Isnin, 16 Oktober 2023

Pekerja kilang mengaku tak bersalah miliki bom, pistol tiruan


Seorang pekerja kilang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki bahan letupan dan pistol tiruan ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Butterworth, Seberang Perai, hari ini.


Bonny Tigong, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin.


Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang berasal dari Sarawak didakwa telah memiliki sejenis bahan letupan iaitu 'improvised explosive device' atau IED tanpa kebenaran yang sah.


Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa kerana mempunyai sepucuk pistol tiruan atau pistol 'grib' jenis kayu juga tanpa kebenaran yang sah.


Untuk kesalahan pertama, tertuduh boleh didakwa di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tujuh atau dikenakan denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali.


Bagi kesalahan kedua pula, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.


Pendakwaan kes itu dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Majistret Noor Aini kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 16 November depan.


Terdahulu, tertuduh turut dibicarakan di Mahkamah Sesyen kerana didakwa memiliki satu senjata berjadual iaitu sebilah kerambit beserta sarung berwarna hitam/perak berukuran 19 sentimeter tanpa tujuan yang sah.


Kesalahan itu juga didakwa dilakukannya di bawah flat Taman Pandan, Mak Mandin dalam daerah SPU pada 8 Oktober lalu kira-kira pukul 6.30 petang.


Lelaki itu sebelum ini ditahan polis selepas disyaki meletupkan bom buatan sendiri di koridor hadapan rumah jiran mereka di pangsapuri berkenaan.


Menurut polis, motif kejadian dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap jirannya yang didakwa selalu batuk setiap kali melalui kaki lima untuk ke rumahnya.


Difahamkan, suspek yang sebelum itu ditahan bersama teman wanitanya yang juga seorang warga asing mengakui mempelajari cara dan teknik membuat bom melalui laman web manakala bahan yang digunakan diperolehi menerusi pembelian dalam talian.


BACA: Jiran selalu batuk punca suspek letup bom depan rumah.


Tertuduh (baju belang) ketika dibawa ke Mahkamah Butterworth, pagi tadi. - Foto oleh Iqbal HamdanI/Kosmo.


EmoticonEmoticon