Memaparkan catatan dengan label Rare. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rare. Papar semua catatan

Isnin, 30 Oktober 2023

Jaguar usang diselaputi karat, pernah jadi reban ayam akan dijual pada harga RM576,000

Jaguar usang diselaputi karat, pernah jadi reban ayam akan dijual pada harga RM576,000


Sebuah kereta jenama Jaguar keluaran 1958 yang diselaputi karat selepas terbiar selama 25 tahun di belakang sebuah reban ayam dijangka dapat dijual pada harga £100,000 (RM576,267), lapor akhbar The Sun pada 29 Oktober 2023.


Kereta model Jaguar XK150 drophead coupe tersebut adalah milik seorang petani yang membelinya untuk projek baik pulih sekitar 30 tahun lalu.


Namun, kereta vintaj itu terbiar di belakang sebuah reban ayam selama suku abad sehingga dipenuhi karat dan debu. Seorang peminat kereta yang mendengar tentang Jaguar itu telah berkunjung disana dan membelinya.


Walaupun diselaputi karat dan kotoran, tempat duduk terkoyak, bumbung kain yang koyak dan cat yang mengelupas, ia masih bernilai £40,000 (RM230,541).


Namun ia diramal meningkat kepada lebih £100,000 (RM576,267) sekiranya dibaik pulih. Model Jaguar ini mempunyai enjin petrol 3,442CC dan mampu mencapai kelajuan tertinggi 150mph.


"Kami menerima banyak permintaan bagi kereta ini.


"Ia mengimbas kembali era semasa kejuruteraan British berada di kemuncak industri dan kereta Jaguar menjadi rebutan ramai," kata pelelong daripada Humbert & Ellis Auctioneers, Jonathan Humbert. - Sumber The Sun UK.


Jaguar XK150 ini terbiar di belakang sebuah reban ayam selama suku abad. - Foto BNPS.

Jaguar mempunyai enjin petrol 3,442CC dan mampu mencapai kelajuan tertinggi 150mph. - Foto BNPS.

Sekiranya dipulihkan, Jaguar ini akan bernilai lebih £100,000. - Foto BNPS.

Ia pada asalnya berwarna putih dengan tempat duduk kulit merah serta bumpers and wheels chrome. - Foto BNPS.

Ahad, 22 Oktober 2023

Wanita akur tinggal serumah dengan bekas isteri suami selepas kahwin

Wanita akur tinggal serumah dengan bekas isteri suami selepas kahwin


Seorang wanita dari Suzhou di wilayah Jiangsu, China berkongsi pengalaman aneh apabila dia terpaksa tinggal serumah dengan bekas isteri suaminya selepas mereka berkahwin, lapor laman berita Thaiger pada 21 Oktober 2023.


Wanita berasal dari Suzhou itu berkata, diajak tinggal di rumah pasangan yang sudah bercerai itu selepas berkahwin.


Menurutnya, bekas isteri suaminya tinggal di tingkat satu, manakala dia dan suaminya pula mendiami tingkat dua.


Tiada permusuhan berlaku antara dua wanita itu, malah bekas pasangan suami isteri itu kadang kala berbual di rumah mereka ketika lelaki itu bertemu bekas isterinya semasa turun ke tingkat bawah untuk menggunakan bilik air.


Pada mulanya, dia sukar menerima situasi keadaan itu kerana percaya suaminya sepatutnya berjauhan daripada bekas isteri selepas mereka berkahwin.


Dia telah menyuarakan kebimbangannya kepada suaminya tetapi menolak rayuannya. Dia akhirnya akur kerana tidak mempunyai pendapatan sendiri dan bergantung kepada suaminya yang mencari rezeki.


Punca di sebalik kejadian itu adalah komplikasi selepas perceraian. Bekas pasangan suami isteri itu bersetuju untuk membahagikan rumah tersebut di mana lelaki itu mendapat tingkat dua, manakala tingkat satu milik bekas isterinya.


Mereka juga mengambil kira perasaan dua anak mereka yang boleh hidup aman tanpa gangguan. - Sumber The Thaiger.


Pasangan yang sudah bercerai itu kadang kala berbual di rumah mereka. - Foto KhaoSod.

Jumaat, 20 Oktober 2023

Lelaki menyamar jadi patung tunggu pusat beli-belah tutup sebelum merompak

Lelaki menyamar jadi patung tunggu pusat beli-belah tutup sebelum merompak


Seorang lelaki ditahan selepas menyamar sebagai patung di sebuah pusat beli-belah di Poland sebelum mencuri barang kemas apabila ia ditutup, lapor akhbar Metro UK pada 18 Oktober 2023.


Lelaki berusia 22 tahun itu pada awalnya sanggup berdiri kaku di tepi tingkap kaca pusat beli-belah di Warsaw, ibu negara Poland.


Dia dirakam memegang beg sambil menjulurkan lengan sebelum melakukan kegiatan jenayahnya selepas pusat beli-belah itu ditutup.


"Selepas mendapati keadaan selamat, suspek merompak kedai barang kemas," kata polis.


Dalam kejadian berasingan, suspek yang sama dirakam menyelinap di bawah bidai sebuah kedai pakaian berjenama lalu menukar pakaian yang dicuri.


Dia kemudian diberkas polis ketika makan di sebuah restoran.


"Lelaki itu turut melakukan kegiatan mencuri dan pecah masuk kedai lain selepas ia ditutup. Dia mengambil wang daripada beberapa mesin wang dan mencuri barang lain," kata polis.


Suspek kini direman dan didakwa atas kesalahan pecah masuk dan mencuri. - Sumber Metro UK.


Suspek berdiri kaku di tepi tingkap kaca sebelum mencuri ketika pusat beli-belah ditutup. - Foto  Warsaw Police.




H





Ahad, 15 Oktober 2023

Lelaki bujang bina pagar setinggi 15 kaki berkurung dalam rumah selama 55 tahun kerana fobia wanita

Lelaki bujang bina pagar setinggi 15 kaki berkurung dalam rumah selama 55 tahun kerana fobia wanita


Seorang lelaki di Rwanda masih teruna walaupun sudah berusia 71 tahun dan dia telah mendirikan pagar setinggi 4.5 meter (kira-kira 15 kaki) di sekeliling rumahnya untuk menjauhkan diri daripada wanita.


Akhbar Daily Star pada 12 Oktober 2023 melaporkan, Callitxe Nzamwita mengurung diri di dalam rumah selama 55 tahun kerana takut kepada wanita dan ingin menjauhkan dirinya daripada orang ramai.


Nzamwita mengaku dia 'sangat takut' sekiranya wanita datang ke rumahnya, jadi dia nekad mengasingkan diri di dalam rumah.



Walaupun hidup sendirian, Nzamwita dibantu oleh ramai wanita di kampungnya kerana mereka khuatir warga emas itu meninggal dunia akibat kehabisan makanan.


Walaupun mereka membantu mengumpulkan bekalan makanan untuk Nzamwita, lelaki itu masih melarang wanita-wanita tersebut mendekatinya.


Seorang penduduk tempatan yang tidak dinamakan berkata: “Peliknya, walaupun dia takut wanita, kamilah yang membantunya mendapatkan makanan dan barang yang dia perlukan. Apabila cuba membantunya, dia tidak mahu kami mendekati atau bercakap dengannya.


"Sebaliknya, kami memberinya barang dengan melemparkannya ke dalam rumahnya dan kemudian dia datang dan mengambilnya. Dia tidak membenarkan kami mendekatinya, tetapi dia masih mengambil apa yang kami tawarkan dari jauh," katanya.


Sekiranya ternampak seorang wanita dalam perjalanan ke rumah itu, Nzamwita segera mengunci dirinya di dalam rumah. Bujang terlajak itu dipercayai mengalami gynophobia iaitu ketakutan yang tidak rasional terhadap wanita. - Sumber Daily Star.


Penduduk kampung bimbang tentang kesihatan Nzamwita lalu membekalkannya dengan barang keperluan. - Foto Newsflash.

Nzamwita telah tinggal di dalam rumah ini sejak dia berumur 16 tahun. - Foto Newsflash.

Isnin, 9 Oktober 2023

Ikan kap terbesar dunia seberat 114.3kg tewas di tangan pemancing Britain

Ikan kap terbesar dunia seberat 114.3kg tewas di tangan pemancing Britain


Seorang kaki pancing dari Britain berjaya menaikkan ikan kap dipercayai terbesar di dunia seberat 114.3 kilogram (kg) ketika memancing di Lagun Palm Tree, Chedi Hak, Thailand, lapor akhbar The Sun semalam.


Kelvin Marston, 36, menaikkan ikan kap Siam tersebut Jumaat lalu dengan bantuan rakan, bapanya dan seorang penduduk tempatan semasa bercuti selama 12 hari di Thailand.


Dia yang menggunakan joran 7 kaki yang dipasang dengan pelampung dan sebiji roti memancing di Lagun itu selama 12 jam sehari.



"Saya amat terkejut. Saya tidak menyangka ia adalah rekod baharu.


"Kami berempat terpaksa bersama-sama mengangkat ikan tersebut. Kami menaikkannya selama beberapa minit sebelum melepaskannya kembali.


"Saya mendaratkan seekor lagi ikan kap pada hari Isnin seberat 102 kg. Lengan saya mula sakit dan saya bersedia untuk mengalah sekarang," katanya memberitahu The Sun.


Ikan kap Siam ialah spesies kap terbesar dunia dan hidup di lembangan-lembangan sungai di rantau Asia. - Sumber The Sun.


Kelvin memerlukan bantuan tiga orang yang lain untuk menaikkan ikap kap seberat 114.3 kilogram itu. - Fot SUPPLIED.

Rabu, 13 September 2023

Pesawat tempur X-wing Star Wars dilelong, bidaan bermula RM1.87 juta

Pesawat tempur X-wing Star Wars dilelong, bidaan bermula RM1.87 juta


Model pesawat tempur X-wing dalam Star Wars asal versi 1977 yang sudah lama hilang kini muncul semula dan sedang dilelong, dibuka dalam bidaan bermula pada harga AS$400,000 (kira-kira RM1.87 juta), lapor The Guardian News pada 11 September 2023.


Heritage Auctions berkata model itu sudah lama dikenali sebagai 'X-wing yang hilang'. Kemudian ia ditemui dalam koleksi milik Greg Jein, yang meninggal dunia pada Mei tahun lalu, pada usia 76 tahun.


Karier Jein dalam pembuatan miniatur menyaksikan dia mendapat pencalonan anugerah untuk kerjanya dalam projek termasuk Star Trek and Close Encounters of the Third Kind.


X-wing adalah miniatur bersaiz kira-kira 20 inci salah satu daripada empat yang dicipta untuk penggambaran jarak dekat dalam momen penting semasa pertempuran aksi ketiga yang terkenal dalam Star Wars Episod IV: A New Hope.


Ia direka dengan jalur merah pada dua sayap teratasnya, pengenalan ia sebagai skuadron Rebel Alliance Red Leader.


Model itu juga terbabit semasa beberapa tangkapan untuk Red Five, pesawat yang dipandu oleh Luke Skywalker, dan Red Two, dipandu oleh Wedge Antilles.


Heritage Auctions berkata X-wing mewakili kemuncak artifak Star Wars yang pernah sampai ke pasaran.


Model itu dianggap hilang oleh pasukan Industrial Light & Magic selama beberapa dekad sebelum ia dikenal pasti oleh pakar kesan visual yang membantu keluarga Jein menyusun koleksi artifak sinematiknya yang banyak.


Model itu akan dilelong pada 14 Oktober hingga 15 Oktober depan di Dallas, negeri Texas dengan harga bidaan permulaan $400,000 (kira-kira RM1.87 juta). - Sumber The Guardian.


Model pesawat tempur X-wing yang digunakan dalam Start Wars akan dilelong dengan harga bidaan bermula AS400,000 (kira-kira 1.87 juta). - Foto The Guardian.
Tergamak curi banyak mayat untuk dijual dalam talian

Tergamak curi banyak mayat untuk dijual dalam talian


Seorang lelaki berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun selepas mengaku bersalah menjual mayat manusia secara dalam talian, termasuk dua bayi yang mati ketika lahir, lapor Mirror UK pada 11 September 2023.


Jeremy Pauley, 41, dari Pennsylvania, menjual mayat yang dicuri dari Sekolah Perubatan Harvard, Amerika Syarikat.


Dia juga didakwa mencuri mayat dari kemudahan perubatan lain untuk dijual, sebahagian daripada rangkaian pemerdagangan bahagian tubuh manusia di seluruh negara.


Pauley didakwa melakukan demikian bermula dari 2018 hingga 2022 dan dia adalah seorang daripada tujuh orang yang didakwa dalam kes itu pada Jun.


Pada Khamis, dia mengaku bersalah atas konspirasi dan mengangkut harta curi merentasi sempadan negeri. Dia juga mengakui membeli mayat manusia daripada berbilang penjual dengan mengetahui bahawa mayat itu dicuri.


Antara kes didakwa membabitkan Pauley adalah dia dikatakan menjual mayat dicuri oleh Candace Chapman Scott.


Scott bekerja di rumah mayat Little Rock, Arkansas serta dikatakan mencuri bahagian mayat yang sepatutnya dibakarnya dan abu mayat perlu dikembalikan kepada pihak keluarga si mati.


Seorang daripada defendan, Cedric Lodge, dari Goffstown, New Hampshire, adalah pengurus rumah mayat untuk Program Hadiah Anatomi di Sekolah Perubatan Harvard di Boston, Massachusetts.


Pihak berkuasa berkata bahagian mayat itu diambil tanpa pengetahuan Sekolah Perubatan Harvard dan pihak sekolah telah bekerjasama dengan pihak berkuasa sepanjang siasatan mereka.


Mayat yang didermakan kepada sekolah digunakan untuk tujuan pendidikan, pengajaran atau penyelidikan. Biasanya, apabila mereka tidak lagi diperlukan, mayat yang didermakan itu dibakar dan abunya dikembalikan kepada keluarga mereka.


Lodge dituduh mencuri organ yang didermakan dan bahagian badan lain termasuk kepala, otak, kulit dan tulang, yang sama ada dihantar kepada pembeli atau dibawa pulang ke rumahnya.


Lodge dilaporkan membenarkan pembeli masuk ke bilik mayat dan memilih bahagian tubuh mayat yang mereka ingin beli.


Menurut media tempatan, Lodge dibantu oleh isterinya Denise, 63, untuk menjual mayat melalui telefon atau melalui media sosial.


Lodge, 55, Katrina Maclean, 44, Joshua Taylor, 46, Denise Lodge, 63, Mathew Lampi, 52, semuanya didakwa bersama Pauley.


Pauley, masih belum dijatuhkan hukuman atas peranannya dalam rangkaian itu, dan Mathew Lampi, sedang menunggu perbicaraan.


Lampi didakwa membawa dan menjual mayat manusia dalam tempoh yang panjang dengan urusniaga AS$100,000 (kira-kira RM467,624) menerusi pembayaran dalam talian. - Sumber Mirror UK.


Jeremy Pauley, 41, mengaku bersalah menjual mayat manusia secara dalam talian. - Foto Newsflash.