Selasa, 18 Julai 2023

Wanita terkena meteorit semasa minum kopi di luar rumah


Seorang wanita di Perancis ditimpa sebutir meteorit ketika sedang menikmati minuman kopi di luar rumah bersama rakannya, lapor laman berita Wion News pada 16 Julai 2023.


Kejadian yang sangat jarang berlaku itu dilaporkan dari kampung Alsace yang terletak di timur Perancis pada 6 Julai lalu.


Akhbar Les Dernieres Nouvelles d’Alsace (DNA) melaporkan, wanita itu sedang duduk di anjung rumah sambil berbual dengan rakannya apabila batu angkasa lepas itu mengenai tulang rusuknya.


"Saya terdengar bunyi 'poom' dari atas bumbung rumah berhampiran. Selepas itu, saya merasakan kejutan pada tulang rusuk. Saya fikir ia haiwan, seekor kelawar.


"Kami sangka ia sekeping simen yang disapukan pada jubin bumbung tetapi tidak mempunyai warna," kata wanita yang identitinya tidak didedahkan itu.


Menurutnya, meteorit tersebut melantun pada bumbung dan mengenai dadanya, mengakibatkan kesan lebam.


Dia kemudian membawa batu itu kepada seorang ahli geologi, Dr. Thierry Rebmann untuk diperiksa sebelum disahkan mempunyai unsur luar Bumi.


Rebmann berkata, meteorit itu mempunyai unsur besi dan silikon, manakala ia jarang jatuh menimpa manusia.


"Menemui meteorit adalah jarang tetapi untuk bersentuhan langsung dan ia menimpa manusia, perkara itu sangat jarang berlaku," katanya. - Sumber Wion News.


Meteorit itu jatuh menimpa dada wanita tersebut. - Foto Wion News.


EmoticonEmoticon