Rabu, 19 Julai 2023

Misteri silinder gergasi terdampar di pantai Australia dipercayai 'jatuh' dari angkasa


Sebuah silinder logam gergasi ditemukan terdampar di sebuah pantai di Australia Barat telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan dan polis, lapor The Guardian pada 17 Julai 2023.


Menurut polis, objek misteri berwarna tembaga itu ditemukan oleh penduduk tempatan pada Ahad lalu setelah terdampar di pantai berhampiran Jurien Bay.


Silinder logam itu kelihatan rosak teruk dan ditemukan dalam keadaan bersandar pada sisinya.



Pada awalnya polis Australia Barat mengesahkan objek itu berasal dari pesawat komersial. Namun, mereka tidak dapat pastikan apa objek itu sebenarnya dan menganggapnya berbahaya.


Bagaimanapun, polis menerusi kenyataan memaklumkan analisis dilakukan oleh pusat kimia jabatan bomba mendapati 'objek itu selamat dan buat masa ini tidak mengundang risiko kepada penduduk'.


Jelasnya, silinder gergasi itu akan dipindahkan sebaik sahaja proses mengenal pasti objek selesai.


Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti maklumat mengenai silinder gergasi itu dan meminta orang ramai untuk menjauhkan diri daripada objek tersebut.



"Langkah ini diambil untuk memastikan bukti yang diperoleh dipelihara secara baik, selain memudahkan pemeriksaan selanjutnya," jelasnya.


Polis juga menolak dakwaan objek itu berasal dari pesawat MH370 yang hilang pada Mac 2014.


Menerusi sebuah video dimuat naik dalam media sosial, silinder gergasi itu yang sebahagiannya rosak, tidak kelihatan berasal dari pesawat biasa.


Ahli teori berpendapat penemuan yang mengejutkan itu sebenarnya 'objek dari langit'. Dipercayai silinder bahan api yang pernah dipasang pada Kenderaan Pelancar Satelit Kutub India.


Agensi Angkasa Lepas Australia, yang turut menyiasat penemuan itu, nampaknya menyokong idea itu mengatakan ia berkemungkinan daripada 'kenderaan pelancar angkasa lepas'.


Menurut news.com.au, ahli arkeologi angkasa lepas Dr Alice Gorman turut menyokong teori tersebut. - Sumber The Guardian.


Objek misteri itu ditemukan terdampar di pantai berhampiran Green Head di Australia Barat. - Foto The Sun.


EmoticonEmoticon