Memaparkan catatan dengan label Rare. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rare. Papar semua catatan

Ahad, 10 September 2023

Lelaki cuba rentas Lautan Atlantik sejauh 7,593km menaiki kapal unik buatan sendiri

Lelaki cuba rentas Lautan Atlantik sejauh 7,593km menaiki kapal unik buatan sendiri


Lelaki ditahan selepas cuba merentasi Lautan Atlantik dari Florida, Amerika Syarikat (AS) untuk ke London, United Kingdom sejauh 4,100 batu nautika (kira-kira 7,593 kilometer) dengan menaiki kapal buatan sendiri menyerupai hamster wheel.


Menerusi lapor Daily Mail pada 6 September 2023, pegawai pantai AS memintas kapal dinaiki Reza Baluchi itu kira-kira 110 kilometer dari Pulau Tybee, Georgia, pada 26 Ogos lalu.


Jurucakap berkata, pelari maraton berusia 51 tahun warga Iran itu, yang tinggal di Florida enggan meninggalkan kapal berkenaan selama tiga hari.


Baluchi didapati melakukan tiga pelayaran serupa sebelum ini namun semuanya berakhir apabila ia digagalkan oleh pengawal pantai.



Kapal digunakannya itu berbentuk roda, dengan dayung yang direka untuk bergerak ke hadapan ketika roda itu berputar, secara teorinya membolehkan ia 'berlari' melintasi ombak.


"Berdasarkan keadaan kapal yang terapung kerana pendawaian dan pelampung, pengawal pantai AS menentukan Baluchi sedang melakukan pelayaran yang nyata tidak selamat," kata aduan jenayah itu.


Pelayaran Baluchi bermula ketika pegawai AS sedang bersiap sedia untuk menghadapi taufan besar.


Jurucakap berkata, Baluchi enggan turun dari kapal itu dan mengancam untuk membunuh diri. Baluchi juga mendakwa ada bom di atas kapal itu, menurut dokumen mahkamah.


Pada 1 September lalu, Baluchi akhirnya menyerah diri dan meninggalkan kapalnya selepas dia dibawa ke pangkalan pengawal pantai di Miami.


Jurucakap kemudiannya mengesahkan bahawa dakwaan mengenai bom itu adalah palsu. Baluchi kini berdepan pertuduhan persekutuan kerana menghalang menaiki kapal dan melanggar perintah kapten pelabuhan. - Sumber Daily Mail.


Baluchi mahu merentasi Lautan Atlantik dengan menggunakan kapal buatan sendiri menyerupai roda hamster. - Foto Daily Mail.

Baluchi didapati melakukan empat kali pelayaran serupa namun semuanya digagalkan oleh pengawal pantai. - Foto Reza Baluchi/Instagram.

Pada 26 Ogos, Pengawal Pantai AS memintasnya di laut dan cuba menangkapnya. - Foto USCGSoutheast.

Sabtu, 9 September 2023

Suami tunai janji beli 1 ekar tanah di Bulan hadiah buat isteri sempena hari lahir

Suami tunai janji beli 1 ekar tanah di Bulan hadiah buat isteri sempena hari lahir


Seorang lelaki di negeri Bengal Barat, India menunaikan janji sebelum ini untuk menghadiahkan Bulan sempena hari lahir pertama isterinya selepas perkahwinan mereka.


Laman berita Wion News pada 8 September melaporkan Sanjay Mahato berbuat demikian dengan membeli sebidang tanah di Bulan atas nama wanita tersebut.


Sanjay mendapat inspirasi untuk membeli tanah berharga 10,000 rupee (RM562) itu selepas kejayaan misi Chandrayaan-3.


Sanjay percaya dia boleh memenuhi janjinya untuk 'membawa Bulan' kepada isterinya dengan membeli sebidang tanah di Bulan.


Dia meminta bantuan Luna Society International untuk merealisasikan perkara itu.


"Saya membeli satu ekar tanah di Bulan untuknya (isteri)," kata Sanjay.


Keseluruhan proses itu mengambil masa kira-kira setahun sebelum Sanjay menerima kertas pendaftaran dengan label 'tuntutan dan surat ikatan berdaftar untuk hartanah di Bulan'.


Bulan memainkan peranan penting dalam kisah cinta Sanjay dan isterinya. Pasangan itu sering duduk di taman sambil merenung Bulan dan berkongsi detik romantis bersama.


Memandangkan Bulan mendapat tempat istimewa di hati mereka, Sanjay menganggap tiada hadiah lebih sesuai untuk sambutan hari lahir pertama isterinya selepas mereka berkahwin. - Sumber Wion News.


Sanjay menyerahkan kertas pendaftaran untuk pembelian tanah di bulan kepada isterinya. - Foto India Today.

Isnin, 28 Ogos 2023

Wanita diiktiraf memiliki janggut terpanjang di dunia

Wanita diiktiraf memiliki janggut terpanjang di dunia


Erin Honeycutt, 38, dari Michigan, Amerika Syarikat diiktiraf sebagai wanita yang memiliki janggut terpanjang di dunia, lapor laman berita The Guardian, minggu lalu.


Dia menerima pengiktirafan Rekod Dunia Guinness (GWR) selepas berjaya memecahkan rekod dunia dengan memiliki janggut sepanjang 30 sentimeter (sm), selepas dua tahun membelanya.


Rekod sebelumnya dipegang Vivian Wheeler, 75, dengan memiliki janggut sepanjang 25.5 cm. GWR adalah organisasi yang terkenal kerana menyusun pangkalan data lebih daripada 40,000 rekod dunia.


Erin berkata, janggutnya tumbuh secara semula jadi akibat menghidap Sindrom Ovari Polikistik (PCOS).


"Saya mula ditumbuhi janggut pada usianya 13 tahun hingga dia mencuba pelbagai kaedah untuk menghilangkannya. Saya mungkin bercukur sekurang-kurangnya tiga kali sehari.


"Saya buat ini sepanjang remaja sampai saya dewasa. Namun selepas saya mengalami masalah penglihatan, saya penat bercukur sebelum pasangan saya memberi galakan supaya saya membiarkan saja ia tumbuh," katanya.


Selain PCOS, Erin juga menghidap necrotizing fasciitis pada kakinya, iaitu jangkitan bakteria yang jarang berlaku dan mengakibatkan kematian bahagian tisu lembut badan.


"Kaki saya mengalami gangren menyebabkan saya membuat keputusan untuk memotong bahagian bawah anggota badan.


"Namun, tekanan darah saya meningkat tinggi sehingga diserang strok mata dan menjejaskan sebahagian penglihatan saya," katanya.


Katanya, dia berfikiran positif meneruskan kehidupan biarpun kehilangan kaki dan deria matanya.


"Dengan sokongan pasangan saya (Jen), saya membuat keputusan untuk membiarkan janggut saya tumbuh semasa perintah berkurung di seluruh negara kerana Covid-19, dengan penampilan itu, saya dapat membina lebih keyakinan diri," katanya.


Erin berkata, dia tidak pernah terfikir akan mendapat pengiktirafan itu kerana pernah malu dengan keadaannya itu.


Jen pula berkata, Erin berhak keluar menikmati hidup seperti orang lain walaupun ada kalanya ada pandangan serong daripada orang luar ketika melihatnya.


Sementara itu, ibu Erin, Jill Roach berkata, dia sangat menyokong keputusan anak perempuannya untuk membiarkan janggutnya tumbuh kerana apa yang penting wanita itu gembira dengan apa yang dibuatnya. - Sumber The Guardian.


Erin Honeycutt kini pemegang rekod wanita dengan janggut terpanjang di dunia. - Foto The Guardian.

Sabtu, 19 Ogos 2023

Ferrari Mondial Spider berjaya dijual pada harga RM8.8 juta walaupun hanya tinggal rangka

Ferrari Mondial Spider berjaya dijual pada harga RM8.8 juta walaupun hanya tinggal rangka


Biasanya harga kereta lama yang tersadai, terbabit dalam kemalangan dan lebih teruk lagi tinggal rangka sahaja hanya layak dinilai pada harga besi buruk.


Namun tidak bagi rangka Siri 1 Ferrari 500 Mondial Spider 1954 yang direka firma reka bentuk kereta terkenal Itali, Carrozzeria Pininfarina. Rangka kereta berkarat dan remuk Ferrari klasik itu dijual pada harga £1.5million (kira-kira RM8.8 juta).


Menurut lapor akhbar Mirror UK pada 18 Ogos 2023, kereta itu pernah dipandu dalam perlumbaan oleh bekas pemandu pasukan Scuderia Ferrari, Franco Cortese di litar Mille Miglia yang terkenal di dunia.



Pada awal 1960-an, Mondial Spider yang berkelajuan 237 kilometer sejam itu terbabit dalam satu perlumbaan yang tidak diketahui lokasi sebenar di Amerika Syarikat menyebabkan kereta itu terhempas, terbakar dan rosak teruk hingga tinggal rangka.


Kemudian seorang pemaju hartanah di Florida, Walter Medlin, membeli rangka itu pada 1978 sebagai koleksi antara 20 kereta Ferrari disimpannya.


Rangka dipelihara itu ditemukan apabila Medlin meninggal dunia tahun lalu dan menurut pusat lelongan Sotheby's di Monterey, California, ia sudah pun dibeli pada harga £1.5 juta (kira-kira RM8.8 juta) pada jualan lelongnya. Namun, pemilik baru belum didedahkan.


Jurulelong RM Sotheby's di California berkata, kereta digunakan dalam perlumbaan secara meluas termasuk penampilan di Grand Prix Mille Miglia, Targa Florio, dan Imola itu adalah satu daripada hanya 13 contoh yang asalnya dibina Pininfarina.


"Ia ditawarkan buat kali pertama lebih 50 tahun, menjadikan ia projek pemulihan ideal. Selepas siap pastinya menjanjikan pengalaman pemanduan mendebarkan enjin Aurelio Lampredi iaitu loji kuasa kecil yang bertanggungjawab untuk begitu banyak kemenangan Scuderia Ferrari," katanya.


Mondial sebelum ini yang dipulihkan semula dijual pada harga £3.2 juta (kira-kira RM18.9 juta) pada 2019. - Sumber Mirror UK.


Kereta Ferrari model Siri 1 Ferrari 500 Mondial Spider 1954 yang tinggal rangka dijual £1.5 juta pada jualan lelong baru-baru ini. - Foto DarinSchnabel/RM Sotheby's/BNPS.

Mondial sebelum ini yang dipulihkan semula dijual pada harga £3.2 juta (kira-kira RM18.9 juta) pada 2019. - Foto Mirror UK.

Jumaat, 11 Ogos 2023

Lagi berlian putih terbesar 1,080 karat ditemui

Lagi berlian putih terbesar 1,080 karat ditemui


Syarikat Lucara Diamond mengumumkan penemuan berlian besar 1,080 karat Jenis lla yang dijumpai di Lombong Berlian Karowe di Botswana, dalam satu kenyataan pada Rabu lalu, lapor laman berita Yahoo! Sport pada 11 Ogos 2023.


Berlian itu dijumpai di Coarse XRT di Karowe Diamond Mine, kira-kira 512 kilometer dari Gaborone, ibu negara Botswana di selatan Afrika. Berlian itu adalah yang keempat melebihi 1,000 karat yang dijumpai di lombong Karowe sejak 2015.


Ia juga mencipta sejarah sebagai berlian ketujuh terbesar yang pernah ditemui dan salah satu daripada lima berlian tanpa warna terbesar sepanjang masa, menurut Natural Diamond Council dan Only Natural Diamond.


Lucara Diamond adalah pemilik Lombong Berlian Karowe di Botswana dan operasi di lombong itu bermula sejak 2012.


Lombong itu terkenal menghasilkan beberapa berlian terbesar sepanjang masa. Kira-kira separuh daripada sepuluh berlian terbesar yang dijumpai telah ditemui di tapak Afrika Selatan.


Berlian yang paling setanding dengan batu 1,080 karat baharu ialah 1,109 Lesedi La Rona, yang ditemui di lombong Karowe pada 2015. Penemuan terkenal lain termasuk 1,758 karat Sewelô (2019), berlian 1,174 karat (2021).


Klasifikasi Jenis IIa berlian yang baru dipulihkan meletakkannya antara hanya satu hingga dua peratus daripada jenis berlian yang jarang ditemui.


Jenis permata ini diketahui tidak mempunyai kekotoran nitrogen atau boron yang boleh diukur, selalunya tidak berwarna, dan sudah tentu sangat berkualiti.


Pakar hari ini percaya bahawa lebih banyak berlian saiz ini mungkin wujud tetapi telah dipecahkan kepada kepingan yang lebih kecil semasa proses pemulihan.


Penambahbaikan kepada teknologi yang digunakan untuk penggalian telah berubah dari semasa ke semasa. Penemuan terbaru Lucara, sebagai contoh, telah ditemui melalui unit XRT Kasar, teknologi sinar-X yang direka untuk menghalang batu daripada pecah semasa pengekstrakan. - Sumber Yahoo! Sports.


Berlian putih. - Foto Lucara Diamond.

Isnin, 7 Ogos 2023

Kot Elvis Presley dilelong RM743,079 di Britain

Kot Elvis Presley dilelong RM743,079 di Britain


Kot buatan khas yang dipakai mendiang bintang legenda, Elvis Presley ketika tahun terakhir hidupnya, dijual pada harga lebih 100,000 pound dalam satu acara lelongan di Britain, lapor agensi berita BBC News pada 6 Ogos 2023.


Pakaian itu dibeli pada harga 128,000 pound (RM743,079) oleh seorang pengumpul dari Amerika Syarikat dalam lelongan di Henry Aldridge & Son di Devizes, Wiltshire pada hari Sabtu.


Pelelong Henry Aldridge sebelum ini berkata mereka menjangkakan kot itu akan mencecah sekitar 15,000 pound.


Presley memberikan jaket kulit bulu mink itu kepada abang tunangnya, Ginger Alden, sebelum meninggal dunia pada 1977.


Ia disertakan dengan surat ketulenan daripada Rosemary Alden Starkey yang juga adik Ginger Alden.



Jurulelong Henry Aldridge sebelum ini berkata mereka memperoleh kot itu daripada pelanggan yang telah membeli pakaian itu semasa lelongan tahunan Elvis Presley yang diadakan di bekas rumah penyanyi itu di Graceland, di Memphis, Tennessee.


"Bagi saya ia merangkumi glamor 1970-an Vegas, Elvis dalam kot cerpelai," kata Jurulelong Andrew Aldridge.


Cincin berbentuk burung hantu emas, juga dimiliki oleh Elvis Presley, dijual pada harga 14,000 pound. - Sumber BBC News UK.


Kot itu dipakai oleh Elvis Presley pada tahun terakhir hidupnya. - Foto Daily Mail.

Selasa, 18 Julai 2023

Wanita terkena meteorit semasa minum kopi di luar rumah

Wanita terkena meteorit semasa minum kopi di luar rumah


Seorang wanita di Perancis ditimpa sebutir meteorit ketika sedang menikmati minuman kopi di luar rumah bersama rakannya, lapor laman berita Wion News pada 16 Julai 2023.


Kejadian yang sangat jarang berlaku itu dilaporkan dari kampung Alsace yang terletak di timur Perancis pada 6 Julai lalu.


Akhbar Les Dernieres Nouvelles d’Alsace (DNA) melaporkan, wanita itu sedang duduk di anjung rumah sambil berbual dengan rakannya apabila batu angkasa lepas itu mengenai tulang rusuknya.


"Saya terdengar bunyi 'poom' dari atas bumbung rumah berhampiran. Selepas itu, saya merasakan kejutan pada tulang rusuk. Saya fikir ia haiwan, seekor kelawar.


"Kami sangka ia sekeping simen yang disapukan pada jubin bumbung tetapi tidak mempunyai warna," kata wanita yang identitinya tidak didedahkan itu.


Menurutnya, meteorit tersebut melantun pada bumbung dan mengenai dadanya, mengakibatkan kesan lebam.


Dia kemudian membawa batu itu kepada seorang ahli geologi, Dr. Thierry Rebmann untuk diperiksa sebelum disahkan mempunyai unsur luar Bumi.


Rebmann berkata, meteorit itu mempunyai unsur besi dan silikon, manakala ia jarang jatuh menimpa manusia.


"Menemui meteorit adalah jarang tetapi untuk bersentuhan langsung dan ia menimpa manusia, perkara itu sangat jarang berlaku," katanya. - Sumber Wion News.


Meteorit itu jatuh menimpa dada wanita tersebut. - Foto Wion News.