini untuk beberapa waktu," kata Kaabi.

Pada mulanya, kewujudan kampung ini dirahsiakan. Tetapi ketika seorang blogger Britain, Vanessa Ball, secara tidak sengaja menjumpainya dalam perjalanan luar jalan raya pada tahun 2019, kampung ini menjadi terkenal dan semakin popular.

Kini menjadi salah satu lokasi menarik untuk dikunjungi bagi pelancong yang sukakan pengembaraan. Populariti Al-Madam juga meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerana banyak pelancong mula mengenali dan mengunjungi kawasan itu.