Khamis, 27 Ogos 2026

Ismail Sabri tinggalkan mahkamah selepas anak bayar ikat jamin RM300,000


Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meninggalkan kompleks mahkamah Kuala Lumpur, hari ini, selepas anaknya membayar ikat jamin RM300,000 yang dikenakan terhadapnya.


Ahli Parlimen Bera berusia 66 tahun itu enggan mengulas mengenai pertuduhan yang dihadapinya, sebaliknya menyerahkan perkara berkenaan kepada pasukan guaman diketuai Datuk Amer Hamzah Arshad.


Ketika ditanya mengenai keadaan kesihatannya, Ismail Sabri menjawab: "Ya." Beliau kemudian bersalaman dan menyapa penyokong yang datang dari Bera untuk memberikan sokongan kepadanya.


Penyokong berada di luar lobi kompleks mahkamah dan menunggu lebih dua jam. Turut kelihatan, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob.


Ismail Sabri kemudian diiringi penyokong ketika menuju ke kenderaannya. Seorang penyokong yang mahu dikenali sebagai Rohaina berkata, dia lega melihat Ismail Sabri berada dalam keadaan sihat selepas bekas Perdana Menteri itu berdepan masalah kesihatan beberapa minggu lalu.


"Saya lega melihat beliau sudah kembali pulih tetapi sedih kerana beliau terpaksa menghadapi pertuduhan di mahkamah. Saya berharap beliau akan dibebaskan daripada pertuduhan," katanya.


Terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin membenarkan Ismail Sabri diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin selepas beliau mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Notis itu menghendaki beliau mengisytiharkan aset mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009.


Bagaimanapun, Suzana menolak permohonan pendakwaan supaya Ismail Sabri menyerahkan pasportnya kerana tiada bukti menunjukkan beliau berkemungkinan melarikan diri dari negara ini.


Ismail Sabri tiba di kompleks mahkamah kira-kira jam 8.35 pagi bersama isterinya, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin dan anak-anak termasuk penyanyi Dafi, sebelum disertai penyokong serta ahli keluarga lain.


Beliau kelihatan tenang ketika berada di galeri awam sambil berbual dengan adik-beradik dan penyokongnya.


Khairy, Adnan dan bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, turut hadir mengikuti prosiding.


Galeri awam turut dipenuhi wartawan dan anggota keselamatan, manakala hanya individu yang mempunyai pas mahkamah yang sah dibenarkan masuk.


Ismail Sabri yang mengenakan sut hitam memasuki kandang tertuduh pada jam 9.38 pagi sebelum Suzana mengarahkan pertuduhan dibacakan kepadanya.


Beliau kelihatan tenang ketika menyatakan memahami pertuduhan berkenaan dan memilih untuk dibicarakan.


Pertuduhan turut dipaparkan pada skrin televisyen di dalam mahkamah, yang dibaca dan diteliti Ismail Sabri, termasuk butiran mengenai mata wang asing yang didakwa terbabit.


Selepas prosiding, penyokong menghampiri Ismail Sabri untuk menyampaikan kata-kata sokongan sebelum beliau dibawa ke bilik tahanan sementara bersebelahan bilik mahkamah.


Pada masa sama, anaknya yang ditemani peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam menuju ke kaunter bayaran ikat jamin bagi menyelesaikan bayaran berkenaan.


Sementara itu, Amer Hamzah berkata, anak guamnya kini semakin pulih selepas menjalani prosedur pemasangan perentak jantung di Institut Jantung Negara (IJN) dan dijadualkan menjalani pemeriksaan susulan.


"Saya lega tiada apa-apa perkara buruk berlaku hari ini. Marilah kita terus berdoa untuk kesihatan beliau," katanya.


Ketika ditanya mengenai perasaan Ismail Sabri berhubung pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, Amer Hamzah berkata: "Tiada siapa yang suka didakwa, terutama apabila anda percaya pertuduhan itu tidak berasas dan mempunyai asas yang kukuh."

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon