Isnin, 16 Oktober 2023

Kereta terbabas rempuh kedai jual nombor ekor lelaki warga emas cedera


Gara-gara dipercayai tersilap menekan pedal minyak, seorang lelaki warga emas nyaris cedera parah apabila kereta yang dipandunya terbabas sehingga merempuh sebuah premis yang menjual nombor ramalan atau nombor ekor, di Taman Molek, Bagan Ajam, Butterworth, hari ini.


Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa berusia 65 tahun dilaporkan tersepit pada bahagian tempat duduk pemandu selepas kereta jenis Proton Saga BLM berwarna merah itu merempuh bahagian kuanter premis berkenaan.


Menurut pegawai operasi bomba, Noorhisham Md. Noor, sebaik sahaja menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 3.06 petang, pihaknya bergegas ke lokasi dengan kekuatan jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth.


Beliau berkata, walaupun rempuhan itu agak kuat, pemandu berbangsa India itu hanya mengalami cedera ringan iaitu rasa sakit pada bahagian belakang badan.


"Pasukan bomba kemudian menjalankan kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa dalam tempoh kurang 10 minit.


"Sebaik sahaja berjaya dikeluarkan, mangsa kemudian dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan susulan," katanya yang memberitahu, operasi tamat sepenuhnya kira-kira pukul 4.29 petang.


Anggota bomba mengalihkan sebuah kereta yang dipercayai terbabas sebelum merempuh sebuah kedai menjual nombor ekor di Butterworth, Pulau Pinang hari ini. - Foto Utusan.

Sebuah kereta dipercayai terbabas sebelum merempuh sebuah kedai menjual nombor ekor di Butterworth, Pulau Pinang hari ini. - Foto Utusan.


EmoticonEmoticon