KOTA BHARU - Cubaan menyeludup 9,920 peranti vape pelbagai jenis dan jenama bernilai RM793,600 terbongkar apabila sebuah lori yang membawa barangan itu ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jalan Sultanah Zainab, di sini, awal pagi semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 6.30 pagi itu, seorang pemandu lori berusia 38 tahun turut ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan barangan berkenaan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, operasi menerusi Op Taring Wawasan Kelantan itu dilaksanakan anggota Strike Force Kompeni B Batalion 7 PGA Kuantan dengan bantuan anggota Risik Batalion 7.
Menurutnya, pasukan operasi terlebih dahulu mengekori sebelum menahan sebuah lori Isuzu berwarna putih di tepi jalan berkenaan hasil maklumat awal.
Pemeriksaan di bahagian belakang lori menemukan beberapa kotak berwarna coklat yang mengandungi ribuan peranti vape.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk sebuah lori dianggarkan RM943,600.
"Siasatan awal mendapati lelaki itu menerima upah RM280 untuk membawa peranti vape berkenaan dari Kuala Lumpur sebelum barangan itu diterima di Kota Bharu.
"Peranti vape itu dipercayai akan dihantar ke Kampung Telaga Bata, Tumpat sebelum diseludup ke negara jiran, Thailand," katanya dalam kenyataan semalam.
Pemandu bersama semua rampasan kemudian diserahkan kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja MPKB 1896 (Pindaan) 2000, UUK 3, berkaitan kesalahan menjalankan aktiviti menjaja tanpa lesen sah.















