Memaparkan catatan dengan label Rasuah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rasuah. Papar semua catatan

Jumaat, 30 Oktober 2026

Bekas ketua balai bomba didakwa terima suapan RM2,000, mengaku tidak bersalah

Bekas ketua balai bomba didakwa terima suapan RM2,000, mengaku tidak bersalah


KUANTAN - Seorang bekas Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands berdepan tindakan mahkamah selepas didakwa menerima wang RM2,000 tanpa balasan daripada seorang individu yang mempunyai urusan berkaitan tugas rasminya.


Wan Muhammad Faiz Wan Asri, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, di hadapan Hakim Sazlina Safie.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang tunai RM2,000 sedangkan beliau mengetahui individu terbabit mempunyai hubungan dengannya dalam urusan tugas rasmi.


Perbuatan itu didakwa berlaku di luar sebuah dewan serbaguna di Cameron Highlands kira-kira jam 9.45 malam, 28 Mei tahun lalu.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rais Adha Ramli mencadangkan jaminan RM12,000 berserta syarat tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.


Bagaimanapun, peguam Ahmad Nur Faid Afiq Aziz memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya hanya berpendapatan kira-kira RM3,000 sebulan selain menanggung isteri, seorang anak dan ibu bapanya yang sudah lanjut usia.


Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.


Tertuduh turut diwajibkan melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.


Mahkamah menetapkan 11 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Rabu, 28 Oktober 2026

Dua pegawai penguat kuasa, tiga ejen direman kes rasuah RM1 juta lindungi pekerja asing

Dua pegawai penguat kuasa, tiga ejen direman kes rasuah RM1 juta lindungi pekerja asing


JOHOR BAHRU - Dua pegawai agensi penguat kuasa persekutuan antara lima individu direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima suapan kira-kira RM1 juta sebagai balasan melindungi pekerja asing daripada dikenakan tindakan.


Tiga lagi individu yang turut direman ialah ejen pekerja asing yang dipercayai bersubahat dalam kegiatan berkenaan.


Perintah reman selama lima hari sehingga 1 November ini dikeluarkan Majistret Dhilip Nair A/l R.N. Atchuthan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pagi tadi.


Kesemua suspek terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 40 hingga 60-an. Mereka ditahan dalam operasi SPRM Johor di sekitar Selangor dan Johor, antara jam 10 pagi hingga 4 petang semalam.


Menurut sumber, siasatan awal mendapati kegiatan itu dipercayai berlaku antara 2018 hingga 2025, membabitkan 44 transaksi pindahan wang dalam talian berjumlah kira-kira RM1 juta.


Pengarah SPRM Johor, Datuk Hazrul Shazreen Abd Yazid mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) serta Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009.


Siasatan bermula hasil operasi yang dibangunkan Bahagian Perisikan SPRM.

Jumaat, 23 Oktober 2026

Inspektor polis dipenjara 6 tahun guna dokumen palsu dalam kertas siasatan dadah

Inspektor polis dipenjara 6 tahun guna dokumen palsu dalam kertas siasatan dadah


TAWAU - Seorang inspektor polis dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Majistret Tawau, pada Jumaat, selepas didapati bersalah menggunakan dokumen palsu berkaitan siasatan kes dadah, tiga tahun lalu.


Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman terhadap Crall Mark Bait, 36, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan ketiga-tiga pertuduhan pindaan terhadapnya melampaui keraguan munasabah.


Mahkamah mengenakan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan semua hukuman itu berjalan secara berasingan, menjadikan keseluruhan tempoh pemenjaraan enam tahun.


Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan selepas permohonan dikemukakan peguam bela, Sylvester Kuan.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan dokumen palsu berupa rakaman percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah yang kononnya dibuat oleh tiga anggota polis ketika menjalankan tugas rasmi.


Kesalahan itu dilakukan dengan memperdayakan pihak berkaitan supaya dokumen berkenaan diterima sebagai dokumen tulen.


Tertuduh disabitkan atas ketiga-tiga pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 466 kanun sama.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shearil Aizad Murnizam. - Sumber Harian Metro.

Rabu, 21 Oktober 2026

46 pertuduhan rasuah, bekas Ketua Polis Daerah Temerloh dipenjara 8 bulan

46 pertuduhan rasuah, bekas Ketua Polis Daerah Temerloh dipenjara 8 bulan


Bekas Ketua Polis Daerah Temerloh dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini selepas didapati bersalah atas 46 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM69,600 antara 2016 hingga 2023.


Keputusan itu dibuat Hakim Sazlina Safie selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan terhadap tertuduh, Mohd Azhar Mohd Yusoff, 56.


"Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesemua elemen kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan bagi semua 46 pertuduhan," katanya.


"Oleh itu, tertuduh didapati bersalah dan disabitkan atas kesemua pertuduhan.


"Tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama lapan bulan bermula dari tarikh sabitan, dengan semua hukuman penjara berjalan serentak," katanya ketika membacakan penghakimannya hari ini.


Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan, susulan permohonan yang dikemukakan peguamnya, Datuk M Athimulan.


Mahkamah kemudiannya memerintahkan Mohd Azhar membayar wang jaminan tambahan sebanyak RM5,000, menjadikan jumlah keseluruhan RM30,000.


Mohd Azhar yang berpakaian kemeja merah jambu dan blazer kelabu, kelihatan tenang ketika hukuman dijatuhkan.


Pada 7 September 2023, Mohd Azhar mengaku tidak bersalah terhadap 46 pertuduhan menerima wang melalui pindahan dalam talian ke akaun banknya antara Mac 2019 hingga Januari 2023.


Pada 29 Jun tahun ini, mahkamah memerintahkan tertuduh membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mengemukakan keterangan yang mencukupi bagi membuktikan kes prima facie terhadapnya.


Dalam prosiding itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Radzi Shah Abd Razak dan Ifa Sirhu Samsudin, manakala Mohd Azhar diwakili Athimulan dan Datuk Bob Arumugam.


Terdahulu, ketika mengemukakan rayuan mitigasi, Athimulan memohon mahkamah mengenakan hukuman denda dan bukannya penjara, dengan alasan sabitan itu sudah membawa kesan serius terhadap anak guamnya.


"Anak guam saya berdepan risiko dibuang kerja daripada pasukan polis, kehilangan pencen serta faedah lain yang dikumpulkan sepanjang 33 tahun perkhidmatannya, selain reputasi dan kedudukan sosialnya terjejas.


"Sebagai penjawat awam dan pegawai polis, beliau berisiko kehilangan segala-galanya," katanya.


Athimulan berkata, jumlah wang yang terbabit bukanlah sehingga jutaan ringgit, selain keterangan menunjukkan wang berkenaan digunakan bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan aktiviti kemasyarakatan di Temerloh.


Beliau berkata, hukuman denda yang bersesuaian memadai sebagai pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat umum.


Bagaimanapun, Radzi Shah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat, termasuk penjara dan denda maksimum dengan mengambil kira keseriusan kesalahan serta kedudukan Mohd Azhar sebagai pegawai kanan polis.


"Tertuduh yang ketika itu adalah Ketua Polis Daerah Temerloh memegang jawatan tinggi dalam hierarki pasukan polis, namun menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi.


"Kesalahan itu membabitkan 46 pertuduhan yang dilakukan dalam tempoh hampir empat tahun.


"Perbuatan tertuduh memberi implikasi serius terhadap reputasi pasukan polis pada pandangan masyarakat, sekali gus mewajarkan hukuman berbentuk pencegahan," katanya.


Selepas hukuman dijatuhkan, Athimulan memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dan memaklumkan pihak pembelaan akan memfailkan rayuan pada minggu ini.

Sabtu, 10 Oktober 2026

Bekas sami dipenjara 742 tahun kerana seleweng dana kuil

Bekas sami dipenjara 742 tahun kerana seleweng dana kuil


Bekas sami Thailand, Alongkot dijatuhi hukuman penjara terkumpul selama 742 tahun, manakala seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai medium kerohanian, Bee dihukum penjara selama 386 tahun serta 1,480 bulan.


Hukuman itu terhadap kes penyelewengan dana kuil dan pengubahan wang haram membabitkan sumbangan lebih 10 bilion baht (kira-kira RM1.218 bilion) yang dikaitkan dengan Wat Phra Bat Nam Phu.


Mahkamah Jenayah Pusat bagi Kes Rasuah dan Salah Laku menjatuhkan hukuman itu minggu ini, namun tempoh pemenjaraan sebenar Bee dihadkan kepada maksimum 50 tahun, selaras peruntukan undang-undang Thailand selepas mahkamah mengambil kira manfaat keterangannya dalam kes berkenaan.


Kedua-dua tertuduh turut diperintahkan membayar balik secara bersama wang berjumlah lebih 300 juta baht (RM36.55 juta).


Kes berkenaan terbongkar selepas polis Bahagian Pencegahan Jenayah menahan Alongkot dan Bee bagi membantu siasatan dakwaan penyelewengan sumbangan kepada Wat Phra Bat Nam Phu serta kegiatan pengubahan wang haram.


Alongkot berdepan beberapa pertuduhan, termasuk menyalahgunakan kedudukan untuk menyeleweng harta, melaksanakan atau gagal melaksanakan tugas rasmi secara menyalahi undang-undang serta bersubahat dalam aktiviti pengubahan wang haram.


Bee pula didakwa membantu penyelewengan yang didakwa dilakukan oleh seorang pegawai, membantu pelaksanaan atau kegagalan melaksanakan tugas rasmi secara menyalahi undang-undang dan terlibat bersama dalam aktiviti pengubahan wang haram.


Dalam perkembangan siasatan, pegawai Biro Siasatan Pusat Thailand menjalankan pemeriksaan di 17 lokasi sekitar Bangkok dan kawasan berhampiran, selain menyita aset bernilai lebih 10 bilion baht (RM1.218 bilion).


Aset berkenaan disita bagi tujuan pemulangan kepada Wat Phra Bat Nam Phu yang dikaitkan dengan sumbangan terbabit.


Penyiasat kemudian memohon perintah tahanan mahkamah dan membantah permohonan ikat jamin terhadap kedua-dua suspek sebelum kes mereka dibawa ke Mahkamah Jenayah Pusat bagi Kes Rasuah dan Salah Laku untuk tindakan lanjut.

Khamis, 8 Oktober 2026

Tonto didakwa berikan suapan RM62,900 kepada tiga polis trafik

Tonto didakwa berikan suapan RM62,900 kepada tiga polis trafik


Seorang lelaki dipercayai tonto dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini, atas 55 pertuduhan memberi suapan berjumlah keseluruhan RM62,900 kepada tiga anggota polis trafik antara 2022 hingga awal tahun ini.


Tertuduh, Ang Lie Giap, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.


Mengikut pertuduhan, Lie Giap didakwa secara rasuah memberikan suapan iaitu wang berjumlah antara RM700 hingga RM2,000 kepada tiga anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan Pejabat Peronda Lebuhraya (EMPV) KESAS.


Ia sebagai dorongan tidak melakukan pemeriksaan ke atas lori semasa sekatan jalan raya.


Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara Januari 2022 hingga Februari 2026 di beberapa cawangan bank di Klang dan Shah Alam.


Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.


Sabit kesalahan, boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan didenda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi.


Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa' Zamri manakala tertuduh diwakili peguam K Theivaendran.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM15,000 dengan seorang penjamin, melaporkan diri ke Pejabat SPRM serta tidak mengganggu saksi kes.

Rabu, 7 Oktober 2026

Pegawai kanan agensi kerajaan antara direman kes rasuah RM155,000

Pegawai kanan agensi kerajaan antara direman kes rasuah RM155,000


Tiga individu termasuk seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah kira-kira RM155,000 antara tahun 2024 hingga tahun lalu.


Pegawai kanan terbabit dan dua lagi iaitu penjawat awam dan pemilik syarikat berusia lingkungan 40-an dan 50-an ditahan kira-kira pukul 5 petang dan 9 malam pada Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.


Mereka yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita itu kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar untuk proses reman pada pagi Selasa.


Majistret Eliana Ismail kemudian membenarkan ketiga-ketiga mereka direman selama lima hari sehingga 10 Oktober ini.


Menurut sumber, penahanan mereka adalah bagi membantu siasatan kes memberi dan menerima rasuah kira-kira RM155,000 sebagai balasan meluluskan sebut harga pembekalan baju sukan.


"Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2024 hingga 2025.


"Bagi dua suspek yang merupakan penjawat awam, mereka disyaki telah menerima wang rasuah secara tunai dan juga melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi milik masing-masing," katanya.


Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa kes itu disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Selasa, 6 Oktober 2026

Tipu syarikat lebih RM6.2 juta, bekas pegawai pemasaran dipenjara 5 tahun

Tipu syarikat lebih RM6.2 juta, bekas pegawai pemasaran dipenjara 5 tahun


Bekas pegawai pemasaran dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan maksimum 24 sebatan oleh Mahkamah Majistret Tawau, pada Isnin selepas didapati bersalah atas 26 pertuduhan menipu syarikat tempatnya bekerja membabitkan kerugian lebih RM6.2 juta, tiga tahun lalu.


Majistret Don Stiwin Malanjum menjatuhkan hukuman itu terhadap Mok Chuang Leon, 38, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadapnya melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.


Bagi setiap 26 pertuduhan, tertuduh dikenakan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan, dengan semua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak.


Bagaimanapun, mahkamah menetapkan maksimum 24 sebatan sahaja boleh dilaksanakan selaras dengan Seksyen 288(5) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).


Mok didakwa dengan curangnya menipu dan memperdaya kerani syarikat tempatnya bekerja supaya menyerahkan wang berjumlah RM6,212,266.84 dengan mengemukakan penyata bulanan jualan buah kelapa sawit yang tidak benar oleh dua syarikat miliknya iaitu Ampel Agent dan Sawit Borneo Sdn Bhd.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Perdana Square Commercial Centre, Batu 3½, Jalan Apas, Tawau antara Februari 2023 hingga Februari 2024.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.


Perbicaraan kes itu bermula pada 24 April 2025 dengan pihak pendakwaan memanggil 24 saksi untuk memberi keterangan, manakala pihak pembelaan hanya memanggil tertuduh sebagai saksi tunggal.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wildan Firdaus Ahmad Fazly, manakala tertuduh diwakili peguam Chen Wen Jye.


Dalam rayuan mitigasi sebelum hukuman dijatuhkan, peguam memaklumkan kira-kira RM1.2 juta daripada jumlah terbabit sudah dikembalikan yang menurut pembelaan adalah faktor mitigasi penting dalam menilai kesan kewangan kesalahan serta usaha tertuduh membuat bayaran balik.


Pembelaan turut memohon mahkamah memberikan hukuman ringan dengan mengambil kira keadaan peribadi tertuduh yang juga bapa tunggal dan menyara seorang anak lelaki berusia 10 tahun.


Pembelaan turut memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara rayuan sabitan difailkan di Mahkamah Tinggi.


Mahkamah kemudian membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman, dengan syarat notis rayuan difailkan semalam.


Bagaimanapun, jumlah jaminan dan syarat jaminan sedia ada dikekalkan sehingga rayuan berkenaan diputuskan.

Khamis, 1 Oktober 2026

SPRM reman dua tokoh korporat bergelar Datuk Seri dan Datuk, sita 15 kereta mewah

SPRM reman dua tokoh korporat bergelar Datuk Seri dan Datuk, sita 15 kereta mewah


Dua tokoh korporat adik-beradik bergelar Datuk Seri dan Datuk direman lima hari bagi membantu siasatan kes bersubahat menyeleweng dan menyalahgunakan kedudukan dalam urusan pelaburan sebanyak kira-kira RM10 juta.


Perintah reman terhadap dua beradik berusia lingkungan 40-an dan 50-an itu sehingga 6 Oktober ini dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.


Kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 9 malam, semalam, ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.


Menurut sumber, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu pada penghujung 2020.


"Kedua-dua suspek dipercayai bersubahat dengan seorang pegawai sebuah yayasan berasaskan pendidikan untuk meluluskan pelaburan berjumlah kira-kira RM10 juta.


"Pelaburan itu disalurkan kepada sebuah syarikat pelaburan milik abang kepada suspek pertama yang bergelar Datuk Seri berusia lingkungan 40-an," katanya.


Sumber berkata, SPRM turut menyita pelbagai aset dan barangan termasuk 15 kereta mewah serta 12 motosikal berkuasa tinggi dalam siasatan berkenaan.


"Turut disita lima jam tangan mewah, tiga gelang tangan dan wang tunai berjumlah kira-kira RM30,000.


"Sitaan dibuat susulan siasatan yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek," katanya.


Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Suri rumah menyamar pegawai Imigresen kaut RM6,000 perkhidmatan urus pas pekerja asing

Suri rumah menyamar pegawai Imigresen kaut RM6,000 perkhidmatan urus pas pekerja asing


Seorang suri rumah mengaut ribuan ringgit bagi sekali perkhidmatan dengan menyamar sebagai pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). Wanita berusia 50-an terbabit mengaut untung atas angin itu dengan menawarkan perkhidmatan mengurus permohonan pas kerja warga asing.


Bagaimanapun, kegiatan itu yang berlangsung antara satu hingga dua tahun lalu terbongkar selepas dia ditahan ketika dipercayai sedang menguruskan permohonan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) seorang warga China di sebuah kafe di Taman Malim Jaya, Ayer Keroh, jam 6 petang pada Selasa, menerusi Op Serkap.


Pengarah Imigresen Melaka Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, suspek ditahan hasil aduan serta risikan dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JIM Melaka.


"Suspek dipercayai menyamar sebagai Pengarah Kanan Imigresen di ibu pejabat dan Ketua Integriti JIM. Dia dikatakan mengenakan bayaran RM6,000 bagi setiap individu yang mendapatkan perkhidmatannya.


"Suspek menawarkan perkhidmatan menguruskan permohonan pas kerja warga asing tanpa pelanggan, terutama warga asing, perlu hadir ke pejabat Imigresen.


"Ketika ditahan, suspek sedang bersama pelanggan yang dipercayai mendapatkan perkhidmatannya," katanya pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Ayer Keroh, semalam.



Tambah Anirwan, serbuan pertama dijalankan di hadapan sebuah kafe di Taman Malim Jaya sebelum membawa kepada serbuan kedua di sebuah kondominium di Taman Kota Laksamana.


Menurutnya, pemeriksaan di kediaman dan kenderaan suspek menemukan pelbagai barangan yang dipercayai digunakan bagi meyakinkan pelanggan terhadap identitinya sebagai pegawai JIM.


Katanya, antara yang dirampas ialah sepasang pakaian seragam hitam bersama aksesori, sepasang tanda pangkat pegawai kanan Imigresen, collar badge JIM, lencana integriti, lencana Setia Berjasa dan sepasang kasut kerja hitam.


"Turut dirampas dua helai baju-T hitam berlogo JIM, sekeping kad pengenalan JIM yang dipercayai dipalsukan, satu cop nama serta satu surat kelulusan berkepala surat JIM.


"Suspek tidak pernah bekerja dengan JIM, sebaliknya hanyalah suri rumah dan mempunyai lima anak," katanya.


Beliau berkata, suspek dipercayai bergerak di Melaka secara berpindah-randah dan tidak mempunyai lokasi tetap bagi mengelak kegiatannya dihidu pihak berkuasa.


Malah, katanya, suspek turut menggunakan media sosial termasuk memuat naik gambar mengenakan pakaian seragam Imigresen bagi meyakinkan individu yang mendapatkan perkhidmatannya.


"Kita juga masih menyiasat bagaimana suspek memperoleh pakaian seragam dan aksesori JIM selain meneliti sama ada terdapat pihak lain yang turut terlibat," katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 56(1)(k) dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 dan wanita itu kini direman empat hari oleh Mahkamah Sesyen Alor Gajah bermula semalam, bagi membantu siasatan.

Rabu, 30 September 2026

Bocor maklumat operasi, serbuan polis: Sarjan Mejar didakwa terima suapan RM2,400

Bocor maklumat operasi, serbuan polis: Sarjan Mejar didakwa terima suapan RM2,400


Seorang anggota polis didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini atas empat tuduhan menerima suapan keseluruhan RM2,400 sebagai balasan memberi maklumat berkait operasi atau serbuan polis kepada seorang individu, empat tahun lalu.


Roslee Mamat, 43, didakwa di hadapan Hakim Azman Mustapha mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.


Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.


Roslee dituduh sebagai anggota polis berpangkat Sarjan Mejar di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu menerima suapan antara RM1,000 hingga RM400 daripada seorang individu.


Ia sebagai dorongan untuknya memberikan perlindungan dengan memberikan maklumat lebih awal kepada individu terbabit sekiranya ada operasi atau serbuan akan dilakukan polis sebagai langkah berjaga-jaga atau melarikan diri bagi mengelak daripada ditangkap.


Perbuatan itu dipercayai dilakukan di sebuah cawangan bank di Shah Alam, Selangor dan Masjid Gong Terap di Setiu pada Oktober dan Disember 2022.


Tertuduh yang diwakili peguam, Mohd Fakhrul Fikri Mokhtar bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nur Amalina Najwa Mohd Ali.


Mahkamah membenarkan bapa lima anak itu diikat jamin RM6,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Oktober untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.


Roslee tidak dibenarkan untuk memiliki pasport antarabangsa sehingga kes selesai, tidak boleh berkomunikasi dengan saksi pendakwaan serta perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Sabtu, 19 September 2026

Sembilan anggota polis bebas daripada tuduhan rasuah

Sembilan anggota polis bebas daripada tuduhan rasuah


Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, semalam melepas dan membebaskan sembilan anggota polis daripada pertuduhan menerima rasuah.


Mereka ialah Inspektor Joevian Gubal Michael, Sarjan Azizul Ismail, Lans Koperal Hairul Amid, Konstabel Afizul Azwan Anuar, Koperal Abdullah Bakir, Inspektor Bobby Rhyne Warry Nawari, Koperal Haikal Ibrahim Abdullah, Koperal Sebestino Bong dan Koperal Jameswell anak Lakin.


Hakim Jason Juga membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan unsur pertuduhan di akhir kes pendakwaan.


Jason berkata, wujud keraguan dalam keterangan yang dikemukakan dan pendakwaan gagal membuktikan kes mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 berdasarkan penilaian maksima.


"Hasil penilaian keterangan yang dikemukakan sepanjang kes pendakwaan, mahkamah mendapati wujud keraguan pada keterangan yang dianjurkan sekali gus gagal membuktikan tertuduh menerima rasuah mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.


"Berdasarkan kekuatan keterangan pendakwaan, mahkamah tidak bersedia untuk disabitkan tertuduh sekiranya mereka memilih untuk berdiam diri jika dipanggil membela diri. Justeru, tiada kes prima facie dibuktikan dan kesemua sembilan tertuduh berhak dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri mengikut Seksyen 173(f)(ii) Kanun Tataacara Jenayah (CPC)," katanya.


Kesemua tertuduh memohon dibicarakan sewaktu dihadapkan ke mahkamah pada 2021.


Sembilan anggota polis terbabit berdepan beberapa pertuduhan membabitkan nilai suapan berbeza yang didakwa diterima daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang berhubung kesalahan dadah.


Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pelbagai tarikh antara April 2014 hingga Julai 2018, dengan wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun bank milik kesemua tertuduh.


Abdullah berdepan pertuduhan tertinggi iaitu 18 pertuduhan membabitkan RM2,200, diikuti Haikal dengan sembilan pertuduhan membabitkan RM1,570 dan Bobby berdepan delapan pertuduhan membabitkan RM3,600.


Hairul berdepan lima pertuduhan membabitkan RM2,000, manakala Joevian, Afizul dan Azizul masing-masing berdepan empat pertuduhan membabitkan nilai RM2,400, RM470 dan RM900.


Dalam pada itu, James berdepan tiga pertuduhan membabitkan RM600, manakala Sabestino berdepan dua pertuduhan membabitkan RM300. Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.


Seramai 24 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan bersama itu. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi.


Joevian dan Azizul diwakili peguam Sylyester Kuan; Hairul, Afizul, Abdullah, Haikal dan Jameswell diwakili Mohd Azhier Farhan Arisin; Bobby diwakili Batholomew Jingulam serta Edward Paul, manakala Sebestino diwakili Luke Ressa Balang.

Jumaat, 18 September 2026

Agong perkenan pengampunan bersyarat kepada Najib, jalani baki hukuman tahanan di rumah

Agong perkenan pengampunan bersyarat kepada Najib, jalani baki hukuman tahanan di rumah


Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib Razak dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.


Perkara itu diumumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dalam kenyataan hari ini.


Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang diadakan hari ini.


Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan Najib turut diwajibkan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan sepanjang menjalani tahanan di rumah.


"Sekiranya beliau tidak mematuhi mana-mana syarat-syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat ini adalah terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara," menurut kenyataan itu.


Keputusan itu menyusul selepas permohonan pengampunan Najib ditangguhkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ke-63 pada 11 September lalu.


Dalam mesyuarat berkenaan, Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri itu ditangguhkan untuk dipertimbangkan pada mesyuarat Lembaga Pengampunan seterusnya.


Sebelum ini, Lembaga Pengampunan pada 29 Januari 2024 memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara Najib dalam kes SRC International daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.


Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.

Rabu, 16 September 2026

Muhyiddin Yassin lepas, bebas 4 pertuduhan babit RM200 juta

Muhyiddin Yassin lepas, bebas 4 pertuduhan babit RM200 juta


Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilepas dan dibebaskan (DNA) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam daripada satu pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM200 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.


Hakim Noor Ruwena Md Nurdin, memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pembelaan supaya empat daripada tujuh kes dihadapi Muhyiddin diberi perintah DNA.


Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib memaklumkan kepada mahkamah, pendakwaan memohon tertuduh dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dan tidak meneruskan empat tuduhan itu, dengan menggunapakai peruntukkan Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).


Dalam keputusannya, Noor Ruwena berkata, mahkamah membuat keputusan (DNA) itu selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak dan undang-undang yang dikemukakan mengikut Seksyen 254(1) KTJ.


Katanya, ia memperuntukkan, pada mana-mana peringkat perbicaraan sebelum penghakiman disampaikan, pendakwa raya boleh memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya tidak akan meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh bagi sesuatu pertuduhan.


"Pendakwaan tidak memberikan sebarang alasan bagi permohonan berkenaan, selain menyatakan pihaknya tidak mahu meneruskan pertuduhan dan menyerahkan perkara ini kepada budi bicara mahkamah.


"Justeru, saya berpandangan demi kepentingan keadilan, budi bicara mahkamah hendaklah dilaksanakan memihak kepada tertuduh.


"Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan berkenaan," katanya.


Bagaimanapun, Noor Ruwena berkata, keputusan itu hanya terpakai terhadap empat pertuduhan sahaja dan tidak membabitkan tiga pertuduhan lain yang berkaitan dengan kes Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).


Sebaik hakim memutuskan demikian, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh yang berada di kandang tertuduh, kelihatan lega, disambut sorakan daripada penyokongnya yang berada di galeri awam.


Muhyiddin, 79, masih berdepan tiga pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM25.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat, iaitu Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta Azman, berkaitan Projek Jana Wibawa.


Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.


Ia memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Terdahulu, Ahmad Akram memaklumkan kepada mahkamah, selepas pihaknya meneliti keseluruhan kedudukan kes, memutuskan untuk tidak meneruskan pertuduhan pertama berkait menggunakan kedudukan untuk suapan dan tiga pertuduhan penggubahan wang haram ke atas tertuduh yang berkaitan dengan Bukhary Equity Sdn Bhd.


"Dengan itu, pendakwaan dengan hormat memohon supaya tertuduh (Muhyiddin) diberikan perintah pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) bagi pertuduhan berkenaan selaras dengan peruntukan Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.


"Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan, permohonan pendakwaan pada hari ini adalah terhad kepada pertuduhan ini sahaja dan tidak membabitkan pertuduhan lain yang masih dihadapi oleh tertuduh," katanya.


Bagaimanapun, peguam Muhyiddin, Datuk Hisyam Teh Poh Teik membantah permohonan pendakwaan dan memohon anak guamnya diberikan pembebasan kekal.


"Permohonan itu (pendakwaan) dibuat kerana perbicaraan kini hampir selesai dan pihak pendakwaan tidak mengemukakan walau satu bukti pun berhubung empat pertuduhan berkenaan.


"Berdasarkan senarai saksi yang dikemukakan kepada mahkamah, nama Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Bukhary Equity tidak disenaraikan sebagai saksi, sedangkan kedua-duanya dikatakan menjadi saksi utama bagi empat pertuduhan terbabit," katanya.


Hisyam berkata, tiada alasan kukuh dikemukakan pihak pendakwaan mengapa Muhyiddin perlu diberikan DNAA, sedangkan undang-undang menetapkan ia perlu diberikan sebelum mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk tidak memberikan pembebasan.

Ahad, 13 September 2026

Baja 3 lewat diagih kepada pesawah: SPRM reman pengarah urusan syarikat pembekal

Baja 3 lewat diagih kepada pesawah: SPRM reman pengarah urusan syarikat pembekal


Pengarah urusan sebuah syarikat pembekal baja ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kelewatan pengagihan baja sebatian tambahan atau Baja 3 kepada pesawah di Kedah.


Lelaki berusia 30-an itu ditahan jam 2.30 petang semalam selepas hadir ke pejabat SPRM Kedah bagi memberikan keterangan.


Dia direman sehingga 16 September selepas Majistret Eliana Ismail membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar, pagi ini.


Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong mengesahkan penahanan itu ketika dihubungi.


Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009, yang meliputi kesalahan mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu dengan niat memperdayakan prinsipal.


Kelewatan penghantaran 282,360 guni baja kepada kira-kira 60,000 pesawah di Kedah adalah antara perkara yang disiasat SPRM.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman sebelum ini berkata, siasatan awal mendapati Taaveekun Manufacturing Sdn Bhd ditetapkan membekalkan 616,015 guni baja sebatian tambahan atau Baja 3 bagi musim penanaman pertama.


Bagaimanapun, hanya 333,655 guni baja dihantar setakat September, menyebabkan kekurangan sebanyak 282,360 guni.


Syarikat berkenaan dilantik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk membekal, menghantar dan mengagihkan Baja Padi 3 di bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP).


Kontrak itu meliputi kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) seluas 100,000 hektar dan membabitkan kira-kira 60,000 pesawah.


Awal minggu ini, SPRM membuka kertas siasatan berhubung kelewatan pengagihan Baja 3 kepada pesawah di Kedah.


Suruhanjaya itu berkata, pejabat SPRM Kedah menerima aduan daripada Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) pada 26 Ogos lalu sebelum membuka siasatan.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, kelewatan itu memberi kesan kepada pesawah yang sudah menyuarakan kebimbangan serta mengemukakan memorandum kepadanya.


Beliau berkata, kerajaan perlu mengenal pasti punca kelewatan, termasuk syarikat yang diberi tanggungjawab mengagihkan bekalan serta sama ada syarikat berkenaan memenuhi kewajipannya.

Sabtu, 12 September 2026

Peguam Azeez nafi anak guamnya guna dana TH RM193.5 juta untuk keluarganya

Peguam Azeez nafi anak guamnya guna dana TH RM193.5 juta untuk keluarganya


Peguambela bagi bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menafikan anak guamnya mengambil, menggelapkan atau menyalahgunakan RM193.5 juta dana TH untuk kegunaan dirinya atau ahli keluarganya, seperti yang tersebar di media sosial.


Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Sesyen (Jenayah) 9 pada 8 September lalu hanya berkaitan dengan dakwaan anak guamnya menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi TH untuk mendapatkan jawatan sebagai Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad.


Katanya, dalam pertuduhan itu tidak ada sebarang kaitan dengan penyelewengan, penyalahgunaan dana TH itu bagi manfaat diri anak guam atau ahli keluarganya.


"Kami merujuk kepada beberapa laporan dan hantaran media sosial yang timbul susulan pertuduhan terhadap Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim termasuk desas-desus yang mengaitkan beliau dan ahli keluarganya dengan wang atau dana TH.


"Kami juga mengambil maklum beberapa hantaran yang sedang tersebar di media sosial berhubung jumlah simpanan yang dikatakan berada dalam akaun TH milik isteri dan anak-anak kepada anak guam kami.


"Dalam hal ini, adalah penting untuk ditegaskan wang yang berada dalam akaun-akaun itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan dana atau wang milik TH dan kewujudan simpanan itu juga tidak bermaksud bahawa wang itu berasal daripada TH," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.


Pada 9 September lalu, Abdul Azeez mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan dalam bentuk jawatan pengerusi dan faedah di sebuah syarikat lain.


Beliau didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai pengerusi TH dengan mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif ketika itu, Tan Sri Ismee Ismail, mencadangkan beliau sebagai wakil TH dalam lembaga pengarah Putrajaya Perdana.


Menjelaskan lebih lanjut, Amer Hamzah berkata, akaun-akaun dan wang simpanan di dalam TH itu juga menjadi subjek siasatan pihak berkuasa sebelum ini.


"Namun, wang simpanan dalam akaun-akaun itu tidak pernah dilucuthak oleh kerajaan dan tidak terdapat apa-apa dapatan wang itu adalah wang TH yang diselewengkan oleh anak guam kami atau hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.


"Begitu juga Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung TH yang didedahkan tidak membuat apa-apa dapatan anak guam kami menyeleweng atau mengambil wang TH untuk dirinya atau ahli-ahli keluarganya," katanya.


Beliau berkata, sebarang gambaran simpanan dalam akaun TH ahli-ahli keluarga anak guamnya adalah wang yang diambil daripada TH adalah tidak tepat dan tidak mencerminkan kandungan sebenar pertuduhan mahupun hasil siasatan terdahulu.


"Anak guam kami bertekad untuk membela diri di mahkamah dan membersihkan nama keluarganya. Kami menggesa semua pihak supaya melaporkan perkara ini berdasarkan fakta dan kandungan sebenar pertuduhan, serta menghormati prinsip anggapan tidak bersalah sehingga perkara ini diputuskan oleh mahkamah.


"Anak guam kami dan ahli-ahli keluarganya merizabkan segala haknya, termasuk hak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang menerbitkan atau menyebarkan kenyataan palsu, mengelirukan atau memfitnah berhubung perkara ini," katanya.

Isnin, 7 September 2026

Pegawai kanan RTM dipenjara 6 bulan, didenda RM10,000 kes rasuah

Pegawai kanan RTM dipenjara 6 bulan, didenda RM10,000 kes rasuah


Ketua Penolong Pengarah (Bicarawara), Seksyen Ehwal Semasa RTM dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM28,000.


Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin menjatuhi hukuman terhadap tertuduh, Suhaila Md. Zaini, 47, selepas pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah.


Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman namun menaikkan wang jaminan kepada RM10,000 sementara menunggu proses rayuan ke Mahkamah Tinggi.


Mohd. Nasir dalam penghakimannya memaklumkan hujah pembelaan bahawa tertuduh meminjam wang RM10,000 daripada seorang individu merupakan satu pembelaan fikiran terkemudian (afterthought) kerana pembayaran balik ‘hutang’ tersebut hanya dilakukan selepas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijalankan pada Oktober 2019.


Katanya, cara pembayaran wang dengan menggunakan akaun pihak ketiga menunjukkan bahawa tertuduh cuba menyembunyikan kesalahan tersebut.


Tambahnya, mahkamah juga menolak pembelaan tertuduh bahawa wang RM18,000 yang diterima telah digunakan bagi perbelanjaan dan pembayaran program-program RTM.


Jelasnya, tiada keterangan bahawa wang tunai RM18,000 tersebut telah dibayar melalui saluran rasmi RTM.


"Malah, resit-resit dikemukakan oleh tertuduh sebaliknya menyokong kes pihak pendakwaan kerana menunjukkan bahawa tertuduh mempunyai wang tunai yang banyak untuk membuat bayaran kepada pembekal-pembekal yang terlibat dalam program yang dijalankan oleh RTM.


"Ini secara tidak langsung mengesahkan bahawa tertuduh sememangnya mempunyai wang tunai berjumlah RM18,000 seperti dalam pertuduhan dan kemudiannya menggunakan wang tersebut.


"Sebaliknya, wang tersebut diterima secara peribadi melalui individu yang mengendalikan program RTM menggunakan akaun syarikat produksi RTM," katanya.


Mohd Nasir berkata, mahkamah juga berhak menerima sebahagian keterangan saksi pada peringkat pendakwaan yang jelas menyatakan saksi berkenaan mengeluarkan wang tunai RM18,000 daripada akaun Syarikat FRZ Production sebelum menyerahkannya kepada tertuduh.


Beliau berkata, keterangan tiga saksi pendakwaan dan pegawai penyiasat adalah konsisten serta saling menyokong antara satu sama lain selain selari dengan rekod transaksi yang dikemukakan.


Mengikut pertuduhan sebelum ini, Suhaila menerima bayaran RM10,000 daripada Syarikat FRZ Production melalui akaun bank milik Jootatrillion Enterprise serta wang tunai RM18,000 daripada seorang individu pada 9 Julai dan 17 April 2019.


Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa’ Zamri, manakala Suhaila diwakili peguam Shahidah Muslimah Roslan.

Rabu, 2 September 2026

Bekas menteri dipenjara 7 tahun guna wang kerajaan beli makanan tengah hari kepada pengundi

Bekas menteri dipenjara 7 tahun guna wang kerajaan beli makanan tengah hari kepada pengundi


Sebuah mahkamah Sri Lanka pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap bekas menteri penerbangan negara itu kerana didakwa menggunakan AS$2,500 (RM11,000) wang kerajaan untuk membeli makanan tengah hari kepada pengundi yang menghadiri satu perhimpunan parti pemerintah.


Piyankara Jayaratne, 61, turut didenda AS$615 (RM2,500) kerana meminta Sri Lankan Catering, sebuah syarikat milik kerajaan, menanggung kos makanan bagi perhimpunan Hari Pekerja bekas Presiden Mahinda Rajapaksa pada 2014.


Hakim Mahkamah Tinggi Colombo, Mohamed Mihal berkata, Jayaratne telah mengkhianati amanah awam yang diberikan kepadanya demi memenuhi cita-cita peribadinya dengan membiayai perhimpunan Rajapaksa.


"Mahkamah tidak akan teragak-agak untuk menjatuhkan hukuman penjara yang memberi mesej tegas kepada wakil rakyat yang melakukan kesalahan seperti ini," katanya.


Kes terhadap Jayaratne difailkan pada 2019. Beliau berdepan dua lagi pertuduhan membabitkan pembelian pesawat Airbus pada 2013 dan penggunaan dana kerajaan untuk mencetak kad ucapan peribadi.


Keputusan terbaharu Mahkamah Tinggi itu dibuat ketika Presiden Anura Kumara Dissanayake, yang mengambil alih jawatan pada 2024, sedang melancarkan tindakan besar-besaran membanteras rasuah.


Dua bekas menteri Kabinet sudah dipenjarakan sehingga 20 tahun kerana kesalahan rasuah, manakala beberapa bekas timbalan menteri turut menjalani hukuman penjara yang panjang.


Pada Isnin, bekas Menteri Kewangan, Ravi Karunanayake ditahan kerana didakwa meletakkan kakitangan peribadinya dalam senarai gaji kerajaan.


Seorang lagi bekas menteri, Keheliya Rambukwella ditahan kerana didakwa membantu dalam pencurian sebuah batu suci yang berusia berabad-abad dari istana raja Sinhala terakhir di pulau itu.


Semua ahli keluarga terdekat bekas Presiden Mahinda Rajapaksa sedang disiasat atau berdepan pendakwaan atas tuduhan pengubahan wang haram, rasuah dan pembunuhan. Keluarga Rajapaksa menafikan semua tuduhan tersebut.

Akauntan dituduh bantu syarikat 'kurangkan' cukai lebih RM2.5 juta

Akauntan dituduh bantu syarikat 'kurangkan' cukai lebih RM2.5 juta


Seorang akauntan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Georgetown hari ini, atas pertuduhan membantu serta menasihati sebuah syarikat menyediakan penyata pendapatan yang menyebabkan cukai terkurang lapor kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebanyak RM2,526,144.24 pada 2021.


Orang Kena Saman (OKS), Chew Ai Keow, 63, sebagai ahli kongsi firma perkhidmatan perakaunan, 'Abbacus Cloud Solutions', bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Idayu Salim.


Berdasarkan pertuduhan, OKS telah membantu, menasihati syarikat 'Penshrimp Fishery Sdn Bhd' mengemukakan penyata pendapatan kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri apabila menyemak dan meluluskan penyediaan lejer jualan dengan tidak memasukkan transaksi jualan RM10,678,133.00 dalam penyata akaun bank milik syarikat yang sepatutnya direkodkan.


Tindakan itu menyebabkan penyediaan penyata pendapatan di bawah Seksyen 77A (1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dalam Borang C syarikat tersebut bagi tahun taksiran 2020 bertarikh 25 Mac 2021 yang dikemukakan kepada LHDN telah terkurang lapor cukai sebanyak RM2,526,144.24.


Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu mengikut Subseksyen 114(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM2,000 dan tidak lebih RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikemukakan Pegawai Pendakwa LHDN, Azniwati Yahya manakala OKS diwakili peguam, N Dylan.


Azniwati menawarkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap OKS, namun Dylan memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan pada kadar minimum dengan alasan anak guamnya mempunyai keluarga dan pekerjaan tetap di Pulau Pinang serta tidak berisiko melarikan diri.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 28 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Jumaat, 28 Ogos 2026

Saravanan mengaku tidak bersalah tiga pertuduhan terima suapan RM1.097 juta berkait kelulusan kuota pekerja asing

Saravanan mengaku tidak bersalah tiga pertuduhan terima suapan RM1.097 juta berkait kelulusan kuota pekerja asing


Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas tiga pertuduhan menerima suapan RM1.097 juta, empat tahun lalu.


Ahli Parlimen Tapah berusia 58 tahun itu meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.


"Tidak mengaku, minta dibicara," katanya yang berdiri di dalam kandang tertuduh.


Bagi semua pertuduhan, Timbalan Presiden MIC itu didakwa secara rasuah menerima suapan iaitu wang tunai berjumlah RM150,000, RM350,000 dan RM597,000 daripada Pengarah Syarikat Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim, 65, melalui Syed Amirul Syed Ahmad, 38.


RM597,000 itu diterima melalui satu cek yang didepositkan ke akaun bank milik Big Seven Ventures Sdn Bhd.


Suapan itu sebagai dorongan supaya beliau yang ketika itu berjawatan Menteri Sumber Manusia memberikan kelulusan terhadap permohonan sebanyak 1,000 kuota pekerja asing bagi syarikat TYKB Engineering Sdn Bhd.


Kesalahan itu didakwa dilakukannya di sebuah resort golf di Bukit Jalil, di Jalan Telawi 3 Bangsar dan sebuah bank Cawangan Jalan Klang Lama, pada 16 Jun 2022 dan 7 Julai 2022.


Bagi ketiga-tiga pertuduhan, beliau didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.


Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.


Mahkamah membenarkan ahli politik itu diikat jamin RM450,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM setiap tiga bulan sekali dan tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan sama ada secara sendiri atau pihak ketiga.


Sebutan semula kes ditetapkan pada 29 September depan untuk serahan dokumen.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, Julaila Jamaludin dan P Rubini manakala Saravanan diwakili peguam, Datuk Geethan Ram Vincent.


Turut hadir mengikuti prosiding berkenaan ialah Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan isteri Saravanan, Datin Seri Kavitha Vivekanandan.


Terdahulu, Julaila berhujah bahawa kes dihadapi Saravanan adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin mengikut Jadual Pertama Kanun Tatacara Jenayah.


"Bagaimanapun, sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan, pihak pendakwaan menawarkan kadar jaminan RM800,000 dengan seorang penjamin.


"Selain itu, kami mohon syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, tertuduh melapor diri di Pejabat SPRM tiga bulan sekali, tidak mengganggu saksi pendakwaan sama ada secara sendiri ataupun melalui pihak ketiga," katanya.


Peguam, Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili Saravanan membantah jumlah jaminan RM800,000 yang disifatkan terlampau tinggi, selain anak guamnya sudah memberikan kerjasama kepada pihak SPRM sepanjang siasatan.


"Tertuduh adalah seorang Ahli Parlimen yang kerap hadir ke Parlimen dan ini juga menunjukkan fakta bahawa tiada kecenderungan untuk beliau melarikan diri," katanya.


Mengenai penyerahan pasport ke mahkamah, pihak pembelaan memohon syarat tambahan itu tidak dikenakan atas alasan Saravanan masih menerima rawatan di Hospital Apollo, Chennai di India.


"Beliau menerima rawatan berkala di hospital itu dan untuk tujuan itu juga beliau sering kali ke luar negara iaitu ke India secara khusus.


"Dalam keadaan itu, kami mohon agar pasport dikekalkan bersama beliau untuk membolehkan beliau menghadiri rawatan ini dan tidak mengganggu mahkamah dengan permohonan yang berulang," katanya.