Sabtu, 12 Jun 2021

Pengguna Peta Google Terkejut Menemui 'Makhluk Putih' Berdiri Dalam Lingkaran Seakan Melakukan Upacara Pelik


Seorang pengguna aplikasi peta Google Earth menjadi tular apabila berkongsi rakaman menunjukkan sekumpulan individu berkelubung putih di sebuah bandar tidak berpenghuni di Nevada, Amerika Syarikat (AS).


Menurut lapor akhbar Daily Star 06 Jun 2021 lalu, seorang pengguna TikTok dikenali Jason Cline, menyedari penemuan pelik itu ketika sedang menggunakan aplikasi itu di beberapa negeri di AS.


Jason Cline berkata, ketika dia menukar mod peta menjadi pemandangan jalan, dia melihat sebuah rumah terbengkalai di sebelah ladang dengan tanda bulat di tanah.


Di suatu tempat yang tidak jauh dari rumah tersebut, kelihatan seorang 'lelaki menyeramkan serba putih' sedang memegang basikal. Dia juga mengatakan beberapa lagi 'makhluk' putih berada dalam lingkaran seakan melakukan upacara pelik.



"Kamu pernah melihat padang pasir, seperti ini? Cuba anda perhatikan klip ini dan anda akan menyedari satu lingkaran objek yang kelihatan seperti cap jari.


"Apabila saya menukar mod menjadi pemandangan jalan, saya ternampak sekumpulan manusia berkelubung putih sedang mengerumuni lingkaran cap jari itu," tulis Jason Cline.


Klip rakaman itu mendapat lebih 17 juta tontonan sebelum misteri itu akhirnya dirungkai. Salah seorang pengguna Google Earth memberitahu bahawa imej tersebut merupakan satu pameran seni di sebuah bandar tidak berpenghuni, Rhyolite di Death Valley.


Kumpulan individu berkelubung putih menyeramkan itu dikenali sebagai 'Jamuan Terakhir' yang dicipta oleh artis Belgium, Albert Szukalski. "Saya pernah ke sana. Ini adalah Muzium Udara Terbuka Goldwell," komen seorang pengguna media sosial.




EmoticonEmoticon