Ahad, 15 Oktober 2023

Lelaki bujang bina pagar setinggi 15 kaki berkurung dalam rumah selama 55 tahun kerana fobia wanita


Seorang lelaki di Rwanda masih teruna walaupun sudah berusia 71 tahun dan dia telah mendirikan pagar setinggi 4.5 meter (kira-kira 15 kaki) di sekeliling rumahnya untuk menjauhkan diri daripada wanita.


Akhbar Daily Star pada 12 Oktober 2023 melaporkan, Callitxe Nzamwita mengurung diri di dalam rumah selama 55 tahun kerana takut kepada wanita dan ingin menjauhkan dirinya daripada orang ramai.


Nzamwita mengaku dia 'sangat takut' sekiranya wanita datang ke rumahnya, jadi dia nekad mengasingkan diri di dalam rumah.



Walaupun hidup sendirian, Nzamwita dibantu oleh ramai wanita di kampungnya kerana mereka khuatir warga emas itu meninggal dunia akibat kehabisan makanan.


Walaupun mereka membantu mengumpulkan bekalan makanan untuk Nzamwita, lelaki itu masih melarang wanita-wanita tersebut mendekatinya.


Seorang penduduk tempatan yang tidak dinamakan berkata: “Peliknya, walaupun dia takut wanita, kamilah yang membantunya mendapatkan makanan dan barang yang dia perlukan. Apabila cuba membantunya, dia tidak mahu kami mendekati atau bercakap dengannya.


"Sebaliknya, kami memberinya barang dengan melemparkannya ke dalam rumahnya dan kemudian dia datang dan mengambilnya. Dia tidak membenarkan kami mendekatinya, tetapi dia masih mengambil apa yang kami tawarkan dari jauh," katanya.


Sekiranya ternampak seorang wanita dalam perjalanan ke rumah itu, Nzamwita segera mengunci dirinya di dalam rumah. Bujang terlajak itu dipercayai mengalami gynophobia iaitu ketakutan yang tidak rasional terhadap wanita. - Sumber Daily Star.


Penduduk kampung bimbang tentang kesihatan Nzamwita lalu membekalkannya dengan barang keperluan. - Foto Newsflash.

Nzamwita telah tinggal di dalam rumah ini sejak dia berumur 16 tahun. - Foto Newsflash.


EmoticonEmoticon